Abdul Rahman I: Sang Helang Quraisy Penyambung Legasi Umaiyyah

0
1385
views

Sebaik sahaja dinasti Umaiyyah digulingkan oleh para revolusioner dari Abbasiyah, betapa nasib para kerabat, bangsawan dan keturunan dihabiskan nyawanya oleh para revolusioner dan juga khalifah pertama Abbasiyah itu sendiri iaitu Abu Al-Abbas As-Saffah yang dimana namanya iaitu As-Saffah itu sendiri bermaksud “penumpah darah”. Tiada seorang pun yang bernama keturunan Umaiyyah yang selamat, hatta khalifah yang sudah pun pergi meninggalkan dunia yang fana. Habis seluruh makam mereka mereka digali, dan kalau ada peninggalan, habis dibakar kecuali Khalifah Umar Abdul Aziz yang dijaga dengan selamat.

Namun, disebalik tragedi berdarah itu, yang terselamat dari bala ini adalah Abdul Rahman I (lahir pada 731 Masihi), cucu kepada Khalifah Hisham yang ketika itu berusia 20-an. Putera raja ini mendapat gelaran al-Dakhil (Sang Pendatang) dan juga Helang Bangsa Quraisy. Ketika 80 orang keturunan Umaiyyah dihabiskan nyawa mereka dalam malam yang penuh sadis, ditipu untuk makan malam dan ditawarkan pengampunan, sebelum dibunuh dengan kejam, Abdul Rahman terkecuali. Beliau lari bersama dengan seorang bekas hamba bernama Badr dan adik lelakinya yang bernama Yahya.

Dalam perjalanan melarikan diri menyusuri Sungai Euphrates dari Damsyik, mereka bertiga bertembung dengan tentera Abbasiyah yang diupah untuk membunuh setiap keturunan Umaiyyah. Mereka bertiga sempat terjun ke dalam sungai, namun adiknya Abdul Rahman iaitu Yahya yang berusia 13 tahun itu sendiri, berpatah balik apabila mendengar tawaran bahawa Abbasiyah tidak akan mengapa-apakan mereka. Namun sayang, tawaran itu ialah janji palsu, sebaik sahaja Yahya naik ke daratan, kepalanya terus ditebas meninggalkan Abdul Rahman melarikan diri bersama Badr.

Sasaran anak muda ketika itu ialah tanah ibunya yang merupakan keturunan Berber, dan merancang untuk membina kembali hidupnya di situ. Betapa selepas itu, perjalanan Abdul Rahman I yang ketika itu sudah tidak mempunyai apa-apa selepas semuanya hilang pada revolusi yang menggulingkan Umaiyyah. Dari Syiria yang merupakan pusat pemerintahan Umaiyyah, dia mengembara melalui padang rumput dan juga gurun yang membakar dalam keadaan buangan, melalui kawasan-kawasan maut di Afrika Utara dan juga mengelakkan setiap misi pencarian yang dikerahkan oleh Abbasiyah untuk mencari dirinya.

Ketika akhirnya dia sampai di tempat asal puak berber ibunya di wilayah paling barat Utara Afrika, dari situ Abdul Rahman I diterima oleh penduduk setempat, dan dijadikan sebagai markas untuk Abdul Rahman I memulakan kempen politik dan mendapatkan sokongan rakyat di Andalusia, Sepanyol. Badr, bekas hamba dari Yunani ini dihantar ke Andulusia, Sepanyol untuk berjumpa dengan sisa-sisa keturunan Umaiyyah yang menetap di Andalusia sejak penaklukan Tariq ke atas Sepanyol. Badr berjaya memenangi hati beberapa orang bangsawan di Andalusia termasuklah seorang lelaki bernama al-Sumayl.

Lagipun datuk kepada Abdul Rahman I pernah menempatkan lebih kurang 30, 000 orang dan 10, 000 orang dari Bani Umaiyyah itu sendiri ke Andalusia. Jadi, apabila Abdul Rahman I sampai di sana, tidak hairanlah betapa beliau mendapat sokongan kebanyakan penduduk Andalusia itu sendiri. Populariti Abdul Rahman I di Umaiyyah melonjak, sehinggakan membuatkan al-Sumayl yang awalnya antara orang yang berbaiah kepada Abdul Rahman I menjadi cemburu. Al-Sumayl bersama dengan seorang bangsawan lagi yang bernama Yusuf al-Fihri yang awalnya merupakan musuh utama al-Sumayl di Andalusia memberontak melawan Abdul Rahman I, sebelum mereka berdua dikalahkan dan akhirnya dikalahkan.

Pada tahun 756 Masihi, selepas mendapatkan sokongan yang diperlukan, Abdul Rahman I mengisytiharkan Andalusia merdeka dari taklukan empayar Abbasiyah, namun masih tidak memanggil dirinya sebagai khalifah, sebaliknya sekadar mengambil gelaran Emir Andalusia. Misi pertama Abdul Rahman I adalah mematahkan serangan orang Kristian dari utara Andalusia. Selepas berjaya, pemerintahan pertama Abdul Rahman I di Andalusia adalah agak keras demi mematahkan sebarang mungkin peluang untuk dia digulingkan oleh para bangsawan yang mempunyai puak mereka masing-masing di Andalusia.

Waqaf Saham

Namun, musuh paling utama ialah Abbasiyah dari Timur yang sememangnya memerhatikan Abdul Rahman I sejak dahulu. Salah seorang daripada gabenor Abbasiyah iaitu Al-Ala’ ibn Mughíth bersama dengan ketumbukan tentera yang dianggarkan berjumlah 7, 000 orang telah mengepung kota Carmona yang terletak di Seville. Kepungan berlangsung selama 2 bulan, dan pada saat bekalan makanan semakin berkurangan, dan juga betapa semangat tentera yang bersama dengan Abdul Rahman I sudahpun berkurangan, maka Abdul Rahman I memilih 700 orang tentera terbaiknya lalu keluar menyerbu dan kemunculan mereka tidak disedari. Abdul Rahman I menggunakan api untuk menguca-ngacirkan ketumbukan Abbasiyah, dan api tersebut juga dimarakkan dengan dijadikan kesemua sarung pedang mereka sebagai sumber api.

Akhirnya, betapa selepas itu, tentera Abbasiyah berjaya dikalahkan dan kepala para jeneral yang mengetuai kepungan itu dipenggal pula oleh Abdul Rahman I. Kepala mereka ini dikumpulkan dalam satu guni bersama dengan label dan juga panji kibaran Abbasiyah yang gugur lalu dihantarkan kepada Khalifah Abu Ja’far Al-Mansur yang ketika itu dalam perjalanan melakukan haji di Mekah. Menerima kiriman kepala dan khabar angin itu, ucapan yang masyur datang dari mulut ialah, “aku bersyukur kepada ALLAH kerana meletakkan lautan yang memisahkan aku dan syaitan itu!”

Betapa walau selepas itu, pemerintahan Abdul Rahman I adalah banyak mengisarkan tentang usahanya untuk memastikan setiap pemberontak berjaya dipatahkan, Abdul Rahman I tidak pernah lupa untuk memastikan bahawa Andalusia dibawahnya terus masyur dengan pelbagai pembaharuan. Sebagai contoh, Abdul Rahman I menerapkan sistem pemerintahan yang diperbaharui dari sistem pemerintahan lama Umaiyyah, selain daripada memastikan jalan-jalan lama diperbaiki.

Selain merupakan seorang pemerintah yang selalu melawat rakyatnya yang gering dan sakit, Abdul Rahman I membina sebuah aqueduct yang telah membekalkan air kepada ke seluruh Cordova, di mana aqueduct yang dibina oleh Abdul Rahman I dikatakan merupakan salah satu daripada keajaiban dan keagungan yang ditinggalkan oleh Abdul Rahman I.

Sudah tentu, dasar toleransi agama yang diamalkan oleh Abdul Rahman I yang membenarkan pengganut Kristian dan Yahudi mengamalkan ajaran agama mereka tanpa gangguan. Bahkan, Abdul Rahman I dicatatkan telah membeli sebuah gereja dari pengganut Kristian di Cordova dan menukarkannya sebuah masjid. Padahal sebagai seorang pemerintah di Cordova, betapa dia boleh sahaja merampas gereja tersebut dari tangan pengganut Kristian, namun Abdul Rahman I tidak berbuat demikian.

Akhirnya, pada tahun 785 sehingga 788 Masihi, Abdul Rahman I akhirnya menghadap sang pencipta. Namun, pemerintahannya menjadi paranoid pada hujung usianya, yang mungkin datang dari kisah silamnya yang penuh dengan pengkhianatan dan tragedi berdarah. Beliau dicatatkan telah membunuh, mengugut, menurunkan pangkat mereka yang telah banyak membantu pemerintahannya termasuklah Badr yang turut diugut. Impian paling besar Abdul Rahman I untuk membalas dendam dan menggerakkan tentera ke Abbasiyah demi menuntut bela ke atas kematian keluarganya tidak kesampaian. Namun, legasi beliau berjaya bertahan untuk lebih 300 tahun, dan Cordoba selepas ini akan dikenali sebagai salah satu kota yang paling hebat dalam peradaban Islam itu sendiri.

Nama Helang Quraisy itu sendiri ada legendanya yang datang dari musuh utama Abdul Rahman I iaitu Khalifah Ja’far Al-Mansur. Ada sebuah legenda menceritakan bahawa Khalifah Abu Ja’far pernah bertanya kepada salah seorang pembesar siapakah yang layak digelar Helang Quraysh, maka pembesar tersebut menjawab Mua’wiyah Abu Sufyan. Khalifah Abu Ja’far mengatakan bahawa jawapan itu salah. Maka pembesar itu menjawab lagi bahawa ia pasti Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Khalifah Abu Ja’far juga mengatakan tidak lalu beliau sendiri menjawab :

“Helang Quraysh adalah Abdul Rahman yang mampu melarikan diri dengan licik dan dapat menepis sebarang tombak dan bilah pedang. Mengembara sendirian merentasi padang pasir Afrika. Menghitung nasib tanpa mempunyai sebarang tanah dan harta. Yang ada dalam diri cuma keimanan dan ketekunan beliau. Beliau mengasaskan sebuah empayar yang pada asalnya berpecah-belah sehingga kerajaan beliau terpisah dengan kerajaan kita oleh lautan. Tiada khalifah yang mampu berbuat demikian selain beliau. Muawiyah menjadi Khalifah dengan sokongan keluarga Umar R.A dan Uthman R.A. Manakala Khalifah Abdul Malik Bin Marwan dilantik atas wasiat oleh bapa beliau. Manakala Abdul Rahman menjadi khalifah tanpa sokongan sesiapa tapi keazaman yang dikurniakan Allah kepada beliau.”

Rujukan:

Hamka (2016) Edisi 2016: Sejarah Umat Islam. PTS Publishing House Sdn. Bhd.
Peter C. Scales. (1994) The Fall of the Caliphate of Cordoba: Berbers and Andalusia in Conflict (Medieval Iberian Peninsula, Vol 9). Brill Academic Publishing
Philip K. Hitti (1968) Makers of Arab History
Arab America (2015) Abd Al-Rahman I – The Architect Of Moorish Spain

Previous articleAbdul Rahman I: Helang Quraysh Yang Dikagumi
Next articleBila Jepun Menyerah Kalah…
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here