Yusof Ishak – Pengasas Utusan Melayu Yang Menjadi Presiden Singapura

1,984

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

20 Julai mencatatkan lembaran baharu buat suara keramat bangsa Melayu, Utusan Malaysia. Setelah 9 bulan berehat, akhirnya akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini kembali beroperasi dengan nafas yang baharu. Apabila membicarakan soal perjalanan Utusan Melayu, maka ia tidak dapat lari dari persona Yusof Ishak.

Yusof Ishak merupakan figura politik dan tokoh wartawan yang sering mewarnai bidang-bidang tersebut khususnya ketika era 50 dan 60 an. Yusof Ishak dilahirkan di Padang Gajah, Trong, Perak pada 12 Ogos 1910.

Beliau berasal dari etnik Minangkabau dan merupakan keturunan dari Dato Jenaton, seorang pemimpin tempatan yang berhjrah ke Kedah pada abad ke 18. Bapanya, Ishak Ahmad merupakan kakitangan kerajaan dan menjawat sebagai Pemangku Pengarah Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Ishak merupakan orang Melayu pertama yang menjawat jawatan sedemikian.

Yusof memulakan alam persekolahannya dengan bersekolah di Sekolah Melayu Kuala Krau. dan Sekolah Melayu Taiping. Yusof kemudian menyambung pelajaran menengahnya di King Edward II School, Taiping pada tahun 1921. Setelah berpindah ke Singapura pada 1923, Yusof bersekolah di  Victoria Bridge School dan Raffles College. Keputusan yang cemerlang membolehkan beliau mendapat biasiswa Diraja dari Kerajaan British.

Selain cemerlang di dalam bidang pembelajaran, Yusof juga turut aktif di dalam bidang korikulum. Beliau pernah memenangi Piala Aw Boon Par dan juara tinju bagi peringkat kebangsaan. Di samping itu, beliau turut menjadi editor di majalah keluaran sekolahnya, Rafflesian.

Setelah habis perskolahan, beliau ingin menyambung pelajarannya ke England namun ditentang bapanya atas faktor kewangan. Kemudian, Yusof menyertai Akademi Polis Diraja di Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, beliau meninggalkan akademi itu dan pulang ke Singapura untuk menjadi editor di sebuah majalah sukan, Sportsman.

Yusof kemudian menerima pelawaan Syed Hussein Al Saggof untuk menyertai Warta Malaya yang baru sahaja ditubuhkan. Pada tahun 1938, Yusof bersama kepimpinan yang lain menubuhkan Utusan Melayu dan beribu pejabat di Queen Street berhampiran Masjid Sultan. Yusof bukan sahaja membiayai penubuhan akhbar itu, malah membentuk sebuah kumpulan dari kalangan wartawan di dalam akhbar tersebut.

Yusof Ishak ketika bersama Utusan. Yusof berada di kiri sekali.

Ketika penjaj4han Jepun ke atas Tanah melayu, Utusan Melayu terpaksa ditutup dan beliau kemudian lari ke Taiping lalu membuka sebuah kedai ubat. Setelah p3rang tamat, beliau menyambung semula operasi penerbitan akhbar Utusan Melayu seperti biasa. Pada tahun 1948, Yusof telah dipilih sebagai salah seorang delegasi  First Press Delegation untuk melawat Britain.

Pada tahun 1957, apabila Utusan memindahkan operasinya ke Kuala Lumpur. Yusof juga telah berpindah ke sana. Untuk memulakan operasi yang baharu, Yusof telah melawat kilang mesin pencetak di Jepun  untuk digunakan sebagai pencetak akhbar di pejabat baharu. ‘

Pada tahun 1958, Yusof mula kehilangan hak pemilikannya di dalam Utusan kepada UMNO. Beliau agak tertekan dengan tindakan tersebut dan menjual kesemua hak pemilikannya menjelang tahun 1959 dan meletakkan jawatannya. Yusof pulang semula ke Singapura dan dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura atas pelawaan Lee Kuan Yew.

Yusof bersama keluarganya. Kredit National Archieve Singapore.

Setelah kemenangan PAP di dalam Pilihanraya Umum Pertama paa tahun 1959, Yusof telah dilantik Tun Yusof dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959, menjadikan beliau orang tempatan pertama memegang jawatan tersebut.

Sebagai ketua negara Singapura, beliau bersama isteri, Toh Puan Noor Aishah, telah melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Kemboja pada April 1963. Pada bulan yang sama, mereka berdua telah ke kota suci Mekah untuk melaksanakan ibadah haji dan disambut sebagai tetamu negara kerajaan Arab Saudi. Sebuah lawatan rasmi juga telah dilakukan ke Ceylon pada Mei 1963.

Yusof Ishak berucap di sebuah majlis ketika menjawat jawatan Yang Di-Pertua Negara. Kredit roots.sg

Setelah pemisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, Yusof dilantik sebagai Presiden Singapura yang pertama. Beliau sekali lagi memegang jawatan ini untuk penggal ke-3 selama empat tahun bermula 4 Disember 1967 dan sepatutnya berakhir pada 3 Disember 1971.

Menjelang tahun 1968, kesihatan Yusof mulai lemah dan sering dimasukkan ke dalam hospital. Pada 23 November 1970, Yusof menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat pelbagai komplikasi penyakit ketika berusia 60 tahun dan disemadikan di Perkuburan Pahlawan Kranji.

Bagi menghargai jasa beliau, Yusof telah dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) Kelas Pertama oleh Sultan Omar Ali Saifuddien III dari Brunei pada bulan November 1960 yang membawa gelaran Dato Laila Utama, dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada November 1963.

Pada tahun 2017, sebuah masjid diabadikan sempena nama beliau dan hingga kini, seluruh warga Singapura juga  setiap hari menatap wajah beliau yang terpampang di muka hadapan duit Dollar Singapore sejak 1999.

Wajah Yusof Ishak yang diabadikan di hadapan Dollar Singapura
Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.