Tiada siapa boleh menafikan bakatnya sebagai bekas jeneral tengah Perancis, statusnya sebagai legenda ulung bola sepak dunia terutama di Perancis dan Sepanyol dan keupayaan taktikal sebagai jurulatih. Tetapi siapa lelaki bernama Zinedine Yazid Zidane ini?

Anak jati La Castellane, Marseille lahir pada 23 Jun 1972 dan merupakan anak bongsu dari lima adik-beradik. Bapanya, Smail merupakan penjaga gudang dan pengawal malam di sebuah pasaraya sementara ibunya, Malika merupakan seorang suri rumah. Semasa kecil, keluarganya menikmati taraf kehidupan selesa mengikut kawasan kejiranan yang didiami mereka kerana kawasan suburban La Castellane, Arrondissement Ke-16 di Marseille terkenal dengan kadar penggangguran dan kadar berlakunya jenayah yang tinggi.

Pada usia lima tahun, Zidane sudah didedahkan dengan permainan bola sepak dengan bermain bersama rakan-rakannya di sebuah plaza bernama Place Tartane yang menjadi tumpuan kanak-kanak kawasan berkenaan. Selepas bermain bersama pasukan remaja US Saint-Henri dan SO Septemes-les-Vallons, Zidane terpilih menyertai kem latihan tiga hari di Pusat Wilayah Sukan dan Pendidikan Fizikal (CREPS) di Aix-en-Provence, salah satu daripada beberapa institut bola sepak yang dikendalikan Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF). Di sinilah bakat beliau dikenalpasti peninjau bakat kelab AS Cannes, Jean Varraud.

Pada mulanya, Zidane hanya tinggal selama enam minggu tetapi beliau kekal bersama Cannes selama empat tahun. Ini dicapai menerusi keputusan pengarah kelab tersebut, Jean-Claude Elineau mengajaknya tinggal bersama keluarganya dan tidak tinggal di asrama bersama 20 pelajar lain. Keputusan tersebut dilihat memberi kestabilan dalam kehidupan Zidane. Bagaimanapun, cabaran beliau tidak terhenti begitu saja. Varraud yang kemudian menjadi jurulatih Cannes mendapati Zidane sensitif dan mudah marah lebih-lebih lagi sekiranya ada yang menghina keluarga atau bangsanya. Untuk mengelakkan situasi jadi lebih buruk, beliau menasihatkan pemain berketurunan Algeria itu menyalurkan kemarahannya pada permainan di atas padang. Pada satu ketika, Zidane juga pernah didenda melakukan tugas cucian akibat tindakannya menumbuk seorang pemain yang menghina asal-usul dirinya.

Beliau membuat kemunculan pertama untuk Cannes pada 18 Mei 1989 dalam perlawanan Ligue One menentang Nantes. Dua tahun selepas itu, Zidane menjaringkan gol pertamanya dan membantu Cannes mengatasi lawan sama dengan keputusan 2-1. Selepas perlawanan, beliau dihadiahkan sebuah kereta oleh pengerusi kelab Alain Pedretti sebagai ganjaran sekiranya berjaya menjaringkan gol profesional pertamanya. Pada musim itu juga, Zidane bersama seorang lagi legenda, George Weah membantu Cannes menduduki tempat keempat dan sekaligus, kelayakan ke Piala UEFA. Bagaimanapun pada musim berikutnya, Cannes hanya menduduki tangga ke-19 sekaligus tersingkir ke Ligue Two dan terpaksa menjual semua aset bernilai mereka termasuk Zidane. Semasa di Cannes ini juga, beliau bertemu dengan bakal isterinya, Veronique Fernandez dan kedua-duanya berkahwin pada 1994. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata dengan Enzo bermain untuk kelab Lausanne Sport di Switzerland sementara Luca pula merupakan penjaga gol ketiga Los Blancos.

Pada musim 1992-1993, beliau berpindah ke Girondins de Bordeaux dan membantu kelab itu menang Piala Intertoto 1995 dan naib juara Liga Juara-Juara Eropah 1995-1996. Di sini, beliau membentuk persefahaman dengan Christopher Dugarry dan Bixente Lizarazu, kombinasi yang akan menjadi senjata ampuh Perancis semasa kempen Piala Dunia 1998. Persembahannya bersama Les Girondins menarik perhatian beberapa kelab Liga Perdana Inggeris termasuk Blackburn Rovers dan Newcastle United. Bagaimanapun, minat mereka tidak diterjemahkan dalam bentuk bidaan kerana merasakan pemain mereka lebih baik berbanding Zidane. Buktinya apabila pengurus Rovers ketika itu, Sir Kenny Dalglish mahukan beliau dan Dugarry, pemilik kelab mendiang Jack Walker berkata, “Mengapa kamu mahukan Zidane sedangkan kita ada Tim Sherwood?” Jika benar minat Dalglish dan Kevin Keegan diterjemahkan dalam bentuk bidaan dan kontrak, Liga Perdana Inggeris yang kita kenali boleh berubah 360 darjah.

Pada musim bunga 1996, Zidane memutuskan menyertai gergasi Itali, Juventus. Semasa di Stadio Delle Alpi pada musim pertamanya, beliau membantu mereka menang kejuaraan Serie A dan Piala Intercontinental tetapi kalah di tangan Borussia Dortmund semasa final Liga Juara-Juara Eropah 1996-1997. Zidane tidak dapat bergerak bebas kerana pergerakannya sentiasa dirantai pemain tengah Scotland dan bakal pengurus Norwich City, Paul Lambert. Pada musim berikutnya, Zidane menjaringkan tujuh gol dalam 32 perlawanan dan membantu La Vecchia Signora mengekalkan Scudetto buat kali kedua tetapi sekali lagi tewas di pentas final Liga Juara-Juara Eropah, kali ini di tangan Real Madrid dengan jaringan 1-0.

Pada musim panas 1998, Zidane menjadi tonggak utama Les Bleus untuk kempen Piala Dunia 1998. Bagaimanapun, pembabitannya dalam kejohanan tersebut tidak dapat lari dari kontroversi. Semasa di peringkat kumpulan, Perancis menang semua perlawanan mereka tetapi dibuang padang semasa melawan Arab Saudi akibat memijak pemain lawan, Fuad Anwar. Tindakan tersebut menjadikan beliau pemain Perancis pertama dibuang padang semasa Piala Dunia. Zidane kembali semula di pentas suku akhir dan membantu Les Bleus mengatasi Itali 4-3 melalui sepakan penalti dan mengatasi Croatia 2-1 di peringkat semi final. Dan di pentas final, aura Zizou mengatasi aura bakal rakan sepasukannya di Real Madrid, Ronaldo dengan menjaringkan dua gol untuk membantu Perancis mengatasi Brazil 3-0. Zidane diangkat sebagai wira negara dan turut dianugerahkan Pemain Terbaik Dunia 1998 dan Pemain Terbaik Eropah tahun sama. Pencapaian Bianconeri pada musim 2000-2001 sederhana saja dengan menjadi naib juara Serie A dan tersingkir dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah selepas Zidane digantung akibat menanduk pemain Hamburg SV, Jochen Kientz. Namun pada musim panas 2000, beliau membantu Les Bleus menjulang Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2000 dan diiktiraf sebagai pemain terbaik kejohanan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Pada musim panas 2001, Zidane menyertai Los Blancos dengan yuran perpindahan 77.5 juta euro, sekaligus memecahkan rekod perpindahan dunia ketika itu. Beliau menjadi pemain kedua era Galacticos semasa tempoh pertama Florentino Perez sebagai presiden Real Madrid selepas Luis Figo yang menyertai kelab setahun sebelumnya. Zidane membantu Real menang Liga Juara-Juara Eropah mengatasi kelab Bayer Leverkusen dengan golnya semasa final dianggap gol terbaik dalam sejarah kejohanan itu. Bagaimanapun pada musim panas 2002, Les Bleus tersingkir dari Piala Dunia 2002 tanpa menjaringkan gol, satu persembahan buruk yang tidak boleh diterima semua. Dan dengan Zidane sendiri kurang cergas, Perancis dilihat tumpul dan buntu mencari gol. Zidane menebus semula prestasi hambarnya bersama pasukan kebangsaan dengan membantu Real menjuarai La Liga musim 2002-2003 dan dinamakan Pemain Terbaik Dunia buat kali ketiga.

Untuk beberapa musim berikutnya, Real mengalami kemarau kejuaraan walaupun diperkuatkan dengan beberapa lagi pemain berstatus Galacticos seperti David Beckham dan Michael Owen. Sementara prestasi pasukan kebangsaan juga tidak membantu apabila Perancis tersingkir dari EURO 2004 pada peringkat suku akhir selepas tewas mengejut 1-0 dengan Greece. Selepas kejohanan, Zidane mengumumkan persaraan dari arena bola sepak antarabangsa. Bagaimanapun bila melihat prestasi tidak menentu Perancis semasa kelayakan Piala Dunia 2006 dan atas permintaan jurulatih kebangsaan Raymond Domenech, Zidane kembali semula ke pasukan kebangsaan dan terus dilantik sebagai kapten. Dengan bantuan rakan sepasukan lama Lilian Thuram dan Claude Makelele, Perancis berjaya layak ke Piala Dunia 2006 di Jerman.

Memandangkan musim 2005-2006 juga merupakan musim terakhirnya dalam bola sepak, Perancis berusaha memberi hadiah perpisahan terbaik kepada jeneral tengah mereka itu. Les Bleus berjaya mara sehingga ke final tetapi di sinilah, satu detik besar yang dianggap memalukan dan tidak sepatutnya dilakukan pemain bertaraf legenda seperti Zidane. Pada minit ke-110 masa tambahan, Zidane dibuang padang oleh pengadil kerana menanduk pemain pertahanan tengah Itali, Marco Materazzi. Perancis kemudiannya tewas 5-3 melalui sepakan penalti. Materazzi kemudiannya mendedahkan sebab sebenar beliau ditanduk oleh Zidane kerana menggelar kakaknya pelacur, sesuatu yang tidak boleh diterima oleh jeneral tengah Perancis itu. Zidane sendiri mengakui apa yang dilakukannya itu satu kesilapan tetapi enggan memohon maaf terhadap bekas bek tengah Inter Milan itu.

Selepas bersara, Zidane aktif bermain bersama pasukan veteran Los Merengues dan turut meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti kebajikan. Selepas Perez kembali semula sebagai presiden Los Blancos buat kali kedua, beliau menamakan Zidane sebagai penasihat beliau. Dan setiap kali kisah kegagalan Perancis terpapar di kaca televisyen atau di dada akhbar, sudah timbul ura-ura bekas kapten Les Bleus itu akan mengambil alih jawatan pengurus pasukan kebangsaan. Bagaimanapun ketika itu, Zidane menyatakan belum berminat menyertai bidang kejurulatihan. Semasa Qatar membida hak penganjuran Piala Dunia 2022, Zidane dilantik sebagai duta kempen negara Teluk tersebut. Selepas Qatar memenangi hak penganjuran Piala Dunia 2022, belliau menyifatkan kemenangan tersebut merupakan satu kemenangan bagi dunia Arab.

Zidane akhirnya memulakan langkah dalam bidang kejurulatihan apabila dilantik sebagai penasihat pasukan utama oleh pengurus ketika itu, Jose Mourinho. Ini memberikannya akses kepada sesi latihan, sesi perbincangan bersama Mourinho dan perkumpulan pra-perlawanan. Selepas Mourinho digantikan oleh bekas bos A.C Milan Carlo Ancelotti, beliau melantik Zidane sebagai pembantu pengurus selain Paul Clement yang dibawa dari Chelsea. Pada musim 2014-2015, Perez melantiknya sebagai pengurus pasukan kedua Real, Castilla. Bagaimanapun perlantikan tersebut diselubungi kontroversi berikutan Zidane ketiadaan kelayakan lesen Pro-License UEFA semasa dilantik sebagai pengurus Castilla. Ini menyebabkan untuk urusan dokumentasi rasmi, Zidane merupakan pengarah teknikal sementara bos akademi Santiago Sanchez mengisi peranan pengurus. Tetapi sesiapa yang melihat perlawanan pertama Castilla pasti sudah menjangka siapa bos sebenar pasukan.

Pada awalnya, Zidane bergelut menentukan strategi terbaik dan pemain mana yang sesuai dengan cara permainannya. Ini menyebabkan Castilla bergelut dalam Segunda B. Tetapi selepas melihat gaya permainan berdasarkan penguasaan bola tidak sesuai dan digantikan dengan formasi 4-2-3-1 dan permainan secara terus, Castilla mengutip 37 mata dari 48 mata pada pertengahan Oktober dan terus kekal hingga ke akhir musim. Dan pada satu ketika, Castilla juga berada di kedudukan teratas liga. Bagaimanapun apa yang dibimbangi Real berkenaan ketiadaan lesen Pro-License UEFA Zidane menjadi kenyataan selepas Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Miguel Angel Galan menyifatkan situasi tersebut memalukan dan mahukan legenda Real itu digantung. Akibatnya, Zidane digantung selama tiga bulan sehinggalah beliau mendapat kelayakan lesen Pro-License FIFA. Berang dengan situasi tersebut, Zizou melancarkan perang mulut dengan Galan dengan menuduhnya cemburu dengan Galan menyifatkan tona suaranya bersifat sombong.

Bagaimanapun situasi yang dihadapinya itu mendapat sokongan ramai terutama dari Perancis. Zidane boleh saja mengambil lesen kejurulatihan di Sepanyol tetapi lebih berminat dengan kursus tiga tahun kejurulatihan yang dianjurkan FFF. Malah kes Zidane hampir sama dengan kes bakal pengurus Aston Villa, Remi Garde yang menguruskan Olympique Lyon di Ligue One dan Liga Europa tanpa lesen Pro-License UEFA. Legenda Belanda dan Barcelona, mendiang Johan Cruyff turut berpandangan situasi yang dihadapi Zizou mengarut dan menyamakannya dengan situasinya menguruskan Blaugrana pada tahun 1988. Selepas keputusan itu dirayu ke mahkamah, Zidane dibebaskan dari penggantungan dan tidak lagi dikenakan sekatan menguruskan Castilla.

Selepas Rafael Benitez dipecat pada bulan Januari 2016, Real memutuskan untuk melantik Zidane sebagai pengurus pasukan utama dengan kontrak dua setengah tahun. Pada akhir musim, Los Blancos bukan saja mengatasi Barcelona dalam pertemuan El Clasico buat kali pertama sejak 2006 tetapi juga berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah mengatasi musuh setempat, Atletico Madrid. Pada musim berikutnya, Zidane mencapai kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah mengatasi kelab lamanya, Juventus. Musim ini walaupun gagal mempertahankan kejuaraan liga, Los Merengues berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah mengatasi Liverpool 3-1. Kejayaan Zidane menjulang piala berprestij Eropah sebanyak tiga kali meletakkannya sebaris dengan pengurus legenda Liverpool, Bob Paisley dan Ancelotti. Bagaimanapun pada akhir musim, legenda Perancis itu meletak jawatan atas alasan kelab memerlukan perubahan hala tuju walaupun wujud khabar angin pertelagahan dengan Perez membabitkan perpindahan pemain sebagai punca perletakan jawatan.

SUMBER

  1. The Guardian. (2010). Zinedine Zidane ‘would rather die’ than apologise to Marco Materazzi. https://www.theguardian.com/football/2010/mar/01/zinedine-zidane-marco-materazzi-headbutt
  2. Murray, Andrew. (2015). FourFourTwo. Zinedine Zidane the Manager: How Zizou positioned himself to lead Real Madrid.
    https://www.fourfourtwo.com/my/features/zinedine-zidane-manager-how-zizou-positioned-himself-lead-real-madrid
  3. Scott, Nate. (2016). USA Today. Materazzi finally admits what he said to Zidane in the World Cup Final. https://ftw.usatoday.com/2016/07/materazzi-zidane-headbutt-world-cup-2006
  4. Creek, Stephen. (2018). Goal.com. Zidane ‘not proud’ of Materazzi headbutt. http://www.goal.com/en/news/zidane-not-proud-of-materazzi-headbutt/1jp4ktydk3ggm1ined42w3q54s

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.