Zenobia – Wanita Yang Mencabar Kekuasaan Rom

255
views

Zenobia dilahirkan di Palmyra, Syria sekitar tahun 240 SM dan diberi nama Julia Aurelia Zenobia. Syria pada masa itu merupakan wilayah jajahan Rom sejak ditakluk pada tahun 115/116 Masihi. Gelaran Aurelia pada nama keluarga Zenobia mungkin telah diberikan semasa pemerintahan Marcus Aurelius (161-180 M). Menurut Historia Augusta, salasilah bapa Zenobia boleh dijejak sehingga bertemudengan Julia Domna (170-217 M).

Sejak kecil, Zenobia dididik dalam bahasa Greek dan Latin walaupun mengalami kesukaran untuk menuturkannya secara fasih. Beliau lebih fasih berbicara dalam bahasa Mesir dan Aramaic. Zenobia turut mendakwa dirinya berketurunan Dido dari Carthage dan Cleopatra VII dari Mesir. 

Menurut versi Arab yang diceritakan oleh Imam al-Tabari, Zenobia dipertanggungjawabkan untuk menjaga haiwan ternakan keluarga sejak remaja. Dari situlah bakat kepimpinan beliau terlatih. Kemahiran menunggang kuda dan ketahanan serta stamina tubuh badan Zenobia turut mengalami peningkatan pada masa itu. Oleh kerana itu, beliau mampu mara berjalanan kaki bersama pasukan tenteranya dalam menghadapi perjalanan yang jauh dan mampu berburu seperti lelaki-lelaki lain.

Dalam karyanya, Edward Gibbon merincikan tentang Zenobia menerusi perenggan berikut:

“Zenobia memiliki kulit yang hitam kemanisan. Giginya memancar putih dan matanya yang hitam pekat galak memancarkan cahaya sambil wajahnya dihiasi kemanisan yang menawan hati. Suaranya lantang. Kecerdasannya dikuat dan dihiasi dengan kelazimannya menuntut ilmu. Lidah beliau tidaklah kelu untuk bertutur dalam bahasa Latin, dan mampu berbicara fasih dalam bahasa Greek, Syria dan Mesir.”

Baik di zaman dahulu dan sekarang, Zenobia dikenali sebagai seorang wanita yang memiliki keupayaan mengagumkan.

Bahkan dalam sumber-sumber Arab yang tidak begitu menonjolkan keperwiraannya, Zenobia tetap ditampilkan sebagai seorang ratu yang berkaliber. Banyak pekerti luhurnya diulang dengan kerap dalam sumber-sumber purba dan sebutan sifat paling khusus yang sering diperikan adalah kesucian dirinya. 

Zenobia berpegang bahawa hubungan intim hanya boleh dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan zuriat. Bahkan setelah berkahwin, beliau tetap enggan tidur bersama suaminya kecuali untuk tujuan tersebut.

PERKAHWINAN ANTARA ZENOBIA DAN ODAENTHUS

Menjelang tahun 258 Masihi, Zenobia berkahwin dengan Lucius Septimus Odaenthus, seorang gabenor Rom di Syria. Melalui perkahwinan dengan Zenobia, Odaenthus dikurniakan seorang anak lelaki bernama Vaballathus. Zenobia merupakan isteri kedua Odaenthus dan Odaenthus sendiri telah mempunyai seorang anak lelaki yang menjadi pewarisnya, iaitu Herodes hasil dari perkahwinan pertamanya. 

Odaenthus diberi tanggungjawab ke atas wilayah yang sangat mewah. Kota yang paling utama dalam pemerintahannya adalah Palmyra, yang berfungsi sebagai pusat perdagangan penting di Jalan Sutera, yang menjadi penghubung antara timur dan barat. Para pedagang yang keluar masuk ke Rom pasti akan melalui Palmyra.

Namun begitu, sejak tahun 227 Masihi, perdagangan yang rancak itu terhenti akibat pencerobohan yang dilakukan oleh Parsi Sassanid yang mengepung laluan tersebut. Dalam tempoh konflik tersebut, Raja Sassanid bernama Shapur I (240-270/272 M) menawan kota Antioch yang juga merupakan salah satu pusat perdagangan penting buat Rom. Hal ini tidak boleh didiamkan.

Pada tahun 260 Masihi, Maharaja Rom yang bernama Valerian (253-260 M) berangkat memerangi kekuatan Sassanid, namun mengalami kekalahan dan diambil sebagai banduan. Sepanjang menjadi tawanan perang, Valerian dipergunakan sebagai tempat pemijak oleh Shapur I untuk menaiki kudanya. Valerian terus berada dalam tawanan sehingga beliau meninggal dunia dan kemudian, jasadnya digantung dan dipamerkan di khalayak ramai. 

Puteranya yang bernama Gallienius tidak mampu berbuat apa-apa untuk membaiki keadaan ini. Oleh kerana itu, Odaenthus mengambil tanggungjawab untuk memerangi Sassanid dan berjaya menewas dan mengusir mereka kembali ke Sungai Furat, menjauhi wilayah Syria. 

Atas jasanya terhadap Rom, Odaenthus dilantik sebagai gabenor kepada seluruh wilayah timur Empayar Rom.

Pada tahun 261 M, sempasa Quietus mencabar pemerintahan Gallienius, Odaenthus sekali lagi tampil menewaskan dan membunuh Quietus. Jasanya itu meraihkannya pengaruh yang cukup untuk membenarkannya memerintah wilayah timur Rom dengan lebih bebas dan berkuasa. 

Pada tahun 266/267 Masihi, Odaenthus terkorban bersama anaknya, Herodes akibat dibunuh oleh anak buahnya selepas berlaku sebuah pertelingkahan. Terdapat spekulasi kononnya Zenobia menjadi orang yang bertanggungjawab menghasut supaya Odaenthus dan Herodes dibunuh demi menaikkan anaknya, Vaballathus. Namun pendapat ini ditolak oleh kebanyakan sejarawan.

ZENOBIA MERAIH KUASA DAN MENAKLUK MESIR 

Zenobia kemudian dilantik menjadi pemangku gabenor memandangkan Vaballathus masih kecil. Sebaik meraih kuasa, beliau sering berdampingan dengan ahli-ahli intelek dan falsafah terkemuka di istananya. Antara mereka termasuklah Platonist Cassius Longinus (213-273 M) yang kelak akan dihukum bunuh atas kesalahan kononnya menghasut Zenobia agar membelakangi Rom. 

Setakat tempoh masa kenaikan kuasa Zenobia, hubungan antara Palmyra dan Rome masih berlangsung mesra berkat gerakan-gerakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Odaenthus sebelum ini banyak memelihara dan memihak kepentingan Rom.

Zenobia mengekalkan polisi pemerintahan mendiang suaminya. Sepanjang fasa huru-hara yang melanda Rom ketika itu, yang dipanggil sebagai Krisis Abad ke-3, seramai 26 orang telah naik dan turun sebagai maharaja. Odaenthus mungkin pernah terlintas untuk menjadi salah seorang daripadanya, lebih-lebih lagi dirinya begitu akrab dengan Maharaja Gallienus dan wilayah pemerintahannya pula begitu mewah. Selepas kematiannya, Zenobia pula mungkin menganggap anaknya, atau bahkan dirinya sendiri mampu menaiki takhta Rom. 

Sejarawan bernama Richard Stoneman menulis:
“Dalam tempoh 5 tahun selepas kematian Odaenthus pada tahun 267 M, Zenobia berjaya meletakkan dirinya disenangi oleh rakyatnya dan dikenali sebagai Ratu Timur. Mendiami sebuah istana yang boleh dikatakan antara yang termewah pada zaman itu, dikelilingi oleh cendekiawan ulung yang berkhidmat di istana, dilayan oleh sida-sida setia, dan dipakaikan dengan kain sutera paling berkualiti dari Antioch dan Damsyik, Zenobia juga mewarisi reputasi kehebatan pasukan tentera yang ditinggalkan oleh Odaenthus dan unit tentera Badwi yang begitu efektif. 

Dengan kekuatan ketenteraan dan pengaruh yang begitu hebat, Zenobia menjadi salah satu figura yang mencabar kekuasaan Rom yang menghadapi abad yang huru-hara. Rom yang ketika itu digugat oleh serangan dari utara, tidak mampu untuk melindungi wilayahnya di Timur. Syria untuk suatu tempoh hilang dari perhatian penguasa-penguasa Rom.”

Gallienus mati dibunuh pada tahun 268 Masihi dan digantikan oleh Claudius II yang kemudian meninggal dunia akibat demam. Kedudukannya diwarisi oleh Quintillus pada tahun 270 Masihi. 

Sepanjang tempoh peralihan kuasa pantas ini, polisi pentadbiran Zenobia berubah dengan lancar dan menjelang tahun 269 Masihi, Zenobia memanfaatkan keadaan dengan menghantar ketua panglimanya, Zabdas ke Rom-Mesir untuk menawan wilayah tersebut.

Pun begitu, tindakan ini juga dilakukan oleh Zenobia dengan begitu berhati-hati agar tidak terlihat sebagai melancarkan konflik terhadap Rom. Semasa gabenor yang memerintah Mesir sedang melancarkan kempen di luar kawasan, seorang warga Syria-Rom bernama Timagenes memulakan pemberontakan. 

Oleh kerana itu, kemaraan pasukan tentera Zenobia ke Mesir ini boleh dijelaskan sebagai sebuah kempen yang memelihara kepentingan Rom. Apapun, terdapat kemungkinan bahawa Timagenes ini batu api yang sengaja dihantar terlebih dahulu oleh Zenobia semata-mata untuk mewujudkan alasan yang membenarkannya menceroboh Mesir.

Pada awalnya, tentera Zenobia berjaya meraih kemenangan namun kemudian diusir dari wilayah Mesir apabila pasukan tentera tempatan pulang dari kempen. Tidak berpuas hati dengan kejayaan mengusir penceroboh itu, tentera-tentera Rom-Mesir malah mengejar pasukan tentera Zenobia sehingga melepasi sempadan dan terus mara memasuki wilayah Syria. Di sana, pasukan tentera Zenobia melancarkan serangan balas dan berjaya menewaskan pasukan tentera Rom-Mesir.

Sebaik sahaja menguasai Mesir, Zenobia dengan pantas mengadakan rundingan diplomatik dengan wilayah-wilayah di Levant dan Asia Kecil sekaligus memasukannya ke dalam Empayar Palmyra-nya yang sedang berkembang besar. 

Dengan keadaan Empayar Rom yang sedang huru-hara, kekayaan dan kekuasaan Empayar Palmyra yang sedang meningkat naik membuatkan pemerintah-pemerintah tersebut memilih untuk berpihak kepada Zenobia. Akibat terlalu sibuk dengan masalah dalaman, Rom tidak mampu berbuat apa-apa terhadap perkembangan kuasa Zenobia ini. 

Apapun, walaupun jelas sekali beliau sedang membina sebuah empayar sendiri yang bersebelahan dengan empayar Rom, Zenobia masih belum melakukan sebarang tindakan yang secara terbuka mencetuskan konflik dua pihak dengan Rom. 

Masa berlalu dan berlalu sehinggalah Aurelian naik menjadi Maharaja. Zenobia pula pada masa itu menitahkan agar syiling yang memaparkan imej Vaballathus di satu sisi dan Aurelian di satu sisi dihasilkan. Beliau juga mengarahkan agar inskripsi-inskripsi berkenaan sifat mulia Aurelian diletakkan di Palmyra sambil urusan-urusan rasmi dijalankan dengan menggunakan nama maharaja. 

Namun pada masa yang sama, beliau dengan beraninya menggunapakai gelaran diraja Augustus untuk anaknya, Vaballathus dan Augusta untuk dirinya sendiri; gelaran yang sepatutnya hanya layak disandang oleh keluarga diraja Rom sahaja. 

Lebih daripada itu, Zenobia juga mengadakan kesepakatan perdagangan dengan Sassanid, serta menambah wilayah ke dalam empayar timurnya tanpa terlebih dahulu merujukkan hal tersebut kepada penguasa Rom. 

Menjelang tahun 271 Masihi, pemerintahan Zenobia berkeluasan dari Iraq moden hingga ke Turki dan turun sampai ke Mesir.

ZENOBIA DAN AURELIAN

Ketika maharaja-maharaja lain gagal untuk menyedari perkembangan kuasa Zenobia atau mungkin tidak memiliki sumber untuk melakukan sesuatu terhadapnya, Aurelian ternyata merupakan seorang pemerintah yang berbeza. 

Beliau mendaki tangga kariernya dengan bermula sebagai seorang tentera pejalan kaki, lalu menjadi panglima dan kini bergelar maharaja. Beliau terlebih dahulu menceburi medan perang sebelum turun ke gelanggang politik. 

Sebaik meraih kuasa, Aurelian perlu memimpin pasukan tenteranya menewaskan Vandals, Alemanni dan Goths. Menjelang tahun 272 Masihi, beliau akhirnya bersedia untuk merebut semula wilayah-wilayah timur dari genggaman Zenobia. Beliau tidak menunggu untuk menghantar sebarang surat ataupun menerima surat dari Zenobia, sebaliknya terus sahaja mara ke Empayar Palmyra dengan membawa seluruh bala tenteranya.

Sebaik memasuki Asia Kecil, ketumbukannya memusnahkan setiap pekan dan kota yang menumpahkan kesetiaan kepada Zenobia. Beliau turut memerangi beberapa pasukan perompak yang ditemui dalam perjalanan. Kemaraan diteruskan sehinggalah mereka tiba di Tyana, wilayah yang menempatkan seorang ahli falsafah terkenal bernama Apollonius yang sangat dikagumi oleh Aurelian sendiri. 

Pernah di dalam mimpinya, Aurelian didatangi oleh Apollonius yang memberi nasihat agar memberi belas-kasih andai mahu meraih kemenangan. Oleh kerana itu, Aurelian mempamerkan rasa belas-kasih terhadap penduduk kota dan melanjutkan kemaraan tanpa mengapa-apakan mereka. 

Ternyata sifat belas-kasih ini mendatangkan kesan yang efektif. Kota-kota lain langsung sahaja menyerah kepada Aurelian. Sejak keberangkatan dari kota Tyana, tidak ada lagi kota yang memerangi Aurelian dan masing-masing menghantar utusan menyatakan pendirian mereka yang memihak Aurelian dan meninggalkan Zenobia. Dengan begitu, ketumbukan Aurelian dapat tiba di Syria dengan pantas.

Tidak dapat dipastikan sama ada Zenobia ada menghantar utusan kepada Aurelian ataupun tidak. Terdapat rekod tentang perutusan surat antara mereka berdua sebaik sahaja Aurelian tiba di Palmyra, namun catatan tersebut dianggap sebagai rekaan oleh sejarawan terkemudian. 

Surat yang diberikan oleh Aurelian semasa awal keberangkatannya sebagaimana yang terkandung dalam Historia Augusta juga dianggap palsu; rekaan yang dilakukan untuk menunjukkan sifat belas-kasih yang dimiliki Aurelian serta sifat kasar dan angkuh Zenobia.

Bagi menghadapi kemaraan Aurelian, Zenobia mengumpulkan bala tenteranya dan kedua-dua pihak itu kemudian saling berhadapan di luar kota Daphne. Di sana, meletus Pertempuran Immae pada tahun 272 Masihi yang dimenangi oleh Aurelian. Ramai tentera Syria ditawan dan dibunuh. Zenobia sendiri bersama panglimanya, Zabdas terpaksa berundur ke kota Emesa yang menempatkan lebih ramai tentera dan harta.

Aurelian terus mengejar Zenobia dan kedua-dua pihak sekali lagi bertembung di luar kota Emesa. Kali ini juga dimenangi oleh Aurelian melalui taktik yang sama seperti di Immae. Kota Emesa habis dijarah. Namun, Zenobia masih berjaya meloloskan diri dan berundur ke Palmyra.

Tidak lama selepas beliau selesai menyiapkan pertahanan kota, ketumbukan tentera Aurelian pun tiba dan langsung sahaja melakukan pengepungan.
Edward Gibbon menulis, “Zenobia berundur ke tembok ibu kotanya, melakukan persiapan terakhir dan melaungkan dengan penuh lantang, “Berakhirnya pemerintahanku adalah berakhirnya hayatku. Berakhirnya hayatku adalah berakhirnya pemerintahanku!” 

Entah benar ataupun tidak beliau ada mengatakan sedemikian, namun apa yang pasti beliau jelas menunggu bantuan dari Parsi. Apabila mendapati bantuan tidak dapat diterima, Zenobia dan Vaballathus melarikan diri menaiki unta menuju ke Parsi.

Semasa Aurelian berjaya menggempur masuk ke dalam kota dan mendapati bahawa Zenobia dan puteranya sudah tiada, pantas beliau menghantar sepasukan tentera kavalri untuk menghambat Ratu Palmyra itu. Zenobia tertangkap semasa sedang cuba merentas sungai Furat. Beliau kemudian dibawa menghadap Aurelian dalam keadaan dibelenggu. 

Di hadapan Aurelian, Zenobia menafikan kesalahannya dan menudingkan jari kepada hasutan yang diberikan oleh para penasihatnya, terutama sekali Cassius Longinus. Cassius kemudian dihukum pancung sementara Zenobia pula dibawa kembali ke kota Rome.

HARI-HARI TERAKHIR ZENOBIA

Apa yang berlaku terhadap Zenobia seterusnya berbeza mengikut setiap catatan yang dibaca. 

Menurut Zosimus, Zenobia dan puteranya mati lemas di Selat Bosforus semasa dalam perjalanan ke Rome. Namun, Zosimus juga mendakwa bahawa Zenobia selamat tiba di Rome tanpa anaknya. Beliau kemudian dibicarakan dan dibebaskan lalu meneruskan hidup di sebuah villa yang kemudian berkahwin dengan seorang lelaki Rom.

Historia Augusta pula menyampaikan kisah di mana beliau diarak di sepanjang jalan di kota Rom dalam keadaan dibelenggu oleh rantai emas semasa perarakan kemenangan Aurelian. Zenobia kemudian dibebaskan dan dikurniakan sebuah rumah mewah berdekatan kota Rome di mana beliau meluangkan hari-hari terakhirnya dengan aman dan senang-lenang.

Sementara itu, Zonaras mendakwa bahawa Zenobia dibawa pulang ke kota Rome, namun tidak pernah dimalukan dalam perarakan dan bersetuju bahawa Zenobia berkahwin dengan seorang lelaki Rome sambil Aurelian pula mengahwini salah seorang anak perempuan Zenobia.

Seperti penulis-penulis Arab yang lain, Imam al-Tabari langsung tidak menyebut tentang Aurelian ataupun Rom dalam penceritaan mengenai Zenobia. Dalam catatan al-Tabari, Zenobia membunuh seorang ketua kabilah bernama Jadhima pada malam perkahwinan mereka. Lantas, anak buah Jadhima menuntut bela dengan mengejar Zenobia yang melarikan diri menuju ke Furat. 

Zenobia telah terlebih dahulu mengarahkan agar sebuah terowong digali di bawah sungai, kalau-kalau rancangannya menemui jalan buntu dan menuntutnya melarikan diri. Dalam kisah ini, Zenobia ditangkap ketika sedang memasuki terowong tersebut. Beliau kemudiannya sama ada mati kerana membunuh diri dengan meminum racun, ataupun dihukum.

Makanya, pengakhiran hidup Zenobia bergantung kepada sumber yang dirasakan paling sahih. 

Historia Augusta telah lama diakui sebagai sumber yang tidak boleh dipercayai kerana ia sering mengubah tarikh, peristiwa dan bahkan watak-watak yang terlibat demi menghadirkan suatu versi tertentu yang bersesuaian dengan kepentingan maharaja yang memerintah pada masa itu. 

Stoneman menulis:
“Pada beberapa aspek tentang sifat Zenobia, kita dihidangkan dengan banyak maklumat menerusi Historia Augusta – namun mesti diingat bahawa perincian penceritaannya tidak boleh begitu diyakini memandangkan penulisnya, menulis apa yang dirasakannya sesuai mengikut citarasanya.”

Catatan-catatan dari Zonaras dan Zosimus dianggap lebih diyakini. 

Oleh kerana itu, lebih cenderung untuk mengatakan bahawa di akhir hayatnya, Zenobia dibawa ke kota Rome namun tidaklah dimalukan dalam perarakan kemenangan Aurelian. Aurelian pasti begitu mempertimbangkan anggapan masyarakat Rom andai mendapati kemenangannya itu adalah dari kempen ketenteraan melawan seorang wanita. Betapa malu baginya jika dianggap membenarkan seorang wanita menjadi begitu berkuasa sehingga mampu memerintah satu pertiga empayar Rom. 

Tidak mungkin Aurelian mahu memberikan perhatian yang lebih kepada Zenobia dan makanya, hikayat masyhur kononnya Zenobia diarak dalam keadaan dibelenggu oleh rantai emas adalah satu fiksyen.

Namun, kisah tentang pendakwaan dan pembebasannya lalu kehidupannya di Rome dianggap munasabah. Tidak ada rekod yang mencatatkan tarikh kematian Zenobia atau bagaimana beliau meninggal dunia. Namun apa yang pasti, tidak ada sumber dari barat yang mengisyaratkan bahawa beliau dihukum bunuh. 

Oleh kerana itu, terdapat kemungkinan bahawa kisah kematiannya itu diperkenalkan menerusi versi penceritaan Arab.

Zenobia merupakan salah satu figura paling penting pada Zaman Pertengahan. Identitinya sebagai seorang ratu dan pahlawan yang hebat berjaya mempengaruhi ramai penulis dan pelukis untuk terus menghidupkan namanya dalam tinta sejarah. 

Malah, monarki di kemudian hari seperti Catherine dari Russia (1729-1796 M) turut membanding-bandingkan dirinya dengan Zenobia, menunjukkan betapa Ratu Palmyra itu dijadikan sebagai kayu ukur kesuksesan seseorang pemerintah wanita. Sehingga ke hari ini, Zenobia dikenang sebagai seorang ratu dari Palmyra yang mencabar kekuasaan Rom dan memberi inspirasi kepada ramai wanita.

SUMBER
– Joshua J. Mark. (September 2014). Zenobia. Ancient History.

BACAAN LANJUT
– Jone Johnson Lewis. (April 2017). Zenobia – Queen of Palmyra. ThoughtCo.
– New World Encyclopedia. (n.d.). Zenobia.
– David Hernandez De La Fuente. (n.d.). Zenobia, the Rebel -Queen Who Took On Rome. History Magazine.
– Ensiklopedia Britannica. (n.d.). Zenobia, Queen of Palmyra.