10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga

3099
views

Dalam artikel penulis yang lalu yang bertajuk “Siapakah Ahlul Bayt, Para Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in?” (siaran 1 Oktober 2017), penulis telah membincangkan berkenaan perihal ketiga-tiga golongan generasi salafussoleh tersebut. Dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW, terdapat 10 orang sahabat yang digelar “Al-‘Asyarah Al-Mubasysyirun bi al-Jannah” iaitu mereka yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai kumpulan sahabat yang dijamin syurga.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Najm, ayat 3-4: “Tidaklah apa yang diperkatakan olehnya (Muhammad) berdasarkan hawa nafsu, tetapi (segala ucapannya, perbuatannya) adalah berdasarkan wahyu yang diwahyukan kepadanya,” segala ucapan Rasulullah SAW yang dinilai sahih oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah dari segi sanad dan matannya adalah daripada wahyu Allah SWT.

Hadith yang menyatakan berkenaan 10 orang sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga terdapat di dalam Kitab Musnad Imam Ahmad ibni Hanbal, Kitab Sunan at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah yang diriwayatkan daripada dua orang sahabat yang juga merupakan dua orang sahabat yang tergolong dalam golongan tersebut iaitu ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA dan Sa’id bin Zaid RA. Lafaz hadith tersebut ialah ucapan Rasulullah SAW: “Abu Bakar (as-Siddiq) di syurga, ‘Umar (bin al-Khattab) di syurga, ‘Uthman (bin ‘Affan) di syurga, ‘Ali (bin Abi Talib) di syurga, Talhah (bin ‘Ubaidillah) di syurga, Zubair (bin al-‘Awwam) di syurga, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf di syurga, Sa’ad bin Abi Waqqas di syurga, Sa’id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah di syurga.”

Hadith tersebut dinilai sahih oleh para ulama muhaddithin Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Oleh itu dalam artikel ini, penulis akan membincangkan berkenaan perihal latar belakang mereka dan sifat mereka yang membuktikan bahawa mereka benar-benar layak tergolong dalam golongan beruntung tersebut.

1. Abu Bakar as-Siddiq RA

Nama sebenar beliau ialah ‘Abdullah bin Abi Quhafah ‘Uthman bin ‘Amir bin ‘Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taym bin Murrah daripada keluarga kabilah Bani Taym. Kedua-dua susurgalur nenek moyang belah ayah dan ibunya bertemu pada moyang Rasulullah SAW yang bernama Murrah bin Ka’ab. Abu Bakar adalah nama gelarannya yang popular sejak zaman sebelum beliau memeluk Islam lagi. Beliau dua tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Beliau digelar “as-Siddiq” yang bermaksud “orang yang sering membenarkan” kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang sentiasa membenarkan segala kata-kata Rasulullah SAW sejak pengutusan baginda sebagai seorang rasul tatkala semua kaum musyrikin Makkah mendustakan kata-kata baginda terutamanya ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Dalam kalangan para sahabat, beliau merupakan orang lelaki dewasa pertama yang memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW. Kerjanya adalah berniaga. Beliau bukan sahaja sahabat Rasulullah SAW yang paling akrab, bahkan beliau juga merupakan bapa mertua baginda apabila baginda dikahwinkan dengan puterinya yang bernama ‘Aisyah RA. Seperti bapanya, ‘Aisyah RA juga merupakan sahabat yang paling disukai oleh Rasulullah SAW selain merupakan isteri kesayangan baginda dalam kalangan Ummahatul Mukminin selepas Khadijah RA meninggal dunia.

Abu Bakar as-Siddiq RA sentiasa berkorban jiwa dan harta benda demi kepentingan perjuangan Islam. Beliau menggadai nyawa menemani Rasulullah SAW berhijrah berdua ke Yathrib (Madinah) walaupun mereka berdua menjadi buruan kaum musyrikin Makkah sehingga hampir dijumpai di Gua Thur. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an dalam Surah at-Taubah ayat 40. Sewaktu kempen Peperangan Tabuk, beliau telah menginfaqkan kesemua harta bendanya bagi tujuan membiayai ekspedisi ketenteraan tersebut.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau dilantik sebagai khalifah pertama umat Islam atas permuafakatan para sahabat dengan memakai gelaran Khalifatur-Rasul. Ketika zaman pemerintahannya, golongan murtad, golongan yang enggan membayar zakat dan golongan nabi palsu diperangi habis-habisan terutamanya dalam Peperangan Yamamah. Pada zaman pemerintahannya jugalah, al-Qur’an mula dihimpunkan menjadi satu mushaf.

Tiada seorang sahabat yang beramal ibadat lebih daripada Abu Bakar RA. Dalam satu hadith sahih, diceritakan bahawa ketika para sahabat ditanya oleh Rasulullah SAW pada pagi hari tentang siapa yang sedang berpuasa, siapa yang telah memberi makan orang miskin, siapa yang telah mengiringi jenazah dan siapa yang telah melawat orang sakit pada hari tersebut. Abu Bakar RA mengatakan kepada Rasulullah SAW bahawa beliau telah melakukan semua perkara tersebut pada pagi hari tersebut. Ramai para sahabat memeluk Islam hasil daripada dakwah beliau seperti ‘Uthman bin ‘Affan RA, Talhah bin ‘Ubaidillah RA, Zubair bin al-‘Awwam RA dan Sa’ad bin Abi Waqqas RA. Beliau meninggal dunia selepas dua tahun memerintah sebagai khalifah umat Islam yang pertama.

2. ‘Umar bin al-Khattab RA

Salasilah penuh beliau ialah ‘Umar bin al-Khattab bin Nufayl bin ‘Abdul ‘Uzza bin Ribah bin ‘Abdullah bin Qart bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab daripada keluarga ayahnya kabilah Bani ‘Adi. Susurgalur nenek moyang belah ayahnya bertemu pada Ka’ab bin Luaiy. Ibunya adalah daripada kabilah Bani Makhzum. Usia beliau 13 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Berlainan dengan sifat Abu Bakar as-Siddiq RA yang lemah lembut, ‘Umar RA terkenal dengan sifat tegasnya sehingga terdapat sepotong hadith sahih daripada Rasulullah SAW menyatakan bahawa syaitan sendiri tidak akan melalui jalan yang dilalui oleh ‘Umar RA kerana takut bertembung dengannya. Sebelum memeluk Islam, ‘Umar RA adalah salah seorang penentang keras para sahabat yang memeluk Islam ketika itu. Dengan keislaman ‘Umar dan Hamzah bin ‘Abdul Mutalib RA, kekuatan umat Islam bertambah kuat ketika itu. Selain gelaran Abu Hafs, ‘Umar RA juga terkenal dengan gelaran “al-Faruq” yang bermaksud pemisah antara perkara yang benar dengan yang batil.

‘Umar RA juga merupakan bapa mertua kepada Rasulullah SAW apabila puterinya, Hafsah RA yang menjadi balu setelah kesyahidan suaminya di medan Peperangan Badar, dikahwinkan dengan baginda. Setelah kewafatan Abu Bakar RA, ‘Umar RA dilantik sebagai khalifah kedua atas wasiat Abu Bakar RA dengan memakai gelaran Khalifatul Mukminin. Sepanjang sedekad pemerintahannya, pelbagai kemajuan telah dicapai oleh umat Islam antaranya ialah pengasasan penggunaan kalender Hijrah, pembukaan Baitulmaqdis, Parsi dan Mesir. Beliau seorang yang kuat beribadat dan begitu zuhud walaupun beliau seorang pemimpin umat Islam yang berkuasa, malah beliau amat mementingkan kebajikan umat Islam dan rakyatnya melebihi kepentingan diri dan keluarganya. Beliau syahid dibunuh oleh seorang pemberontak ketika sedang mengimamkan solat berjemaah.

3. ‘Uthman bin ‘Affan RA

Salasilah penuh beliau ialah ‘Uthman bin ‘Affan bin Abi al-‘As bin Umayyah bin ‘Abdu Syams bin ‘Abdul Manaf daripada keluarga kabilah Bani Umayyah. Susurgalur nenek moyang kedua-dua ibu bapanya bertemu dengan moyang Rasulullah SAW yang bernama ‘Abdul Manaf bin Qusay. Beliau berusia lima tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Beliau terkenal dengan sifat pemalunya sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa malaikat juga malu dengan beliau. ‘Uthman RA mempunyai hubungan kekeluargaan yang akrab dengan Rasulullah SAW kerana beliau dikahwinkan dengan dua orang puteri baginda. Pertama, beliau dikahwinkan dengan Zainab RA. Selepas Zainab RA meninggal dunia, beliau dikahwinkan pula dengan adiknya, Ummu Kalthum RA. Oleh sebab itu, ‘Uthman RA mendapat gelaran “Zunnurayn” (pemilik dua cahaya).

‘Uthman RA dilantik sebagai khalifah ketiga umat Islam selepas kesyahidan ‘Umar RA melalui pemilihan enam orang calon sahabat dalam Majlis Syura. Enam tahun pertama pemerintahannya, wilayah umat Islam berkembang dengan begitu pesat. Penulisan al-Qur’an juga diseragamkan dari segi dialek Quraisy, (dialek asal bahasa Arab al-Qur’an diwahyukan) dan dikenali sebagai Mushaf ‘Uthmani. Sebanyak enam buah salinan al-Qur’an dibuat, lima buah salinan dihantar ke wilayah-wilayah Islam yang lain sementara sebuah mushaf lagi yang dikenali sebagai Mushaf al-Imam kekal di Madinah, pusat pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin. Enam tahun kedua pemerintahannya diwarnai dengan kegelapan zaman fitnah, apabila golongan munafiq mula menimbulkan fitnah dan huru-hara sehingga menyebabkan ‘Uthman RA syahid dibunuh oleh puak pemberontak.

4. ‘Ali bin Abi Talib RA

‘Ali RA merupakan sepupu Rasulullah SAW belah ayah kerana ayahnya, Abi Talib merupakan ayah saudara baginda. ‘Ali RA merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam dalam kalangan para sahabat. Usia beliau 30 tahun lebih muda daripada Rasulullah SAW. Sejak kanak-kanak lagi, ‘Ali RA merupakan seorang sahabat yang berani. Ketika peristiwa Hijrah, beliau dengan beraninya menawarkan diri tidur di tempat tidur Rasulullah SAW, menyamar sebagai baginda, ketika kaum musyrikin Makkah menyerbu rumah baginda. Disebabkan sejak kecil lagi beliau tidak mahu mengikuti jejak langkah ayahnya dan keluarganya yang lain menyembah berhala, maka ‘Ali RA digelar “Karramallahu wajhahu” (dimuliakan Allah SWT wajahnya). ‘Ali RA juga amat dikenali sebagai seorang sahabat yang berilmu tinggi sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa baginda umpama ‘bandar ilmu’ dan ‘Ali merupakan ‘pintu masuknya,’ sesiapa yang ingin memasuki ‘bandar’ tersebut perlu melalui ‘pintu masuknya.’

‘Ali dikahwinkan dengan puteri bongsu Rasulullah SAW iaitu Fatimah RA. Melalui perkahwinan tersebut, mereka melahirkan Hasan dan Hussien RA yang merupakan dua orang cucu Rasulullah SAW yang mengembangkan zuriat Ahlul Bayt ke serata dunia. ‘Ali RA dilantik sebagai khalifah keempat umat Islam setelah kesyahidan ‘Uthman RA dalam keadaan fitnah dan huru-hara berleluasa dalam kalangan umat Islam. Beliau syahid dibunuh oleh seorang pemberontak ketika sedang solat di dalam sebuah masjid di Kufah.

5. Talhah bin ‘Ubaidillah RA

Salasilah penuh beliau ialah Talhah bin ‘Ubaidillah bin ‘Uthman bin ‘Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taym bin Murrah daripada keluarga belah ayahnya Bani Taym, kabilah yang sama dengan Abu Bakar as-Siddiq RA, bahkan beliau juga adalah menantu kepada Abu Bakar RA apabila beliau dikahwinkan dengan puteri Abu Bakar RA yang bernama Ummu Kalthum RA. Talhah RA merupakan salah seorang sahabat yang terawal memeluk Islam. Beliau memperjuangkan syi’ar Islam sepenuh hatinya. Ketika Peperangan Uhud, beliau menjadikan badan beliau sendiri sebagai perisai kepada Rasulullah SAW tatkala ramai pejuang musyrikin Makkah menumpukan serangan ke atas baginda kerana tentera Islam dalam keadaan kucar-kacir. Serangan bertubi-tubi tersebut menyebabkan badan beliau penuh dengan luka hirisan pedang-pedang musuh. Rasulullah SAW menggelar Talhah RA sebagai “seorang syahid yang berjalan di muka bumi.”

Talhah RA merupakan salah seorang calon pengganti khalifah yang dicadangkan oleh ‘Umar RA. Ketika ‘Zaman Fitnah’ pada zaman pemerintahan ‘Ali RA, Talhah RA, Zubair RA dan Ummul Mukminin ‘Aisyah RA turut terlibat sama dalam Peperangan Jamal. Zaman tersebut dikenali sebagai ‘Zaman Fitnah’ iaitu suatu zaman dimana khabar angin, kekeliruan dan huru-hara berleluasa apabila golongan munafiq dan pemberontak bercampur dalam kalangan umat Islam ketika itu. Talhah RA syahid terbunuh dalam peperangan tersebut disebabkan panahan sesat sebatang panah beracun.

6. Zubair bin al-‘Awwam RA

Salasilah penuh beliau ialah Zubair bin al-‘Awwam bin Khuwailid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusay daripada keluarga belah ayah kabilah Bani Asad, kabilah yang sama dengan isteri pertama Rasulullah SAW iaitu Khadijah RA, bahkan Zubair RA merupakan anak saudaranya. Zubair RA juga merupakan menantu kepada Abu Bakar as-Siddiq RA apabila beliau dikahwinkan dengan puteri Abu Bakar RA yang bernama Asma’. Anak mereka berdua iaitu ‘Abdullah bin Zubair juga merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW. Zubair RA merupakan salah seorang sahabat yang terawal memeluk Islam. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Zubair RA adalah hawari (sahabat dan pembantu) baginda. Setiap orang nabi mempunyai golongan hawarinya sendiri seperti 12 orang hawari Nabi Isa AS (lihat Surah Ali ‘Imran, ayat 52), dan hawari Rasulullah SAW adalah Zubair RA.

Zubair RA juga merupakan salah seorang calon khalifah selepas kesyahidan ‘Umar RA. Anaknya, ‘Abdullah RA adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang terlibat sama menentang golongan pemberontak pada zaman pemerintahan ‘Uthman RA. Ketika zaman pemerintahan ‘Ali RA sebagai khalifah, Zubair RA bersama Ummul Mukminin ‘Aisyah RA dan Talhah RA terlibat sama dalam peperangan saudara iaitu Peperangan Jamal. Zubair RA syahid dibunuh oleh seorang pemberontak dalam peperangan tersebut.

7. ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA

Salasilah penuh beliau ialah ‘Abdul Rahman bin ‘Auf bin ‘Abdu ‘Auf bin ‘Abd bin al-Harith bin Zuhrah bin Kilab daripada keluarga belah ayah kabilah Bani Zuhrah, kabilah yang sama dengan ibu Rasulullah SAW iaitu Aminah. Nama asalnya ialah ‘Abdu ‘Amru (hamba kepada ‘Amru), setelah beliau memeluk Islam, Rasulullah SAW menukar namanya kepada ‘Abdul Rahman (hamba al-Rahman, salah satu nama Asma’ul Husna Allah SWT). ‘Abdul Rahman RA terkenal sebagai salah seorang sahabat yang kaya-raya disebabkan kepandaian beliau dalam berdagang dan berniaga. Ketika berhijrah ke Yathrib (Madinah), beliau meninggalkan segala harta bendanya demi penghijrahan tersebut. Setelah diberikan bantuan berniaga oleh saudara Ansarnya, maka beliau menjadi peniaga yang kaya-raya semula. Walaupun begitu, beliau seorang yang begitu zuhud dan amat pemurah menginfaqkan hartanya pada jalan Allah.

Selepas kesyahidan ‘Umar RA, ‘Abdul Rahman RA merupakan salah seorang daripada enam orang sahabat yang dicalonkan sebagai pengganti khalifah. Walau bagaimanapun, beliau menolak pencalonan terhadap dirinya dan menawarkan dirinya mempengerusikan Majlis Syura untuk memilih lima orang sahabat yang lain sebagai calon khalifah seterusnya. Hasil daripada mesyuarat tersebut, ‘Abdul Rahman RA membuat keputusan untuk membai’ah ‘Uthman RA sebagai khalifah ketiga umat Islam diikuti oleh para sahabat yang lain. Beliau meninggal dunia ketika zaman pemerintahan ‘Uthman RA.

8. Sa’ad bin Abi Waqqas RA

Salasilah penuh beliau ialah Sa’ad bin Abi Waqqas Malik bin Wuhayb bin ‘Abdu Manaf bin Zuhrah bin Kilab, kabilah belah ayah yang sama dengan ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA iaitu Bani Zuhrah. Beliau merupakan salah seorang golongan as-Sabiqun al-Awwalun iaitu antara 40 orang terawal yang memeluk Islam selepas pengutusan Rasulullah SAW walaupun beliau mendapat tentangan hebat daripada ibunya sendiri. Beliau berjuang bersama-sama Rasulullah SAW dalam kebanyakan peperangan utama dan seorang yang mahir menggunakan senjata memanah. Rasulullah SAW menyatakan bahawa Sa’ad RA merupakan orang pertama yang memanah untuk berjuang pada jalan Allah.

Sa’ad RA merupakan seorang panglima perang yang bertanggungjawab menawan dan membuka wilayah Parsi dalam Peperangan Qaddisiyyah ketika zaman pemerintahan ‘Umar RA. Beliau juga termasuk dalam kalangan enam orang calon khalifah yang dicalonkan bagi menggantikan ‘Umar RA yang syahid dibunuh. Beliau antara sahabat yang mengambil sikap berkecuali ketika Zaman Fitnah yang berlaku ketika zaman ‘Ali RA. Dikatakan beliau mengembangkan syi’ar Islam sehingga ke Tanah Besar China dan kuburnya berada di negara China. Sa’ad RA adalah golongan sahabat Muhajirin yang terakhir meninggal dunia iaitu pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan RA. Beliau juga adalah sahabat yang terakhir meninggal dunia dalam kalangan 10 orang sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga.

9. Sa’id bin Zaid RA

Salasilah penuh beliau ialah Sa’id bin Zaid bin ‘Amru bin Nufayl bin ‘Abdul ‘Uzza bin Ribah bin ‘Abdullah bin Qart bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab, kabilah belah ayah yang sama dengan ‘Umar RA iaitu Bani ‘Adi, bahkan Sa’id RA merupakan adik ipar kepada ‘Umar RA apabila beliau berkahwin dengan adik ‘Umar RA yang bernama Fatimah al-Khattab RA. Bapanya, Zaid bin ‘Amru merupakan salah seorang pengikut ajaran Hanif iaitu ajaran Islam Nabi Ibrahim AS sebelum diselewengkan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah ketika itu. Zaid bin ‘Amru meninggal dunia sebelum pengutusan Rasulullah SAW. Sa’id RA meninggal dunia ketika zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan RA.

10. Abu ‘Ubaidah al-Jarrah RA

Nama sebenar beliau ialah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah bin Rabi’ah bin Hilal bin Uhayb bin Dhabbah bin al-Harith bin Fihir bin Malik daripada keluarga belah ayah kabilah Bani Fihir. Beliau termasuk dalam golongan sahabat terawal yang memeluk Islam. Beliau adalah seorang sahabat yang amat dikenali dengan sifat zuhud dan berkeperibadian mulia. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap umat terdapat seorang pemegang amanah dalam kalangan mereka dan Abu ‘Ubaidah RA merupakan pemegang amanah (Amin) dalam kalangan umat baginda.

Semangatnya dalam mempertahankan Rasulullah SAW paling terserlah ketika dalam Peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut, seutas rantai besi tertusuk pada pipi Rasulullah SAW sehingga mulut baginda berdarah. Abu ‘Ubaidah RA lantas memutuskan rantai besi tersebut dengan giginya sehingga patah beberapa giginya. Ketika peristiwa pembukaan Kota Makkah, beliau merupakan salah seorang panglima perang pasukan tentera Islam.

Ketika zaman pemerintahan ‘Umar RA, Abu ‘Ubaidah RA adalah salah seorang sahabat yang bertanggungjawab membuka wilayah Syam. Beliau terus menetap di sana dan syahid juga ketika zaman pemerintahan ‘Umar RA disebabkan jangkitan wabak penyakit yang melanda penduduk Syam ketika itu, walaupun ‘Umar RA telah berusaha memujuk beliau supaya berpindah keluar daripada wilayah tersebut.

Begitulah sedikit latar belakang ringkas berkenaan kesepuluh-sepuluh orang para sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga. Keempat-empat orang Khulafa’ ar-Rasyidin termasuk dalam golongan tersebut. Persoalannya, adakah cuma 10 orang sahabat tersebut sahaja yang dijamin syurga? Bagaimana pula dengan para sahabat yang lain? Sebenarnya kesemua mereka yang termasuk dalam golongan sahabat Rasulullah SAW adalah generasi umat baginda yang terbaik. Terdapat banyak hadith lain daripada ucapan Rasulullah SAW sendiri yang menyatakan beberapa orang sahabat baginda yang lain yang dijamin syurga seperti keluarga Yasir (Yasir bin ‘Ammar RA, Sumayyah binti Khayyat RA dan ‘Abdullah bin Yasir RA) yang syahid diseksa, Ja’afar bin Abi Talib RA (Sayyidul Syuhada’), Bilal bin Rabah RA, ‘Ukasya RA, isteri baginda iaitu Ummul Mukminin Khadijah RA dan puteri baginda Fatimah RA.

Kesepuluh-sepuluh orang sahabat Rasulullah SAW tersebut sentiasa bersama-sama baginda dalam keadaan susah dan senang. Mereka sanggup meninggalkan harta benda berhijrah ke Habsyah kemudiannya ke Madinah. Mereka berjuang bersama-sama Rasulullah SAW menentang kaum musyrikin Makkah dan sekutu mereka dalam hampir semua peperangan seperti Badar, Uhud, Khandaq, Tabuk, Hunain dan Khaibar. Mereka menggunakan kelebihan yang ada pada diri mereka seperti kuasa, harta kekayaan, keberanian, keilmuan dan kemahiran mereka dalam menegakkan, mengembangkan dan memperjuangkan syi’ar Islam.

Persoalan lain, bagaimana pula reaksi kesepuluh-sepuluh orang para sahabat tersebut setelah mengetahui bahawa diri mereka tergolong dalam kumpulan sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW? Mereka bersifat zuhud, tidak bermegah diri dan sentiasa berusaha menambah amal ibadat mereka. Perkataan Rasulullah SAW adalah daripada wahyu Allah SWT, oleh itu setiap perkataan baginda adalah benar. Sekiranya dengan perkataan baginda yang memberi jaminan bahawa kesepuluh-sepuluh orang sahabat baginda tersebut dimasukkan ke dalam syurga menjadikan mereka bermegah diri, maka perkataan baginda adalah dusta, ini kerana baginda sendiri pernah bersabda bahawa seseorang itu tidak akan memasuki syurga Allah SWT jika di dalam hatinya ada sekelumit perasaan bongkak, takbur, riak, ujub dan sombong. Ini menunjukkan bahawa perkataan Rasulullah SAW itu benar, tiada nas al-Qur’an dan hadith lain yang menafikannya.

Apa yang penting bagi kita ialah mengetahui sejarah kehidupan kesepuluh-sepuluh orang sahabat Rasulullah SAW tersebut supaya kita boleh mengambil iktibar, contoh dan tauladan serta motivasi kepada diri kita supaya sentiasa berusaha menggunakan segala nikmat dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita untuk menambah dan menjaga amal soleh, ilmu dan amal jariah buat bekalan menuju syurga Allah SWT di akhirat kelak. Insya Allah. Itulah sebenar-benarnya orang-orang yang berjaya.
Untuk rujukan lebih lanjut berkenaan kesepuluh-sepuluh orang sahabat di atas dan juga para sahabat Rasulullah SAW yang lain, sila rujuk sumber-sumber rujukan yang dirujuk di bawah:

SUMBER RUJUKAN

Ibnu Hibban, Abu Hatim Muhammad, Tarikh as-Sohabah allazi ruwiya ‘anhum al-Akhbar, Beirut: Darulkutub al-‘Ilmiyyah, 1988.

Asy-Syaukani, Muhammad bin ‘Ali, Dar as-Sahabah fi Manaqib al-Qarabah wa as-Sohabah, Damsyik: Dar al-Fikr, 1984.

An-Nasa’ie, Abu ‘Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib, Fado’il as-Sohabah, Beirut: Darulkutub al-‘Ilmiyyah, 1984.

Hamka, Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2006.
Muhammad Ayub Sipra (ed.), The Great 10 Companions of Prophet (PBUH), Darussalam Publishers & Distributors.

Mohd. Asri Zainul Abidin, Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah, Batu Caves: PTS Islamica Sdn. Bhd., 2012.

Laman web rasmi ad-Dhurar as-Sanniyyah (laman web rujukan ilmiah manhaj Ahlus Sunnah wal Jama’ah), pautan: http://dorar.net/, dirujuk pada bulan November 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here