Bila kita menyebut nama Albert Speer, timbul pelbagai label berkenaan beliau. Antara label yang diketahui umum ialah sahabat karib Adolf Hitler, mitos ‘The Good Nazi’ dan memoir beliau berkenaan pemerintahan Reich Ketiga, Inside The Third Reich. Siapa sangka, arkitek ini yang menafikan sebarang pengetahuan tentang Holocaust dan jenayah perang yang dilakukan Nazi Jerman dalam Tribunal Perang Nuremberg sebenarnya bersubahat dengan kepimpinan tertinggi Jerman lain.

LATAR BELAKANG

Lahir pada tahun 1905 dan merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik, pada masa kecilnya, beliau aktif bersukan dengan mengambil bahagian dalam acara meluncur ski, mendaki gunung dan ragbi. Pada masa sama, Speer turut menunjukkan minat dalam matematik dan mahu menjadi ahli matematik bila sudah dewasa. Namun bapanya menasihatkan beliau melupakan cita-cita tersebut kerana bimbang akan masa depannya. Akhirnya, Speer mengikut jejak langkah bapa dan datuknya menjadi arkitek.

Pada usia 28 tahun, Speer bertemu dengan Hitler buat pertama kalinya. Ketika itu, mereka bertemu di salah satu perhimpunan awal Nazi. Dan kedua-duanya menyifatkan ia satu pertemuan yang mempertemukan wawasan dan visi mereka berkenaan pembinaan semula Berlin. Pada tahun 1931, beliau menyertai parti Nazi dan di sinilah, bintangnya mula bersinar. Selepas meninggalkan jawatan sebagai pembantu bekas pensyarahnya, Heinrich Tessenow dan bekerja dengan syarikat keluarganya, Speer diberi tugas menguruskan proses pengubahsuaian markas parti di Berlin pada tahun 1932.

Setahun selepas itu, beliau diminta memberi rekaan tentang perhimpunan Nuremberg untuk dipertimbangkan oleh parti dan ia mendapat kelulusan selepas pertemuan pertama mereka berdua itu. Speer kemudian ditugaskan menguruskan soal artistik dan teknikal perhimpunan parti serta bertanggungjawab membantu proses pengubahsuaian bangunan Kanselor. Dari situ, Hitler melantiknya sebagai arkitek parti selepas kematian penjawat jawatan sebelum ini, Paul Troost dan ia secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada orang-orang kepercayaan Hitler.

Speer bertanggungjawab dalam banyak acara yang dianjurkan kerajaan pada tahun 30-an seperti perhimpunan Nuremberg yang menjadi sebahagian filem propaganda Leni Riefenstahl, Triumph of the Will, rekaan Stadium Olimpik untuk Sukan Olimpik 1936 dan Pavilion Jerman untuk satu pameran antarabangsa di Paris pada tahun 1937. Hitler juga turut menugaskan beliau untuk mereka bangunan-bangunan baru untuk ibu negara baru Jerman, Germania. Hitler amat obses dengan seni bina penuh hiasan dari Vienna abad ke-19, gaya moden kapal persiaran mewah Hollywood ketika itu dan kalau boleh nakkan semua rekaannya itu bersaiz besar. Antara rekaan berskala besar yang dicadangkan untuk Germania ialah pembinaan sebuah gerbang menyerupai Arc de Triomphe tetapi lebih besar daripada gerbang tersebut dan sebuah dewan perhimpunan besar yang mempunyai ketinggian 120 meter dan memuatkan 180,000 orang. Ia nampak hebat atas kertas tetapi realitinya, ia satu kerja gila berdasarkan pengakuan bapa Speer, Albert Friedrich selepas melihat model Germania.

PERANAN SEMASA PERANG

Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, semua rancangan untuk membina monumen hebat untuk Germania ditangguhkan dan semua usaha difokuskan kepada usaha perang. Antara langkah Speer pada waktu itu ialah pengenalan pasukan pembersih pantas untuk membina jalan, membersihkan serpihan bangunan dan tapak pengeboman. Dan bila perang memihak kepada Jerman pada awalnya, beliau meneruskan rancangan asal untuk Berlin dan Nuremberg serta membina markas baru bagi Wehrmacht dan Luftwaffe. Walaupun Hitler memberi jaminan rancangan asal Germania boleh diteruskan selepas perang berakhir, Speer meragui kenyataannya dan mengakui rancangan tersebut tidak akan dapat direalisasikan.

Pada tahun 1942, Speer dilantik sebagai Menteri Persenjataan menggantikan Fritz Todt yang mati dalam kemalangan kapal terbang selepas berlepas dari markas Hitler di Rastenburg. Selepas dilantik, beliau meninjau keadaan kilang persenjataan di Berlin dan mendapati ianya berada dalam keadaan menyedihkan. Lalu Speer memfokuskan ekonomi perang kepada dirinya dengan beberapa langkah iaitu melantik ketua jabatan dari kalangan pakar di mana mereka berusia kurang dari 55 tahun dan timbalan berusia kurang dari 40 tahun. Alasan beliau di sebalik langkah ini ialah mengelakkan wujudnya sikap angkuh dalam kalangan ketua jabatan demi meningkatkan statistik pengeluaran. Hasilnya, mereka berjaya menggandakan bilangan pengeluaran kereta kebal dan kapal terbang serta mengurangkan masa diperlukan untuk membina kapal selam antara tahun 1943 hingga separuh kedua tahun 1944.

Namun, ini bukan bermakna Speer mendapat apa yang dimahukan hanya kerana hubungan rapatnya dengan Hitler. Apabila Speer mengarahkan semua projek era aman dihentikan, ketua-ketua parti peringkat daerah meminta izin dari Fuhrer untuk meneruskan projek mereka. Begitu juga perlantikan ketua unit pengurusan buruh paksa dan buruh Jerman, Hitler melantik Fritz Sauckel atas nasihat setiausaha peribadinya, Martin Bormann berbanding Karl Hanke yang dipilih Speer. Dan apabila beliau mahu menambahbaik tenaga buruh dengan meningkatkan bilangan pekerja wanita, Sauckel bertindak membawa lebih banyak buruh paksa dari negara-negara yang dijajah sebagai tenaga kerja kilang persenjataan Speer dengan taktik-taktik kejam. Speer tidak mengendahkan keadaan buruh-buruh paksa ini kerana melihat mereka sebagai tiada nilai. Contoh, apabila mengulas 10,000 orang Yahudi yang dipaksa bekerja di kuari untuk mengisi keperluan pembinaan kilangnya, Speer berkata, “Mereka biasa mengerjakan batu-bata semasa menjadi hamba di Mesir.” Dan apabila Speer cuba memperkenalkan rekaan atau teknologi terbaru, campur tangan Hitler merupakan perkara biasa.

Apabila perang tidak lagi memihak kepada Hitler, ahli-ahli konspirasi 20 Julai melihat Speer antara tokoh yang patut dipujuk menyertai mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan baru yang akan berunding dengan tentera Bersekutu. Namun namanya diletakkan tanda soal dan label ‘perlu dipujuk’ menyelamatkannya daripada menjadi mangsa amukan Hitler pasca-20 Julai. Bila Tentera Merah (Red Army) semakin menghampiri kedudukan Jerman, Hitler mengeluarkan Arahan Nero atau polisi bumi hangus sekaligus mencetuskan kemarahan Speer. Beliau segera bersemuka dengan Hitler dan memberitahu Jerman sudah kalah. Berang dengan kenyataan Speer, Hitler mengarahkan beliau mempertimbangkan semula kenyataannya dalam tempoh 24 jam. Sehari selepas itu, Speer menyokong Hitler sepenuhnya tetapi mahukan kuasa eksekutif berkenaan Arahan Nero, satu permintaan yang ditunaikan Hitler. Secara rahsia, beliau mengarahkan jeneral-jeneral dan ketua-ketua parti peringkat daerah untuk tidak melaksanakan arahan gila tersebut atas alasan Jerman pasca-WWII pasti memerlukan industri-industri dan tenaga-tenaga pakar untuk bangkit semula.

Contoh Arahan Nero yang dikeluarkan Hitler dan ditentang secara rahsia oleh Speer.

Beberapa hari sebelum Hitler dikatakan membunuh diri, Speer melawatnya di bunker dan kedua-duanya berbual panjang. Antara topik perbualan mereka ialah keinginan Hitler membunuh diri dan mahukan mayatnya dibakar untuk mengelak nasib seperti bekas sekutunya, bekas diktator Itali, Benito Mussolini. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Fuhrernya, Speer berangkat ke Hamburg dan terus kekal di situ sehinggalah berita Hitler membunuh diri tersebar. Selepas Karl Donitz mengambil alih sebagai Kanselor dan Fuhrer untuk Jerman, beliau menawarkan diri berkhidmat dalam kerajaan pimpinan Donitz. Namun kerajaan Donitz tidak bertahan lama selepas Jerman menyerah kalah dan semua anggotanya ditahan pihak berkuasa termasuk Speer.

NUREMBERG & SPANDAU

Speer dalam sel tahanan Nuremberg semasa dibicarakan.

Speer dibicarakan di Nuremberg dan menghadapi tuduhan jenayah perang, jenayah kemanusiaan, jenayah terhadap keamanan dan bersekongkol melancarkan perang keganasan. Semasa dibicarakan, tidak seperti rakan-rakannya yang lain, beliau bersikap jujur dan bertanggungjawab atas segala tindakan rejim. Speer didapati bersalah atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan namun terlepas untuk baki pertuduhan. Dakwaan yang menyatakan beliau tidak tahu-menahu rancangan penghapusan Nazi menyelamatkannya dari dihukum gantung sampai mati, satu dakwaan yang kemudian didapati palsu. Speer dipenjarakan selama 20 tahun di Penjara Spandau.

Semasa di Spandau, Speer dianggap orang asing dalam kalangan banduan lain kerana bertanggungjawab atas tindakan rejim dalam tribunal Nuremberg. Namun, itu tidak menghalang beliau berkoresponden dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya secara rahsia berikutan larangan penghasilan memoir oleh pihak Bersekutu, di mana 20,000 suratnya itu menjadi asas kepada memoir pertamanya, Spandau: The Secret Diaries yang dihasilkan melalui bantuan rakan lamanya, Rudolf Wolters. Selepas projek tersebut siap, Speer turut mengembara ke seluruh dunia dengan mengira dengan teliti jarak perjalanan dari Berlin hingga ke Guadalajara, Mexico. Dan sekiranya merasa tidak idea, beliau mendapat kebenaran dari pihak penjara untuk membina sebuah taman indah di mana komander penjara Amerika memanggilnya Garden of Eden buatan Speer. Pada tengah malam 1 Oktober 1966, Speer dilepaskan dari Spandau.

Selepas dibebaskan dari penjara, Speer memberitahu akhbar Jerman, Der Spiegel dan sekali lagi mengulangi kenyataannya di Nuremberg iaitu bertanggungjawab atas jenayah perang rejim Nazi Jerman. Beliau merancang untuk kembali semula berkhidmat sebagai arkitek tetapi membatalkan hasrat tersebut selepas mendapat tahu rakan kongsinya mati semasa beliau dipenjarakan di Spandau. Speer turut membayar harga mahal akibat penglibatannya dengan rejim apabila tidak dapat berhubung rapat dengan anak-anaknya termasuk Albert Speer Jr yang meneruskan legasi keluarga sebagai arkitek.

Pada ketika itulah, beliau menyemak semula draf lama memoirnya dan membuat kajian mendalam sebelum menerbitkan buku ketiga berkenaan Schutzstaffen (SS) dan ketua mereka, Heinrich Himmler selain Spandau: The Secret Diaries dan Inside The Third Reich. Apabila buku Inside The Third Reich diterbitkan, ramai rakan lamanya berang apabila Speer melabel Hitler sebagai penjenayah dan mendesaknya menggugurkan label tersebut. Namun, label tersebut terus kekal dalam memoirnya itu dan berikutan itu, ramai mula menjauhkan diri termasuk Wolters. Selepas buku-bukunya laris di pasaran, 80% daripada royalti buku didermakan kepada badan-badan kebajikan Yahudi. Kebanyakan derma tersebut dibuat secara rahsia atas alasan Speer bimbang mereka menolaknya dan bimbang dilabel sebagai hipokrit. Speer turut menjadikan dirinya sentiasa ada sebagai rujukan kepada cendekiawan dan sejarawan pada tahun 70-an dan 80-an. Apabila beliau berada di London untuk sesi temubual bersama stesen televisyen Britsh Broadcasting Council (BBC), Speer diserang strok dan meninggal dunia pada 1 September 1981.

MITOS ‘THE GOOD NAZI’

Legasi Speer ialah pengenalan terma ‘The Good Nazi’ berdasarkan dakwaannya tidak mengetahui sama sekali tentang peristiwa Holocaust. Bagi generasi Jerman terkemudian yang masih dibelenggu rasa bersalah pasca-WWII, mereka berhujah jika orang kepercayaan Hitler sendiri tidak tahu, masakan orang biasa seperti mereka juga tahu tentang peristiwa itu. Namun alasan-alasan ini disangkal sejarawan-sejarawan terkemudian yang menyifatkan Speer sebenarnya seorang penyokong tegar Nazi dan bersetuju dengan rancangan penghapusan orang Yahudi. Buktinya ialah koresponden surat antara beliau dengan Helene Jeanty, seorang balu kepada pejuang partisan Belgium pada tahun 1971. Dalam surat tersebut, Speer mengakui beliau ada semasa Himmler mengumumkan rancangan penghapusan orang Yahudi pada Persidangan Posen. Apabila kawasan perumahan orang Yahudi dirampas, Speer menghalau keluar 75,000 penduduk dan menghantar mereka ke kem-kem tahanan. Di Ukraine, 30,000 buruh paksa dipaksa bekerja membina lebuh raya yang dipanggil Jalan SS. Di Auschwitz, Speer memantau perluasan kem tahanan Auschwitz pada tahun 1942 termasuk 300 pondok, tempat pembakar dan rumah mayat.

SUMBER

  1. New York Times. (1981). ALBERT SPEER DIES AT 76; CLOSE ASSOCIATE OF HITLER. http://www.nytimes.com/1981/09/02/obituaries/albert-speer-dies-at-76-close-associate-of-hitler.html?pagewanted=all
  2. Connolly, Kate. (2005). The Telegraph. Wartime reports debunk Speer as the Good Nazi. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/germany/1489793/Wartime-reports-debunk-Speer-as-the-Good-Nazi.html
  3. Connolly, Kate. (2007). The Guardian. Letter proves Speer knew of Holocaust plan. https://www.theguardian.com/world/2007/mar/13/secondworldwar.kateconnolly
  4. King, Gilbert. (2013). Smithsonian.org. The Candor and Lies of Nazi Officer Albert Speer. https://www.smithsonianmag.com/history/the-candor-and-lies-of-nazi-officer-albert-speer-324737/
  5. Townsend, Dan. (2015). Daily Express. ‘Good Nazi’ myth: Hitler’s architect convinced millions he was innocent of the Holocaust. https://www.express.co.uk/news/history/620085/nazi-myth-Hitler-architect-Albert-Spee-innocent-Holocaust
  6. Harding, John. (2017). Daily Mail. Hitler’s only friend: Nazi architect Albert Speer saved himself from hanging by claiming ignorance of the Holocaust – then made a fortune from his memoirs in prison. http://www.dailymail.co.uk/home/books/article-4275944/Hitler-Nazi-architect-Albert-Speer-Holocaust.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply