‘Raja rempah’ dan ‘emas merah’. Itulah antara julukan yang diberi kepada za’faran (saffron) atau dalam bahasa tempatan, koma-koma.

Filamen za’faran berasal daripada stigma (jamak; stigmata) sejenis bunga yang bernama crocus sativus linneaus (turut dikenali sebagai crocus saffron).

Setiap bunga crocus saffron hanya mempunyai tiga stigmata. Justeru untuk menghasilkan 1kg rempah za’faran, sebanyak 150,000 bunga crocus saffron diperlukan (atau 50-60 bunga bagi setiap satu sudu teh).

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Di samping itu, penghasilan bagi setiap 5-7kg za’faran memerlukan kawasan tanaman seluas satu hektar. Pemprosesannya – sama ada proses memetik bunga mahupun proses mengeluarkan filamen za’faran –dilakukan secara manual, justeru membuatkan harganya amat mahal.

Nilai za’faran dalam pasaran global adalah $16 (RM67) per gram, iaitu kira-kira 1/5 dari harga satu gram emas di Malaysia. Sementara itu di Kashmir yang merupakan antara pengeluar za’faran berkualiti tinggi, nilainya mencecah sehingga 250,000 INR atau $3,400 (RM14,329) sekilogram. Di Malaysia pula, harga za’faran boleh mencapai antara RM28,000 hingga RM32,000 bagi setiap kilogram.

Rempah ini berasal dari Iran, Mesopotamia, dan Yunani. Ia kemudian dimasyhurkan ke negara-negara seperti Sepanyol, Perancis, Itali, dan Morocco seiring dengan penyebaran agama Islam di sana sekitar kurun ke-10 hingga ke-13 Masehi

Pemasyhuran ini seterusnya menjadikan za’faran sebagai rempah penting dalam hidangan tempatan seperti paella (Sepanyol), risotto allo zafferano (Itali), sup bouillabaisse (Perancis), dan tagine (Morocco).

Hidangan yang menjadikan za’faran sebagai rempah penting. Dari kiri: paella, risotto allo zafferano, sup bouillabaisse, dan tagine

Hari ini, pengeluar utama za’faran ialah negara Iran, Greece, India, dan Morocco, dengan penghasilan di Iran mewakili sebanyak 85% pengeluaran za’faran di seluruh dunia, jika menurut laporan yang dikeluarkan oleh UN Food and Agriculture Organization pada tahun 2012.

Lebih 60 buah negara mengenali za’faran dengan sebutan yang berbeza-beza; orang Jepun memanggilnya safuran, orang India menyebutnya kesar, orang China mengenalinya dengan nama hong hua, manakala orang Melayu menamakannya sebagai koma-koma.

Za’faran adalah perkataan bahasa Arab. Ia diambil dari perkataan zarparān (Parsi) yang bermaksud ‘dedaunan emas’.

Pada kurun ke-12 Masehi, perkataan za’faran dipinjamkan ke dalam bahasa Perancis Lama lalu melahirkan perkataan safran. Dari situ, lahir pula perkataan safranum (Latin), saffron (Inggeris), azafrán (Sepanyol), dan zafferano (Itali).

Pada zaman purba, orang Akkadia menyebutnya sebagai azupiranu. Ia bahkan menjadi nama bagi sebuah kota yang pernah dikunjungi oleh raja Sargon (2334-2279 SM), sekali gus mengisyaratkan yang za’faran sudah pun dikenali, ditanam, diperdagang, dan dimanfaatkan secara meluas pada tempoh dan di rantau tersebut.

Kehadiran za’faran di Mesir Purba pula dibuktikan menerusi papirus Ebers yang bertarikh 1,600 SM. Dalam papirus tersebut, dijelaskan tentang kegunaan za’faran dari sudut perubatan.

Begitu juga halnya di Yunani, di mana za’faran muncul dalam frescoe bertarikh 1,600 SM dan 1,500 SM yang masing-masing bertempat di Knossos dan Santorini, Greece. Frescoe-frescoe tersebut memaparkan imej penuaian crocus sativus, sepertimana yang dipaparkan dalam gambar di bawah.

Fresco di Yunani yang memaparkan penuaian bunga crocus sativus

Za’faran sememangnya dihargai oleh masyarakat Yunani sampaikan wujud mitos yang menceritakan tentang penciptaannya. Mitos tersebut hadir dalam dua versi, dengan kedua-duanya melibatkan seorang manusia-mortal bernama Crocus.

Versi pertama mengisahkan Crocus bercinta dengan seorang nimfa bernama Smilax. Namun disebabkan Crocus bersedih, dewa-dewi Yunani mengubahnya menjadi tumbuhan yang berkongsi nama dengannya, iaitu crocus (za’faran).

Versi kedua pula menceritakan betapa Crocus merupakan pengiring dewa Hermes. Suatu hari secara tidak sengaja, Hermes terb.unu.h Crocus. Namun atas jasa baik Crocus sepanjang hidupnya, beliau diubah menjadi bunga crocus.

Semenjak dahulukala, za’faran dimanfaatkan oleh manusia dalam banyak perkara. Alexander Agung pernah merawat l.ukanya dengan air suam yang dicelup za’faran. Cleopatra pula gemar mandi dengan air rendaman za’faran sebelum bertemu jejaka-jejaka yang melamarnya.

Di Empayar Rom, za’faran sering dijadikan sebagai pewangi. Sementara di belahan dunia timur, za’faran selalu dimanfaatkan sebagai pewarna kain khususnya jubah sami-sami Buddha Theravada.

Pada Zaman Pertengahan, rahib-rahib Kristian menggantikan emas dengan za’faran sebagai pewarna kitab-kitab mereka. Semasa w.aba.k Black De.at.h melanda, za’faran bahkan didakwa sebagai ubat penawar dan dakwaan ini tercantum dalam catatan John Gerarde yang diterbitkan sekurun kemudian, iaitu Generall historie of plants.

Sebelum dunia timur mengenali P.era.ng Candu, belahan bumi barat terlebih dahulu melihat P.era.ng Za’faran (Saffron W.a.r).

P.era.ng ini tercetus apabila permintaan terhadap za’faran di Eropah Tengah dan Eropah Utara tidak lagi dapat ditampung oleh pembekal tempatan. Peningkatan secara mendadak ini berlaku rentetan serangan w.aba.k Black De.at.h.

Disebabkan bahang P.era.ng Sa.lib masih terasa, maka pembekal Muslim di Afrika Utara dan pantai Mediterranean enggan membuka pintu buat mereka. Maka, satu-satunya pembekal yang dapat dihubungi ialah Yunani (Greece).

Permintaan yang tinggi sememangnya menjanjikan keuntungan. Namun, ia juga membuatkan za’faran menjadi satu komoditi yang diincari. Sebuah kapal yang mengangkut sebanyak 363kg za’faran (bernilai lebih $500,000) dise.rang dalam perjalanan ke Basel, Switzerland.

Se.rangan ini berpanjangan sehingga 14 minggu lamanya dan ia dikenali sebagai P.era.ng Za’faran. Walaupun kapal tersebut akhirnya dipulangkan kepada pemilik asal, insiden tersebut merintis gejala r.ompa.kan za’faran dalam kalangan l.anu.n di Mediterranean.

Peristiwa itu juga membawa kepada penggubalan kod Safranschou di Nuremberg, di mana pasaran za’faran dikawal rapi.

Pada 2020, nilai pasaran za’faran sedunia dianggarkan mencecah $918.1 juta dan dijangka meningkat sehingga $1.4 billion pada 2027

Dakwaan kononnya za’faran adalah penawar w.aba.k bubonik mungkin benar dan mungkin tidak.

Namun apa yang pasti, za’faran sememangnya kaya dengan kandungan-kandungan yang menyihatkan.

Ia mempunyai antioksida yang tinggi, dan mampu bertindak sebagai anti-kanser, anti-radang dan anti-kemurungan di samping merangsang pertumbuhan sel-sel otak manusia dan menguatkan daya ingatan – justeru tidak hairanlah jika harganya sangat kayangan.

Bahkan dalam tradisi Islam, ada satu pepatah berkaitan za’faran yang selalu dikaitkan dengan Sayyidina ‘Ali iaitu, “Sesiapa yang mengambil za’faran dan mencampurkannya dengan madu setiap hari, maka ingatannya akan dikagumi sehingga dia ditu.duh melakukan sihir.”

Walaupun tiada sumber yang dapat mengisbatkan kesahihan riwayat tersebut, ia mengisyaratkan betapa za’faran merupakan herba yang cukup akrab dalam dunia Islam malah menjadi salah satu makanan sunnah.

Tambahan, ada riwayat yang menyatakan za’faran sebagai bahan yang digunakan bagi mencipta bidadari syurga, sebagaimana yang tercantum dalam The Maidens of Jannat karangan Mufti Abdullah Nana.

Riwayat ini sememangnya diselubungi keraguan dalam kalangan ilmuwan. Namun, ia mencetuskan gambaran betapa jika manusia yang diciptakan daripada tanah liat ini pun sudah sedemikian indah, maka betapa indahnya pula makhluk yang diciptakan daripada emas merah.

RUJUKAN

Fulton, April. (3 May 2017). This is the World’s Most Expensive Spice. National Geographic.

Jemma. (27 April 2015). Saffron: The world’s most expensive spice (part 1). Herbology Manchester.

Mingren, Wu. (24 February 2019). Saffron: Treasured Ancient Spice May Soon Be Gone for Good. Ancient Origins.

Raman, Ryan. (7 January 2019). 11 Impressive Health Benefits of Saffron. Health Line.

Sativus. (n.d.) The History of saffron.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.