MUNGKIN untuk masyarakat Banjar yang ada di negara Malaysia sekarang samada di Sarawak, Sabah mahupun Semenanjung Malaysia sudah tidak begitu mengikut adat istiadat asal perkahwinan orang banjar tradisional. Ini kerana sesuai dengan waktu, kebanyakan daripada orang Banjar di Malaysia telah mengasimilasikan adat dan budaya kaum Melayu kerana mereka adalah sebahagian pembentukannya.

Itu ceritanya untuk masyarakat Banjar di Malaysia tetapi jika kita berkunjung ke bumi Kalimantan, boleh dikatakan adat istiadat perkahwinan suku Banjar masih lagi menjunjung adat istiadat tradisional mereka. Namun walaupun sedemikian sesuai dengan kebanyakan daripada mereka sudah memeluk Islam maka ada sesetengah adat itu masih lagi bertiangkan lunas-lunas agama Islam.

Berbicara tentang adat istiadat perkahwinan suku Banjar di Kalimantan, jika di bumi Indonesia adalah antara adat perkahwinan yang paling mahal belanja perkahwinannya di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara tersebut. Dan turut dinyatakan bahawa adat perkahwinan suku banjar adalah antara adat yang paling tertib dan wajib diikuti oleh setiap anak Banjar walau semoden manapun mereka sekarang.

1. Adat Basasuluh

Setiap adat perkahwinan mestilah ada permulaannya dan di dalam masyarakat Banjar ianya harus dimulai dengan “adat basasuluh” atau membuat penyelidikan. Ini kerana di dalam sosio budaya suku Banjar masih berpegang teguh pada pepatah lama iaitu “perigi tidak akan mencari timba” apabila berbicara soal jodoh. Walau sudah suka sama suka dan asyik masyuk di dalam dunia percintaan, setiap hal harus dimulai dengan pihak lelaki.

Jadi bila sudah seia sekata makanya pihak keluarga lelaki akan meminta pihak-pihak yang tertentu untuk menyelidiki asal keturunan keluarga si wanita. Adalah menjadi tanggungjawab orang tengah untuk membuat segala penyelidikan dan langsung memberikan laporan kepada keluarga lelaki mengenai wanita tersebut. Sekiranya tiada alasan untuk menidakkan kasih yang bertaut antara dua hati, maka pihak keluarga lelaki akan mula mengorak langkah untuk adat yang kedua iaitu “Adat Badatang”.

2. Adat Badatang

Di dalam adat badatang atau meminang ini, kebiasaannya keluarga pihak lelaki akan menghantar orang tua-tua yang dihormati di kalangan ahli keluarga mereka untuk bertandang ke rumah si wanita. Proses lamaran ini dikatakan akan diiringi dengan pantun-pantun berkias bagi menyatakan niat kedatangan mereka.
Sekiranya lamaran itu diterima dengan baik maka pihak keluarga wanita akan memohon sedikit waktu (kebiasaannya selang 2 ke 3 hari) untuk mereka memberikan jawapan yang muktamad dan melangkah ke adat seterusnya iaitu “Adat Bapapyuan”.

3. Adat Bapapyuan

Pada hari yang dijanjikan makanya pihak keluarga lelaki akan sekali lagi bertandang ke rumah keluarga wanita. Walaupun hakikatnya di dalam adat badatang, lamaran lelaki itu diterima dengan baik bukanlah bermakna lamaran itu dipersetujui lagi. Pada kedatangan kali kedua inilah penentu kepada segalanya.
Sekiranya ditolak maka hanya setakat inilah sahaja proses untuk menuju ke gerbang perkahwinan tersebut. Dan sekiranya diterima maka kedatangan kali kedua ini akan terus menjadi pemberitahuan jumlah hantaran dan mahar yang diminta oleh pihak wanita. Kebiasaannya untuk suku banjar, jujuran itu adalah berbentuk wang tunai dan beberapa perkakas untuk mengerjakan solat. Manakala mahar pula adalah berbentuk emas seperti sebentuk cincin emas atau seutas rantai emas.

4. Adat Maatar Jujuran

Jika dikalangan masyarakat Melayu mempunyai adat bertunang, untuk suku banjar pula mempunyai adat maatar jujuran iaitu pada hari inilah keluarga pihak lelaki akan menghantar hantaran untuk menikahi pasangan wanitanya. Dan sekaligus apabila segala wang hantaran dan beberapa perkakas untuk mengerjakan solat itu diterima oleh pihak wanita makanya ianya juga bermaksud mereka sudah bertunang secara sah.
Diperkira di dalam suku banjar tempohmasa untuk bertunang itu tidaklah lama iaitu selang satu atau dua bulan selepas adat maatar jujuran diadakan maka majlis akad nikah akan mengikutinya.

5. Akad nikah

Sesuai dengan adat kebudayaan masyarakat Banjar yang banyak menyerap nilai-nilai agama Islam, akad nikah biasanya disepakati dengan perhitungan hari dan bulan Islam. Majlis akad nikah kebiasaannya berlangsung di masjid atau di rumah pengantin wanita.

Selepas usai majlis akad nikah bukanlah bermakna si pengantin lelaki akan terus tinggal di rumah isterinya sebaliknya harus kembali ke rumah keluarganya dahulu secara solo tanpa isterinya. Ini kerana mereka harus menjalani beberapa lagi adat yang harus diikuti sebelum upacara bersanding dilakukan. Jadi adalah tidak wajar untuk pengantin lelaki dan perempuan disatukan dahulu walaupun sudah sah menjadi suami isteri.

6. Adat Bapingit

Selang beberapai hari sebelum majlis persandingan, pasangan pengantin akan melalui “adat bapingit”. Maksudnya pasangan pengantin akan dilarang keluar dari rumah keluarga mereka. Ini dilakukan bagi mengelak hal-hal tidak elok yang berlaku sekiranya mereka keluar rumah seperti kata bidalan lama, masih berdarah manis lagi.

Di dalam jangkawaktu satu atau dua hari berpantang keluar rumah ini, pasangan pengantin akan dijagai oleh mak andam pilihan di rumah masing-masing yang mana mereka akan melalui sessi merawat tubuh secara tradisional seperti “bakasai” atau “berkasir”. Di dalam sessi bakasai ini pasangan pengantin akan dilumurkan dengan ramuan tradisional yang ditumbuk halus pada anggota badannya. Adalah dipercayai sessi ini bakasai ini akan menyerlahkan lagi keceriaan pasangan pengantin sewaktu bersanding kelak.

Usai sessi bakasai akan diteruskan dengan sessi batimung. Pada sessi ini mereka akan dimandikan dengan ramuan tradisional yang telahpun direndamkan di dalam air mandian mereka. Adalah dipercayai setelah menjalaninya akan hilanglah bau yang tidak elok dari badan dan muncullah bau tubuh sebenar pengantin tersebut.

Dan pada akhirnya akan diadakan adat bapacar. Ianya hampir serupa dengan adat perkahwinan kaum Melayu dan diadakan di rumah keluarga masing-masing. Pada ketika ini pengantin perempuan akan dipacar pada setiap kuku jari tangannya manakala pengantin lelaki pula tidak kesemuanya. Ciri-ciri berpacar ini adalah sama seperti adat perkahwinan kaum Melayu.

7. Adat Badudus

Adat Badudus ini turut dikenali sebagai mandi pengantin. Kebiasaannya diadakan menjelang sehari sebelum majlis persandingan. Ianya dilakukan di rumah pengantin wanita sahaja jadi bermakna si suami akan pulang sebentar ke rumah isterinya untuk menyempurnakan adat ini. Sekaligus ini juga bermakna tamatlah sudah berpantang pada pengantin untuk keluar rumah.

Sebelum adat badudus dilakukan, mak andam akan menjalankan acara balarap ke atas pengantin perempuan. Acara balarap ini adalah membersihkan wajah dari bulu-bulu halus di muka yang harus dilakukan dengan penuh tertib. Menurut adat suku banjar hanya sekali sahaja acara ini boleh dilakukan di dalam hidup seorang wanita iaitu semasa kali pertama ianya melangsungkan perkahwinan. Sekiranya yang dikahwini adalah janda maka acara balarap tidak akan dilakukan lagi. Usai itu semua barulah adat badudus akan dilakukan iaitu menjelang petang yang mana mempunyai simbolik seolah-olah pasangan penganti sedang menjalani peralihan masa dari alam remaja ke dewasa. Mereka akan dimandikan oleh mak andam bersaksikan kedua ibubapa dan sanak saudara yang terdekat dengan menggunakan air yang sudah direndamkan dengan beberapa jenis bunga.

Kemudian sebelum keluarga pengantin lelaki pulang ke rumah mereka maka akan diadakan satu acara menaik kelambu pengantin. Perlulah diketahui bahawa bilik pengantin tidak akan boleh didekorasi sebelum acara ini dilakukan. Kain kelambu pengantin akan dinaikkan oleh wakil keluarga masing-masing iaitu kebiasaannya diwakili oleh keluarga lelaki kedua-dua pasangan pengantin. Dinyatakan juga selesai dekorasi bilik pengantin tiada sesiapapun dibenarkan tidur di bilik tersebut selain pasangan pengantin itu selepas adat bersanding selesai.

8. Adat Bersanding

Hari bersanding merupakan satu hari yang amat istimewa bagi seluruh keluarga yang meraikannya. Pada hari inilah kegembiraan kedua mempelai pengantin akan disambut oleh keluarga, rakan dan taulan. Dan di dalam adat suku banjar di ketika hari persandingan ini juga mempunyai beberapa adat yang harus dijalani.

Pertamanya adalah adat mearak pengantin atau mengarak pengantin. Mengarak pengantin ini akan dimulai dari rumah pengantin lelaki lagi. Jika perjalanan dari rumah pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan dekat maka pengantin lelaki akan berjalan kaki sambil diiringi dengan rombongannya. Pada masa itu pengantin lelaki akan dipayungi dengan payung ubur-ubur sambil setiap langkah mereka diiringi dengan paluan hadrah atau tarian kuda kepang. Dan sekiranya perjalanan rumah pengantin perempuan pula jauh, maka pengantin lelaki akan menaiki kenderaan yang disediakan. Pada kenderaan itu akan dihiasi dengan hiasan berupa kepada naga yang dikenali sebagai “Ba’arak Naga”.

Setelah sampai pada satu lokasi yang tidak jauh daripada rumah persandingan, pengantin perempuan akan sedia menunggu. Pada masa itulah pasangan mempelai pengantin akan sama-sama menjalani adat bausung. Diperkira adat bausung ini suatu waktu dahulu hanya dilakuan oleh keluarga banjar kelas atas atau kaya raya. Namun sejajar dengan waktu kerana keunikannya maka ianya telah diperluaskan untuk seluruh orang banjar.

Pada adat bausung ini, kedua-dua pengantin akan digendong atau diusung oleh dua orang lelaki gagah di kalangan suku banjar. Kedua-duanya diusung dengan diiringi masuk ke dewan persandingan dengan rombongan hadrah atau penari kuda kepang sehinggalah ke pelaminan dengan disaksikan oleh keluarga dan para jemputan.

Usai segala adat istiadat persandingan seperti bacaan salawat serta doa untuk pengantin maka diakhir acara makan nasi hadap-hadap dan padapatan. Antara ciri-ciri makan nasi hadap-hadap ini adalah kedua-dua mempelai pengantin akan berebut-rebut untuk menyuapi pasangan masing-masing. Ianya hampir sama dengan majlis makan nasi tamuan yang dipraktikkan oleh kaum Melayu Sarawak sehingga sekarang.

Inilah antara adat istiadat perkahwinan bagi masyarakat banjar di Kalimantan yang masih lagi dipraktikkan sehingga ke hari ini. Yang menariknya ada sesetengah adat ini hampir sama seperti adat perkahwinan yang masih dijunjung oleh masyarakat Melayu Sarawak sehingga ke hari ini. Kalau sudah namanya sepulau sudah tentu ada sesetengah adat istiadat masyarakat bersangkutan antara satu sama lain.

Menanam kelapa di Pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitabullah

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Tahapan Upacara Perkahwinan Banjar
http://www.kabarkalsel.info/2014/02/tahapan-upacara-perkawinan-adat-banjar.html

2. Budaya Dan Adat Istiadat Suku Banjar
http://dianmrz.blogspot.my/2014/03/budaya-dan-adat-istiadat-suku-banjar.html

3. Orang Banjar Asalnya Dari Borneo – Borneo Oracle

4. Adat Istiadat Perkahwinan Melayu Sarawak – Borneo Oracle


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply