Sesungguhnya, sejarah China antara sejarah yang paling menarik yang pernah saya tatap dan baca. Sejarah yang penuh dengan kisah epik hero dan heroinnya yang tak pernah mati dalam sejarah dan dikenang antara manusia yang harus diambil iktibar daripada kisah hidup mereka. Hari ini, saya sangat tertarik untuk bercerita mengenai Zhuge Liang, manusia yang ditabalkan sebagai antara penasihat ketenteraan yang terhebat pernah dimilik oleh China pada zaman purba.

Zhuge Liang, satu nama yang cukup dipuja di China. Sepanjang hidup Zhuge Liang, tercatat pelbagai pencapaian yang sangat mengagunkan. Antaranya ialah terhasilnya buku mengenai strategi perang yang hebat seperti Sixteen Strategies Of Zhuge Liang dan Mastering the Art of War.

Dilahirkan pada 181 Masihi di Shandong, itu ialah petanda kepada kelahiran sebuah tokoh yang kemudian akan dikenang atas sumbangannya saat zaman tiga kerajaan di China. Kehidupan asal Zhuge Liang hanyalah sekadar seorang petani yang menguruskan ladangnya di kawasan terpencil China.

Namun bakatnya mula disedari oleh Liu Bei, seorang warlord pada zaman Tiga Kerajaan di China dan ketika mahu mengrekruit Zhuge Liang menyertai pasukannya, Zhuge Liang menolak dengan mentah. Namun itu tidak menghalang Liu Bei untuk mendekati Zhuge Liang sehinggalah selepas tiga kali ditolak permintaannya, kali keempat kunjungan Liu Bei membuatkan Zhuge Liang kagum dengan kesungguhan dan keikhlasan Liu Bei lalu menyertai pasukan Shu Han yang dipimpin oleh Liu Bei.

Antara kebijaksanaan Zhuge Liang yang harus dikenang adalah seperti berikut:

1. Ketika pertempuran Bowang, kita menyaksikan bagaimana kebijaksanan Zhuge Liang mengatur strategi di mana dengan askar yang dalam jumlah tidak lebih daripada 5000 orang mampu menang ke atas 100 000 orang askar Wei yang dipimpin jeneral perang hebat seperti Xiahou Dun.

Xiahou Dun diarahkan oleh Cao Cao untuk memimpin 100 000 orang bagi memernagi Liu Bei yang sedang bersemayam di Xin Ye. Ketika itu, askar yang dimiliki oleh Liu Bei adalah tidak sampai 5000 orang pun. Maka, di sinilah adalah detik pertama dunia menyaksikan bagaimana minda seorang genius seperti Zhuge Liang memainkan peranannya.

Dua panglima perang terhebat yang dimiliki oleh pasukan Liu Bei iaitu Shu, Guan Yu yang terkenal dengan kisah lagenda mampu membunuh 10 000 orang dalam masa sehari di medan perang dan Zhang Fei yang mempunyai kekuatan mampu menumbuk seekor kuda dewasa sehingga pengsan di arahkan untuk menyerang medan pertempuran di kawasan cerun Bowang. Mereka di arahkan untuk tunggu sebelum melakukan serangan mengejut ke arah askar Xiaohu Dun yang berkampung di cerun Bowang.

Pertempuran dimulakan apabila Zhao Yun dan Liu Bei mencabar Xiaohu Dun dalam pertempuran sebelum diarahkan oleh Zhuge Liang untuk melarikan diri daripada pertempuran. Mereka disuruh untuk sengaja menunjukkan bahawa askar yang dipihak mereka adalah kecil untuk memastikan bahawa Xiaohu Dun terus mengejar mereka ke sebuah kawasan lembah yang agak sempit.

Ketika itu pasukan Liu Bei berpatah balik dan cuba menyerang armada 100 ribu orang itu. Namun, seperti yang diarahkan oleh Zhuge Liang, Liu Bei dipaksa untuk kembali melarikan diri daripada pertempuran, bagi mengumpan Xiaouhu Dun mara lebih dalam ke dalam lembah. Pada awalnya, Xiaohu Dun yang mengetahui punca Liu Bei menariknya adalah untuk serangan mengejut ke atas askar Xiaohu Dun di kawasan lembah, tetapi Xiaohu Dun mengatakan bahawa agak mustahil untuk Liu Bei mampu menang walau dengan serangan mengejut ke atas pasukannya.

“Inikah serangan mengejut yang kamu bilang? Menyedihkan!”

Itulah ayat yang diucapkan oleh Xiaohu Dun lalu mengejar Liu Bei dan askarnya jauh lebih dalam ke dalam kawasan lembah. Namun, serangan mengejut Liu Bei yang pertama sengaja dibuat seperti gagal untuk serangan sebenar kali kedua. Kali ini, Xiaohu Dun mula resah apabila api dibakar di kawasan lembah yang sempit itu memaksa Xiaohu Dun terpaksa berundur kembali ke kawasan kem.

Malangnya Zhang Fei dan Guan Yu yang ditugaskan untuk menyerang kem Xiaohu Dun tatkala Xiaohu Dun sedang berundur ke kawasan kem telah membakar habis kem tersebut, terutama di bahagian yang menyimpan bekalan makanan Xiaohu Dun. Pertempuran ini menyaksikan bagaimana kebijaksanaan Zhuge Liang mampu mengalahkan askar yang berjumlah 100 ribu orang milik Xiaohu Dun.

2. Ketika pasukan Liu Bei (Shu) menjalinkan pakatan dengan pasukan Sun Quan (Wu), Zhou Yu penasihat ketenteraan untuk pasukan Wu telah menyedari bahawa Zhuge Liang ini bukan calang-calang manusia dan bakal mengakibatkan masalah kepada tuannya iaitu Sun Quan pada masa hadapan. Untuk memastikan Zhuge Liang tidak terus hidup, Zhou Yu telah merancang sebuah pelan untuk mencantas Zhuge Liang.

Zhuge Liang telah diarahkan untuk menghasilkan 100 000 buah busur panah dalam masa sepuluh hari atau Zhuge Liang akan dikenakan tindakan undang-undnag ketentaraan atas kegagalan Zhuge Liang, Barangkali Zhuge Liang boleh dihukum pancung.

Namun Zhou Yu benar-benar terkejut dengan jawapan yang lahir daripada Zhuge Liang. Kata Zhuge Liang lagi, dia tidak memerlukan 10 hari, tetapi sekadar 3 hari sahaj auntuk menghasilkan 100 ribu busur panah kepada pasukan pakatan Liu Bei-Sun Quan dalam Pertempuran Red Cliff yang bakal menjelma dalam masa terdekat.

Diceritakan bahawa Zhuge Liang telah menyediakan 20 buah bot, yang kemduian diletakkan orang-orang yang diperbuat daripada jerami di atas setiap bot. Hanya dua tiga orang askar sahaja yang berada di atas bot tersebut. Lagipun Zhuge Liang yang mempunyai kepakaran dalam ilmu alam, telah meramalkan bahawa pada satu hari, akan ada kabus tebal di kawasan selatan Sungai Yangtze yang menjadi medan perang antara dua askar.

Dikatakan tatkala bot-bot Zhuge Liang menghampiri kawasan kem Cao Cao, maka diceritakan bahawa Zhuge Liang mengarahkan askar-askar yang berada di atas bot tersebut menghasilkan bunyi bising dan membunyikan drum dengan kuat seolah-olah ada serangan mengejut dilakukan ke atas pasukan Cao Cao. Pasukan Cao Cao yang dikaburi pengelihatan kerana kabus yang tebal, sekadar terpaksa menghujani bot-bot yang dipenuhi dengan manusia jerami itu dengan panah kerana tidak mahu mengambil langkah bodoh bunuh diri berperang dalam kabus tebal.

Hujan anak panah daripada askar Cao Cao itu kemudian melekat pada bot-bot dalam jumlah yang terlalu banyak dan apabila merasakan setiap bot dipenuhi dengan anak panah yang cukup, maka Zhuge Liang mengarahkan mereka berpatah balik dengan busur panah yang dikatakan mencukupi 100 ribu. Zhou Yu sangat terkejut menerima berita ini dan terpaksa melepaskan manusia genius ini.

3. Zhuge Liang antara mastermind di dalam tewasnya bala 800 000 askar milik Cao Cao (seperti mana yang didakwa oleh Cao Cao) apabila meramalkan bahawa angin dari tenggara akan tiba dalam beberapa hari lagi. Ramalan yang dibuat oleh Zhuge Liang ini kemudiannya mendatangkan idea untuk Zhou Yu merencanakan sebuah strategi peperangan, dengan kapal yang dibakar dengan api yang kemudian dengan bantuan angin dari belah tenggara, kapal yang penuh dengan api itu akan bergerak deras lalu menghentam kapal-kapal Cao Cao yang masing-masing disambung dengan besi.

4. Sejarah hidup Zhuge Liang banyak dipenuhi dengan kempen penaklukan Shu ke atas Wei yang terletak di utara. Askar Wei seperti mana yang diketahui, mempunyai kekuatan askar yang jauh mengatasi Zhuge Liang dengan sekurang-kurangnya 5 kali ketumbukan askar Shu. Sepanjang 5 ekpedisi menawan Wei, semuanya berjaya dan hanya satu sahaja yang gagal, dan tahukah anda bahawa sepanjang kempen di bawah Zhuge Liang, askar Shu tidak pernah kehilangan askar lebih daripada 5 peratus, tetapi askar Wei di bawah Cao Pi putera kepada Cao Cao pula mencatatkan kehilangan askar yang banyak.

5. Ketika saat penghujung usia Kerajaan Shu di bawah Liu Bei, diceritakan bahawa terdapat pemberontakan daripada suku orang asli Namman yang mendiami kawasan hutan tropika di selatan China. Maka ketika itu Zhuge Liang diperintahkan untuk memimpin askar memerangi pemberontakan oleh suku Namman.

Namun apa yang pelik pada ekpedisi melawan pemberontak Namman, acap kali pertempuran di menangi oleh Shu, Zhuge Liang berjaya menawan ketua pemberontak yang bernama Meng Huo, akan dilepaskan. Hampir 7 kali peristiwa ini berlaku membuatkan orang ramai mempertikaikan keputusan Zhuge Liang.

Namun, pada saat kelapan Meng Huo ditawan, barulah terlihat sebab utama Zhuge Liang melakukan perkara sedemikian. Menurut Zhuge Liang, api jangan dilawan dengan api, kelak akan terbakar lebih besar. Mungkin Meng Huo dibunuh, tetapi itu akan membuatkan api pemberontakan akan lebih besar. Penghujungnya, Meng Huo terharu dengan tindakan Zhuge Liang telah menyatakan sokongan tak berbelah bahagi kepada Zhuge Liang dan Shu.

6. Kempen Menawan Utara China yang digerakkan oleh Zhuge Liang bertemu jalan buntu. Usaha untuk menawan ibu kota kepada Kerajaan Wei di Utara China akhirnya menyaksikan kekalahan Zhuge Liang di Pertempuran Jieting. Zhuge Liang meramalkan bahawa Sima Yi, nemesis utama beliau akan menggerakkan askar yang baru sahaja memenangi pertempuran di Jieting akan bergerak ke Xicheng, tempat Zhuge Liang bersemayam dan menangkap beliau.

Dunia menyaksikan bagaimana kebijaksanaan Zhuge Liang teruji sekali lagi. Dengan jumlah askar yang kecil berkampung di Xicheng, maka Zhuge Liang telah mengarahkan semua pintu masuk ke kota Xicheng dibuka, dan kumpulan askar kecil itu dipaksa berpura-pura menjadi penduduk kota yang sekadar menyapu sampah ketika askar Wei yang dipimpin oleh Sima Yi tiba. Zhuge Liang pula ketika itu akan berada di atas sebuah pentas di tengah-tengah kota, sambil memerhati pintu masuk utama kota Xicheng tatkala askar Wei tiba sambil bermain dengan kipas guqinnya.

Apa yang diperhatikan oleh Sima Yi ketika tiba di Xicheng benar-benar mengejutkan membuatkan Sima Yi menyangka bahawa Zhuge Liang sengaja berbuat demikian untuk mengumpan askar Sima Yi masuk dan perangkap hebat tersedia untuk askarnya.

Maka, Sima Yi mengarahkan askarnya pulang kerana takut terjerat perangkap yang kalau diikutkan sebenarnya tidak wujud pun. Hari ini, dunia mengenali strategi perang ini sebagai Empty Fort Strategy, dan didebatkan antara cendekiawan antara strategi perang terbijak dan genius pernah digunakan dalam sejarah.

Kematian Zhuge Liang adalah ketika Pertempuran Wuzhang yang menyaksikan bahawa ianya adalah ekpedisi terakhir yang digerakkan oleh Zhuge Liang melawan Wei di utara. Saat ini, diceritakan bahawa Zhuge Liang telah jatuh sakit dan sempat menyerahkan buku strategi perang yang dinukilkan oleh Zhuge Liang sendiri kepada Jiang Wei, anak murid Zhuge Liang.

Buku itu kemudian dihadam dan digunakan sebagai bekalan Jiang Wei untuk meneruskan ekpedisi Shu mengalahkan Wei di utara. Sejarah menyaksikan bagaimana 9 lagi kempen ke utara Shu melawan Wei digerakkan oleh Jiang Wei sebelum kejatuhan Shu Han.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply