Apa Yang Kita Tahu Tentang Piramid Gunung Padang?

0
2027
views

Saya akan cuba untuk menerangkan sedikit sebanyak apakah penemuan hebat yang ditemui oleh para pengkaji Indonesia di Gunung Padang. Sebenarnya Gunung Padang merupakan tapak prasejarah peninggalan kebudayaan Megalitik di Jawa Barat. Pada awalnya luas kompleks “binaan” ini dianggar lebih kurang 900 m², terletak pada ketinggian 885 m dari aras laut, dan areal tapak ini sekitar 3 hektar, menjadikannya sebagai kompleks binaan bertingkat terbesar di Asia Tenggara setakat ini.

Laporan pertama mengenai kewujudan tapak ini sebenarnya telah dicatat oleh penjajah Belanda sejak tahun 1914 lagi. Sejarawan Belanda, N. J. Krom juga telah menyebutnya pada tahun 1949. Tetapi kemudian ia dilupakan. Namun pada tahun 1979 tiga penduduk tempatan melaporkan kepada pihak berwajib, mengenai kewujudan timbunan batu-batu bersegi besar dengan berbagai ukuran yang tersusun dalam suatu tempat bertingkat yang mengarah ke Gunung.

Fungsi tapak Gunung padang andaian awalnya ialah sebagai tempat pemujaan bagi masyarakat yang tinggal disitu pada sekitar 2000 tahun S.M. Kajian demi kajian dilakukan sejak tahun 1990-an lagi, namun pada awalnya tidak ada banyak penemuan hebat yang dibuat.

Kajian yang lebih intensif dan bersepadu akhirnya dibuat pada Mac 2011. Pasukan pengkaji dibentuk pejabat Staf Khusus Presiden Bidang Bantuan Sosial dan Bencana, dalam survei untuk melihat tapak. Ketika pasukan melakukan survei dibawah permukaan Gunung Padang, diketahui tidak ada penembusan magma, yang menunjukkan bahawa ia bukan bekas gunung berapi.

Kemudian pasukan pengkaji melakukan survei dibawah permukaan Gunung Padang secara lebih lengkap dengan metodologi geofizik, geoletrik, georadar, dan geomagnet. Hasilnya, membuktikan bahawa Gunung Padang adalah sebuah bukit yang dibuat atau dibentuk oleh manusia bukan sebuah bukit semula jadi.

Pada November 2011, pasukan yang dipimpin oleh Dr. Danny Hilman Natawidjaja, terdiri dari pakar kaji bumi semakin yakin bahawa Gunung Padang dibina oleh manusia masa lampau yang pernah hidup di wilayah itu.

Hasil survey dan pengkajian kemudiannya dibentangkan dalam berbagai pertemuan ilmiah baik di peringkat nasional mahupun internasional, bahkan mendapat pujian dari Prof. Dr. Oppenheimer. Para ahli pengkaji ditambah dan melibatkan berbagai bidang disiplin ilmu dan berbagai keahlian.

Antaranya ialah Dr. Ali Akbar seorang pengkaji prasejarah dari Universitas Indonesia, yang memimpin pengkajian bidang arkeologi. Kemudian Pon Purajatnika, M.Sc., memimpin pengkajian bidang arkitektur, Dr. Budianto Ontowirjo memimpin pengkajian struktur, dan Dr. Andang Bachtiar seorang pakar paleosedimentologi, memimpin pengkajian pada lapisan-lapisan sedimen di Gunung Padang. Menariknya ialah seluruh pembiayaan pengkajian adalah secara individu oleh anggota pengkaji sendiri.

Pelbagai penemuan pasukan pengkajian Gunung Padang ini akhirnya dilakukan ujian carbon dating, C14. Hasil yang amat mengejutkan telah dikeluarkan oleh makmal Beta Analytic di Miami, Florida, dimana usia lapisan dari kedalaman sekitar 5 meter sampai 12 meter berumur kira-kira 14500 – 23000 SM/atau lebih tua.

Makmal di Miami Florida ini bertaraf internasional yang kerap menjadi rujukan berbagai kajian dunia terutama berkaitan carbon dating. Oleh itu tidak mungkin ianya palsu atau tidak menepati standard. Pasukan pengkajian Gunung Padang juga menjumpai beberapa perkara penting. Setelah dibersihkan semak-samun pada bahagian Tenggara teres 5 ke arah bawah, telah ditemukan 20 tingkat terasering atau binaan bertingkat disusun oleh masyarakat yang berbudaya gotong royong dan mempunyai kemampuan teknologi yang maju.

Terasering binaan bertingkat ini mematahkan hipotesis pengkajian sebelumnya bahawa tapak gunung Padang hanya terdiri dari 5 teres pada area seluas 900 m persegi. Dengan dibuka 20 tingkat terasering menunjukan bahawa tapak gunung Padang adalah sangat besar.

Diperkirakan zon inti utama tapak gunung Padang lebih besar dari 25 hektar dan ini cukup mengejutkan!

Pembersihan semak-semun dan hasil scanning bumi dengan Georadar pada bahagian teres 2 ke arah bawah pula menemukan bentuk struktur pintu gerbang buatan manusia. Selain itu adanya tanda-tanda berbentuk gambar atau cekungan buatan manusia pada setiap batu yang berada di teres 1.

Pengkajian mengenai makna bentuk gambar dan aksara yang terbentuk pada batu breksi andesit tersebut masih berjalan. Selain kajian lapangan dan survei, kajian kepustakaan juga dilakukan. Dalam Naskah Bujangga Manik dari abad ke-16 menyebutkan suatu tempat “kabuyutan” (tempat nenek moyang yang dihormati oleh orang Sunda) di hulu Ci Sokan, sungai yang diketahui berhulu di sekitar kawasan Gumung Padang.

Menurut legenda, Tapak Gunung padang merupakan tempat pertemuan berkala semua ketua adat dari masyarakat Sunda Kuno. Hari ini tapak ini juga masih diguna oleh penganut agama asli Sunda untuk melakukan pemujaan.

Gunung Padang adalah jauh lebih tua daripada piramid Mesir. Tambahan pula Gunung Padang bukanlah sebuah gunung tetapi bangunan berbentuk piramid yang telah ditimbus debu volkanik sehingga menjadi seperti gunung dan ditumbuhi flora. Didalam gunung padang dipercaya ada ruang yang kini telah terkambus tanah. Selain itu di tapak Gunung Padang ditemui alat muzik berupa batu bersegi panjang yang bergelombang pada bahagian atasnya, jika setiap gelombang dipukul, maka akan mengeluarkan bunyi yang berbeza antara gelombang satu dengan yang lain.

Dan alat muzik dari batu itu dapat dimainkan dengan baik. Ada beberapa orang yang percaya bahawa tapak gunung padang ada kaitan dengan tapak piramid yang ada di Mesir, ini kerana bentuknya yang mirip dengan ruang dalam piramid dan umurnya yang jauh lebih tua.

Jika kita menelusuri lebih lanjut, usia “piramid” Gunung Padang diperkirakan 4.700-10.900 tahun sebelum Masehi dibandingkan dengan piramid Giza di Mesir, yang hanya 2.500 ke 3000 SM.

Apa pun nama dan bentuknya, jika kita lihat sekali imbas ia sebenarnya tak nampak seperti gunung. Ianya berpunca dari bentuk Gunung Padang yang hampir segitiga sama jika dilihat dari utara. Sebelum ini, pasukan pengkaji yang sama juga telah menemui bentuk yang serupa di Gunung Sadahurip dan Bukit Dago Pakar di Bandung.

Mungkin masih banyak lagi binaan yang sama di seluruh Nusantara. Malah pengkaji dalam bidang arkitektur mengatakan ada persamaan binaan di Gunung padang ini dengan binaan di Machu pichu Peru.

Pada awal Januari hingga Mac 2013, pasukan yang dipimpin oleh Dr. Danny Hilman Natawidjaja , Dr. Ali Akbar (arkeologis), Dr. Andang Bachtiar (paleosedimentologis) kembali melakukan pengkajian dan survei lanjutan, dan menyatakan bahawa, di bawah permukaan Gunung Padang ada struktur geologi tak alamiah, dengan hipotesis Teknologi canggih zaman purba.

Kali ini pasukan ini melakukan penggalian arkeologi dan survei geoletrik yang lebih detail. Pasukan ini menemui bukti yang mengkonfomkan hipotesis mereka bahawa di bawah tanah Gunung Padang ada struktur bangunan buatan manusia yang terdiri dari susunan batu kolum andesit, sama seperti struktur teras batu yang sudah tersingkap, dan dijadikan tapak budaya di atas bukit.

Apa yang lebih mengejutkan adalah penemuan bahan pengisi atau pelekat diantara batu-batu kolum ini. Terdapat batu kolum yang sudah pecah berkeping-keping, namun dicantum dan disatukan semula dengan bahan pengisi, atau boleh disebut semen purba. Semen purba ini ditemui di banyak bahagian binaan batuan di tapak penggalian.

Ahli geologi, DR. Andang Bachtiar, telah menjalankan analisis kimia pada sampel semen purba tersebut dan telah menemui fakta yang mengejutkan.

Ternyata material semen ini mempunyai komposisi utama 45% mineral besi dan 41% mineral silika. Sisanya adalah 14% mineral lempung, dan juga terdapat unsur karbon. Ini adalah komposisi baik untuk semen yang sangat kuat. Berkemungkinan ia menggabungkan konsep membuat resin, atau pelekat moden dari bahan silika, dan penggunaan konsentrasi unsur besi yang menjadi penguat bata merah.

Oleh kerana itu dapat disimpulkan bahan diantara batu-batu kolum andesit ini adalah adunan semen buatan manusia. Maknanya, manusia masa itu sudah tahu ilmu pembinaan yang kompleks dan ilmu metalurgi. Satu teknik untuk mendapatkan konsentrasi tinggi besi dalam bahan semen tersebut adalah dengan melakukan proses pembakaran dari hancuran bebatuan dengan suhu sangat tinggi. Indikasi adanya teknologi metalurgi purba ini diperkuat lagi dengan penemuan segumpal bahan seperti logam sebesar 10 sentimeter di lereng Gunung Padang.

Material logam berkarat ini mempunyai permukaan kasar berongga-rongga kecil dipermukaannya.

Diduga material ini adalah adunan logam sisa pembakaran yang masih bercampur dengan material karbon yang menjadi bahan pembakarnya, mungkin dari kayu, arang batu atau lain-lain.

Tambahan lagi apa yang mengejutkan adalah hasil analisis umur semen purba ini menunjukan ianya berusia 13.000 hingga 23.000 tahun.

Pasukan pengkaji juga menduga tapak Gunung Padang kemungkinan besar tidak dibina dalam satu masa, tetapi terhasil daripada beberapa lapis kebudayaan. Walaupun sebenarnya masih banyak pertanyaan belum terjawab, dan analisa yang belum selesai, namun hasil-hasil pengkajian yang sudah ada memberikan banyak informasi yang sangat penting.

Namun sesuatu yang menarik mengenai teknik pembinaan Pramid Gunung Padang ialah ianya dikatakan dibina dengan teknik timbunan tanah dan batuan yang membentuk bukit. Menurut ahli arkeologi Indonesia, teknik yang sama juga diguna oleh leluhur kita dalam pembinaan Candi Borobudur dan Perambanan. Teknik ini tidak diguna dalam pembinaan kuil-kuil India Chola…

Semua fakta ini memang sangat kontroversi kerana pengetahuan mainstream sekarang belum mengakui ada peradaban tinggi pada masa sepurba itu, walau dimana pun di dunia ini, apa tah lagi di Nusantara yang kononnya di katakan sangat primitif walaupun sumber alamnya sangat kaya dan indah.

Tetapi di kawasan tandus nun jauh di gurun Mesir ada pula orang boleh membuat piramid. Jika mereka boleh mengapa tidak leluhur kita? Kini bukti sudah mula terkumpul. Rasanya tidak mustahil bagi bangsa Nusantara untuk mempunyai peradaban yang sehebat peradaban Mesir purba.

Agaknya bagaimanakah masyarakat Nusantara purbakala menyusun batu-batu besar yang berat itu dengan begitu rapi dan disemen pula dengan adunan material yang kuat bagi membina piramid yang maha besar itu? Dan cuba anda lihat binaan dan batuan di Gunung padang ini sebenarnya ada sedikit persamaan dengan binaan yang ada di Nan Madol di Micronesia. Banyak lagi misteri yang belum terungkai.

Apa yang pasti jika benar penemuan di Gunung padang ini, maka mungkin benarlah hipotesis kita sebelum ini iaitu terdapatnya tamadun yang hebat dan sangat tua di Nusantara.

Atau mungkin juga boleh dikaitkan dengan tamadun Nabi Nuh, dan mungkin juga Atlantis?

Namun ini hanya andaian saya, jangan pula nanti ada yang memberi ulasan bahawa saya membawa fahaman baru yang menyesatkan pula. Walaupun begitu kadang-kadang saya juga melakukan kesilapan, jadi jika ada yang tersalah maklumat harap di maafkan. Sekian wallah hu a’lam.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.