Zambia Pernah Sertai Perlumbaan Angkasa Melawan US dan Soviet

1,288

Kebanyakkan para pembaca pasti pernah mendengar perkataan Space Race pada abad ke-20 di mana perlumbaan untuk ke angkasa menjadi perkara paling utama bagi menunjukkan kehebatan negara masing-masing terutama buat dua negara kuasa terbesar di dunia pada ketika itu iaitu Amerika Syarikat dan USSR. 12 April 1961 menjadi tarikh terpenting buat masyarakat dunia apabila Yuri Gagarin daripada USSR berjaya menjadi manusia pertama untuk ke angkasa.

Beberapa minggu kemudian pada bulan Mei tahun yang sama, Alan Shepherd pula berjaya menjadi manusia daripada Amerika yang pertama ke angkasa. Setelah kedua-dua negara ini berjaya menghantar manusia ke angkasa, sasaran mereka yang seterusnya adalah bulan. Baik, jangan tanya saya tentang propaganda, kontroversi, illuminati, Mason-percuma dan lain-lain.

Apa yang kita tahu, pada 21 Julai 1969 (UTC) jam 2.56 pagi, Neil Armstrong berjaya menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di atas permukaan bulan sambil berkata ayat yang menjadi ikon dan legenda kepada kesemua masyarakat di AS pada ketika itu iaitu “That’s one small step for man, one giant leap for mankind.”

Baik, kejayaan ini sememangnya menjadi batu ukur kepada teknologi angkasa terhadap peradaban manusia. Akan tetapi, janganlah kita lupa terhadap satu program angkasa daripada negara lain. Tidak, saya tidak akan berkata mengenai The Lebanese Rocket Society yang sebenarnya amat hebat dalam menghasilkan roket dengan beberapa stage pelepasan, tetapi, saya bercakap mengenai satu program angkasa yang ramai tidak ketahui, iaitu Program Angkasa Negara Zambia.

Edward Nkoloso menunukkan roketnya – politiken

Ya, saya tak tipu, dan saya tidak berada di bawah apa-apa pengaruh ubat-ubatan mahupun minuman, tetapi itulah kenyataanya. Zambia, mempunyai program angkasanya sendiri. Semuanya bermula dengan seorang lelaki bernama Edward Festus Mukuka Nkoloso (Nkoloso) yang telah menubuhkan satu akademi bernama The Zambia National Academy of Science, Space Research and Philosophy. Dia merupakan seorang bekas guru sains dan penubuhan akademi ini adalah pada tahun 1960, di mana pada ketika itu, Zambia masih lagi belum mencapai kemerdekaan.

Apakah misi mereka? Mereka ingin menyertai Space Race pada ketika itu dan ingin menjadi negara pertama menghantar manusia ke bulan. Baik tolong jangan gelak sebab tak baik gelakkan orang tau. Untuk programnya ke planet Marikh, selepas mereka berjaya menghantar beberapa orang Zambia ke bulan, Nkoloso ingin menghantar 4 jasad ke planet Marikh, iaitu seorang perempuan berumur 17 tahun (Digelar Spacegirl), 2 ekor kucing dan seorang missionary (mubaligh).

Dia mengatakan, kesemua 4 (2 ekor kucing dan 2 orang manusia) itu akan dilatih dengan latihan yang khas dan khusus bagi menyesuaikan diri mereka dengan keadaan graviti sifar di angkasa. Mereka membawa 2 objektif utama ke Marikh, iaitu menyebarkan agamanya dan menjadikan Zambia sebagai negara yang mengawal 7 syurga di angkasaraya.

Keratan Akhbar Tentang Zambian Space Program – Vice

Angkasawan-angkasawan itu tidak dipanggil sebagai astronauts atau cosmonauts, sebaliknya adalah afronauts, termasuk dengan kucing-kucing tu sekali. Nkoloso membina tempat ‘latihan’ yang terletak lebih kurang 10 kilometer daripada bandar Lusaka di sebuah ladang. Pada awalnya, terdapat 12 afronauts di bawah latihan itu. Antara latihan-latihan yang dilakukan adalah

  1. Meletakkan seseorang di dalam sebuah tong minyak dan digolekkan ke ke bawah bukit
  2. Meletakkan afronaut itu di atas sebuah buai yang diperbuat daripada tayar dan menghayunkannya
  3. Melompat sambil bertepuk tangan dengan serentak
  4. Berjalan menggunakan tangan
  5. Menjerit dan menyanyi dengan merdu untuk berkomunikasi dengan kaum primitif di planet Marikh.

Latihan 1 dan 4 adalah untuk mensimulasikan keadaan tiada graviti di angkasa dan latihan 5 adalah untuk komunikasi. Walaupun dia ditertawakan, dia dengan yakinya mengatakan bahawa teknologi roket mereka adalah 7 tahun dihadapan negara AS dan USSR ketika itu. Selepas itu, Nkoloso disuruh menunjukkan prototaip roketnya. Dia dengan bangganya menunjukkan sekeping tong yang sedikit berbeza daripada tong minyak yang telah dikimpal. Sila rujuk gambar dibawah

Aktiviti di Akademi Sains Zambia termasuk prototaip roket yang akan digunakan – behance

Hampir semua yang mengetahui berita tentang program angkasa ini menjadi terhibur apabila Nkoloso menunjukkan prototaip roket buatannya yang mana bahagiannya diambil daripada bahan-bahan buangan daripada kilang dan bengkel kenderaan. Roketnya berbentuk tong minyak bernama D-Kalu 1 dan mempunyai dimensi 3×2 meter. Dia yakin, roket tong itu mampu bertahan di angkasa. Mereka mempunyai perancangan untuk melancarkan roket tersebut pada hari sambutan kemerdekaan Zambia pada Oktober 1964 di stadium merdeka Zambia,

Untuk mendapatkan bahan bakar yang tidak wujud di negara mereka, iaitu rocket-fuel, dia meminta tajaan daripada AS, dan sebagai pertukaran, dia akan memberi teknologi dan blueprint roket mereka kepada kerajaan AS. Menteri Pengangkutan Jalan Raya Zambia ketika itu melarang sekeras-kerasnya Nkoloso untuk melancarkan roket tersebut pada hari kemerdekaan nanti.

Nkoloso mengubah strategi, dia menghubungi NASA untuk memberi mereka teknologi tersebut dan sebagai pertukaran, dia mahukan bendera Zambia untuk dipacakkan sebelum bendera AS. Masalahnya, teknologinya pun langsung tidak diketahui apekebenda. Berang dengan orang lain yang tidak mengambil serius, dia mengeluarkan kenyataan “Nanti apabila bendera Zambia dah terpacak di bulan tu, barulah anda semua terdiam dan kagum”. Dia menghantar beberapa surat, salah satunya ke UNESCO untuk meminta tajaan bernilai 7 juta Zambian Pound dan beberapa negara lain untuk program angkasanya.

Sesungguhnya, wawasan dan sikap optimistiknya harus dipuji, tetapi, sekali lagi pada beberapa tahun selepas akademi itu ditubuhkan, perempuan yang bernama Martha Mwambwa yang akan dijadikan Spacegirl Afronaut telah mengandung ketika usianya berumur 17 tahun oleh ‘orang’ di dalam akademi tersebut. Hujungnya, bapa Mwambwa mengambilnya balik kerana berang, semua lelaki di sana tidak mengaku telah menjadikan Mwambwa berbadan dua.

Selepas Neil Armstrong telah berjaya mejejakkan kaki ke bulan, segala berita tentang program angkasa Zambia menjadi senyap sunyi. Dalam temubualnya mengenai program angkasa tersebut, Nkoloso berkata kegagalan program ini adalah disebabkan oleh ketiadaan dana, sabotaj daripada negara-negara luar dan pencurian blueprint teknologi yang diciptanya oleh AS.

Filem yang diinspirasikan oleh Nkoloso bertajuk Afronauts – Christina de Middel mencipta gambar ini andaikata Zambia Space Program menemui kejayaannya

Menteri tertinggi Zambia semuanya menganggap perkara itu hanyalah gurauan dan tidak serius. Bertia tentang program angkasa tersebut menjadi tersebar kerana ketika itu, majalah The Time membuat liputan mengenainya memandangkan negara tersebut menghala ke kemerdekaan mereka pada tahun 1964. Apa pun, angan-angan dan impian itu sememangnya boleh diterapkan oleh seseorang, namun, biarlah berpada-pada. Janganlah hanya kerana kalah bolasepak, penonton pula yang menjadi mangsa, silap. Janganlah jadi seperti Mat Jenin kalau iya pun.

Satu lagi, etika dan perhubungan sesama insan juga amat penting. Ini tidak, kau mengandungkan anak orang, lepas itu kau salahkan orang lain. Agak mengecewakan sebenarnya, kalaulah Mwambwa itu benar-benar ke angksa, sudah tentu janinnya menjadi janin pertama yang ke angkasa. Setakat ini, saya rasa tiada lagi rekod tentang perkara berkenaan.

Notakaki – Rencana ini tidak bertujuan memperbodohkan mahupun mempermainkan agama, bangsa dan negara seseorang itu. Juga, segala persoalan mengenai kontroversi dan propaganda tidak akan dilayan, Terima kasih.

RUJUKAN:

  1. EDWARD MAKUKA NKOLOSO, THE AFRONAUTS AND THE ZAMBIAN SPACE PROGRAM. https://www.spacelegalissues.com/space-law-edward-makuka-nkoloso-the-afronauts-and-the-zambian-space-program/
  2. Meet the “Afronauts,” The Forgotten Heroes of Zambia Who Planned To Go To Mars Before NASA. https://www.africanexponent.com/post/10462-nkoloso-had-the-desire-to-dream-beyond-the-ordinary-and-conquering-new-frontiers
  3. The Afronauts – a Zambian space odyssey. https://mg.co.za/article/2013-01-11-00-the-afronauts-a-zambian-space-odyssey

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.