Zaman “Melayu Mudah Lupa” Tun M Dah Lama Tamat…

0
1777
views

Semalam tular habis sebuah hantaran daripada seorang penulis yang tanpa segan silu mengutuk Melayu. Sekian-sekian Melayu ini dilabel dengan pelbagai tohmahan. Yang kongsikan pun banyak jugak kawan-kawan facebook aku. Entah spesis inferiority complex tahap dewa macam mamat tu. Malu dengan akar sendiri. Malu dengan budaya sendiri. Malu dengan prestij sendiri. Malu dengan identiti Melayu itu.

Jawapan kepada masalah ni satu jer. Inner circle. Inner circle aku adalah Melayu berjaya. Semua hebat-hebat. Saintis roket, agamawan hebat, prodigi Permata, aktivis doktor, guru yang cekal mengajar, arkitek, engineer mendahului zaman, ahli perniagaan hebat, pakar linguistik dan banyak lagi. Ini semua anak-anak Melayu hebat tau. Aku memilih inner circle Melayu yang memberikanku faedah untuk bangkit lebih hebat!

Jetpack Langkawi

Kedua, kau rasa kau maki hamun, kau kutuk Melayu ni, mereka boleh bangkit dengan cara tu? Analogi aku senang. Seorang pelajar ini lemah dalam sebuah kelas. Kalau seorang guru pergi hadapkan dia di tengah-tengah perhimpunan, kemudian depan pelajar itu, guru ini pun mengutuk, mencaci, menceritakan kelemahan dia depan seluruh kelas.

Kau tahu apa pelajar tu buat? Kau rasa dia akan bangkit jadi hebat? Tak. Dia akan jadi pendendam, dia akan patah hati, motivasi ranap, lantas akhirnya dia mungkin bunuh diri. Daripada mengkritik macam anjing hilang akal, lebih baik kau cari jalan untuk naikkan anak bangsa kau. Sebagai salah seorang pengasas TP dan salah satu barisan pengurusan NGO kami ini, kami menyedari bangsa Melayu masih ketinggalan. Tapi kami tidak mengambil cara mudah melemparkan kutukkan semata-mata. Cara 60 tahun melaungkan “Melayu Mudah Lupa” ini sudah tamat lama. Tak membawa hasilpun.

Solusi kami setakat ini ialah kami menyebarkan ilmu. Dari falsafah, sains, sejarah, dan seumpama dengannya. Sejarah selain membuka minda dan pastikan anak bangsa belajar dari sejarah silam, kami juga jadikan ia sebagai pengisi jati diri yang hilang, pengisi jati diri yang kosong. Dalam masa yang sama, TP sedang mengusahakan beberapa program ekonomi dan sosial demi membantu anak bangsa.

Dalam ketika permulaan bangsa Korea nak naikkan bangsa dia selepas Perang Korea, ada Park Chung-hee ketika itu pergi dendangkan yang bangsa Korea ni terbangsat? Aku bagi satu contoh naratif berdasarkan hantaran Melayu Inferior Complex dan Apologetic:

“Dari dulu asyik berpecah. Dari zaman tiga kerajaan Korea, sampai Monggol Yuan datang pun, suka nak khianat dan dengki bangsa sendiri sampai dijajah pelbagai kuasa asing. Contohnya, sebab nak jatuhkan saingan dia Goguryeo, Silla pi kerjasama dengan Tang. Akhirnya tumbanglah Goguryeo.”

Kau rasa dengan naratif macam ni, bangsa Korea akan bangkit sebagai bangsa terhebat? Aku rasa Korea tetap akan jadi antara bangsa termiskin dunia ketika itu. Aku tak rasa “Keajaiban Sungai Han” boleh jadi kenyataan.

Apa sebenarnya yang Korea buat? Dia bina satu monumen agung tokoh paling hebat dalam sejarah depa iaitu Laksamana Yi Sun-sin yang pernah berjaya menghalau Jepun dari negara depa. Monumen itu dipasakkan di tempat awam sebagai sumber jati diri bangsa Korea. Aku rasa zaman “Melayu Mudah Lupa” dah tamat. Sekarang ialah zaman, “Melayu Boleh Bangkit Mengulang Sejarah.”

Sekarang ialah zaman Melayu mampu menjadi gagah.

Ayuh, beri kata semangat kepada diri kita, kepada rakan-rakan kita dan bangsa kita. Kita sama-sama bangkitkan kehebatan ini. Bak kata Hassan Al-Banna:

“Umat yang sedang bangkit memerlukan kepada perasaan bangga dengan kaumnya sebagai satu bangsa yang agung, istimewa dan bersejarah sehingga terbentuk dalam diri generasi muda. Lantas mereka berjuang demi keagungan dan kemuliaan itu dengan darah dan roh mereka. Mereka bekerja demi kebaikan tanah air, kemuliaan dan kebahagiaannya”.

Ingat! Seorang pejuang kemerdekaan di dunia pernah berkata.

“Bangsa yang tidak percaya kekuatan dirinya sebagai sesuatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka.” (Bapak Soekarno)

Jangan bunuh kepercayaan bangsa kita dengan tohmahan-tohmahan tidak berasas.

Akhir kata, pegang kuat kata Dr. Burhanuddin al-Hilmy pernah berkata dalam kongres Parti Islam Se-Malaya (PAS) dalam tahun 1964:

“Biarlah saya mengambil peluang mengingatkan lagi kepada bangsa-bangsa di dunia ini bahawa Melayu itu adalah nama satu bangsa yang mempunyai kebudayaan dan tanah airnya sendiri. Menghapuskan nama rupa bangsa Melayu adalah satu pengkhianatan politik kepada bangsa Melayu.”

Menghina, menjatuhkan Melayu adalah pengkhianatan kepada orang Melayu sebab ia berupaya untuk membunuh terus keupayaan bangsa itu, lantas membawa kepada kepupusannya seperti bangsa-bangsa agung yang lain dalam sejarah.

#BerhentiBunuhBangsaMelayu
#KitaKanHebat

Previous articleKeruntuhan Ekonomi: Khabar Dari Troy
Next articleFougasse: Ahli Propaganda British
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE