10 Perkara Yang Jangan Dilakukan Sebelum Tidur

0
1775
views

Selepas mengharungi rutin harian yang memenatkan, pasti kita inginkan tidur yang lena. Tapi ada masanya, agak sukar untuk kita mendapat rehat secukupnya apatah lagi sekiranya pekerjaan kita memerlukan kita berjaga lewat atau tabiat kita sendiri yang mempengaruhi kelenaan semasa tidur. Justeru, mari kita kenali apa tabiat yang kita seharusnya tidak lakukan sebelum tidur.

  1. BAWA TEKNOLOGI KE BILIK TIDUR
Figure 1: Menggunakan alat seperti telefon pintar dan komputer riba boleh menjejaskan kualiti tidur.

Teknologi merupakan satu lumrah dalam kehidupan kita dan banyak membantu dalam setiap aspek kehidupan. Tapi jika anda ambil keputusan untuk menggunakannya dalam bilik tidur, anda sebenarnya menjejaskan peluang untuk mendapat tidur yang lena. Lebih-lebih lagi sekiranya anda menggunakan alat yang mempunyai skrin seperti komputer riba, tablet atau telefon pintar.

Menurut Robert Rosenberg, penulis buku Sleep Soundly Every Night, Feel Fantastic Every Day mencadangkan mana-mana individu mengelak daripada pendedahan alat-alat ini sejam sebelum tidur. Menurut beliau, cahaya biru yang keluar dari komputer, televisyen, tablet atau telefon pintar menghalang pengeluaran hormon melatonin, sejenis hormon yang memberitahu tubuh badan manusia bahawa sudah tiba masanya untuk tidur. Akibatnya, ini akan menyebabkan seseorang individu mengambil masa untuk tidur dan sekiranya berterusan, ia boleh menjejaskan jam dalaman manusia untuk jangka masa panjang.

Bagi yang gemar melayari media sosial, ada satu statistik untuk anda. 10% remaja berusia antara 13-18 tahun terjaga selepas mereka tidur hampir setiap malam apabila mendapat mesej, panggilan telefon atau e-mel. Sementara satu daripada lima responden berusia antara 13-29 tahun pula mengakui perkara ini berlaku beberapa kali dalam seminggu.

Bagi penggemar permainan komputer atau telefon bimbit, ketahuilah permainan sebegini sebenarnya lebih menyukarkan anda untuk tidur berbanding membantu anda tidur. Menurut saintis, aktiviti sebegini yang memerlukan perhatian dan banyak stimulasi seperti permainan video boleh mengaktifkan otak individu, sekaligus menyukarkannya untuk mendapat tidur lena yang dimahukan.

  1. MEMAKSA DIRI TIDUR

Agak menjengkelkan apabila kita merasa letih selepas mengharungi rutin seharian tetapi sukar untuk kita melelapkan mata. Makin kita cuba melelapkan mata, makin ia sebenarnya menyebabkan kita terjaga. Tindakan cuba memberi fokus untuk tidur tidak akan membantu kita tidur lena. Menurut pakar tidur, Raj Dasgupta, beliau menasihatkan individu yang mengalami masalah ini untuk bangun dari tempat tidur dan melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menenangkan dirinya seperti membaca buku atau mendengar muzik menenangkan. Dasgupta menyatakan, bila mana kita memaksa diri kita untuk tidur, minda kita sebenarnya akan dipaksa bekerja lebih keras dan mudah merasa kecewa.

  1. BERGADUH
Figure 2: Bertekak sebelum tidur bukan saja menjejaskan kualiti tidur tetapi menjejaskan kualiti hubungan manusia terutama suami isteri.

Ini biasa kita dengar dalam kalangan agamawan atau pakar motivasi berkenaan perkara ini. Mereka selalunya menasihatkan kita agar tidak bergaduh sebelum tidur, tidak menyimpan dendam dan berusaha memaafkan diri sendiri dan orang lain. Perkara ini juga membuatkan seorang individu mendapat gelaran ahli syurga oleh Rasulullah s.a.w dalam satu hadis. Nasihat ini sebenarnya ada benarnya kerana bila minda kita dibelenggu dengan konflik sama ada dengan orang tersayang atau orang lain, ia sebenarnya menaikkan beberapa tahap kortisol dan hormon stres yang menggugat kenyenyakan tidur kita. Menurut Rosenberg, ia boleh membawa kepada insomnia. Malah, sekiranya kita tidur dalam keadaan kita masih lagi berkonflik, ia sebenarnya menyukarkan kita tidur kerana peristiwa tersebut akan terus bermain dalam kepala dan membebankan lagi minda kita yang cuba berehat. Justeru, sekiranya ada perbincangan penting, ingatkan pada diri sendiri, jangan adakan diskusi sebelum tidur!

  1. BERSENAM

 

Figure 3: Sebelum tidur, elakkan melakukan senaman berat. Sebaliknya pilih yoga atau senaman berbentuk regangan untuk bantu anda tenang.

Bagi yang suka bersenam, semua tahu akan faedahnya. Daripada menyuntik semangat motivasi bila bangun pagi hingga mengelak kemurungan, senaman merupakan satu aktiviti yang bagus. Tapi jika anda fikir ia juga baik untuk tidur anda, salah! Mengapa? Menurut pakar, bagi yang suka bersenam pada lewat petang atau sebelum tidur, ia sebenarnya menaikkan suhu badan anda terutama bila anda melakukan senaman kardiovaskular dan menyebabkan badan menjadi aktif. Akibatnya, ini menyukarkan anda untuk mendapat tidur lena yang dimahukan. Tetapi jika ada yang masih berkeras nak bersenam sebelum tidur, apa kata anda ubah rejim senaman kepada yoga atau aktiviti regangan. Menurut pakar, aktiviti-aktiviti sebegini membantu anda tenang dan berehat sebaiknya.

  1. MINUM BANYAK AIR
Figure 4: Proses hidrasi seharusnya dilakukan sepanjang hari, bukan sebelum masuk tidur.

Kita akui kepentingan hidrasi dalam kehidupan terutama dari aspek kesihatan. Tetapi pakar tidak menggalakkan anda minum air sebelum tidur terutama dalam kuantiti yang banyak. Jika anda nak meneruskan, silakan tetapi jangan marah jika badan anda bangun pada waktu tengah malam semata-mata untuk membuang air kecil atau besar. Menurut Michael Grandner, seorang pengajar psikiatri di Universiti Pennsylvania, anda boleh kekal hidrat dengan minum air sepanjang hari dan pergi ke tandas walaupun tiada tanda ‘panggilan alam’ pada tubuh anda.

  1. MINUM MINUMAN BERKAFEIN
Figure 5: Kopi mengandungi 80-120 miligram kafein.

Bagi sesetengah orang, kita ada ritual tersendiri termasuk minuman sebelum tidur. Bagi sesetengah, ada yang menggemari minuman berkafein seperti teh dan kopi sebagai minuman terakhir sebelum masuk tidur. Nasihat pakar, hentikan tabiat sebegini. Menurut Grandner, secawan kopi mengandungi 80-120 miligram kafein dan boleh kekal dalam tubuh manusia selama 12 jam. Teh juga seharusnya dielakkan kerana ini juga merupakan salah satu sumber utama kafein. Dan jika anda tetap meneruskan tabiat ini, anda sebenarnya merosakkan peluang mendapat tidur nyenyak.

  1. COKLAT.

Siapa tak suka coklat tetapi tahukah anda, coklat juga turut mengandungi kafein. Lebih-lebih lagi sekiranya coklat tersebut ialah coklat gelap yang mengandungi kandungan koko yang tinggi. Menurut Grandner, makanan sebegini nampak tak mengganggu tidur individu tetapi bagi individu yang sensitif dengan kafein, ia sudah cukup untuk membuatkannya aktif dan menyukarkannya mendapat tidur lena. Selain mengandungi kafein, coklat turut mengandungi theobromin, sejenis bahan yang boleh meningkatkan kadar degupan jantung dan menyebabkan individu tidak mengantuk.

  1. MAKANAN PEDAS/BERLEMAK

Siapa tak suka makanan pedas atau berlemak? Makanan sebegini bisa membuatkan orang kekenyangan atau makan seperti raja. Tetapi tahukah anda, makanan ini juga berpotensi membuatkan perut anda tidak selesa. Dan sekiranya anda tidur pada waktu malam, ini pengacau berpotensi yang memaksa anda bangun pada tengah malam dan pergi ke tandas. Menurut Grandner, makan malam yang ideal ialah dua jam sebelum tidur atau lewat petang. Ini sebenarnya memberi peluang kepada perut untuk mencerna makanan pada waktu tersebut. Bagi yang gemar makan sebelum tidur, pilih makanan yang membantu anda tidur seperti segelas susu. Jika anda tidak berhati-hati tentang soal ini, anda bukan saja berhadapan isu sukar tidur lena tetapi juga isu berat badan berlebihan!

  1. MEROKOK
Figure 6: Jika anda nakkan tidur lena yang baik untuk kesihatan, berhenti merokok!

Saya rasa semua tahu akan keburukan merokok tetapi tahukah anda, ia juga berpotensi merosakkan tidur malam anda. Menurut Grandner, sesetengah perokok melihatnya sebagai cara untuk menenangkan diri mereka tetapi nikotin dalam rokok berperanan sebagai perangsang untuk mendorong badan aktif, sekaligus boleh menyebabkan insomnia. Dan ini bertambah buruk sekiranya ada perokok merokok sebelum masuk tidur. Dan apabila badan mengeluarkan nikotin dari badan, ini memaksa si perokok untuk bangun lebih awal dari waktu sebenar mereka harus bangun pada waktu pagi. Jika anda rasa mesej ini hanya pada perokok saja, anda salah. Bagi yang suka menggunakan vape atau rokok elektronik, mengunyah tembakau menghisap paip atau cerut dan memakai pelekat nikotin seperti yang digunakan Sherlock Holmes dalam siri televisyen BBC, Sherlock, ia sebenarnya terpakai pada anda juga. Tidur lena merupakan alasan terbaik bagi anda untuk berhenti merokok demi diri sendiri dan orang tersayang.

  1. BINATANG PELIHARAAN
Figure 7: Tidur bersama binatang peliharaan memang seronok tetapi bersiaplah dengan kerenahnya sehingga membuatkan kita terbangun tengah malam.

Semua orang pasti ada binatang peliharaan masing-masing yang bisa menceriakan kehidupan masing-masing. Tapi jika anda rasa idea tidur bersama binatang peliharaan idea yang bijak, anda salah. Menurut Grandner, gelagat binatang ini pada waktu malam pasti membuatkan anda terbangun pada tengah malam. Berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh Universiti Kansas, 63% responden melaporkan mereka sukar tidur bila berkongsi katil dengan binatang kesayangan mereka. Dan jika anda mengalami masalah alahan atau pernafasan seperti lelah, tidur dengan binatang peliharaan bukanlah satu idea yang bijak kerana ia boleh menjejaskan kualiti tidur anda.

SUMBER

  1. MacMillan, Amanda. (2015). Health.com. 20 Things You Shouldn’t Do Before Bed. http://www.health.com/mind-body/20-things-you-shouldn-t-do-before-bed#sneaky-sleep-saboteurs
  2. Brodwin, Erin. (2016). Business Insider. The Independent. The Three Best Habits for Healthy, Restful Sleep, According to A Sleep Scientist. http://www.independent.co.uk/life-style/the-three-best-habits-for-healthy-restful-sleep-according-to-a-sleep-scientist-a7383456.html
  3. Vesey-Byrne, Joe. (2017). Indy100.com. The Independent. The 6 things you should never do before going to bed. https://www.indy100.com/article/sleeping-tips-restful-sleep-cycle-rem-help-top-tips-bed-7869246

 

 

Previous articleKekeliruan Sejarah Melayu
Next articleMelayu Bangsa Pelaut Agung Dalam Sejarah
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.