Sebut saja tentang ‘harem’ pastinya kebanyakan pembaca akan terbayangkan tentang gadis-gadis cantik yang tinggal di istana. Siapa sangka, selama lebih dari satu abad, pengaruh kuasa tertinggi yang memerintah Empayar Uthmaniyah, pernah berpusat di dalam harem sultan di Istanbul.

Selama kira-kira 130 tahun, kaum wanita dari harem istana Empayar Uthmaniyah menikmati pengaruh politik yang menakjubkan. Tempoh yang luar biasa ini berlaku pada sekitar abad ke-16 dan ke-17.

Ketika itu, golongan wanita memiliki pengaruh, hak dan keunggulan untuk mendominasi kuasa tertinggi pemerintahan, mereka hanya dikecualikan dari mengepalai angkatan tentera Uthmaniyah dalam mana-mana pertempuran sahaja. Zaman ini amat terkenal dan kini ia dikenang dalam sejarah sebagai zaman ‘Kesultanan Wanita’.

Sepanjang zaman ini terdapat empat orang tokoh wanita yang paling menonjol dalam kisah sejarah ini, mereka semua merupakan gundik-gundik dari harem Empayar Uthmaniyah dimana anak-anak lelaki mereka adalah pewaris kepada takhta sultan Uthmaniyah.

– Hurrem Sultan — Gundik yang pertama melanggar tradisi apabila dikahwini oleh sultan dan memasuki istana sebagai tempat kediamannya sendiri pada awal tahun 1530-an.

– Nurbanu Sultan — Meninggal dunia pada tahun 1583, lalu digambarkan oleh duta besar Venice sebagai ‘wanita mulia yang ada keberanian dan kebijaksanaan tertinggi’ walaupun pada hakikatnya dia gagal dalam beberapa hal selain hanya tahu menganugerahkan pingat kepada orang lain.

– Kösem Sultan – Salah seorang ‘valide sultan’ yang paling berpengaruh. Valide Sultan adalah kedudukan khas untuk ibu kepada sultan pada abad ke-17.

– Turhan Sultan — Menantu dan pesaing kepada Kösem Sultan dimana persaingan politik mereka berdua berakhir dengan pembu-nuhan Kösem pada tahun 1651.

MENTOR POLITIK SULTAN

Bukanlah wanita dari kerabat diraja tidak berkuasa dalam dinasti Empayar Uthmaniyah sebelum atau sesudah era ‘kesultanan wanita’. Pengembara dunia Muslim yang terkenal, Ibn Battuta, mengunjungi Uthmaniyah yang baru ditubuhkan pada tahun 1336, pernah menyebut:

“Rata-rata orang Turki dan Tatar ini mempunyai isteri-isteri yang menikmati kedudukan yang sangat tinggi”.

Semenjak kemunculan dinasti Uthmaniyah pada abad ke-14, ibu-ibu para putera memainkan peranan yang ditauliahkan sebagai mentor politik dan pengasuh anak-anak mereka sendiri – satu peranan yang akan terus mereka pertahankan selama 600 tahun usia dinasti itu. Apa, ingat sebarangan ke kerja pengasuh? Kita je yang suka pandang rendah.

Pada abad ke-15, wanita yang lebih berusia seperti ibu saudara, ibu dan adik perempuan sultan sering kali diberi kepercayaan untuk melaksanakan misi diplomatik. Sebagai contoh, Cem Sultan mengutuskan ibu saudaranya, Selcuk Hatun bagi memujuk abangnya untuk berkongsi kuasa pemerintahan empayar sesama mereka namun misi itu gagal dan meneruskan pe-rang saudara.

DASAR-DASAR KEBAJIKAN

Namun, seiring berjalannya waktu, keluarga dinasti Uthmaniyah sebagaimana rakyatnya sendiri, secara beransur-ansur menyesuaikan diri dengan norma sosial dan budaya Islam yang lebih konservatif.

Tetapi amalan pengasingan secara domestik atau budaya menemani para putera untuk dibesarkan di wilayah yang jauh dari istana ibu kota tidaklah bermaksud bahawa wanita telah kehilangan kuasa – mereka masih mempertahankan pengaruh kuasa melalui ejen dan proksi masing-masing di istana.

Lebih-lebih lagi, setiap lelaki dan wanita yang kaya raya atau datang dari keturunan dinasti secara tradisinya akan dijadikan sandaran utama untuk melaksanakan aktiviti amal kebajikan, yang menjadi salah satu tanggungjawab kewajiban umat Islam secara umum.
Mereka biasanya menyediakan peruntukan dan bantuan sokongan kepada masjid, sekolah, hospital, rumah sakit jiwa dan fasiliti asas seperti saluran air dan telaga untuk menyediakan kemudahan bekalan air kepada desa-desa.

Persepsi stereotaip yang salah sering digambarkan oleh orientalis dari barat yang menganggap institusi harem sebagai kandang untuk menempatkan objek seks atau rumah pelacuran bagi kepuasan nafsu para Sultan.

Namun, mereka tertinggal atau mungkin sengaja ‘mengabaikan’ beberapa ciri penting dalam struktur sosial elit masyarakat Muslim Uthmaniyah, antaranya adalah fakta bahawa wanita berhak dan menguruskan harta benda mereka sendiri, oleh itu wanita juga berupaya melaksanakan sebarang urusan penting.

IBADAH HAJI

Kaum wanita dari keluarga dinasti Uthmaniyah tidak banyak diberi kredit di atas segala usaha mereka dalam menaungi urusan amal kebajikan. Manakala khalifah dari abad ke-9, Khalifah Harun Al-Rashid diabadikan di dalam karya sastera epik Hikayat Seribu Satu Malam.

Dalam hikayat itu juga, isteri khalifah, Zubaida dikreditkan atas usahanya mewujudkan saluran air melalui rangkaian telaga, takungan dan sistem saliran yang diusahakannya untuk membekalkan air kepada jemaah haji ke Mekah.

Semua usaha ini direalisasi berdasarkan model Islamik, dan ia tentulah amat penting, begitu juga dengan model Kristian Byzantium, terutamanya setelah penaklukan Uthmaniyah terhadap kota Konstantinopel berjaya dilaksanakanvpada tahun 1453.

Diceritakan bahawa Hurrem Sultan pernah membuka pusat kulinari awam di Baitulmaqdis, dan dia sengaja menempatkannya di sekitar tapak yang sama di mana Helena, ibu kepada maharaja Rom Constantine yang beragama Kristian, dikatakan telah membina sebuah rumah tumpangan untuk para jemaah Kristian.

KEPERCAYAAN MISTIK

Pengaruh dari kuasa politik walau bagaimanapun berbeza dengan pengaruh dan prestij yang diraih melalui kerja-kerja amal kebajikan.

Hurrem Sultan bukan sekadar melanggar tradisi sebagai hamba / gundik terawal dikahwini seorang Sultan, malahan, semasa dia mula menjadikan istana sebagai kediamannya sendiri, dia juga turut melanggar tradisi yang lazimnya ibu kepada putera perlu mengikut kemana saja anak lelaki mereka berada dan tinggal bersama mereka di wilayah kekuasaan mereka.

Hurrem dan Sultan Süleyman turut melanggar beberapa lagi pantang yang lain. Contohnya, apabila Sultana melahirkan empat orang anak lelaki, dia mengabaikan dasar keturunan dinasti yang penting iaitu seorang gundik perlu meninggalkan ‘kerjaya produktiviti’ mereka setelah melahirkan seorang anak lelaki.

Maksudnya di sini adalah bahawa tidak ada putera yang boleh berkongsi sumber kuasa politik dengan adik beradiknya namun ia diberikan kepada seorang Sultana yang berasal dari status hamba. Tidak hairanlah ramai orang curiga terhadap Hurrem hingga timbul perasaan skeptik terhadap hak istimewa yang diberikan oleh sultan kepadanya.

Bahkan, ramai para birokrat istana, menteri-menteri dab rakyatnya sendiri memiliki pandangan yang dibimbangi oleh mereka, mereka percaya bahawa Sultan Süleyman sebenarnya telah disihir oleh Hurrem Sultan.

ERA PERALIHAN

Hurrem Sultan mungkin seorang wanita harem yang paling tidak popular. Tetapi sejarah menunjukkan bahawa dia bukanlah satu-satunya tokoh penting yang menjadi penyebab kepada perubahan penting dalam politik dinasti ini.

Pemerintahan Sultan Süleyman yang panjang dari tahun 1520 hingga 1566, adalah fasa peralihan yang berlaku pada penghujung tirai zaman penaklukan. Justeru, urusan utama kesultanan adalah menguruskan sebuah kerajaan yang sangat luas dengan populasi multi-agama, etnik dan budaya yang kompleks.

Diplomasi dan perjanjian damai sama pentingnya dengan barisan pertahanan tentera di perbatasan. aHurrem memainkan peranan diplomatiknya yang tersendiri dengan menyulam sapu tangan untuk raja Poland dan menyesuaikan dirinya dengan wanita-wanita dari harem kerajaan Shah Parsi.

KUASA IBU

Tetapi kegelisahan yang ditimbulkan oleh Hurrem di kalangan rakyat Uthmaniyah menyebabkan tidak ada lagi mana-mana wanita dari harem selepas itu yang akan meneruskan legasi kedudukan mutlak sebagai wanita peneman kepada sultan.

Oleh itu, hanya dengan kedudukan sebagai Valide Sultan atau ibu sultan yang berkuasa, kaum wanita dari keluarga dinasti berupaya menggunakan kuasanya sama ada di luar istana atau di atas hierarki hamba-hamba wanita, pengurus, gundik dan puteri yang semakin kompleks.

Penulis dan duta-duta besar Eropah sering menutup hal yang sebenarnya mengenai perkara ini, kerana ramai dari kalangan mereka yang gemar membaca dan menyelidik tentang budaya harem Uthmaniyah, tidak begitu berminat dengan hikayat yang menceritakan ‘kuasa ibu’.

Kerana itulah Ottaviano Bon, duta besar Venice yang semasa bertugas di Istanbul tepat pada zaman kekuasaan seorang ratu atau sultana, tidak menyebutkan hal ini dalam karya penulisan panjang yang terkenal mengenai pemerintahan Uthmaniyah. Ia diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada tahun 1650 dengan tajuk Turkish – The Emperor’s Court.

PERMAINAN PAKSI

Para Valide Sultan mengepalai harem empayar, menguruskan hal ehwal keluarga dinasti, menentukan urusan perkahwinan untuk puteri, pembantu wanita dan gundik untuk anak lelaki mereka.

Di luar istana, mereka bermain paksi yang bergerak secara politik agar suami anak perempuan mereka dilantik menduduki jawatan tertinggi dan bertindak sebagai penaung untuk pelbagai tokoh tentera dan agama.

Mereka juga berhubung dengan kerabat diraja Eropah, kebiasaannya mereka rapat dengan tokoh-tokoh dari tanah kelahiran mereka sendiri, kerana sebelum menjadi sultana atau valide, mereka hanyalah para hamba dan gundik yang beragama Kristian yang ditangkap sebagai tawanan pe-rang lalu dibawa ke istana sultan sebagai hamba dan memeluk Islam apabila mereka bersedia untuk menjadi ibu kepada anak sultan.

KÖSEM SULTAN

Sultana yang berasal dari Venice ini pernah berurusan dengan wakil pemerintah Venice bagi menuntut pembebasan tahanan Uthmaniyah dan mengadu tentang dua ekor anjing yang dikirim kepadanya sebagai hadiah kerana terlalu besar.

Dia juga berhubung dengan Catherine de Médicis, yang memohon pertolongan Nurbanu tentang urusan pembaharuan status perdagangan yang memberi manfaat kepada Perancis.

PE-RANG SAUDARA

Pada abad ke-17, para Valide Sultan memanfaat dan mengamalkan pengaruh politik yang terbesar secara langsung, sebagai ibu kepada sultan yang masih di bawah umur atau tidak stabil dari segi kesihatan mental. Separuh pertama abad itu menyaksikan pewarisan takhta diberikan kepada sultan yang sangat muda atau tidak kompeten, sebahagian besarnya adalah hasil peralihan dalam tradisi peraturan pewarisan dinasti.

Jauh sebelum itu, warga Uthmaniyah percaya bahawa hak sebagai pewaris takhta yang hanya eksklusif untuk anak sulung adalah tidak adil bagi anak-anak lelaki yang lebih muda, para putera akhirnya berpe-rang sesama sendiri atas pengesahan ‘Kod Undang-undang Mehmet’ yang diasaskan oleh Sultan Mehmet II, dalam pe-rang saudara ini, takhta menjadi milik seorang pemenang sahaja, ini bermakna, para putera Uthmaniyah yang lain perlu dihapuskan.

Tetapi setelah zaman penaklukan, yang memerlukan para pemerintah membuktikan keupayaan dalam strategi ketenteraan, kaedah klasik itu mula dilihat terlalu kejam lagi berdarah dan dinasti Uthmaniyah secara beransur-ansur menerapkan peraturan baru iaitu hanya anggota lelaki yang paling tua dari dinasti Uthmaniyah berhak untuk menaiki takhta Sultan.

Semasa tempoh peralihan yang tidak stabil ke arah sistem baru ini, harem mencapai titik kemuncak pengaruh politiknya, dimana ketika itu seorang Valide Sultan berkuasa untuk melantik seorang Wazir Agung, menerbitkan perintah bertulis setiap hari berkenaan material pe-rang, cukai dan hal-hal ehwal negara yang lain serta terus mengurniakan anugerah kepada individu, tokoh-tokoh dan institusi awam.

HUBUNGAN CINTA-BENCI TERHADAP SULTANA

Wanita dari harem diraja Uthmaniyah juga terkenal semasa zaman wanita diraja asing yang lain seperti Ratu Mary dari Scots, Mary dan Elizabeth Tudor, Catherine de Médicis, serta rakan sezaman mereka di Empayar Safawiyyah di Parsi dan Empayar Mughal di India.

Wanita-wanita ini tidak semestinya digemari kerana kehebatan mereka, bahkan rasa kekaguman boleh bertukar menjadi iri hati.Bahkan terdapat ramai yang membenci ratu Uthmaniyah, seperti John Knox, seorang pendeta Scotland yang mencela Uthmaniyah sebagai ‘rejim wanita yang mengerikan’ pada tahun 1558.

Seorang wazir abad ke-17, yang juga merupakan hamba kepada sultan, mengadu tentang ‘hamba wanita yang lemah mental, hamba kafir dari Rusia, Poland, Hungary dan Frank dimana kesan pengaruh mereka semua ini menyebabkan tuah politik dirinya berubah menjadi nasib malang.

Semua peningkatan pengaruh wanita-wanita ini, berlaku seiring dengan fasa peralihan, kebangkitan yang diprovokasi oleh wanita-wanita bijaksana ini berfungsi sebagai penanda aras untuk kuasa politik kaum hawa yang berlangsung di sepanjang zaman Kesultanan Wanita.

RUJUKAN:

The Imperial Harem: Women and sovereignty in the Ottoman empire by Leslie Peirce (Oxford University Press, 1994)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.