Artikel ini adalah pengalaman Ahmad Faezal, yang merupakan pemilik Outlet Faizal di Stesen Bas Kulim.

Perniagaan adalah seni, bukan sekadar kerjaya. Tiada apa yang mudah. Setiap satu restoran dalam dunia ini mempunyai identiti. Ada yang tersendiri; ada tidak. Namun, setiap satunya memerlukan keuntungan agar usia yang dihitung secara “hari” boleh jadi “tahun”. Kebiasaannya langit cerah. Ada kalanya mendung. Sekali sekala hujan lebat. Tetapi apa yang membuatkan aku seringkali berjaga-jaga adalah, sifat manusia.

Dua perkara yang akan buatkan aku tadah tangan mohon keadilan. Perkara pertama mungkin remeh bagi pembaca. Tahu atau tidak, Stesen Bas Kulim dan Market Pekan adalah dua lokasi yang sentiasa dijadikan tempat pembuangan kucing. Berbagai-bagai jenis kucing dibuang, dari berbulu lebat hingga ke bercukur, dari gemuk ke kurus dan dari personaliti diva ke pelacur murahan. Kebanyakan mereka menemui nasib yang sama: mati di tempat pembuangan sama ada sakit, dilanggar atau diracun.

Perkara kedua adalah skop utama artikel ini, iaitu penyakit dalam roh. Betapa kejinya penyakit ini sampai daripada tubuh ke roh dicemarinya. Sesungguhnya hasad dengki, ujub dan megah diri tidak mempunyai tempat dalam Islam. Dan aku telah merasai kenapa statusnya sedemikian.

Amalan santau adalah perkara biasa dalam sifat dengki. Pada awalnya, aku memilih untuk tidak percaya kepada perkara ini. Jadi aku letakkan seratus peratus fokus kepada identiti perniagaan aku. Memandangkan aku tidak dapat buat renovasi sesuka hati, aku mula pandang kepada makanan aku. Dua bulan pertama, aku akan tanya pendapat ketika pelanggan bayar. Malang tidak berbau, ramai pelanggan India cakap besar sampai ada seorang dalam kalangan mereka suruh aku hentikannya sebab mereka sekadar bagi pendapat untuk tunjuk mereka hebat (megah diri), bukan untuk kebaikan bisnes.

Aku mula yakin akan kenikmatan makanan apabila pelanggan dari Mahang sanggup turun ke Pekan Kulim semata-mata untuk Nasi Daging kami. Bunyinya mungkin biasa. Tetapi mereka sanggup hubungi aku, minta untuk lanjutkan waktu operasi sebab mereka sedang pecut daripada Adtec Kulim. Lebih-lebih lagi apabila ramai pelanggan puji kelembutan capati yang kami buat.

Jadi aku mula paling kepada elemen kedua dalam objektif makanan: penyampaian. Reka bentuk adalah duta senyap kepada produk perniagaan. Aku mula membuat gambar-gambar promosi dengan warna yang turut main peranan. Akhirnya jadilah papan tanda, menu dan sepanduk-sepanduk lain dengan kombinasi warna yang telah jadi identiti perniagaan.

Tetapi ianya didapati tidak mencukupi, kerana dengki manusia adalah lebih mujarab daripada kesedapan dan penyampaian makanan. Apa gunanya makanan sedap atau basi, jika tiada pelanggan yang nampak kedai? Bayangkanlah – ada yang tidak nampak papan tanda yang saiz 40 kaki persegi. Sememangnya sihir adalah benar. Ada yang berjaya tempuhi tetapi bertanyakan soalan-soalan yang meruntun jiwa. Bayangkan sendiri, aku pernah menanti lima jam untuk dapat seringgit. Dalam minggu penuh penantian yang sama, setelah lama menunggu, masuk seorang yang cakap, “laa, ingat tutup dah”.

Benda yang sama dituturkan apabila aku baru susun meja. Terfikir pula, mereka sangka aku tutup waktu aku baru selesai susun meja! Tetapi tidak mengapalah – mungkin keliru sebab belum makan pagi, tetapi yang paling sakit hati adalah, selepas berbulan pasang papan tanda besar (paling besar di Stesen Bas Kulim), seorang hawa yang kerapkali datang tanya:

“Bila pasang signboard?”

Beza hari tersebut dengan kelmarinnya adalah pembersihan yang dibuat malam sebelumnya. Inilah realiti yang peniaga-peniaga bandaraya mungkin kurang faham, tetapi tidak mengapa – jika tiada pengalaman, buat sujud syukur.

Hari ini adalah genap hari ke-442 aku berniaga. Aku masih berkekalan, dengan pengelaman apabila sihir-menyihir tidak berkesan. Maka tindakan seterusnya oleh golongan yang berhasad dengki ini bersifat fizikal. Si bacul lama-kelamaan tampilkan kesan dengan cubaan laporan kepada badan berautoriti.

Alasan yang diberikan memang bodoh – “ikat banner halang perniagaan mereka”. Pada awal tahun 2017, aku tersadai di Hospital Kulim atas pereputan appendiks. Pulang saja, aku diberitahu bahawa pihak berautoriti memanggil untuk bertemu agar masalah ini dapat diselesaikan. Rupanya mereka cuba buat laporan agar bisnes aku digagalkan.

Tetapi akibat tiada bukti, nafsu mereka tidak dipenuhi. Maka mereka buruk-burukkan nama aku pula. Umpat-mengumpat dan fitnah menjadi penyebab perniagaan aku sebenarnya berkembang dengan pesat. Setiap kali kedai penuh, muka pendengki tersebut akan hitam legam sambil mulutnya kumat-kamit.

Setelah penjajaan nama gagal, satu lagi langkah diambil, iaitu merosakkan harta benda. Aku telah lama tahu perkara ini akan berlaku. Mujurlah dinding aku batu dan pintu aku besi. Apa yang mereka mampu buat adalah, toreh shader yang dijadikan peneduh bukan saja pelanggan tetapi hamba-hamba Allah yang menunggu bas ketika panas dan hujan. Sebanyak enam torehan dibuat. Tetapi biarlah – benda bukan mahal. Sekadar seratus dua sahaja, asalkan pelakunya tempah tiket ke neraka.

Itu sajalah cara aku cuba tenangkan diri. Tetapi apakan daya, aku berniaga di kawasan yang mana poligami berlaku secara rahsia [1], skandal tersebar seperti biasa dan maksiat terus berleluasa. Apa yang aku sekarang tahu adalah, andai kata anda yang membaca mempunyai minat berniaga di medan selera ataupun mana-mana tempat awam, nasihat saya – makhluk yang paling banyak mengata itulah ular laknatullah yang akan mematuk anda. Falsafah aku senang: “jika hari ini lidah tersebut berkata kepada dia, lama mana sebelum ia berkata tentang buruk aku.”

Ketahuilah – sihir itu benar. Dengki itu wujud. Tetapi ada satu lagi perkara yang wujud, iaitu pemukulan rata bahawa Melayu dan dengki tidak dapat dipisahkan. Memang benar bahawa semua yang menganiayai aku adalah Melayu. Setiap nama yang disebut dalam solat hajat mak aku pun berbin dan binti, nauzubillah.

Seketika itu, Uncle Chong dan Uncle Shaan tetap jadi sahabat niaga yang boleh diharap. Ketika aku mempunyai masalah elektrik, yang pertama untuk hulurkan bantuan adalah Uncle Shaan. Dari aku bertatih, Uncle Chong sentiasa beli daripada aku.

Namun perlu aku jelaskan bahawa Melayu adalah bangsa terbaik dalam sejarah jualbeli kami. Berdirinya aku sebagai peniaga adalah kerana Melayu. Yang kaya dan miskin, tidak kisah apa status ataupun angka di akaun bank – merekalah bersama aku dalam penyampaian berita sampai 1 Syawal pun aku ada tempahan. Terlalu banyak aku telah amati. Melayu paling tidak lokek keluarkan duit untuk bayar meja sebelah. Seorang nenek yang sentiasa cari kami kerapkali dibelanja pelanggan lain kerana “saya takdak mak dah”. Bukan sekali.

Malah berkali-kali drama terharu berpentas di kedai aku, apabila orang yang dibelanja baru tahu bahawa makanannya telah dibayar oleh pelanggan yang tidak dikenali pun. Maka, bagi aku, tidak adil untuk katakan dengki dan Melayu tiada pemisah. Ini kerana, Melayu adalah sungai utama yang mengalir masuk ke minuman aku.

Pembaca dialu-alukan ke kedai saya, jika berkelapangan di Kulim. Tiada masalah untuk buat sesi sua kenal. Perniagaan saya bermula dari 8 pagi sampai 6 petang, dan bercuti pada hari Isnin (dan hari tempahan). Untuk tempahan, anda boleh hubungi 019-477 2245 dan kami boleh hantar ikut kemampuan.

[1] Poligami tidak sama sekali haram. Maksud aku dalam senarai tersebut adalah, penipuan. Suami kian menipu apabila isteri pertama bertanya. Tidak perlulah keluarkan dalil tentang hak suami untuk berpoligami. Itu aku tahu. Dan aku juga tahu bahawa Nabi Muhammad SAW menjanjikan rumah di syurga bagi orang yang mengelakkan berdusta walaupun bergurau.

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply