500 Militia Kelantan Membantai 30, 000 Orang Tentera Siam

1 1,015

Sejarawan dan ilmuan masih berselisih tahun sebenar Kelantan menjadi sebahagian daripada kawasan lingkungan pengaruh Kesultanan Melayu Melaka. Rekod sejarah terutama Sulatus Salatin (Sejarah Melayu) mengatakan peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1470-an sementara beberapa rekod lain mengatakan ia berlaku pada tahun 1490-an. Namun satu perkara yang kita perlu ketahui ialah Kelantan sama sekali tidak pernah menjadi jajahan takluk empayar tersebut walaupun berlaku serangan ke atas negeri Cik Siti Wan Kembang yang berlaku pada tahun 1477.

Serangan yang digerakkan oleh Sultan Mahmud Shah bukan bermakna memaksa Kelantan tunduk kepada penguasaan Melaka. Sebaliknya kekalahan Kelantan itu ditandakan pembentukan hubungan geopolitik melalui perkahwinan baginda dengan Puteri Nang Kinang, seorang anggota kerabat diraja Kelantan.

Jika kita amati Sulatus Salatin dan sumber-sumber sejarah lain, sedarlah kita bahawa Kelantan masih lagi sebuah negeri merdeka yang diperintah oleh sultannya sendiri. Dan kita perlu ingat bahawa perkahwinan antara keluarga diraja bukanlah satu perkara asing, contohnya perkahwinan Ratu Kuning dari Patani berkahwin dengan Yang Dipertuan Johor pada abad ke-17 Masihi. Tetapi ia tidak pula membawa kepada penyatuan kedua-dua kerajaan ini di bawah satu bumbung.

Antara kisah menarik dalam naskhah ini ialah tindakan kerajaan Siam menggerakkan angkatan besar mereka dipimpin Raja Ligor untuk menyerang Melaka. Peristiwa ini dikatakan berlaku sebelum akhir pemerintahan Sultan Mahmud. Operasi tentera yang besar ini merupakan cubaan terakhir Raja Ligor untuk menuntut wilayah di Semenanjung Tanah Melayu sebelum kuasanya merosot sementara raja-raja Melayu kembali menubuhkan dan mengukuhkan kerajaan masing-masing di sebelah selatan iaitu Johor dan Kepulauan Riau. Sulatus Salatin melaporkan ekspedisi tersebut berakhir dengan kegagalan menerusi catatan ini, “…bertempiaran lari menuju ke Hulu Kelantan, kemudian kembali ke Legor.”

Sementara dalam versi lain, angkatan yang kalah ini memilih Patani sebagai laluan melepaskan diri. Walau bagaimanapun, ada satu cebisan kisah menarik di dalamnya yang tidak diketahui di luar sana kecuali segelintir sahaja. Kisah ini tidak diketahui oleh kebanyakan orang kita dan kita patut berterima kasih pada individu bertanggungjawab membawa kisah tersebut untuk diketahui semua hari ini. Individu tersebut ialah seorang sejarawan Portugal bernama Joao de Barros.

de Barros merupakan saksi kepada pelbagai kegiatan Portugal di Asia Tenggara terutama selepas penjajahan mereka ke atas Melaka pada tahun 1511. Dan kebanyakannya direkodkan dalam bukunya, Decadas da Asia (Decades of Asia/Dekad Asia), ada di antaranya mengisi sesetengah maklumat penting berkenaan sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Catatan bonus de Barros ini menyebut tentang cubaan terakhir serangan Siam ke atas Melaka. Menurut beliau, peristiwa tersebut berlaku lapan tahun sebelum kedatangan rombongan pedagang Portugal diketuai seorang bangsawan bernama Diego Lopes de Sequeira ke Melaka. Jika kita membuat perkiraan, pasti kita merasa kagum betapa tepatnya Sulatus Salatin merekodkan peristiwa bersejarah yang meletakkan peristiwa serangan Sultan Mahmud ke atas Kelantan sebelum bahagian yang menceritakan operasi ketenteraan Siam ini. Justeru, kita boleh nyatakan serangan tersebut berlaku pada tahun 1499 dan tidak mustahil kedua-dua peristiwa ini berlaku pada tahun yang sama!

Antara punca Siam menggerakkan ekspedisi ini ialah merasakan dominasi Siam di Kedah, Patani dan terbaru, Kelantan sudah berpindah kepada musuh mereka di Melaka. Tetapi sebab sebenar di sebalik ini ialah Siam sebenarnya mahu membalas dendam terhadap Sultan Mahmud berikutan taktik licik baginda ke atas angkatan mereka beberapa tahun sebelumnya. Dalam catatan de Barros, tatkala Siam menggerakkan angkatan mereka,

“… armada kapal Siam dilanda ribut di mana armada mereka terpaksa berpecah dengan sebahagian berlindung di Pullocabat (Pulau Sabat), sebuah pulau yang berjarak tiga farsakh dari Melaka. Apabila Mahamed (Mahmud) mengetahui kehadiran kapal-kapal ini, baginda mengarahkan kapal-kapal tersebut diberi bekalan mencukupi dan memberi taat setia kepada Raja Siam.

Termakan dengan tipu helah baginda, nakhoda-nakhoda kapal ini tanpa menunggu ketibaan panglima mereka, bergerak ke Melaka diiringi oleh kapal-kapal yang membawa bekalan mereka. Sebelum itu, mereka menghantar dua kelulus kepada Poyoa (Phaya, Raja Ligor) untuk memberitahu Mahamed betul-betul mengisytiharkan kesetiaan pada baginda.

Mereka turut memberitahu baginda boleh berlayar dengan selamat dan menanti ketibaannya di Melaka. Bagaimanapun, Raja Mahamed mahu mereka diberi layanan baik namun baik di sini berbeza mengikut tanggapan mereka. Bagi setiap penduduk di mana rumahnya menjadi tempat bagi tentera Siam ini bermalam, mereka diberi arahan untuk memastikan semua tentera ini dibunuh pada malam itu juga.

Dan seperti dirancang, angkatan tentera Melaka menyamar sebagai angkatan tentera Siam pada malam tersebut untuk mengelak mana-mana askar yang terselamat kembali ke kapal dan memberi amaran kepada Phaya. Phaya yang menyangka tentera yang menyamar ini tenteranya menerima mereka di atas kapal. Dalam masa singkat, kapal Raja Ligor dikuasai sepenuhnya tentera Melaka.”

Dalam peristiwa tersebut, Phaya melarikan diri dengan mengayuh kuat perahu untuk mengelak dikejar dan ini menyumbang kepada dendam kesumat baginda terhadap Sultan Mahmud.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Maka tidak hairanlah apabila ekspedisi ini digerakkan pada tahun 1499, mereka bertindak ganas di negeri-negeri utara Melayu sepanjang kemaraan mereka ke Pahang dan ini direkodkan dalam Sulatus Salatin. Kemuncak kepada keganasan pasukan ini ialah pertempuran sengit ketika mereka mengepung kota Pahang Lama. Pada ketika itu, mereka buntu kerana tidak mampu meneruskan kepungan dan gagal menandingi kehebatan angkatan tentera Melayu ditunjukkan di halaman sendiri. de Barros mencatatkan pasukan ini mengandungi 400 tentera bergajah dan kekuatan tentera laut serta darat berjumlah 30,000 orang, satu jumlah yang dianggap banyak dalam naskhah Sulatus Salatin.

de Barros menambah walaupun pada mulanya Siam berjaya di Pahang dan mengalahkan raja negeri tersebut, mereka hanya menawan kubu pertahanan di kawasan perkampungan orang Melayu, bukan ibu negeri Pahang itu sendiri. Selain itu, kita tidak harus lupa bahawa Pahang diperintah oleh dua orang raja iaitu Sultan Mansur Shah dan ayahandanya, Sultan Abdul Jamal. Sultan Abdul Jamal merupakan musuh Sultan Mahmud di mana pada awalnya telah turun takhta dan bersemayam di Lubuk Pelang. Sementara Sultan Mansur pula bersemayam di bahagian muara iaitu Pahang Tua. Jika Siam mahu meneruskan kemaraan mereka, maka mereka perlu mengalahkan kedua-dua raja ini di mana kedua-duanya mendapat bantuan dari Melaka.

Walaupun Phaya memberi tentangan sengit di Pahang, baginda hanya mempunyai kekuatan tentera 3,000 orang dan menantikan ketibaan bilangan askar yang lebih ramai. Di sinilah bencana melanda kumpulan tersebut di mana tatkala mereka meneruskan perjalanan secara perlahan di Kelantan, mereka diserang hendap dan dibunuh oleh 500 anggota militia Kelantan. Mereka bangkit menentang sebagai tindak balas terhadap kekejaman tentera Siam yang menjarah, membunuh, merogol dan membakar kediaman mereka. Tatkala jeneral-jeneral Siam ini, orang-orang muda ini bangkit dan mengambil kesempatan daripada situasi tersebut.

Dalam catatannya, de Barros menceritakan, “Askar-askar ini bergerak secara tidak teratur kerana merasa dalam negeri sendiri, sebahagian tiba di kota Calantam (Kelantan), terletak di antara Patane (Patani) dan Pam. Sikap kurang ajar dan menyalahguna imej tentera serta tiada pemantauan dari komander-komander mereka, tentera-tentera ini mula merompak, bertindak ganas dan merogol kaum wanita. Antara mangsa mereka ialah dua perempuan bangsawan yang merupakan isteri kepada dua anak gabenor kota tersebut. Lelaki-lelaki yang tidak dapat membantu isteri mereka bila mereka dirogol memendam amarah mereka dan secara rahsia mengumpul lebih 500 orang, kebanyakan dari mereka yang marah dengan tindakan tentera tersebut. Mereka menyerang tentera Siam pada waktu malam dan ramai tentera Siam terbunuh.”

Setakat ini, peristiwa ini tidak disentuh oleh sejarawan-sejarawan tempatan dan tidak memasukkannya dalam sejarah negeri Kelantan. Raja Kelantan yang dianggap gabenor Siam berdasarkan tulisan de Barros pada ketika itu berkemungkinan Sultan Munawwar (Sultan Mansur dalam versi lain) atau pengganti baginda, Sultan Gombak.

Bayangkan bagaimana 500 tentera ini mara secara senyap dari Hulu Kelantan, membunuh tentera Siam sepanjang perjalanan mereka sehinggalah mereka membuat penampilan mengejut di hadapan Phaya yang menanti di luar kota Pahang Tua yang masih lagi dikepung tenteranya. Phaya pasti terkejut dan tertanya-tanya bagaimana semua ini boleh berlaku. Dari situ, tentera-tentera Melayu memaksa Phaya berundur semula ke Ligor, meninggalkan bilangan tentera yang ramai dibunuh. Ekspedisi tersebut merupakan satu bencana dan bagi menambah keperitan luka psikologi Raja Ligor itu, kebanyakan kapal Siam yang ditinggalkan menjadi sebahagian daripada harta rampasan perang orang Melayu.

Menurut catatan de Barros, Siam sekali lagi cuba melancarkan ekspedisi menawan Melaka buat kali ketiga melalui jalan darat dan laut di mana satu pasukan akan bergerak dari Ayutthaya dari sebelah pantai timur. Sementara satu lagi pasukan akan mendarat di Tenacarij (Tenasserim) dan Tavai (Tavoi). Tetapi hajat Phaya untuk membalas dendam tidak kesampaian kerana tahun tersebut ialah tahun 1511, tahun di mana Portugal berjaya menguasai Melaka. Dan sebagai isyarat kepada Siam bahawa Melaka kepunyaan Portugal, individu bertanggungjawab mengetuai operasi ketenteraan tersebut iaitu Alfonso D’Alburqueque menghantar Antonio de Miranda d’Azevedo dan Duarte Coelho sebagai wakil ke Siam untuk memberitahu pendudukan mereka di Melaka.

Wallahu’alam.

SUMBER

  1. Sulatus Salatin (1990).
  2. P. E. De Josselin De Jong dan H. L. A. Van Wijk (1960).

Nota Editor: Artikel asal oleh Nabil Nadri dalam Bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan oleh Moustapha Abbas. 

Anda mungkin juga berminat
1 Komen
  1. Tengku Mahmud berkata

    Kelantan memang dijajah melaka.
    Mengatakan kelantan tak pernah dijajah melaka cuma bersifat penafian semata-mata

Tinggalkan pesanan

Alamat email anda tidak akan disiarkan.