Antara Malaysia dan Brunei: Perbandingan Yang Tidak Masuk Akal

1
10263
views

Jelas sekali ekonomi Malaysia berada dalam mendapan. Nilai ringgit telah menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat. Dan selagi mana harga bahan api global tidak melonjak, barangkali Malaysia perlu mencari alternatif yang dinamik untuk menguatkan kembali matawang negara. Namun begitu, dengan kemelesetan hubungan antara kerajaan dan rakyat, lebih-lebih lagi disebabkan isu, polemik dan retorik politik, rakyat Malaysia lebih cenderung untuk mengherdik dan menghina kerajaan. Cuma yang menimbulkan keraguan dalam hujah pengkritik ini adalah perbandingan dengan negara jiran iaitu Brunei.

Apabila disebutkan dengan kecemerlangan Brunei, biarpun sekelumit, akan ada suara-suara sumbang yang mengatakan ianya rezeki oleh kerana melaksanakan hudud. Yang paling ketara adalah sebaik sahaja Brunei melaksanakan hudud, mereka menemui telaga bahan api. Maka penemuan ini diomongkan sebagai rezeki yang melimpah oleh kerana melaksanakan hudud. Pada April 13, 2017, Brunei sekali lagi menemui bahan api di kawasan Lumut yang mempunyai isipadu besar, barangkali bersamaan 15% daripada bajet kerajaan.

Dari segi saintifik, kenyataan sebegini melahirkan tanda tanya. Bahan api yang tertimbus di dalam Bumi sebenarnya mengambil masa berjuta tahun untuk terhasil. Penemuannya tiada kaitan pun dengan hukum hudud. Tetapi bagi orang yang berfikiran keagamaan, mungkin ini adalah satu rezeki yang dipermudahkan Allah atas menepati syariatnya. Kepercayaan sebegini sebenarnya tidak mendatangkan sebarang masalah. Yang ditekankan adalah bagaimana suara-suara sumbang menempelak negara seolah-olah hukum-hakam sedia ada lebih terjerumus kepada lembah kekafiran.

Hakikatnya, prestasi ekonomi Malaysia sebenarnya jauh lebih mantap berbanding Brunei. Malaysia diuruskan jauh lebih baik daripada Brunei. Kali terakhir Malaysia tergelincir daripada pertumbuhan adalah tahun 2009, iaitu ketika Kemelesetan Ekonomi Besar yang membaham banyak negara lagi. Pada ketika itu, Brunei sudahpun memasuki tahun ketiga dalam kemelesetan. Brunei menikmati dua tahun perkembangan sebelum kecundang dan tidak bangun sampai sekarang. Brunei telah memasuki fasa kemelesetan ekonomi sejak 2012 lagi. Selama lima tahun, negara tersebut tidak berkembang langsung. Tahun 2016, ekonomi Brunei kecut -2.5%.

Waqaf Saham

Mudah kata, Brunei kini sedang menghadapi krisis kewangan 10 tahun, daripada 2008 lagi. Defisit bajet pernah menghampiri 16% kepada KDNK negara. Apa yang sedang mengawal kadar inflasi negara kecil ini adalah produk-produk makanan yang berkos rendah, oleh kerana pengeluaran pertanian yang tinggi. Bajet 2017 Brunei pula menyaksikan pengurangan BN$100 juta berbanding tahun sebelumnya. Dengan harga bahan api tidak menunjukkan apa-apa bukti akan melonjak, prasarana mewah Brunei seperti ketiadaan dasar cukai pendapatan mahupun pembelian, pendidikan percuma dan perumahan bersubsidi berada dalam ancaman. Ini kerana akibat lebih daripada 95% pengeksportan Brunei dalam sektor minyak dan gas mengecut.

Positifnya, Brunei menyedari hakikat bahawa kerajaan terlalu tertumpu kepada sektor bahan api. Disebabkan itu mereka mengumumkan Visi Brunei 2035, satu rancangan pembangunan yang akan membentuk sektor-sektor lain untuk memainkan peranan. Cuma aktiviti Brunei lebih terjerumus kepada pengeluaran minyak semata-mata. Disebabkan itu, Brunei ditohmahkan sebagai negara yang hanya tahu berdoa sahaja (all pray but no work). The Economist memetik bahawa solat Jumaat dan ketaatan kepada keluarga diraja lebih penting daripada bekerja.

Sememangnya rakyat Malaysia tahu kekasaran media Barat. Kuasa kewangan iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudahpun mendrafkan cadangan bahawasa Brunei perlu potong subsidi minyak dan menghentikan projek-projek besar, dan menekankan fokus dalam perkembangan dan pekerjaan. Ini kerana perisai Brunei hanya bersifat sementara: simpanan besar dan hutang berkurangan. Perkara ini digelar sementara kerana harga bahan api global dijangka tidak akan naik secara ketara, kecuali jika berlaku konflik dalam pemain-pemain utama minyak.

Kesimpulan disini adalah Brunei gagal mempelbagaikan ekonomi selepas 31 tahun merdeka. Maka Brunei tidak layak dibandingkan dengan Malaysia, kecuali berkaitan hutang rendah sahaja. Sebarang kejayaan Brunei haruslah dikagumi. Namun, keperluan untuk membandingkan dengan Malaysia dengan niat memperlekehkan sebenarnya tidak mempunyai asas mahupun kebenaran. Berdasarkan carta dan fakta, Brunei sungguhpun dengan kelebihan saiz dan bahan api jauh ketinggalan dari segi ekonomi untuk dibandingkan Malaysia.

 

Previous articleKearifan Suku Melayu Acheh Di Pulau Pinang
Next articleAda Apa Pada Mugabe?
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.