Bila kita berbicara tentang Mossad, kita pasti mengetahui reputasi agensi perisikan tersebut dalam melaksanakan misi dan operasi rahsia terhadap mana-mana musuh Israel daripada kumpulan pejuang Palestin sehinggalah negara musuh seperti Iran. Ini ditambah pula dengan keupayaan jentera propaganda agensi tersebut yang membesar-besarkan kejayaan operasi mereka dan penampilan mereka dalam media. Anda tidak perlu lihat jauh, antara ejen Mossad yang ditampilkan dalam media ialah Pegawai Ziva David (Cote de Pablo) dalam siri televisyen NCIS dan Samar Navabi (Mozhan Marno) dalam The Blacklist. Namun di sebalik reputasi mereka sebagai sebuah agensi yang harus digeruni, wujud kontroversi dalam beberapa operasi sehingga menjejaskan reputasi agensi tersebut.

1. ELI COHEN

Figure 1: Eli Cohen yang disangka wira mengikut momokan Israel sebenarnya hanyalah orang biasa.

Eli Cohen bukan sebarang orang bagi warga Israel hari ini. Ini kerana pada mereka, Cohen ialah wira negara yang bertanggungjawab membantu Israel menawan Bukit Golan dan menang dalam Perang Enam Hari. Kisah hidup Cohen diadaptasi menjadi sebuah filem bertajuk The Impossible Spy yang diterbitkan pada tahun 1987. Dalam filem tersebut, watak Cohen dilakonkan oleh John Shea (Lois & Clark: The New Adventures of Superman, Mutant X).

Namun hakikatnya, kisah sebenar Cohen tidaklah sehebat seperti yang diwar-warkan perisikan Israel. Ini kerana agak sukar bagi individu seperti Cohen menembusi struktur pentadbiran rejim di Syria berikutan statusnya sebagai orang biasa dan tiada kenalan berpengaruh yang boleh membantunya masuk dalam pentadbiran rejim.

Cerita bahawa Cohen seorang yang berpengaruh seperti yang diwar-warkan palsu semata-mata. Beliau menjadikan rumahnya itu seperti rumah pelacuran dan menjemput ramai pelacur untuk menghiburkan warga-warga Syria. Tetapi beliau tidak mempunyai akses kepada maklumat sulit dan sensitif yang dimiliki seperti yang didakwa.

Cerita beliau mempunyai hubungan rapat dengan Jeneral Amin Hafiz juga dilihat tidak konsisten. Ini kerana ramai percaya kisah Cohen berhubung rapat dengan Hafiz sebenarnya dicipta oleh pihak Israel. Menurut propaganda mereka, Cohen mula berhubung dengan Hafiz semasa berkhidmat dengan Kedutaan Syria di Argentina. Namun, berdasarkan rekod, rekod perkhidmatan Cohen sama sekali tidak menyamai tempoh masa yang dihabiskan Hafiz di sana.

Bagi Cohen sendiri, penglibatan beliau sebagai perisik Israel terbongkar pada tahun 1965 apabila beliau ditahan pihak berkuasa semasa menghantar mesej kepada penyelianya di Israel. Cohen dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Dataran Marjeh pada 18 Mei 1965. Lokasi mayat beliau masih tidak didedahkan sehingga ke hari ini walaupun wujud permintaan daripada waris-waris beliau untuk membawa mayatnya kembali ke Israel.

2. LAVON AFFAIR

Figure 2: Pinhas Lavon terpaksa meletak jawatan berikutan kegagalan Operasi Susannah.

Pada tahun 1954, Israel melancarkan satu operasi rahsia bernama Operasi Susannah. Menerusi operasi ini, rejim merekrut sekumpulan rakyat Mesir berketurunan Yahudi untuk melakukan siri keganasan membabitkan premis-premis yang dimiliki negara-negara Barat seperti Britain dan Amerika Syarikat. Mereka diberi tugas mengebom panggung wayang, perpustakaan, pusat pendidikan Amerika dan premis yang dimiliki warga Britain. Tujuan operasi ialah mencetuskan situasi huru-hara dalam negara Mesir bagi membolehkan pihak Britain mengekalkan tentera di Terusan Suez dan menyalahkan insiden tersebut kepada Ikhwanul Muslimin, komunis dan kelompok nasionalis.

Namun, operasi yang diketuai Avri Elad dan Avraham Dar tidak berjalan seperti dirancang. Ini kerana serangan bom yang dilancarkan tidak mengundang kemalangan jiwa. Bahkan sebaliknya, empat ejen yang terlibat terbunuh, dua daripadanya membunuh diri sebaik ditahan pihak berkuasa Mesir sementara bakinya dibicarakan dan dihukum bunuh. Dua pegawai Mossad yang memantau operasi iaitu Elad dan Dar berjaya melarikan diri.

Kegagalan operasi tersebut memaksa Menteri Pertahanan Israel pada ketika itu, Pinhas Lavon meletak jawatan pada 17 Februari 1955 dan digantikan bekas Perdana Menteri, David Ben-Gurion. Tidak lama selepas itu, pada 3 November tahun yang sama, Perdana Menteri Israel, Moshe Sharett meletak jawatan dan digantikan oleh Ben-Gurion.

3. NUMEC

Pada tahun 60-an, Syarikat Peralatan dan Bahan Nuklear (NUMEC) merupakan pembekal bahan nuklear dan majikan terbesar bagi penduduk di Apollo, Pennsylvania. Bila ia ditutup pada tahun 1983, pihak berkuasa mendapati beberapa jalan di bandar tersebut mengandungi radiasi. Situasi bertambah buruk apabila penganalisis mendapati syarikat tersebut kehilangan beratus-ratus paun uranium dari loji NUMEC sejak tahun 60-an. Sesetengah pihak percaya bahan tersebut ditanam di bandar tersebut namun ada juga berpandangan kehilangan uranium ini dilakukan oleh pihak Mossad dan ada kaitan dengan pengasas syarikat tersebut, Zalman Shapiro.

Kehilangan 90 kilogram uranium dari loji tersebut tanpa sebarang penjelasan mengundang siasatan Suruhanjaya Tenaga Atom Amerika Syarikat. Pihak perisikan Amerika Syarikat terutama Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengesyaki bahan tersebut diseludup masuk ke Israel untuk menjana tenaga reaktor nuklear Dimona di Israel. Semasa siasatan terus berjalan, sejumlah 180 kilogram uranium hilang dari loji sama di mana mereka mengesyaki bahan tersebut diangkut keluar oleh sebuah syarikat dipanggil ISORAD, sebuah syarikat usahasama antara Shapiro dengan kerajaan Israel. Penyamaran syarikat tersebut ialah menjalankan penyelidikan pengawetan makanan namun mereka sebenarnya mengangkut bahan nuklear masuk ke dalam Israel.

Shapiro sehingga kini menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak pernah didakwa atas tuduhan jenayah. Bagi Israel pula, walaupun mereka berahsia tentang keupayaan nuklear mereka, beberapa pakar mengandaikan mereka memiliki 400 peluru berpandu nuklear dalam gudang senjata mereka.

4. SKANDAL IRAN-KONTRA

Kita semua tahu tentang skandal penjualan senjata untuk tebusan ini. Skandal ini bukan saja mencemarkan nama baik Amerika Syarikat tetapi juga hampir-hampir menyebabkan mendiang Presiden Ronald Reagan dipecat. 11 pegawai pentadbiran beliau turut berhadapan dengan pendakwaan termasuk Kolonel Oliver North, orang yang bertanggungjawab menguruskan penjualan senjata dan penyaluran wang kepada kumpulan Contras di Nicaragua. Tetapi tahukah anda, Israel turut mempunyai cap jari dalam skandal ini.

Seperti kita semua sedia maklum, selepas Revolusi Islam berlaku di Iran, kedua-dua Israel dan Iran saling bermusuhan. Namun sebelum kejatuhan Shah Iran, kedua-dua negara mempunyai hubungan diplomatik yang baik dan Iran turut mengeksport minyak kepada rejim. Berikutan Perang Iran-Iraq yang tercetus angkara Iraq melancarkan serangan pada negara tersebut pada 1980, Iran secara rahsia mula mendapatkan senjata daripada Israel. Walaupun kedua-duanya saling bermusuhan tetapi kedua-duanya mempunyai musuh sama iaitu Saddam Hussein. Selain itu, perjanjian ini berlaku disebabkan pihak Iran memerlukan lebih banyak senjata sementara pihak Israel pula memerlukan wang dan bekalan senjata yang banyak untuk ditukar dalam bentuk wang tunai.

Perjanjian sebegini diketahui pihak Amerika Syarikat berdasarkan memoir mendiang Zbigniew Brzezinski. Brezezinski yang berkhidmat sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat semasa pentadbiran Jimmy Carter menceritakan pentadbiran Carter mengetahui perjanjian ini dan menutup sebelah mata akan apa yang dilakukan kedua-dua negara tersebut. Dan perjanjian ini terbongkar apabila sebuah pesawat membawa senjata dari Iran ke Israel terhempas di Soviet Union berhampiran sempadan Turki pada tahun 1981. Tambah parah, akhbar Britain, The Observer mempunyai bukti perjanjian tersebut berdasarkan dokumen yang diambil dari pengedar senjata Israel yang mempunyai hubungan dengan Mossad, Yaakov Nimrodi. Tidak diketahui siapa sebenarnya yang mencadangkan idea perjanjian rahsia tersebut sama ada pihak Amerika, Israel atau Iran tetapi Nimrodi menyatakan Iran dan Israel yang mencadangkan idea tersebut.

Israel turut mengedarkan senjata kepada kumpulan Contras, kumpulan penentang di Nicaragua dengan membekalkan mereka senjata api yang dirampas daripada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1983 dan 1984. Operasi yang dipanggil Tipped Kettle ini dibiayai oleh Kongres Amerika Syarikat dan mendapat sokongan CIA. Pada tahun 1983 sahaja, 6,000 senjata dijual kepada Contras di mana wartawan melaporkan mereka melihat senjata api yang mempunyai warna padang pasir dan ada tulisan dalam Bahasa Rusia.

Bagi Nimrodi, pembabitan beliau dalam urusan ini menjadikan beliau antara individu terkaya di Israel pada ketika itu. Namun, langit tidak selalu cerah. Pembabitan beliau sebagai orang tengah untuk urusan penjualan senjata Iran-Israel ditamatkan apabila Perdana Menteri Israel pada ketika itu, Shimon Peres mendedahkan Nimrodi dan rakannya, Al Schwimmer sebagai penjual senjata. Peranan mereka diambil alih oleh penasihat keselamatan Peres, Amiram Nir.

5. SKANDAL PASPORT

Penggunaan pasport palsu di negara asing bukanlah perkara asing bagi perisik hari ini. Ini kerana pasport dan segala dokumen berkaitan merupakan identiti penyamaran mereka yang perlu dijaga dengan baik bagi memastikan operasi mereka tidak terbongkar. Tetapi sekiranya pasport yang digunakan sudahlah palsu tetapi juga digunakan untuk operasi berprofil tinggi, maka bersiap sedialah menerima akibatnya. Dan perkara ini berlaku kepada Israel selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Mahmoud al-Mahbouh di Dubai pada 2010.

Bekas pegawai perisikan Mossad, Victor Ostrovsky menceritakan pengalaman beliau bertemu dengan pegawai-pegawai perisikan Mossad yang berupaya bertutur dalam Bahasa Inggeris termasuk mengikut loghat sesebuah negara yang mereka perlu menyamar. Menurut beliau, sesetengah daripada pegawai ini menggunakan identiti rakyat Australia, New Zealand atau Britain dan ia satu amalan biasa dalam Mossad. Berikutan pendedahan Ostrovsky kepada radio Australia, ABC, Canberra memberi amaran kepada Tel Aviv tindakan sebegini boleh menjejaskan hubungan diplomatik yang sedia terjalin. Maklum balas sama turut diberi oleh London, Dublin, Berlin dan Paris yang berang pasport negara mereka digunakan dalam operasi tersebut.

Pendedahan Ostrovsky dinafikan Mossad menerusi kenyataan rasminya tetapi itu tidak menghalang Ostrovsky mendedahkan tindakan Mossad menggunakan enam pasport yang dimiliki warga Britain-Israel dalam operasi-operasi sulit mereka pada tahun 2011 termasuk operasi pembunuhan al-Mahbouh. Berang dengan tindakan ini, Britain menerusi Setiausaha Luarnya, David Miliband bertemu dengan Menteri Luar Israel pada ketika itu, Tzipi Livni dan mendesak kerjasama Israel berhubung siasatan penggunaan pasport palsu tersebut.

Menurut Ostrovsky, melalui kilang pasport Mossad, agensi tersebut membelanjakan banyak wang untuk jabatan penyelidikan untuk memalsukan dokumen perjalanan termasuk menyediakan pasport berdasarkan pasport kosong atau pasport curi dari negara-negara Barat. Ini membantu mereka mengelak dikesan pihak berkuasa terutama di negara-negara Arab.

6. OPERASI PLUMBAT

Selain dikatakan mencuri bahan nuklear dari NUMEC, Mossad turut terlibat menjalankan aktiviti lanun, lebih spesifik mencuri bahan nuklear untuk program nuklear mereka. Dalam satu insiden, Mossad menyediakan sebuah syarikat palsu berpangkalan di Liberia untuk membeli sebuah kapal dagang bernama Scheersberg A. Dalam operasi tersebut, mereka membeli $3.7 juta dolar uranium dari sebuah syarikat Belgium dengan bantuan seorang pegawai syarikat petrokimia Jerman Barat.

Bahan tersebut dilabel sebagai plumbat, sebuah bahan kimia tidak berbahaya sementara krew kapal digantikan oleh ejen-ejen Mossad. Pada November 1968, Scheersberg A sepatutnya menuju ke Genoa, Itali tetapi ejen-ejen tersebut membawa kapal bertemu dengan sebuah lagi kapal dagang Israel yang diiringi dua kapal peronda untuk dipindahkan ke Haifa. Scheersberg A kemudian meneruskan perjalanan ke Turki di mana semua kargo tiada dan beberapa halaman dari log kapal dikoyakkan. Syarikat Itali tersebut kemudian diberitahu untuk membatalkan pesanan mereka berikutan kargo hilang tanpa sebarang penjelasan. Operasi tersebut tidak diketahui umum sehinggalah pada tahun 70-an.

Selain Operasi Plumbat, komando Mossad turut merompak sebuah lori yang membawa kargo uranium pada tahun 1968. Kargo tersebut kemudian dipindahkan ke pangkalan tentera Israel di Negev. Satu siasatan di Amerika Syarikat turut mendedahkan 1 tan uranium dan plutonium antara tahun 50-an hingga 70-an hilang termasuk sejumlah bahan tersebut di sebuah loji di Irvine, Tennessee.

7. “ANGKARA SI DIA, AKU TERPENJARA.”

Figure 3: Mordechai Vanunu ditahan pihak Mossad selepas mengumpannya dengan seorang wanita bernama ‘Cindy’. Sumber: http://www.haaretz.com/israel-news/1.674216

Seorang saintis nuklear Israel bernama Mordechai Vanunu membocorkan maklumat program nuklear Israel kepada akhbar Britain, The Sunday Times pada 1986. Untuk mengelakkan Vanunu ditahan pihak berkuasa Israel, beliau diletakkan dalam sebuah rumah selamat di London dan dinasihatkan untuk berhati-hati semasa di situ. Tetapi di situlah, beliau bertemu dengan seorang pegawai Mossad bernama Cheryl Hanin yang pada ketika itu menyamar sebagai pelancong Amerika bernama Cindy.

Vanunu yang mengesyaki Cindy sebenarnya umpan Mossad mengajukan soalan tersebut kepada ejen itu tetapi dinafikan sekeras-kerasnya. Beliau jatuh hati dengan wanita tersebut tetapi Cindy mahu bersama dengan beliau di Rome, Itali. Sebelum sempat artikel The Sunday Times itu diterbitkan, Vanunu sudah berada di Itali tetapi hasratnya untuk bersama Cindy tidak kesampaian berikutan pihak Mossad menculik dan meletakkan beliau dalam sebuah kapal dagang menuju ke Israel untuk dibicarakan. Semasa dalam pelayaran pulang, Vanunu menyangka Cindy merupakan mangsa seperti beliau tetapi selepas tiga hari, barulah beliau sedar Cindy sebenarnya seorang perisik Israel. Berikutan itu, Vanunu dipenjarakan selama 18 tahun. Bila diminta mengulas penahanan Vanunu, timbalan editor The Sunday Times, Ivan Fallon menyalahkan Vanunu kerana gagal mengawal nafsunya.

Walaupun artikel tersebut diterbitkan pada tahun 1986, ini tidak menghalang pihak Israel menahan wartawan The Sunday Times yang menerbitkan artikel tersebut, Peter Hounam di Baitulmaqdis pada tahun 2004. Walaupun pihak Mossad berjaya merampas semua salinan temubual tersebut tetapi pihak akhbar berjaya menyeludup keluar salinan video temubual dari Israel.

8. MUNICH

Sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan Black September ke atas atlet Israel semasa Sukan Olimpik Munich 1972, Mossad mengadakan Operasi Wrath of God untuk membalas dendam kematian warga mereka. Kisah mereka ini diadaptasi dalam sebuah filem arahan Steven Spielberg, Munich yang diterbitkan pada 2005 menampilkan Eric Bana (Star Trek, Lone Survivor) dan Daniel Craig (Spectre, Lucky Logan).

Bila kita dengar nama operasi ini, nampak seperti satu lagi operasi berprofil tinggi yang berjalan lancar dilakukan oleh Mossad. Namun hakikatnya, banyak perkara buruk berlaku sehingga menjejaskan reputasi agensi tersebut. Pertama, pembunuhan cendekiawan Palestin, Wael Zwaiter pada 16 Oktober 1972. Israel mendakwa Zwaiter merupakan sebahagian daripada dalang plot Black September dan pernah merancang cubaan plot rampasan kapal terbang El Al. Namun, PLO menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Zwaiter kerana pendirian Zwaiter sendiri yang menolak aktiviti keganasan politik.

Kedua, pembunuhan Ahmed Bouchiki di Lillehammer, Norway. Menurut laporan perisikan, individu yang dikatakan dalang Black September, Ali Hassan Salameh berada di Norway. Hakikatnya, Salameh memberi maklumat tersebut dengan tujuan menyukarkan pihak Mossad menjejaki beliau. Mossad termakan umpan Salameh dan menjejaki seorang lelaki yang dikatakan Salameh namun hakikatnya, lelaki tersebut mempunyai rupa mirip Salameh. Pemberi maklumat Mossad yang menyangka Bouchiki ialah Salameh sebenarnya seorang warga Algeria bernama Kemal Benamane yang bertindak sebagai kurier Black September sebelum berpaling tadah sebagai pemberi maklumat agensi tersebut. Ketua operasi, Mike Harari yakin bahawa individu tersebut ialah Salameh segera mengumpulkan pasukannya dan membunuh Bouchiki pada 21 Julai 1973. Pada ketika itu, Bouchiki dalam perjalanan pulang dari panggung wayang bersama isterinya yang sarat mengandung.

Tindakan pasukan Mossad ini membunuh Bouchiki menarik perhatian pihak berkuasa Lillehammer kerana berdasarkan rekod, tiada kes pembunuhan berlaku di situ selama 40 tahun. Daripada 15 ejen terlibat termasuk Harari, enam berjaya ditahan pihak berkuasa di mana mereka turut menemui rumah selamat dan dokumen perjalanan yang digunakan. Berikutan pendedahan maklumat oleh ejen-ejen Mossad yang ditahan ini kepada pihak perisikan Norway, maklumat ini dikongsi dengan semua agensi perisikan Eropah lain. Ini memaksa Mossad memanggil pulang ejen-ejen yang menyamar, meninggalkan rumah selamat mereka, menukar nombor telefon dan mengubah semua kaedah operasi mereka.

Bagi ejen-ejen yang ditahan, mereka dibicarakan dan dihukum penjara antara setahun hingga enam tahun sebelum dihantar pulang ke Israel. Bagi Harari sendiri, dia berjaya melepaskan diri dan tidak pernah diekstradisi ke Norway. Bagi Salameh pula, beliau dibunuh menerusi bom kereta di Beirut pada 22 Januari 1979 yang membunuh empat pengawal peribadinya dan empat orang awam termasuk seorang pelajar warga Britain dan seorang biarawati warga Jerman. Insiden tersebut turut mencederakan 18 orang warga Lubnan dan Palestin. Walaupun enggan bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Lillehammer, Tel Aviv memberi pampasan sebanyak $283 ribu kepada keluarga Bouchiki dan $118 ribu kepada anak lelaki Bouchiki dari perkahwinan terdahulu.

Namun, peranan Salameh sebagai dalang Black September ternyata kecil saja. Ini kerana dalang sebenar kumpulan tersebut ialah seorang komander PLO bernama Mohammad Oudeh atau lebih dikenali sebagai Abu Dawoud. Oudeh kembali semula ke Palestin pada tahun 1996 selepas termeterainya Perjanjian Oslo. Beliau kemudian menulis sebuah memoir yang mendedahkan peranan sebenarnya dalam Black September yang diterbitkan pada tahun 1999. Oudeh kini dikatakan menetap di Syria.

9. NASRALLAH

Figure 4: Antara pemimpin pergerakan yang dibenci Israel ialah Hassan Nasrallah.

Sesiapa yang membaca pasti mengenali nama ini. Inilah individu yang buat Israel tidak tidur lena pada waktu malam iaitu pemimpin Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah. Justeru, tidak hairanlah mengapa pihak Mossad sentiasa mencari peluang untuk menangkap atau membunuh beliau. Dan peluang tersebut terhidang apabila Perang Julai atau Perang Lubnan Kedua tercetus pada 12 Julai 2006. Semasa jet-jet Israel membedil selatan Lubnan dan Beirut, Mossad mendakwa mereka berjaya menawan tentera-tentera Iran yang membantu pihak Hizbullah dalam perang tersebut. Selain itu, mereka turut mendakwa berjaya menahan Nasrallah semasa perang tercetus.

Namun, inilah saat yang menjadikan Mossad sebagai bahan ketawa di Timur Tengah. Ini kerana lelaki yang disangka Sheikh Hassan Nasrallah itu sebenarnya seorang petani biasa saja. Dan kesalahan lelaki tersebut ialah memiliki nama sama dengan pemimpin Hizbullah itu. Begitu juga dengan dakwaan mereka menawan tentera-tentera Iran itu sebenarnya palsu. Kegagalan sebegini memperlihatkan kegagalan Mossad menganalisis kekuatan dan kelemahan Hizbullah termasuk membunuh pemimpin wilayah atau kebangsaan Hizbullah walaupun banyak kali mengancam mereka di media arus perdana.

10. PENGEBOMAN BEIRUT 1983

Figure 5: Naib Presiden, George H.W. Bush meninjau kerosakan akibat serangan bom di Beirut pada tahun 1983.

 

Figure 6: Kerosakan pada berek Tentera Marin Amerika Syarikat akibat serangan bom di Beirut pada tahun 1983.

Pada tahun 1983, dua pengebom bunuh diri meletupkan diri mereka dalam dua buah lori penuh dengan bahan letupan di berek Tentera Marin Amerika Syarikat yang membunuh 240 orang. Insiden ini ialah insiden kehilangan nyawa terburuk bagi pihak Marin selepas Pertempuran Iwo Jima, bagi pihak tentera selepas Insiden Tet di Vietnam dan serangan pengganas terburuk sebelum serangan 11 September. Menurut Ostrovsky, Mossad sebenarnya mengetahui serangan tersebut lebih awal menerusi pemberi maklumat mereka. Menurut pemberi maklumat tersebut, Hizbullah atau Jihad Islam (kumpulan yang dikaitkan dengan Hizbullah) mengisi lori tersebut dengan bahan letupan tetapi maklumat tersebut sengaja disimpan oleh Pengarah Mossad, Nahum Admoni.

Ostrovsky memberitahu dalam bukunya, By Way of Deception, Admoni memberitahu ejen-ejen agensi tersebut, “Kita bukannya mempertahankan orang Amerika. Mereka sebuah negara besar. Bagi saja maklumat biasa kepada mereka.” Pada masa sama, kita perlu ingat kawalan keselamatan di pangkalan tersebut agak longgar dan ditambah pula dengan tiada sebarang amaran tentang serangan membuatkan pihak tentera leka dan cuai.

11. MEHDI BEN-BARKA

Figure 7: Mehdi Ben-Barka menjadi sasaran pembunuhan Raja Hassan kerana kelantangannya dan pendirian sosialisnya.

Dunia ketiga mengenali Mehdi Ben-Barka sebagai pemimpin Parti Sosialis Maghribi tetapi bagi kepimpinan Maghribi pada ketika itu, Ben-Barka ialah satu ancaman kepada mereka. Lalu, Raja Hassan meminta Menteri Dalam Negeri, Jeneral Muhammad Oufkir untuk menguruskan Ben-Barka. Oufkir yang mempunyai hubungan rapat dengan Pengarah Mossad ketika itu, Meir Amit meminta bantuan agensi tersebut dalam usaha membunuh pemimpin sosialis tersebut. Mossad menerima cadangan tersebut kerana melihat Maghribi sebagai negara Arab pro-Barat yang boleh dijadikan sekutu dan menjaga kepentingan orang Yahudi di negara tersebut.

Peranan Mossad dalam operasi ini tidak seberapa iaitu mengesan kedudukan Ben-Barka dan mengenalpasti rutin harian beliau semasa duduk dalam buangan di Geneva, Switzerland. Namun ibarat beri betis, mahukan peha, pihak Maghribi mahukan Mossad memberikan mereka akses kepada rumah selamat, dokumen perjalanan, alat penyamaran, solekan dan mengekori Ben-Barka ke mana saja beliau pergi. Tatkala itulah, wujud dilema dalam kalangan kepimpinan Mossad kerana beliau turut mempunyai hubungan baik dengan mereka dan menyanjung Israel, sekaligus mengundang persoalan patutkah mereka memberi amaran akan plot pembunuhan tersebut. Bagai menyedari keengganan Israel untuk meneruskan plot tersebut, Maghribi meneruskan operasi dan memaksa Mossad memberi perlindungan keselamatan kepada ejen mereka, Ahmad Dlimi di Paris.

Ben-Barka diumpan untuk satu perjumpaan bersama seorang wartawan Perancis di sebuah kafe, ditahan oleh dua polis Perancis yang disyaki ejen perkhidmatan perisikan Perancis dan dibawa ke sebuah apartmen. Di sinilah, beliau diseksa berjam-jam sebelum ejen-ejen Maghribi secara tidak sengaja melemaskan beliau dalam air. Panik, mereka berhubung dengan pihak Mossad di mana agensi tersebut menghantar pasukan pembersih untuk menanam mayat dan menghilangkan mayat dengan bahan kimia yang memberi reaksi kuat pada air dan mayat.

Bagi keluarga Ben-Barka, mereka mengesyaki pembunuhan beliau didalangi oleh tiga atau empat agensi perisikan, CIA, Mossad, perisikan Perancis dan perisikan Maghribi. Bagi pihak Maghribi, mereka enggan bekerjasama berkenaan kes pembunuhan ini termasuk menolak permohonan kebenaran dari penyiasat Perancis untuk menyoal individu-individu terlibat. Pada tahun 2005, Perancis menyatakan mereka bersedia untuk mengeluarkan waran tangkap antarabangsa untuk semua individu terlibat tetapi gagal melakukannya. Pada 1 Oktober 2009, pihak Perancis menyenaraikan empat individu dalam senarai individu dikehendaki Interpol iaitu Ketua Polis Maghribi, Jeneral Hosni Benslimane, bekas ketua perkhidmatan perisikan Maghribi, Abdelkader Kadiri, Abdelkak Achaachi, perisik dan Mioud Tounsi, individu disyaki terlibat dalam plot penculikan Ben-Barka. Namun, senarai tersebut ditarik balik sehari kemudian di mana keluarga beliau mengesyaki penglibatan Presiden Perancis ketika itu, Nicolas Sarkozy dalam penarikan senarai tersebut.

12. KHALED MESHAAL

Figure 8: Kegagalan cubaan bunuh Khaled Meshaal merosakkan prestij Mossad dan merosakkan imej Israel dengan negara-negara lain.

Pada September 1997, Perdana Menteri Israel yang baru dipilih, Benjamin Netanyahu mahu membunuh pemimpin kanan Hamas, Khaled Meshaal sebagai tindak balas kepada serangan bom bunuh diri di sebuah pasar di Baitulmaqdis yang membunuh 16 warga Israel dan mencederakan 169 orang pada Julai tahun yang sama. Mahu mengelak insiden memalukan yang pernah berlaku pada masa silam, seorang saintis mencadangkan kepada beliau untuk membunuh Meshaal dengan menggunakan sejenis racun yang boleh membunuh jika bersentuhan tetapi tidak dapat dikesan dalam proses bedah siasat.

Netanyahu mengerahkan unit Kidon, satu unit elit dalam Mossad untuk melakukan pembunuhan tersebut. Dua ejen berkenaan, Sean Kendall dan Barry Beads diberi tugas mengganggu perhatian dengan tin Coca Cola yang meletup dan menyembur racun ke arah beliau semasa Meshaal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pusat Shamiah. Bila dua ejen ini cuba menghampiri Meshaal, anak perempuannya melompat keluar dari kereta SUV, memaksa beliau dan pengawal peribadinya mengejarnya. Ketua ejen memberi isyarat untuk membatalkan operasi tetapi ia tidak disedari Kendall dan Beads. Bila mereka menghampiri Meshaal, Kendall cuba meletupkan Coca Cola tetapi tiada apa yang berlaku. Sementara Beads cuba menyembur Meshaal tetapi disedari pemandunya yang menyerangnya dengan surat khabar. Beads bagaimanapun berjaya menyembur beberapa titik dalam telinga Meshaal sebelum beliau berjaya melarikan diri.

Bila kedua-dua ejen ini cuba melarikan diri bersama baki unit mereka, mereka berjaya ditahan pihak berkuasa Jordan. Dan bila plot cubaan bunuh tersebut didedahkan, ini mencetuskan kemarahan di peringkat antarabangsa dan merenggangkan hubungan Israel-Jordan. Raja Hussein bin Talal yang murka dengan insiden tersebut mengancam akan memenjarakan kelapan-lapan ejen tersebut melainkan Israel memberi penawar kepada racun Meshaal. Selain memberi penawar kepada Meshaal, Jordan dan Palestin terutama Hamas turut menuntut pembebasan beberapa warga mereka yang dipenjarakan di Israel. Israel membebaskan sembilan warga Jordan dan 61 warga Palestin termasuk pengasas pergerakan Hamas, Sheikh Ahmed Yassin. Selepas itu, barulah kelapan-lapan perisik Mossad itu dilepaskan dengan Kendall dan Beads diserahkan kepada Kedutaan Kanada. Selain menghadapi kemarahan pihak Jordan, Netanyahu turut dikecam kerajaan Kanada kerana ejen-ejen tersebut menggunakan pasport palsu Kanada dalam operasi tersebut.

SUMBER:

1. Abu Khalil, As’ad. (2010). Al-Jazeera English. Mossad: might or myth. http://www.aljazeera.com/focus/2010/03/2010323303192667.html

2. Tormsen, David. (2015) Listverse.com. 10 Controversial Mossad Operations. http://listverse.com/2015/11/06/10-controversial-mossad-operations/

3. Wise, David. (1990). The New York Times. What Did Mossad Know, and When? http://www.nytimes.com/1990/10/07/books/what-did-mossad-know-and-when.html?pagewanted=all

4. Blair, David. (2012). The Telegraph. Khaled Meshaal: How Mossad bid to assassinate Hamas leader ended in fiasco. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/middleeast/palestinianauthority/9730669/Khaled-Meshaal-How-Mossad-bid-to-assassinate-Hamas-leader-ended-in-fiasco.html

5. Gilroy, Harry. (1964). The New York Times. Account of Lavon Affair, Controversial Issue in Israeli Politics, Included in New Book by an American. http://www.nytimes.com/1964/03/29/account-of-lavon-affair-controversial-issue-in-israeli-politics-included-in-new-book-by-an-american.html?mcubz=1

6. Johnson, Scott C. (2015). Foreign Policy. What Lies Beneath. http://foreignpolicy.com/2015/03/23/what-lies-beneath-numec-apollo-zalman-shapiro/

7. Samuel, Henry. (2009). The Telegraph. French secret services accused of link to murder of Ben Barka. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/france/6339205/French-secret-services-accused-of-link-to-murder-of-Ben-Barka.html

8. Brittain, Victoria. (2001). The Guardian. Ben Barka killed with French help. https://www.theguardian.com/world/2001/jul/02/victoriabrittain

9. Gilmore, Inigo. (2004). The Telegraph. Vanunu claims he asked Mossad ‘honey trap’ if she was a spy. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/middleeast/israel/1463230/Vanunu-claims-he-asked-Mossad-honey-trap-if-she-was-a-spy.html

10. Owen, Jonathan. (2010). The Independent. ‘Fake identity’ Brits warned that their lives are in danger. http://www.independent.co.uk/news/world/middle-east/fake-identity-brits-warned-that-their-lives-are-in-danger-1905971.html

11. Gardham, Duncan. (2010). The Telegraph. Dubai Hamas assassination: how it was planned. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/middleeast/dubai/7251960/Dubai-Hamas-assassination-how-it-was-planned.html

12. Weymouth, Lally. (1986). The Washington Post. Yaacov Nimrodi: A Tale Of Arms and the Man. https://www.washingtonpost.com/archive/opinions/1986/12/14/yaacov-nimrodi-a-tale-of-arms-and-the-man/bd0ebc20-660f-4e9a-8f5e-4495eb1a4534/?utm_term=.6aaf425b9fbe

13. IRAN-CONTRA REPORT; Arms, Hostages and Contras: How a Secret Foreign Policy Unraveled. (1987). The New York Times. http://www.nytimes.com/1987/11/19/world/iran-contra-report-arms-hostages-contras-secret-foreign-policy-unraveled.html

14. Sperling Jr, Godfrey. (1987). The Christian Science Monitor. The Iran affair – and Reagan’s close ties with Israel. https://www.csmonitor.com/1987/0120/eties-f.html

15. Cowell, Alan. (1997). The New York Times. The Daring Attack That Blew Up in Israel’s Face. http://www.nytimes.com/1997/10/15/world/the-daring-attack-that-blew-up-in-israel-s-face.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply