Moving Forward As One

Zaman Gelap Eropah Tidaklah Segelap Namanya…

2,814

Eropah amat berbangga dengan Zaman Renaissance dan Revolusi Perindustriannya. Tetapi bila diminta berbicara tentang Zaman Gelap Eropah, orang Eropah bak si bisu yang bermimpi, terasa ada terkatakan tidak. Pada mereka, ia merupakan sesuatu yang memalukan tetapi jika diteliti lebih mendalam, idea Zaman Gelap Eropah ini harus dipertimbangkan semula.

Pertama, ramai cendekiawan Eropah terlupa pandangan dunia mereka dipengaruhi oleh bias golongan terdahulu. Golongan ini melihat selepas kejatuhan Empayar Rom Barat pada tahun 476 Masihi, ia menandakan berakhirnya dunia celik huruf bangsa Eropah. Bias sebegini dapat dikesan dalam banyak penulisan penulis-penulis seperti St Jerome dan St Patrick (abad kelima), Gregory of Tours (abad keenam) dan Bede (abad kelapan Masihi).

Jadi, mengapa sikap bias ini timbul? Ia timbul gara-gara orang-orang gasar berjaya menakluk bekas jajahan Rom Barat di Eropah dan Afrika Utara. Mereka bukan sekadar menakluk tetapi mereka memperkenalkan budaya mereka sendiri sambil mengenepikan budaya Rom lama. Dengan kelibat kerajaan gasar sebegini, ramai melihat mereka langsung tidak menyumbang kepada pencapaian manusia jika dibandingkan dengan era Rom dan Yunani.

Dari satu segi, kejatuhan Rom mengakibatkan banyak ciptaan dan idea yang dibawa para cendekiawan sebelum itu hilang ditelan zaman. Tetapi idea Zaman Gelap Eropah ini hanya muncul semasa Zaman Renaissance di mana para cendekiawan seperti Petrach melihat Rom dan Yunani sebagai kemuncak pencapaian ketamadunan manusia.

Kedua, tiada kuasa tunggal yang memonopoli kuasa di benua Eropah. Kecuali semasa era Maharaja Charlemagne, kebanyakan kuasa dimonopoli oleh gereja dengan kemuncak kuasa mereka sekitar abad ke-11 hingga abad ke-14 Masihi.

Kebanyakan pemerintah Zaman Pertengahan ketika itu mendapat kekuasaan mereka dengan restu pihak gereja. Kebangkitan pihak gereja bermula dengan Paus Gregory the Great menyaksikan kerajaan-kerajaan Eropah tidak dapat memonopoli kuasa seperti mana pada era Rom. Idea mengehadkan kuasa raja-raja berterusan hingga ke tiga abad yang dinyatakan menerusi pemeteraian Magna Carta dan pembentukan Parlimen Inggeris.

Paus Gregory the Great

Seterusnya, asas kepada kebangkitan gerakan Reformasi Protestan dan Renaissance ialah hujah pihak gereja menghalang usaha perkembangan intelektual. Hakikatnya, pada Zaman Pertengahan, biara-biara Kristian terawal menggalakkan aktiviti pembelajaran dan celik huruf. Malah, sesetengah pendeta pada zaman berkenaan turut dikenali sebagai penaung aktiviti kesenian termasuk membiayai kewangan seniman.

Salah seorang pendeta Kristian yang popular dengan usaha ini ialah Benedict of Nursia. Pengasas biara Montecassino itu bertanggungjawab mengasaskan Undang-Undang Benedictine. Undang-Undang Benedictine ialah undang-undang bertulis yang menetapkan standard sesebuah biara, kariah dan kekuasaan abbot yang bertugas. Undang-undang ini menjadi model perundangan bagi kebanyakan biara di Barat hari ini.

Benedict of Nursia

Seterusnya, Zaman Pertengahan turut menjadi saksi kepada perkembangan pesat bidang pertanian. Salah satu daripadanya ialah tenggala berat yang mengalihkan seberapa banyak tanah subur untuk tanaman merancakkan aktiviti pertanian di Eropah Utara pada abad ke-10. Selain itu, penciptaan kolar kuda turut membolehkan kuda mengambil alih peranan lembu sebagai penarik tenggala atau wagon turut mengubah aktiviti pertanian dan pengangkutan. Usaha ini juga tidak akan tercapai tanpa penciptaan ladam kuda besi untuk kegunaan kuda menjelang abad ke-11 Masihi.

Selain penciptaan alat-alat baru, perkembangan pesat pertanian turut didorong oleh Tempoh Panas Pertengahan. Semasa tempoh ini berlaku antara 900 hingga 1300 Masihi, dunia menjadi panas terutama di Hemisfera Utara dari Greenland hingga benua Eropah. Disebabkan tempoh cuaca baik ini, ia turut menyumbang kepada peningkatan hasil tanaman pada zaman berkenaan.

Keempat, mitos Zaman Gelap Eropah ialah gereja menyekat semua bentuk aktiviti saintifik termasuk membedah atau memotong mayat. Hakikatnya, perkembangan saintifik di Eropah Barat masih berjalan walaupun pada kadar yang perlahan. Dan ia kemudiannya menjadi asas kepada kebangkitan Zaman Renaissance.

Menariknya, kebanyakan idea saintifik yang dibawa ke Barat datang dari dunia Islam yang sedang mengalami Zaman Keemasannya. Pada zaman itu, banyak karya dan manuskrip dari merata tempat diterjemah, dikaji dan ditambahbaik oleh para cendekiawan yang lahir dari era berkenaan. Antara cendekiawan yang lahir pada era tersebut ialah al-Kindi, Ibnu Sina, al-Khawarizmi dan al-Zahrawi.

Ini mendorong ramai orang datang dari pelbagai tempat termasuk Eropah untuk datang dan berguru dengan para cendekiawan ini. Malah, sesetengah manuskrip seperti al-Qanun fil al-Tib yang dikarang Ibnu Sina turut digunakan sebagai buku teks bagi para pelajar perubatan sehingga awal Zaman Renaissance.

Manuskrip al-Qanun fi al-Tibb menjadi buku teks pelajar di Eropah sehingga abad ke-17.

Akhir sekali, mitos Zaman Gelap Eropah tidak mempunyai pemerintah hebat disanggah menerusi satu figura: Charlemagne. Mewarisi takhta kerajaan Frank pada usia 29 tahun, baginda menggerakkan lebih 50 ekspedisi ketenteraan ke serata Eropah. Selain meneruskan kemaraan ke sebahagian kawasan Andalusia yang dikawal Emiriah Bani Umayyah, Charlemagne turut melancarkan kempen di utara Jerman dan Itali.

Disebabkan pengaruhnya sebagai pemerintah kerajaan yang luas, Paus Leo III menabalkan baginda sebagai maharaja orang Rom. Gelaran ini kemudiannya bertukar kepada Maharaja Rom Suci beberapa abad kemudian.

Charlemagne

Charlemagne memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam sistem pemerintahan baginda. Ini termasuk mempromosikan reformasi pendidikan seperti skrip tulisan tangan standard. Dengan pengenalan tanda baca seperti koma dan tanda soal serta selangan pada ayat, ia mengubah penulisan dan pembacaan untuk selamanya. Walaupun Charlemagne mangkat pada tahun 814, legasi baginda menjadi asas kepada Zaman Renaissance seterusnya era moden hari ini.

Justeru, idea bahawa Zaman Gelap Eropah merupakan satu zaman penuh dengan kemunduran harus dikaji semula. Ini kerana label sebegini lahir akibat sikap bias golongan cendekiawan yang tidak bertanggungjawab dan terlalu dambakan zaman yang telah berlalu. Hakikatnya, tanpa asas yang dibina pada zaman itu, Zaman Renaissance yang dicanang sebagai permulaan kebangkitan Eropah tidak akan berlaku.

RUJUKAN:

Pruitt, Sarah. (2018). 6 Reasons the Dark Ages Weren’t So Dark. History. Diambil dari https://www.history.com/news/6-reasons-the-dark-ages-werent-so-dark

Ruangan komen telah ditutup.