Antara Brunei, Brooke Dan Sambas

1
3129
views

Sarawak seperti kita sedia maklum sebelum dikuasai Dinasti Brooke, pernah menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Kesultanan Brunei. Namun tahukah anda, pada satu ketika, negeri Bumi Kenyalang ini menjadi saksi kepada perebutan kuasa dua kesultanan iaitu Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sambas? Dan angkara pertelingkahan ini juga, ia membuka pintu kepada kehadiran pengasas Dinasti Brooke, James untuk bertapak di Sarawak dan menjadi raja di negeri tersebut.

KONFLIK BRUNEI-SAMBAS

Konflik kedua-dua kesultanan ini bermula sejak abad ke-17 Masihi lagi. Dan kisah ini bermula dengan cerita Raja Tengah, anak dan cucu baginda. Raja Tengah merupakan anak bongsu Sultan Hasan dari Brunei. Selepas kemangkatan baginda, kekanda Raja Tengah, Sultan Abdul Jalilul Akbar ditabalkan sebagai Sultan Brunei. Namun, kekanda baginda tetap bimbang akan kedudukannya kerana sudah masak dengan cita-cita yang dimiliki Raja Tengah. Lalu baginda memutuskan untuk menghantar Raja Tengah ke Sarawak dan menabalkan adindanya itu sebagai Sultan Sarawak pada tahun 1599. Selepas ditabalkan sebagai sultan, Sultan Tengah menubuhkan ibu negeri di Santubong di mana di situ baginda membina kubu pertahanan dan istana serta melantik pegawai-pegawai rasmi seperti Datu Patinggi Seri Setia dan Datu Amar Seri Diraja.

Setelah itu, Sultan Tengah memutuskan untuk melawat ibu saudaranya yang pada ketika itu berkahwin dengan Sultan Sambas. Dalam perjalanan ke Sambas, kapal baginda lari dari destinasi asal ke Sukadana, selatan Sambas. Di situlah, baginda berkahwin dengan adinda Sultan Sukadana dan perkahwinan ini menghasilkan lima cahaya mata termasuk anak sulung dan bakal Sultan Sambas, Radin Suleiman. Apabila Sultan Tengah tiba di Sambas, menurut rekod Belanda, baginda mengahwinkan Raden Suleiman dengan pemerintah Hindu Sambas, Ratu Sepundak. Selepas meninggalkan anakanda tercinta di Sambas, Sultan Tengah dan kerabatnya meneruskan perjalanan sebelum menuju ke Matan, selatan Sukadana. Sementara itu di Sambas, Raden Suleiman berkonflik dengan pengganti isterinya dan menantu Ratu Sepundak, Ratu Aman dan selepas beberapa lama, berjaya menyingkirkannya dan menjadi pemerintah pertama Muslim di Sambas pada tahun 1631.

10 tahun selepas Raden Suleiman ditabalkan sebagai Sultan Sambas, Sultan Tengah kembali ke Sarawak pada tahun 1641. Setibanya baginda di Sarawak, baginda dibunuh. Pembunuhan baginda ini mempunyai hubungkait dengan peristiwa pemberontakan yang berlaku pada tahun 1609. Pada tahun tersebut, sebahagian wilayah Sarawak dari sebelah utara hingga ke kawasan Melanau di utara Sungai Rejang memutuskan untuk tidak lagi menunjukkan taat setia kepada Brunei dan menukar kesetiaan mereka kepada Sambas. Ini tidak mengejutkan sekiranya Sultan Tengah memainkan peranan memulakan pemberontakan tersebut yang membawa kepada pengakhiran tragis untuk baginda. Sejarawan berpandangan pembunuhan ini dibuat untuk membantu Brunei merampas semula wilayahnya dan kembali berkuasa di Sarawak. Buktinya, sejarah patung buaya Buaya Tanah di Kampung Lebor berhampiran Serian di Sungai Sadong. Menurut riwayat lisan, patung tersebut dibina pada tahun 1641 sebagai memperingati keamanan antara kampung tersebut dengan Brunei. Ini sekaligus menunjukkan cubaan Brunei mendapatkan semula kuasanya di Sarawak.

Tujuh tahun selepas peristiwa pembunuhan Sultan Tengah, Sultan Muaddin menaiki takhta sebagai Sultan Brunei yang baru. Baginda kemudian berangkat ke Kalekka untuk bertemu dengan seorang putera Sambas untuk berunding. Putera Sambas yang dimaksudkan ialah Raden Ratna Dewi yang merupakan nenek moyang kepada kebanyakan Pengiran di Oya. Sejarawan berpandangan keputusan Sultan Muaddin bertemu dengan Raden Ratna Dewi di Kalekka kerana Raden Ratna Dewi sudah menubuhkan pemerintahannya di kawasan Melanau. Maka logiklah untuk baginda memujuk Raden Ratna Dewi berpaling tadah dan mengurniakan gelaran Sultan Anum kepadanya. Apapun sebab baginda, ini saja menunjukkan Sambas sudah meluaskan wilayah mereka sehingga ke pesisir laut Sarawak dan ini disokong dengan bukti keturunan. Dan atas sebab ini juga, mengapa manuskrip lama seperti Salasilah Raja-Raja Brunei mengatakan wilayah-wilayah ini dikuasai Johor dan bukan Sambas kerana untuk menutup malu Kesultanan Brunei kehilangan sebahagian besar wilayah barat laut Sarawak kepada Sambas.

Pada tahun 1730-an, Brunei kembali berkuasa semula di Sarawak semasa pemerintahan Sultan Kamaluddin. Buktinya, baginda melaksanakan sistem ufti dan corak pemerintahan baginda di wilayah-wilayah yang dahulunya dikawal Sambas. Berdasarkan catatan Datu Imam Ya’akub, Sarawak dibahagi kepada tiga unit pemerintahan iaitu dari Brunei hingga ke Belahit diperintah secara bersama oleh Orang Kaya Gedung dan Pengiran Gedung, Miri ke Baraya diperintah Pengiran Bendahara dan Mukah hingga kawasan pedalaman Sarawak dikawal Orang Kaya Gedung. Terdapat pelbagai anekdot berbeza bagaimana Sarawak ditadbir semasa era ini. Dan ia sesuatu yang boleh difahami kerana Sultan Brunei meragui bolehkah baginda mempercayai pentadbiran Sarawak di tangan pembesar-pembesar ini atau kemampuan mereka menahan godaan Kesultanan Sambas di mana kebanyakan mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan kesultanan tersebut.

BERTUKAR TANGAN

Dari akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, wilayah Sarawak bersilih ganti bertukar tangan dari Brunei kepada Sambas. Buktinya, kerana bimbang akan gangguan Sambas di Sarawak, Brunei menghantar datuk kepada Datu Patinggi Abdul Ghapur, Bilal Abdul Latif ke Sarawak pada tempoh tersebut. Ini menunjukkan cubaan Brunei untuk meningkatkan semula pengaruhnya dalam kalangan rakyat Sarawak di mana kawalan wilayah sekali lagi dicabar oleh Sambas. Dan sebagai indikator kekuasaan Kesultanan Sambas di Sarawak, Stamford Raffles di mana pada ketika itu berkhidmat sebagai Leftenan Gabenor Jawa pada tahun 1811 mengadu kepada Lord Minto akan kemusnahan kapal dagang British, Commerce berhampiran Santubong. Dalam laporan tersebut, Raffles turut mendedahkan dalang serangan tersebut ialah Pengiran Samweda, salah seorang anggota kerabat Kesultanan Sambas. Sebagai tindak balas, Britain membedil Sambas dan menghantar surat kepada Raja Sarawak atau Pengiran Samweda sebagai amaran untuk tidak menyerang kapal dagang mereka lagi. Serangan ini menunjukkan bahawa Pengiran Samweda ini di bawah naungan dan bertanggungjawab kepada Sultan Sambas. Pada tahun 1819, Sultan Sambas dilihat berada di sempadan Sambas/Sarawak sekaligus menunjukkan bahawa baginda mempunyai kepentingan di Sarawak.

Selepas penemuan antimoni pada tahun 1823, Brunei sekali lagi mahu merampas semula Sarawak dari tangan Sambas dan memonopoli perlombongan antimoni. Untuk mencapai agenda tersebut, Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II menghantar Pengiran Muda Mahkota sebagai wakil baginda di sana. Namun, itu tidak menghalang Sambas untuk terus bersaing. Buktinya, satu laporan menyatakan mereka menghantar dua kapal penuh dengan antimoni ke Singapura. Ada sebab mengapa Sultan Omar menghantar Pengiran Muda Mahkota sebagai wakilnya. Hubungan kekeluargaan beliau dengan kerabat diraja Sambas memberikan beliau dua kelebihan, pertama, tidak mencetuskan reaksi negatif Kesultanan Sambas dan cuba meraih kesetiaan orang Melayu Sarawak yang masih setia dengan Kesultanan Sambas.

Waqaf Saham

Apapun, kehadiran Pengiran Muda Mahkota di Sarawak menimbulkan keresahan bukan saja dari Kesultanan Sambas tetapi juga dari Belanda dan orang-orang Melayu yang bersekutu dengan kesultanan tersebut. Lapan tahun selepas Pengiran Muda Mahkota bertapak di Sarawak, Belanda mencadangkan kepada Sambas untuk membeli beberapa wilayah Sarawak dari Kesultanan Brunei iaitu wilayah Lundu, Sematan dan Sadong. Sultan Sambas menghantar wakil ke Brunei untuk membincangkan proses pembelian. Berdasarkan rekod, sesetengah anggota kerabat diraja Brunei bersetuju dengan perjanjian tersebut termasuk bapa saudara Sultan Omar, Pengiran Usop. Pengiran Usop sendiri berangkat ke Sarawak pada tahun 1835 untuk membincangkan penjualan wilayah tersebut. Namun, perjanjian Sambas ini ditolak majoriti anggota kerabat termasuk pewaris takhta, Pengiran Raja Muda Hashim. Berang dengan reaksi mereka, Pengiran Usop menghasut orang Melayu Sarawak untuk memberontak.

Tambah memeningkan kepala, pembesar-pembesar Sarawak juga turut berpecah dengan kedua-dua kesultanan melantik pembesar pilihan mereka sendiri. Contohnya, untuk jawatan Datu Patinggi, wujud pertelingkahan antara Datu Patinggi Ali dengan menantunya, Datu Patinggi Abdul Ghapur. Sejarawan tidak pasti bagaimana boleh wujud perlantikan dua Datu ini. Ada kemungkinan kedua-duanya dilantik oleh salah satu sultan atau kedua-duanya dilantik sebagai pencabar. Jika sultan tidak gembira dengan prestasi penjawat terdahulu, maka mereka melantik orang seterusnya yang dilihat lebih setia. Satu lagi kemungkinan ialah perlantikan kedua-duanya ialah menunjukkan kekuasaan kedua-dua kesultanan di kawasan tersebut.

Apapun pertempuran antara kedua-dua belah pihak sengit dengan pihak pemberontak mendapat bekalan senjata api dan meriam dari Kesultanan Sambas. Bagaimanapun, perang antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu di mana pemberontak menguasai kawasan hulu sungai sementara Brunei mengawal kawasan muara antara siniawan dengan Kuching, Sungai Lundu dan bahagian bawah Sungai Samarahan. Pemberontak yang terdesak meminta sokongan Belanda dengan pertama, sedia menyerahkan Sarawak kepada Belanda sebagai pertukaran kepada bantuan ketenteraan Belanda melalui mesej kepada Penolong Residen Belanda di Sambas. Kedua, pihak pemberontak turut menghantar satu delegasi ke Betawi untuk melobi sokongan Belanda secara langsung.

‘RAJA PUTIH’

Pada Ogos 1839, seorang pengembara British tiba di Sarawak dengan berlayar dengan kapalnya, Royalist. Individu yang dimaksudkan ialah bakal Raja Putih Sarawak dan pengasas Dinasti Brooke, James Brooke. Kesultanan Brunei melihat kehadiran Brooke boleh membantu mereka mengalahkan pemberontak Sarawak. Brooke tertarik dengan tawaran mereka dan dalam catatannya, beliau menulis, “Raja meminta aku kekal di sini sebagai demonstrasi untuk menakutkan pemberontak.”

Bagi Sultan Sambas, baginda sedar situasi pemberontakan ketika itu tidak menentu dan mahu menjaga kepentingan baginda. Di sinilah, baginda berhubung dengan sepupunya, Pengiran Muda Mahkota untuk membantu baginda memajukan perlombongan antimoni dan kebenaran berdagang di Sarawak. Namun, Pengiran Muda Mahkota merasa sangsi dengan niat sepupunya itu semasa berbual dengan Brooke untuk mendapatkan bantuan Britain melawan Belanda. Sentimen itu turut dikongsi Pengiran Raja Muda Hashim pada hari pertama pertemuannya dengan Brooke berkenaan status hubungan Britain-Belanda.

Tentera Brunei mendapat kelebihan strategik apabila membina sebuah kubu pertahanan bernama Sekundis untuk memotong talian bekalan diperlukan pemberontak dari Sambas. Pada 20 Disember 1840, pemberontak menyerah diri dan kebanyakan anggota keluarga mereka menjadi tebusan oleh Pengiran Raja Muda Hashim. Bagi pemimpin-pemimpin pemberontak, Datu Patinggi Ali melarikan diri ke Sarikei sementara Datu Patinggi Abdul Ghapur dan Datu Temenggung Mersal berundur ke Sambas.

Jika Brooke menyangka Pengiran Raja Muda Hashim akan memenuhi janjinya dengan melantik beliau sebagai Gabenor Sarawak, sangkaan beliau salah sama sekali. Pengiran Raja Muda Hashim telah menarik balik tawaran tersebut termasuk menarik balik rumah tempat Brooke menginap dan enggan berjumpa dengan beliau. Bagi para pemberontak, mereka melihat ketegangan hubungan Brooke-Pengiran Raja Muda Hashim peluang untuk menyelamatkan masa hadapan tanah air mereka tanpa perlu menerima pemerintahan Brunei. Lalu mereka menghantar satu delegasi dipimpin Datu Temenggung Mersal dan anak Datu Patinggi Ali bertemu dengan Brooke dan menyampaikan hasrat mereka. Kedua-dua penulis biografi Brooke, S. Baring Gould dan C.A Bampfylde cuba memaparkan Brooke sebagai seorang yang budiman dan terhormat dengan menolak permintaan mereka. Namun beliau sebenarnya menerima hujah mereka dan melihat inilah peluang yang dinantikan untuk bertapak di Sarawak.

Pada September 1841, Brooke mengarahkan meriam kapalnya, Royalist membedil Brunei dan mendarat bersama krew dan 200 tentera Melayu Sarawak. Menyedari Brunei sebenarnya cari pasal dengan orang yang salah, akhirnya Pengiran Raja Muda Hashim bersetuju melantik Brooke sebagai Raja Sarawak. Namun, jika beliau menyangka kekuasaannya tidak akan dicabar sesiapa, Kesultanan Sambas pasti tidak akan melepaskan Sarawak begitu saja dan akan mencabar Brooke habis-habisan. Pada awal tahun yang sama, Sultan Sambas menghantar sebuah kapal diketuai seorang pembesar untuk berdagang di Kuching. Brooke melihat kehadiran mereka sebahagian daripada plot untuk menghalaunya keluar dan cuba melaga-lagakan beliau dengan Belanda di Sambas. Berang dengan tindakan mereka, Brooke bersemuka dengan anggota-anggota konspirasi ini dan dalam catatannya, beliau menulis, “Aku menghantar mereka pulang dalam keadaan takut, malu dan keliru.” Walaupun Brooke mendakwa Pengiran Muda Mahkota mencabar kedudukannya dengan bersekongkol dengan Kesultanan Sambas, dakwaan tersebut tidak benar. Ini kerana Pengiran Muda Mahkota masih setia terhadap Sultan Brunei. Sementara pembesar-pembesar Melayu yang ditemui Brooke pula ialah pembesar Melayu Sarawak yang masih berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan sokongan terhadap beliau atau terus kekal menyokong Sambas.

Sultan Sambas enggan menyerah kalah berkenaan Sarawak dan cuba menggunakan jalan lain. Baginda menghantar dua puteranya bertemu dengan Brooke dengan meminta hak antimoni sebagai ganti kepada hutang-hutang baginda yang belum dilunaskan. Namun beliau enggan melayan tuntutan Sambas dan menyifatkan kehadiran mereka ini sebagai cabaran terbesar dari pihak musuh dalam menubuhkan dinastinya di Sarawak. Dalam catatannya juga, Brooke merasa tidak pasti sama ada orang Melayu akan menyokongnya atau tuntutan Sambas. Namun pada akhirnya, orang Melayu Sarawak memilih Brooke dan delegasi Sambas bertolak pulang pada Disember 1841 selepas menggunakan semua kaedah yang ada untuk mendapatkan hak mereka di Sarawak. Keberangkatan pulang mereka juga turut menandakan berakhirnya pembabitan Sambas di Sarawak selama 500 tahun atau lebih lagi walaupun cuba dikekang oleh Kesultanan Brunei. Walaupun Dinasti Brooke berjaya mengukuhkan kedudukan dan meluaskan pengaruh mereka sehingga membentuk negeri Sarawak yang kita kenali hari ini, Sambas masih berusaha menuntut hak mereka di negeri Bumi Kenyalang itu. Pada tahun 1862, seorang putera Sambas ditahan pihak berkuasa kerana cuba mengutip cukai di Sematan, wilayah Sarawak paling hampir dengan Sambas.

SUMBER

Walker, John Henry. (2017). International and Political Studies,University of New South Wales, Canberra, Australia. From Po-li to Rajah Brooke: Culture, Power and the Contest for Sarawak. http://www.borneo.unimas.my/images//jbk2016/jbk2.2/manuscript-no.1-revised.pdf

 

Previous articleAdakah Komik Dan Manga Hanya Untuk Kanak-Kanak?
Next articleTarian Sumazau: Lambang Falsafah Etnik Kadazandusun Di Masa Silam
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

1 COMMENT

  1. Sdr Admin yg dihormati, jika boleh diperbetulkan nama individu yg disebut sebagai Pengiran Muda Mahkota. Gelaran indivdu tersebut ialah Pengiran Indera Mahkota. Pengiran Indera Mahkota ialah Pengiran Muhammad Salleh yg kemudiannya dikurniakan gelaran Pengiran Shahbandar Salleh yg terkenal dgn Syair Rakis. Pengiran Raja Muda Hashim dikenali sebagai Pengiran Muda Hashim atau Raja Muda Hashim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here