Zaman Tiga Pemerintahan Khilafah Serentak

0
1684
views

Secara ringkas, khalifah dalam politik dunia umat Islam secara umumnya bermaksud seorang pemimpin tertinggi umat Islam yang bukan sahaja memimpin umat Islam dalam hal politik, bahkan dalam hal keagamaan dan sosial. Khilafah pula adalah sistem rangkaian khalifah. Sejak zaman Rasulullah SAW, dunia umat Islam secara umumnya dipimpin oleh suatu rangkaian sistem khilafah yang berganti-ganti mengikut keturunan dan bangsa.

Dalam sejarah dunia umat Islam, terdapat empat pemerintahan khilafah yang berfahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu Khulafa’ ar-Rasyidin (632-661), Bani Umayyah (661-750 dan 929-1031), Bani Abbasiyyah (750-1258 dan 1260-1517) dan Bani Uthmaniyyah (1517-1924). Satu lagi pemerintahan khilafah yang berfahaman Syi’ah iaitu Fatimiyyah (909-1171).

Walaupun ada pemerintahan khalifah yang lain tetapi ia kes terpencil dan tidak bertahan lama seperti Abdullah bin az-Zubayr RA yang pernah mengistiharkan dirinya khalifah ketika zaman awal khilafah Bani Umayyah dan dinasti Syarifiyyah di Hijaz yang pernah cuba menghidupkan kembali sistem khilafah selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyyah. Jika ada kerajaan-kerajaan umat Islam yang lain ketika itu sekalipun, sama ada mereka tunduk dan bernaung di bawah kekuasaan khalifah ataupun mereka membebaskan kerajaan mereka daripada naungan khalifah ataupun mereka menguasai pemerintahan istana khalifah tersebut walaupun khalifah tersebut hanya sekadar nama dan kedudukan sahaja. Mereka menghormati khalifah sebagai seorang pemerintah tertinggi umat Islam dan hanya ada seorang sahaja rangkaian khilafah pada satu-satu masa seperti hanya perlu seorang imam sahaja untuk mengetuai jemaah yang lain menunaikan solat.

Dalam sejarah umat Islam, sistem khilafah bergantian satu demi satu, tetapi tahukah anda bahawa terdapat satu zaman dalam sejarah umat Islam di mana dunia umat Islam pernah diperintah oleh tiga pemerintahan khilafah yang berbeza secara serentak. Peristiwa tersebut berlaku pada abad ke-10 apabila tiga buah khilafah yang berkuasa bertembung antara satu sama lain dan melantik khalifah masing-masing. Bacaan doa ketika khutbah solat Jumaat ketika itu mendoakan tiga orang khalifah dengan gelaran “Amirul Mukminin” mengikut ketiga-tiga wilayah naungan masing-masing

Peristiwa tersebut mula berlaku pada tahun 750 apabila Bani Abbasiyyah mengambil kerusi khilafah daripada Bani Umayyah setelah berlaku revolusi Abbasiyyah yang mengorbankan kaum kerabat diraja Bani Umayyah. Abu al-Abbas as-Saffah ditabal sebagai Khalifah Abbasiyyah yang pertama. Pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah kedua iaitu Abu Ja’afar al-Mansur, pusat pemerintahan dipindahkan ke Kota Baghdad di Iraq.

Semasa pemerintahan Khalifah al-Muqtadir billah al-‘Abbasi di Baghdad, iaitu pada tahun 909, seorang lelaki berpengaruh berfahaman Syi’ah Ismailiyyah yang bernama Abu Ubaidillah berjaya mengasaskan dinasti Ubaidiyyah di Maghribi. Pengaruhnya semakin besar sehingga tenteranya berjaya menewaskan dinasti Aghlabiyyah yang menguasai Maghribi ketika itu. Dinasti Ubaidiyyah tersebut kemudian meluaskan penaklukannya ke arah timur sehingga ke Tunisia. Ketika dinasti yang beraliran Syi’ah tersebut diperintah oleh al-Mu’iz li-dinillah pada tahun 969, tenteranya berjaya menakluk Mesir daripada penguasaan dinasti Ikhsyidiyyah ketika itu yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Abbasiyyah di Baghdad.

Al-Mu’iz kemudiannya menukar nama kerajaannya kepada Fatimiyyah sempena nama puteri Rasulullah SAW yang didakwa mereka berketurunan daripadanya dan dipindahkan pusat pemerintahan ke Kota Kaherah yang baharu diasaskannya. Pemerintah kerajaan Fatimiyyah mengisytiharkan diri mereka sebagai khalifah umat Islam untuk menyaingi dan memusuhi khilafah Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad.

Baik, sekarang kita beralih pula ke benua Eropah sekitar kurun ke-8 hingga ke-10 untuk melihat sejarah perkembangan kemunculan pemerintahan khilafah yang ketiga di sana. Selepas penghapusan dinasti Bani Umayyah oleh Bani Abbasiyyah di Damsyik, pemerintahan Bani Umayyah tidak berhenti di situ, seorang waris putera mereka yang terselamat berjaya melarikan diri ke Andalus (Sepanyol) dan mengambil alih tampuk pemerintahan Andalus yang pernah diperintah oleh nenek moyangnya.

Beliau ialah Abdul Rahman ad-Dakhil yang menjadikan Andalus sebagai pusat pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang baharu pada tahun 754. Meskipun beliau berjaya mengambil alih semula pemerintahan wilayah Andalus, beliau hanya mengistiharkan dirinya sebagai “Amir” kerana menghormati kedudukan khalifah di Baghdad.

Pada tahun 929, seorang keturunan Abdul Rahman ad-Dakhil yang juga bernama Abdul Rahman tetapi beliau memakai gelaran an-Nasir (Abdul Rahman III), yang sedang memegang tampuk pemerintahan ketika itu, telah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah umat Islam, menyaingi khalifah Bani Abbasiyyah di Baghdad. Abdul Rahman an-Nasir mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah umat Islam kerana beliau merasakan khilafah Abbasiyyah di Baghdad telah lemah dan tidak mampu memegang peranan sebagai khilafah umat Islam lagi. Tambahan pula, kerajaan Bani Umayyah di Andalus ketika itu sedang mencapai kemuncak kegemilangannya dari aspek kekuatan ketenteraan dan sebagai pusat tamadun ilmu di Eropah.

Oleh itu, pada abad ke-10, dunia umat Islam mempunyai tiga pemerintahan khilafah yang berbeza di tiga buah benua yang berbeza. Khilafah Bani Umayyah yang berpusat di Cordova berkuasa di benua Eropah, Khilafah Fatimiyyah yang berpusat di Kaherah berkuasa di benua Afrika dan Khilafah Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad berkuasa di benua Asia.

Apa yang menjadi persamaan antara ketiga-tiga pemerintahan khilafah tersebut ialah perkembangan segala khazanah ilmu pengetahuan semasa era tersebut. Kota Baghdad misalnya yang menjadi pusat pemerintahan Khilafah Abbasiyyah juga berkembang dengan begitu cemerlang sebagai sebuah tamadun ilmu dengan kewujudan institusi Baitul Hikmah di mana aktiviti penulisan dan kajian penyelidikan para sarjana Islam dalam pelbagai bidang ilmu bertambah giat dijalankan, karya-karya ilmiah daripada para sarjana Yunani, Rom, Parsi, China, India, Mesir Purba pada zaman silam daripada enam bahasa purba utama dipulihara kembali, diterjemah ke dalam bahasa Arab, malah dikembangkan lagi bidang ilmunya. Budaya ilmu yang berleluasa tersebut bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, bahkan juga kepada golongan Kristian dan Yahudi tanpa mengira bangsa dan kedudukan.

Selain institusi Baitul Hikmah, Madrasah Nizamiyyah yang dibina di Baghdad sekitar abad ke-11 oleh Nizam al-Mulk, seorang Menteri dinasti Saljuk yang menguasai istana khalifah Abbasiyyah, merupakan antara institusi pengajian tinggi agama yang begitu berpengaruh ketika itu. Antara tokoh madrasah tersebut ialah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.

Waqaf Saham

Di Kota Kaherah pula yang menjadi pusat pemerintahan Khilafah Fatimiyyah, tertubuhnya Universiti al-Azhar yang berkembang sebagai institusi pengajian Islam daripada sebuah masjid. Kedatangan Salahuddin al-Ayyubi sekitar abad ke-12 menakluk Mesir, menyingkirkan fahaman Syi’ah secara beransur-ansur di Universiti al-Azhar. Sejak daripada itu, universiti tersebut merupakan institusi pengajian tinggi Islam antarabangsa yang paling berprestij yang telah dan masih melahirkan ramai tokoh ulama, sarjana dan mujaddid terkemuka dunia dari dahulu sehingga kini.

Di Cordova, Andalus, pusat pemerintahan Khilafah Bani Umayyah ketika itu juga berkembang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan dengan pembinaan pelbagai perpustakaan awam dan institusi pengajian tinggi sehingga mencetuskan zaman kebangkitan (Renaissance) kepada tamadun Barat. Khalifah al-Hakam II, seorang khalifah Umayyah al-Andalus yang amat dikenali sebagai seorang yang amat meminati ilmu pengetahuan, telah membangunkan perpustakaan yang mengumpulkan hampir 400,000 buah naskhah manuskrip dalam pelbagai bidang ilmu daripada Mesir, Damsyik dan Baghdad. Tiada sebuah perkampungan pun di wilayah Andalus yang tiada sekolah awam ketika pemerintahannya dan terdapat ribuan kedai buku dibina hanya di Cordova sahaja ketika itu.

Begitu juga kemegahan, keindahan dan kemodenan infrastrukturnya yang dibina ketika itu di Andalus seperti Masjid Besar Cordova dan Istana Madinah az-Zahrah masih lagi dikagumi pembinaannya sehingga kini.

Lahirlah tokoh-tokoh sarjana Islam terkemuka dunia sepanjang zaman daripada ketiga-tiga kota tersebut seperti Ibnu Sina (Avicenna), Ibnu Rusyd (Averroes), al-Farabi (Alpharabeus), Ibnu Haytham (Alhazen), al-Jahiz, al-Biruni, al-Kindi (Alkindus) dan ramai lagi.

Malangnya khilafah Bani Umayyah di Andalus dan khilafah Fatimiyyah di Mesir tidak bertahan lama. Khilafah Bani Umayyah di Andalus berakhir pada tahun 1031 akibat kemewahan hidup golongan istana yang menzalimi rakyatnya dan perpecahan dalaman yang hebat berlaku. Perpecahan dalaman tersebut menyebabkan banyak pentadbir wilayah di Andalus ketika itu mengistiharkan kemerdekaan wilayah mereka daripada naungan khalifah dan menubuhkan kerajaan mereka sendiri. Maka wujudlah banyak kerajaan-kerajaan kecil yang dikenali sebagai Muluk at-Tawa’if yang saling berperang untuk menjaga wilayah autoriti mereka.

Di Mesir pula, khilafah Fatimiyyah ditewaskan oleh tentera pimpinan Salahuddin al-Ayyubi, mantan Menteri (wazir) kerajaan Fatimiyyah yang berfahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan Asya’irah pada tahun 1171. Mesir dan Universiti al-Azhar dibersihkan secara beransur-ansur daripada pengaruh fahaman Syi’ah dan dijadikan fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah sebagai aliran akidah utama di Mesir. Sejak ditadbir oleh dinasti Ayyubiyyah, Mesir bernaung semula di bawah pemerintahan Khilafah Abbasiyyah.

Cuma khilafah Bani Abbasiyyah di Baghdad masih bertahan sehingga tahun 1258 dan dari tahun 1260 sehingga tahun 1517 di Kaherah, walaupun terdapat beberapa era para khalifahnya hanya bertindak sebagai khalifah tanpa kuasa akibat pengaruh kuat beberapa kerajaan kecil yang menguasai pemerintahan istana khalifah seperti kerajaan Buwayh, Saljuk dan Mamluk. Pada tahun 1517, Sultan Salim dari kerajaan Uthmaniyyah berjaya menawan Mesir daripada Mamluk dan mengambil alih peranan khilafah umat Islam daripada pemerintah terakhir Bani Abbasiyyah.

Terdapat dua pengajaran utama daripada sejarah di atas. Pertama, perpecahan membawa kepada pengakhiran yang sadis dan tidak bertahan lama. Kesatuan adalah punca kekuatan. Perpecahan menyebabkan umat Islam senang ditakluk musuh dari luar dan dalam.

Kedua, tamadun Islam membawa peradaban ilmu kemana-mana tempat yang dikuasainya, tidak kira apa aliran pemikirannya. Ini kerana agama Islam itu sendiri adalah agama yang menuntut penganutnya supaya sentiasa mencari, membaca, menyelidik dan menulis ilmu-ilmu pengetahuan. Bahkan, wahyu al-Qur’an yang pertama diturunkan ialah Surah al-‘Alaq, ayat 1-5 yang menuntut umatnya supaya membaca (Iqra’). Perkembangan ilmu pengetahuan ketika itu bukan sahaja pesat berkembang luas dalam bidang pengajian agama Islam seperti ulum al-Qur’an, ilmu kalam, fiqh, ulum al-hadith dan tasawwuf, bahkan ilmu-ilmu keduniaan juga turut pesat berkembang luas seperti sains, kimia, botani, geografi, matematik, fizik, kejuruteraan, sejarah, falsafah, astronomi dan perubatan.

Kini, dunia umat Islam tiada lagi sistem khilafah selepas Khilafah Uthmaniyyah dimansuhkan 9 dekad yang lalu (1924). Dunia umat Islam kini terdiri daripada kira-kira 60 buah negara bermajoriti umat Islam di empat buah benua yang ditadbir mengikut sistem pentadbiran negara masing-masing, selain jutaan lagi umat Islam di negara-negara lain sebagai golongan minoriti, dengan jumlah keseluruhan mencecah 1.8 bilion (24%) orang seluruh dunia, menjadikan umat Islam sebagai penganut agama kedua terbesar di dunia di belakang umat Kristian. Apa yang penting sekarang ialah umat Islam perlu bersatu-padu dan saling bekerjasama, sekurang-kurangnya pada landasan akidah yang sama, supaya umat Islam terus kukuh dalam pelbagai lapangan ilmu dan bidang, kekuatan ketenteraan, penguasaan dan kestabilan politik dan ekonomi, pendidikan ukhrawi dan duniawi serta melahirkan generasi baharu yang berilmu, berkeperibadian dan berakhlak mulia.

Untuk rujukan lebih mendalam berkenaan perbincangan tentang zaman ketiga-tiga buah khilafah tersebut, para pembaca boleh merujuk sumber rujukan di bawah:

SENARAI RUJUKAN:

– Hamka, Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2006.

– Rahim Kaviani, Nafiseh Salehi, Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim et al., “The Significance of The Bayt al-Hikma (House of Wisdom) in Early Abbasid Caliphate (132-218 AH),” dalam Middle East Journal of Scientific Research, Vol. 11, No. 9, 2012, hlmn. 1272-1277.

– Sahibzada Masud-ul-hassan Khan Sabri, History of Muslim Spain, New Delhi: Adam Publishers & Distributors, 2008.

– Syed Alwi Alatas, Biografi Agung Salahuddin al-Ayyubi, Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd., 2014.

– Tarikuddin Haji Hassan, Pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah (41-132 H = 661-750 M), Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2012.

– Tarikuddin Haji Hassan, Pemerintahan Kerajaan Dinasti Bani Umayyah Andalus (Sepanyol) (138-897 H = 755-1493 M), Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2013.

– Tarikuddin Haji Hassan, Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah (132-656 H = 749-1258 M), Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2012.