Ketika zaman
kerajaan Parsi lama, mereka menganut agama pagan. Selepas agama Zoroastrianism
diperkenalkan oleh Zarathustra, mereka kemudian meninggalkan amalan penyembahan
berhala dan memeluk agama Majusi.
Agama ini mula
disebarkan di sekitar tempat yang sekarang dikenali sebagai Iran oleh seorang
tokoh agama yang dianggap sebagai nabi oleh penganut agama ini, iaitu Zarathustra.
Penganut
Zoroastrianism boleh dijumpai di negara India, Iran, dan negara-negara sekitar
seperti Pakistan, United Kingdom, Kanada, Australia, German, dan New Zealand.
LATAR BELAKANG
Ilustrasi Zoroaster. Gambar diambil dari ancient-origins.net
Zoroastrianism
boleh dikira sebagai antara agama tertua yang mengamalkan ajaran monotheism.
Agama ini menampilkan Ahura Mazda,
sebagai tuhan yang satu dan layak disembah, Avesta
sebagai kitab agama mereka, dan Gathra
sebagai ‘hymn’ atau puisi mulia bagi agama mereka.
Semestinya
pengenalan agama baru ini mencabar institusi keagamaan Parsi lama yang masih
menganut agama pagan, dan mereka menentang agama baru ini sehingga beliau
mendapat perlindungan dari King Vishtāspa, raja Bactria semasa beliau berumur
40 tahun.
Akhirnya ajaran
beliau tersebar tanpa halangan besar, dan ketika kematiannya ketika beliau
berumur 77 tahun, agama Majusi telahpun tersebar ke seluruh tanah Persia.
BIOGRAFI
Lukisan fresco dari Dura-Europos yang menggambarkan Zarathustra. Gambar diambil dari ancient-origins.net
Zarathustra,
atau Zoroaster bagi Yunani, atau Zarathushtra Spitama bagi Parsi, merupakan
seorang tokoh agama penting bagi Parsi lama. Beliau merupakan pengasas kepada
agama Zoroastrianism, atau Majusi.
Tidak dapat
dipastikan bila Zarathustra lahir dan menetap. Berdasarkan catatan dari teks Avesta, beliau lahir pada 628 S.B. di ibu
negara kerajaan Achaemenian, Persepolis. Para sejarahwan mempunyai perbezaan
pendapat berkenaan tarikh sebenar kelahiran nabi penganut Majusi ini. Apapun,
mereka bersetuju bahawa tarikh kelahiran beliau adalah sekitar 1500 dan 500
S.M..
Menurut
kepercayaan penganut Majusi, nabi mereka lahir di ‘Airyanem Vaejah’. Ramai
sejarahwan berpendapat bahawa beliau lahir di timur laut Persia. Menurut Gathas, Zarathustra lahir di dalam
Keluarga Spitama. Bapanya bernama Purushaspa dan ibunya bernama Doghdova. Beliau
adalah anak ketiga dari 5 orang beradik.
Lagenda Majusi mengatakan bahawa ketika kelahiran beliau, beberapa malaikat dari syurga datang melawat bagi memberi penghormatan kepada beliau, dan beliau ketawa ketika dilahirkan, tidak seperti bayi lain. Dalam bahasa ibunda beliau, beliau digelar sebagai ‘Zaraϑuštra’ atau ‘pengembala kambing’, dimana ia ditransliterasikan sebagai Zōroastrēs bagi lidah Yunani, dan terkemudian dipanggil Zoroaster.
Ketika beliau
berumur 7 tahun, beliau mula mempelajari ilmu agama dan menamatkan pembelajarannya
ketika umur 15 tahun. Pada umur 20 tahun, beliau meninggalkan rumahnya bagi
meneruskan pengajian beliau dengan guru lain, dimana beliau mengembara ke
pelbagai negara, melawat bandar-bandar, kawasan pergunungan dan hutan belantara
demi meningkatkan pengalaman beliau. Beliau juga gemar bermeditasi atau
bertapa.
Ilustrasi pengasas agama Zoroastrianism. Gambar diambil dari ancient-origins.net
Zarathustra mula mendapat wahyu ketika berumur 30 tahun, semasa perayaan musim bunga, dimana beliau terlihat sebuah sinaran, yang memperkenalkan dirinya sebagai Vohu Manah, atau ‘Makhluk bertujuan baik’. Berikutan wahyu itu, beliau pun diangkat menjadi nabi dan memutuskan untuk menyebar ajaran baru ini kepada orang-orangnya.
Tak lama selepas
ajaran ini diperkenalkan, para pendeta yang takut kedudukan mereka terancam
mula menentang ajaran beliau. Berikutan gangguan yang hebat beserta cubaan m3mβunuh
beliau, akhirnya beliau berhijrah ke Persia timur, dimana ajaran beliau
diterima oleh Raja Vishtaspa. Antara pengikut terawal beliau ialah saudaranya, Maidhyoi-madnha,
Raja Vishtaspa, Ratu Hutaōsa, dan adik-beradik raja, iaitu Frashaoshtra dan
Jamaspa.
Zarathustra
membina keluarga bersama isterinya, Hvōvi merangkap anak kepada salah seorang
adik beradik Raja Vishtaspa, iaitu Frashaoshtra. Beliau dikurniakan 3 orang
anak lelaki, iaitu Isat Vastar, Uruvat-Nara, dan Hvare Ciθra, serta 3 orang
anak perempuan, iaitu Freni, Pourucista, dan Triti. Catatan lain mengatakan
bahawa beliau mengahwini 3 orang isteri. Beliau mendapat 6 orang anak dari
isteri pertama dan kedua, namun tiada anak dari isteri ketiganya. Kesemua
anaknya memeluk agama Majusi sehingga akhir hayat mereka.
Zarathustra
meninggal dunia ketika berumur 77 tahun. Sewaktu p3p3r4ng4n dan p3rt3mpur4n sedang
berlangsung antara Persia dan Turan, negara yang memusuhi ajaran Zarathustra,
beliau d1βunuh oleh orang Turan yang bernama Bratrok-resh ketika sedang
bersembahyang di kuil Nush-Adar.
AJARAN DAN PENINGGALAN
Lambang Faravahar. Gambar diambil dari anthrogenica.com
Ajaran
Zarathustra yang juga dikenali sebagai Zoroastrianism, Mazdayasna, atau Majusi,
boleh dikatakan melawan arus kepercayaan orang Parsi lama ketika itu, dimana
mereka menyembah banyak berhala. Beliau mengatakan bahawa tiada tuhan selain
Ahur Mazda, tuhan yang layak disembah. Entiti lain yang digelar sebagai Daevas
ialah semangat jahat dan tidak layak disembah.
Beliau
memperkenalkan konsep Ahura Mazda atau ‘Semangat yang Bijaksana’ 5 semangat
yang menyala, kewujudan Angra Mainyu, iaitu semangat jahat, perihal berkenaan
Asha atau kebenaran, dan Druj atau kebatilan, dan tujuh entity suci yang
dikenali secara kolektif sebagai Amesha Spenta, merangkap tujuh nyalaan Ahura
Mazda, tuhan yang maha esa. Nyalaan tersebut digambarkan melalui api,
menjadikannya sebagai simbol suci bagi penganut Majusi.
Beliau juga menentang amalan dan upacara agama Parsi lama, penggunaan jus Haoma, korban binatang, dan sistem kasta, dan memperjuangkan tentang kebebasan dalam memilih dan menyeru orangnya untuk mengikut jalan kebenaran yang lurus.
Menurut beliau,
setiap orang mempunyai hak untuk memilih antara kebaikan dan kejahatan. Oleh
itu, seseorang wajib meninggalkan jalan yang salah dan menurut jalan yang
benar. Beliau juga menekankan kewajiban ibu bapa bagi mendidik anak-anak mereka
ke jalan yang benar.
Selain menjadi
penulis kitab Avesta, iaitu kitab orang Majusi, beliau juga menjadi pengarang
Gathas yang ditulis dalam bentuk puisi agama lama. Ia kemudian dimasukkan
sekali ke dalam kitab Avesta.
Ajaran
Zoroastrianism telah tersebar ke seluruh Kerajaan Parsi, dimana mereka
mengamalkan agama ini sehingga Kerajaan Sassanid, dimana akhirnya ia hampir
dihancurkan sepenuhnya semasa zaman Khulafa ar-Rasydin.
Namun, agama
Majusi masih diamalkan oleh segelintir orang, iaitu di negara-negara yang
disebut sebelum ini, dimana kuil-kuil Zoroastrianism boleh dijumpai di sana.
Hal ini berikutan kerana terjemahan kitab Avesta oleh pakar indologi Perancis, Abraham
Anquetil-Duperron sekitar abad ke-18.
Ajaran agama
Zoroastrianism juga telah mempengaruhi beberapa agama yang diasaskan di sekitar
Iran, seperti Ahmadiyah, Bahai, da Manichaeism. Pada hari ini, hanya terdapat
kira-kira 200,000 orang sahaja yang masih menganut agama Zoroastrianism.
RUMUSAN
Simbol Majusi, kawah api suci. Gambar diambil dari himalayanacademy.com
Zarathustra
telah mengubah kepercayaan pagan orang Parsi lama dari menganut agama
politheism kepada ajaran monotheism iaitu Zoroastrianism, atau Majusi. Ajaran
ini telah bertahan sekian lamanya sejak awal era Parsi lama, iaitu Empayar Achaemenid,
Dinasti Parthian, Empayar Sasanid, sehingga kebangkitan Islam ketika zaman
Khulafa ar-Rasyidin.
Pada hari ini,
kita boleh cari dan jumpa peninggalan ajaran Zoroaster melalui kuil-kuil api
yang terdapat di beberapa negara yang berdekatan dengan lokasi kelahiran agama
Zoroastrianism, seperti Iran, Pakistan, dan lokasi-lokasi jauh seperti Kanada,
New Zealand, Jerman, dan United Kingdom.
Salah seorang
individu terkenal yang menganut agama Majusi ialah mendiang Freddie Mercury,
vokalis unggul dari kumpulan rock lagenda, Queen. Begitu juga dengan nama-nama
terkenal, seperti Alexander Bard, Homi Jehangir Bhabha, dan Sam Manekshaw.
Zoroaster telah
berjaya meletakkan agama beliau, Zoroastrianism atau Majusi, sebagai antara
agama yang berasaskan ajaran monotheism yang tertua di dunia, sebaris dengan
agama Atenism, Judaism dan Kristian, iaitu sekitar 10,000 ke 7,000 S.B..
RUJUKAN
1) König, F.C. (2017,
Februari 6). Zarathustra. Diambil
pada 3 November 2019 dari https://www.britannica.com/biography/Zarathustra
2) Violatti, C. (2014,
May 23). Zarathustra. Diambil pada 3
November 2019 dari https://www.ancient.eu/zoroaster
3) Palmer, J. (2010,
Julai 13). Zoroaster – forgotten prophet
of the one God. Diambil pada 3 November 2019 dari https://www.theguardian.com/commentisfree/belief/2010/jul/13/abrahamic-religion-zoroastrian-judaism
4) Tai-Seale, T.
(2014, Februari 14). The Ancient Persian
Wisdom of Zoroaster. Diambil pada 3 November 2019 dari https://bahaiteachings.org/the-ancient-persian-wisdom-of-zoroaster
5) Calabasas
Online Tutoring. (2016, Januari 6). A
Brief Overview of Zoroastrianism. Diambil dari https://www.youtube.com/watch?v=xlWKusYj8uU
6) Who Was Zoroaster and How Did He Gain
Religious Followers?. (2019, Ogos 13). Diambil dari https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/who-was-zoroaster-and-how-did-he-gain-religious-followers-007684
7) Zoroastrianism (2019, Oktober 8). Diambil
dari https://www.history.com/topics/religion/zoroastrianism




No comments yet