Sewaktu Hernan Cortes dan tentera-tenteranya memasuki ibu kota Aztec, iaitu Tenochtitlan pada tahun 1519 M, mereka menemui banyak khazanah agung milik tamadun tersebut. Antaranya seperti piramid-piramid megah, emas, dan perak. Namun, terdapat satu lagi khazanah yang mengejutkan mereka – iaitu sebuah taman yang dipenuhi flora dan fauna. Pada hari ini, khazanah tersebut dikenali sebagai zoo Montezuma.

Sejak berkurun-kurun lamanya, taman legenda yang kononnya dipenuhi dengan berbagai jenis tumbuhan dan haiwan milik tamadun Aztec hanya dianggap sebagai dongengan semata-mata. Namun, berkat penemuan yang dilakukan oleh Elsa Hernandez dan pasukan-pasukan arkeologis lain yang menjumpai sebuah tapak Aztec (Mexica) yang sangat unik di pinggir Bandar Mexico, legenda tersebut tidak lagi diragui kebenarannya.

BILIK BERMEDITASI DAN ZOO LEGENDA YANG HILANG

Semasa kerja-kerja pengubahsuaian sebuah bangunan era-kolonial di Bandar Mexico dijalankan, pakar-pakar menjumpai sejumlah kepingan tembok dan lantai batu basalt yang dipercayai merupakan sebahagian daripada bilik gelap tempat Montezuma (Moctezuma) bermeditasi. Bilik itu sendiri adalah sebahagian daripada kompleks istana Montezuma, yang dikenali sebagai Casas Nuevas, atau Rumah-Rumah Baru (bagi membezakannya dengan istana raja-raja terdahulu). Istana tersebut dipercayai terdiri daripada lima buah bangunan yang saling bersambungan antara satu sama lain – iaitu pejabat maharaja, bilik-bilik kediaman para putera dan isteri maharaja, dan sebuah zoo.

Pasukan arkeologis juga menjumpai lantai basalt yang dipercayai berasal dari Casa Denegrida atau Rumah Hitam. Penjajah-penjajah Sepanyol mencatatkan tempat tersebut sebagai sebuah bilik yang bercat hitam tanpa mempunyai sebarang jendela. Di bilik inilah Montezuma merenungi ramalan-ramalan yang diberikan oleh ahli-ahli nujum beliau. Di sini jugalah bermulanya titik kejatuhan beliau – iaitu tempat di mana beliau membuat kesilapan fatal dalam menganggap penjajah-penjajah Sepanyol sebagai tuhan.

Ilustrasi Istana Montezuma sebagaimana yang terkandung dalam Codice Mendoza (1542)

Menurut pemburu-pemburu harta karun dari Sepanyol, berhampiran bilik ini terdapat sebuah zoo. Kemegahan zoo ini amat memukau para penjajah hinggakan ramai dalam kalangan mereka lebih banyak mencatat perihal zoo tersebut berbanding hal-hal lain yang terdapat di Tenochtitlan.

SYURGA HAIWAN BUAT MASYARAKAT AZTEC

Menurut penulis-penulis Sepanyol pada zaman itu, koleksi zoo Montezuma sangat besar sehingga memerlukan kira-kira 300 orang penjaga haiwan. Bahkan, didakwa bahawa kononnya raja-raja Eropah akan berasa iri hati kalau mereka menyaksikan kemegahan zoo tersebut. Bagaimanapun, sukar untuk memastikan apakah haiwan yang disimpan di dalam zoo itu lantaran catatan-catatan Sepanyol sama sekali tidak menyebutkan nama haiwan-haiwan berkenaan.

Salah seorang penulis Sepanyol yang merekodkan kewujudan zoo Montezuma ialah Franciscan Bernardino de Sahagun, yang juga banyak menulis perihal masyarakat Aztec pada kurun ke-16 Masehi. Beliau bertanggungjawab menghasilkan sebuah karya monumental yang hampir setaraf ensiklopedia, berjudul Kodeks Florentine. Menerusi hasil karyanya itu, maklumat-maklumat berkenaan tamadun Aztec dapat terpelihara. Dalam salah sebuah bab pada karya tersebut, terdapat ilustrasi dan penerangan ringkas berkenaan haiwan-haiwan seperti kucing ocelot, beruang, singa gunung, kucing gunung, dan burung helang.


Ilustrasi ‘Haiwan-haiwan peliharaan raja’, diambil dari Kodeks Florentine, Jilid VIII

Sementara itu, seorang penulis merangkap tentera Sepanyol yang terlibat dalam penaklukan tamadun Aztec, iaitu Bernal Diaz de Castillo di dalam karyanya yang berjudul Historia verdadera de la conquista de la Nueva Espana juga mencatatkan bahawa zoo Montezuma mengandungi rusa, ayam, dan anjing kecil. Sebahagiannya dibela untuk dijadikan sebagai makanan bagi haiwan lain.

Menurut catatan dari penulis-penulis Sepanyol yang lain pula, haiwan seperti puma dan harimau kumbang turut dibela di dalam Zoo Montezuma. Begitu juga dengan monyet, serigala, sloth, tenggiling, dan pelbagai jenis burung berwarna cerah. Mereka kurang mengenali haiwan-haiwan reptilia yang terdapat di Dunia Baru, namun tentunya haiwan seperti buaya, kura-kura, ular, dan cicak turut boleh didapati di dalam zoo tersebut. Terdapat juga kemungkinan bahawa bison, haiwan yang hanya wujud di Amerika Utara, dipelihara di situ.

Zoo Montezuma mempunyai 20 buah kolam air tawar dan air masin yang menempatkan pelbagai jenis ikan dan burung akuatik. Lebih mengejutkan, ia turut mengurung manusia-manusia yang dianggap mempunyai rupa paras pelik. Selain haiwan-haiwan yang mungkin agak mudah dikenali jenisnya, catatan-catatan Sepanyol juga menyelitkan rekod tentang ular orok-orok dan ‘kerbau Mexico’.

Pada tahun 2015, senarai haiwan yang dipercayai terdapat di dalam Zoo Montezuma dikeluarkan oleh ahli-ahli arkeologi yang mendakwa bahawa penduduk Teotihuacan telah membela haiwan kurungan untuk tujuan ritual sejak hampir 1000 tahun sebelum kedatangan penjajah-penjajah Sepanyol di Tenochtitlan.

Antara haiwan yang disebutkan di dalam senarai tersebut ialah harimau kumbang, puma, kucing lynx, musang, helang, dan ular orok-orok. Turut dicatatkan bahawa lebih 500 ekor ayam belanda diperlukan setiap hari bagi memberi makan kesemua haiwan tersebut. Kebanyakan haiwan di dalam zoo itu juga diberi makan daging manusia yang diambil dari mangsa-mangsa ritual korban.


Ilustrasi ritual korban manusia dalam budaya Aztec, diambil dari Kodeks Tudela

PEMERINTAH TERAKHIR EMPAYAR AZTEC

Montezuma, atau lebih tepat, Motecuhzoma II Xocoyotzin (membawa maksud ‘Marah Seperti Raja’) merupakan raja Empayar Aztec terakhir yang memerintah secara merdeka. Namanya mempunyai pelbagai macam ejaan. Antaranya seperti Moctezuma, Moteuczoma, dan Motecuhzoma. Beliau menyandang kedudukan sebagai tlatoani atau pemerintah Tenochtitlan yang ke-9, bermula dari tahun 1502 hingga 1520 M.


Motecuhzoma II Xocoyotzin sebagaimana yang digambarkan oleh Andre Thevet (1584)

Pada zaman pemerintahannya, wilayah naungan Empayar Aztec berjaya diluaskan sehingga ke Xoconosco (Chiapas) dan Isthmus de Tehuantepec, selain turut menyerap masuk tamadun Zapotec dan Yopi. Boleh dikatakan bahawa era tersebut merupakan antara era kegemilangan Aztec memandangkan ia belum pernah mempunyai jajahan takluk seluas itu. Walau bagaimanapun, banyak sumber sejarah menyifatkan Montezuma sebagai seorang raja yang lemah dan sering teragak-agak. Bahkan banyak keputusannya dalam menangani pencerobohan Sepanyol sukar untuk difahami.

Pada hari ini, Montezuma sering diingati sebagai seorang raja yang kehilangan empayarnya. Hal ini kerana semasa Hernan Cortes memasuki Lembah Mexico pada tahun 1519, Montezuma mempercayai bahawa pasukan tentera Sepanyol tersebut adalah tuhan yang datang sebagai perkabulan doanya. Beliau terkorban semasa peringkat awal penaklukan tamadun Aztec, iaitu semasa Cortes dan pasukannya cuba melarikan diri dari Tenochtitlan. Pada tahun 1521, seluruh Empayaz Aztec termasuk Tenochtitlan tumbang ke tangan Sepanyol.


Ilustrasi yang menggambarkan kema-tian dan upacara pembakaran mayat Montezuma, dari Kodeks Florentine (c. 1540-1585)

BAYANGAN TENOCHTITLAN

Kota Tenochtitlan dibangunkan pada tanggal 20 Jun 1325 dan kini, ia berkongsi lokasi dengan ibu negara Mexico moden. Kota tersebut menggambarkan sepenuhnya seni bina agung tamadun Aztec. Hal ini dapat dilihat menerusi sebuah dataran bertembok di kota tersebut yang berkeluasan 300 meter (984.3 kaki), di mana di dalamnya menempatkan kira-kira 45 buah bangunan dan kuil awam.

Bangunan yang paling masyhur antara kesemua yang ada di situ adalah Templo Mayor (dibina khusus untuk dewa Huitzilopochtli dan dewa Tlaloc), Kuil Matahari (khusus untuk dewa Tonatiuh, dan Rumah Helang (yang mempunyai kaitan dengan kelas pahlawan dan pemerintah silam). Bahkan Istana Montezuma sendiri dimegahi dengan 100 buah kamar yang setiap satunya dilengkapi dengan sebuah tempat mandi khusus. Kota ini dibangunkan mengikut simetri yang sempurna, dan dipercayai seluruh projek pembinaan yang dijalankan terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari jabatan yang bertanggungjawab ke atas perancangan kota. Pada hari ini, tepat di tapak kota agung itu dibangunkan Bandar Mexico, salah sebuah bandar terbesar di dunia dan sama seperti kebanyakan bandar besar yang lain, ia juga mempunyai zoo tersendiri yang megah dengan pelbagai jenis haiwan.

Gambaran Kota Tenochtitlan oleh Diego Rivera

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (18 Mac 2020). Montezuma’s Zoo: A Legendary Treasure of the Aztec Empire. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/montezuma-zoo-legendary-treasure-aztec-empire-005090


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.