Cuaca sejuk di Malaysia dan Singapura disebabkan oleh “monsoon surge” di Laut China Selatan. Jadi ia hanya bersifat sementara. Namun di tempat-tempat lain (terutamanya di Hemisfera Utara) sememangnya berlaku fenomena cuaca sejuk yang luar biasa. Salji turun di Gurun Sahara, dan suhu di pantai timur (“East Coast”) Amerika Syarikat dan Kanada mencatat rekod terendah dalam sejarah. Kedua-dua Mount Washington, New Hampshire dan Armstrong, Ontario menjadi tempat kedua tersejuk di dunia selepas mencatatkan suhu -38 C (tempat tersejuk di dunia ialah Yakutsk dan Oymyakon di Rusia yang bersuhu purata -50 C).

Sebelum kita cepat-cepat membuat kesimpulan bahawa “inilah tanda kiamat”, ketahuilah bahawa fenomena iklim adalah bersifat kitaran (“cyclical”): ada kalanya dunia lebih panas, ada kalanya lebih sejuk. Ada yang bersifat sementara, ada yang bersifat berpanjangan. Di kalangan saintis ada perdebatan mengenai samada dunia sedang dilanda “global warming” (pemanasan global) atau “global cooling”
(penyejukan global).

Saya bukan orang sains, jadi tak ambil port sangat tentang perdebatan ini. Tapi sebenarnya iklim berkait rapat dengan geopolitik. Perubahan iklim, samada berubah menjadi lebih sejuk atau menjadi lebih panas boleh mempengaruhi “power balance” antara negara malah boleh mencetuskan pergolakan, seperti yang disaksikan ketika tempoh “The Little Ice Age” dari abad ke-14 hingga abad ke-18.

Purata suhu Hemisfera Utara ketika itu adalah sangat rendah, sehingga Sungai Thames di London pun boleh beku jadi ais ketika musim sejuk. Iklim sejuk yang luar biasa, terutamanya dari tahun 1560 hingga 1660 telah menyebabkan kemerosotan hasil pertanian, dan kegagalan kerajaan menangani masalah kebuluran menjadi sebab berlakunya pemberontakan petani (“peasant”). Di Turki berlaku Pemberontakan Jelali (1595-1610) dan di China berlaku Pemberontakan Li Zicheng (1630-1644). Kedua-dua pemberontakan telah melemahkan Dinasti Uthmaniyyah dan Dinasti Ming: Turki Uthmaniyyah tewas dalam peperangan dengan kuasa-kuasa Eropah dan China ditawan oleh orang Manchu.

Pada masa yang sama, penyejukan memberi kelebihan strategik kepada negara tertentu. Dalam Perang antara Denmark dan Sweden (1657-1658), Sweden berjaya menawan Denmark kerana Selat Great Belt yang selama ini menjadi pelindung kepada Denmark telah beku jadi ais, membolehkan tentera Sweden merentasi selat laut tersebut. Episod yang sama juga berlaku pada tahun 1672 apabila tentera Perancis yang dipimpin Raja Louis XIV berjaya merentasi Sungai Rhine (penghalang antara Belanda dan Perancis) yang beku untuk menyerang Belanda. Orang Belanda mengelar tahun 1672 sebagai “Rampjaar” (Tahun Malapetaka) kerana tahun ini menandakan pengakhiran kegemilangan Empayar Belanda.

Namun tak lama lagi kifarah menimpa Louis XIV apabila Perancis dilanda kebuluran semasa 1690-an akibat daripada iklim sejuk. Namun Lousi XIV dan Louis XV masih mengutamakan penaklukan wilayah daripada kebajikan petani. Akhirnya dinasti Louis (Wangsa Bourbon) digulingkan dalam Revolusi Perancis tahun 1789.

Yang paling kesian ialah orang Ireland. Pada asalnya, orang Ireland cuba menjadi inovatif dengan menanam potato sebagai gantian kepada tanaman yang tidak subur ketika musim sejuk. Namun pada 1840-an potato pula dijangkit penyakit tanaman dan hasil potato merosot, maka berlakulah kebuluran yang dikenali sebagai “Great Irish Famine”. Berjuta-juta orang Ireland mati kelaparan dan ramai telah melarikan diri ke Amerika. Namun di Amerika mereka pula ditentang kerana orang Ireland adalah penganut Katolik (orang Amerika menganut Protestan), dan gerakan penentang imigran (macam Donald Trump hari ini) seperti Know Nothing Party diwujudkan.

Jadi Little Ice Age merupakan titik tolak (“turning point”) sejarah moden di mana empayar lama yang bergantung kepada pertanian (Turki, China, Perancis) mengalami kemerosotan manakala negara-bangsa yang beralih ke perindustrian dan perdagangan seperti Britain mula mengambil alih peranan sebagai kuasa besar dunia.

Tiada teori yang dapat memberi jawapan muktamad mengenai sebab berlakunya Little Ice Age. Penjelasan yang paling popular ialah pergerakan tompok matahari (“sunspot”). Ada yang kata ia disebabkan oleh letusan gunung berapi yang lebih kerap. Ada juga yang mengatakan penjajahan Sepanyol ke atas Benua Amerika sebagai punca, kerana pembunuhan ramai-ramai ke atas penduduk Inca dan Aztec telah mengurangkan karbon dioksida dalam udara.

Jadi, selain faktor manusiawi, faktor alamiah juga membentuk perkembangan sejarah tamadun dan politik manusia. Empayar agung boleh jatuh hanya dengan perubahan iklim. Benda-benda sebegini mengingati kita tentang betapa kecilnya kuasa manusia, dan betapa hebatnya alam ciptaanNya.

Bacaan lanjut:
Brian Fagan, The Little Ice Age: How Climate Made History 1300-1850 (2001, Basic Books).
Sam White, The Climate of Rebellion in the Early Modern Ottoman Empire (2011, Cambridge University Press).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.