Mari kita rakyat Singapura
Sama-sama menuju bahagia
Cita-cita kita yang mulia
Berjaya Singapura…..

Bait-bait di atas merupakan sebahagian daripada lagu kebangsaan Singapura. Sebahagian besar rakyat Singapura mungkin mengetahui siapakah pencipta lagu tersebut. Namun, bagi masyarakat Malaysia, mungkin nama beliau jarang didengari walaupun beliau merupakan antara figura terpenting di rantau nusantara ini.

Insan di sebalik penciptaan lagu Singapura ini tidak lain dan tidak bukan ialah Zubir Said. Dilahirkan di Fort De Kock (Bukit Tinggi, Sumatera kini) pada 22 Julai 1928. Bapanya merupakan seorang konduktor kereta api yang juga merupakan seorang ketua kampung. Ibunya pula meninggal dunia ketika umur beliau berusia tujuh tahun.

Minat Zubir Said terhadap muzik sejak beliau di bangku sekolah lagi. Bakat Pak Zubir mula dikesan oleh guru sekolah beliau ketika beliau menuntut di sekolah rendah. Gurunya itu mengajar Pak Zubir bermain muzik dengan menggunakan melalui sistem solmisasi. Sistem solmisasi ialah sistem dimana suku kata berbeza ke setiap not di dalam skala muzik. Ketika waktu senggang, Pak Zubir juga sering bermain alat muzik yang diukir oleh beliau sendiri seperti seruling. Di alam sekolah menengah, Pak Zubir juga serin bermain gitar bersama kumpulan muzik beliau sendiri.

Disebabkan oleh faktor kewangan keluarga, setelah mengakhiri alam persekolahannya, Pak Zubir melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan beliau. Beliau mula bekerja sebagai buruh di sebuah kilang. Kemudiannya, beliau bekerja sebagai penaip penterjemah. Semasa bekerja sebagai penaip penterjemah, Pak Zubir menyertai sebuah kumpulan keroncong dan mula belajar bermain biola melalui kawannya.

Suatu hari, selepas Pak Zubir menyelamatkan kebakaran di tempat kerjanya, seorang pegawai Belanda telah mengatakan kepada beliau bahawa masa depannya lebih cerah di dalam arena muzik. Pak Zubir kemudiannya meletakkan jawatan beliau sebagai penaip penterjemah lalu menumpukan perhatian beliau kepada kumpulan keronchonnya.

Kumpulan Keronchong beliau telah membuat persembahan di dari satu kampung ke satu kampung yang lain sehingga menyebabkan kumpulannya itu terkenal di Sumatera. Kumpulan Keronchong beliau itu juga sering mengadakan persembahan di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Namun, minat Pak Zubir itu ditentang oleh bapanya. Bapanya lebih gemar jika Pak Zubir menjadi pegawai kerajaan Belanda berbanding bermain muzik. Ini kerana pada masa itu, muzik dikatakan membawa pengaruh yang buruk terhadap masyarakat. Oleh kerana Pak Zubir kecewa terhadap pendirian bapanya itu, Pak Zubir nekad untuk berhijrah ke Singapura bagi mengembangkan kariernya.

Pada 1928, Pak Zubir ke Singapura dengan manaiki kapal kargo tanpa pengetahuan bapanya. Setibanya di sana, Pak Zubir bekerja sebagai pemain violin di dalam sebuah kumpulan bangsawan yang diberi nama City Opera. Mereka sering mengadakan persembahan di Happy Valley, Tanjong Pagar. Semasa di dalam kumpulan tersebut, Pak Zubir mula belajar cara-cara untuk menulis dan membaca not-not lagu. Pada 1936, His Master Voice telah melantik Pak Zubir untuk menjadi penyelia rakaman di syarikat rakaman tersebut. Beliau juga turut ditugaskan untuk mencari bakat-bakat baru sepanjang beliau bekerja di sana.

Apabila perang meletus, Pak Zubir membawa keluarganya lari ke Sumatera . Pak Zubir sering mengadakan persembahan untuk mengiburkan askar-askar Jepun.  Sekembalinya beliau ke Singapura pada 1947, Pak Zubir bekerja sebagai jurugambar bebas di Utusan Melayu selama dua tahun. Beliau kemudiannya bekerja sebagai komposer lagu di Malay Film Productions, Jalan Ampas. Chinta ialah filem pertama yang menggunakan lagu beliau dan filem tersebut mendapat kutipan box office. Setahun kemudian, beliau berpindah ke Cathay Keris kerana diundang oleh syarikat tersebut yang kebetulan sedang mencari penggubah lagu.

Sepanjang 14 tahun beliau bekerja di Cathay-Keris, beliau telah menghasilkan banyak lagu-lagu latar dalam filem filem keluaran studio tersebut seperti Hilang Gelap Timbullah Terang, Dang Anom, Chuchu Dato Merah dsb. Antara kejayaan paling bermakna buat beliau sepanjang berkecimpung dalam perfileman melayu klasik ialah apabila karya beliau di dalam Dang Anom telah dinobatkan sebagai “Best Folk Song” di Pesta Filem Asia ke 9 di Seoul. Ini merupakan titik tertinggi kejayaan beliau sejak beliau memulakan karier sebagai penggubah lagu sejak 1939 dengan lagu “Bunga Telur Nasi Minyak”. Pada 1964, beliau bersara daripada industri muzik. Selepas persaraanya, Pak Zubir juga sering mengadakan ceramah di universiti-universiti tempatan.

Pada 1958, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Singapura, Ong Pan Boon telah mengusulkan kepada beliau untuk mencipta sebuah lagu bagi majlis rasmi di Victoria Theater yang diberi judul Majulah Singapura. Setelah Singpura mula berkerajaan sendiri pada 1959, lagu tersebut telah dicadangkan untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan. Setelah pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965, lagu tersebut telah dijadikan sebagai lagu kebangsaan. Semasa pelancaran lagu tersebut pada 1958, Bapa Pak Zubir, Muhammad Said Sanang telah dibawa khas bagi menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut. Dengan perasaan hiba dan gembira, Pak Zubir telah didakap oleh bapanya lalu mengucapkan tahniah kepada anaknya itu.

Pada tanggal 16 November 1987, Pak Zubir telah meninggal dunia di dalam tidur di rumahnya, Joo Chiat Road. Sesungguhnya lagu kebangsaan Singapura itu sungguh ikonik kerana ianya lahir daripada hati dan ilham Pak Zubir sendiri dan bukannya menyadur daripada mana-mana lagu. Kata Pak Zubir  “Lagu Majulah Singapura bukanlah lagu filem atau romantik. Sebaliknya ia merupakan lagu istimewa. Kerana itulah ianya ditulis dengan bahasa yang ringkas, mudah untuk dinyanyikan dan difahami oleh segenap masyarakat” Sepanjang hidup beliau, Pak Zubir telah dianugerahkan pelbagai anugerah bagi menghargai sumbangan beliau. Pada 2009, sebuah jalan diberi nama Zubir Said Drive yang terletak berhampiran Bangunan Cathay bagi mengingati sumbangan beliau.

Sumber-Sumber:

  1. Arkib Akhbar Singapura
  2. NLB Resource
  3. Berita Harian 10 Mac 1990.
  4. Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
  5. Roots. Sg.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.