Beliau adalah seorang perantis dalam Pergerakan Kebangkitan Patriotik Korea dan melalui hasil kerjanya, beliau telah menunjukkan arah baru dalam pemodenan Korea. Beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara dan melihat sendiri proses pemodenan serta peradaban di Amerika Syarikat serta Jepun.

Aktivis kemerdekaan Korea, Ahn Chang Ho menggelarkannya sebagai patriot ideal di Korea atas sumbangannya dalam pemodenan serta reformasi bahasa di Korea. Ini adalah kisah tentang Yu Kil Chun, satu nama yang tidak begitu dikenali, tetapi telah menjadi penghubung yang mencorakkan pemodenan Korea.

Sejarah awal

Yu Kil Chun telah dilahirkan pada tahun 1856, di Seoul. Seawal usia kanak-kanak, beliau telah didedahkan dengan ajaran tradisional Confucianism di bawah ajaran datuknya, Yu Ch’i-Hong serta datuk sebelah ibunya, Yi Kyong Jik. Sewaktu zaman kanak-kanak, Yu Kil Chun telah menghabiskan pembacaan buku Four Book and Three Classics, iaitu buku teks rasmi bagi ajaran Confucianism.

Pada usia 15 tahun, beliau telah memohon untuk menduduki peperiksaan daerah. Puisi yang ditulisnya telah dinilai sebagai suatu karya yang begitu elegan  sehinggakan Park Kyu Su, iaitu Pengarah bagi Hongmungwan (Pejabat Penasihat Istimewa) memuji laras bahasa yang digunakannya. Disebabkan inilah, Yu Kil Chun telah mendapat peluang untuk bertemu sendiri dengan Park Kyu Su buat pertama kalinya. Selepas pertemuan ini, Yu Kil Chun kembali belajar bagi persediaan untuk peperiksaan awam negara.

Pada September 1874, Yu Kil Chun telah mula belajar secara langsung daripada Park Kyu Su yang pada waktu itu telah bersara daripada jawatan kerajaan. Pada waktu inilah, Yu Kil Chun mula memperoleh idea-idea baru tentang pemodenan, budaya barat serta reformasi bahasa.

Malah, Park sendiri telah mencadangkan kepada Yu Kil Chun untuk membaca buku Haiguo Tuzhi yang ditulis oleh Wei Yuan, kerana menganggapnya sebagai sumber yang kritikal dalam memahami kesan pengaruh Barat dalam era tersebut. Pada tahun ini jugalah Yu Kil Chun telah mengambil keputusan untuk tidak menduduki peperiksaan awam negara setelah menerima buku tersebut daripada Park Kyu Su.

Pada tahun 1875, setahun selepas dia berhenti daripada belajar untuk peperiksaan awam negara, sebuah kapal tentera Jepun telah memberi amaran terhadap Korea di pesisiran Pulau Kanghwa. Pada waktu itu jugalah Yu Kil Chun menghasilkan sebuah puisi yang menyatakan pendapatnya bahawa para ahli intelektual perlu memberi perhatian terhadap perubahan yang berlaku dalam negara dan tidak hanya bergantung kepada buku-buku lama untuk membangunkan negara.

Selepas Park Kyu Su meninggal dunia pada Februari 1877, Yu Kil Chun belajar pula dengan Kang Wi, seorang askar yang juga pemuisi hebat serta mempunyai minat yang mendalam dalam bidang bahasa. Minat Kang Wi dalam bahasa ini telah mendorong beliau untuk menghasilkan sebuah buku yang menganalisis huruf vowel dan konsonan tulisan asli Korea. Kajian yang dilakukan oleh Kang Wi dalam tulisan Korea ini telah banyak mempengaruhi idea Yu Kil Chun dalam reformasi bahasa.

Pada usia 25 tahun, Yu Kil Chun telah pergi ke Meiji, Jepun untuk melanjutkan pengajian matrikulasinya di Universiti Keio selama setahun. Di universiti inilah Yu Kil Chun telah mempelajari maksud serta prinsip pemodenan daripada Fukuzawa Yukichi, iaitu reformis Meiji Jepun yang aktif dalam aktiviti reformasi bahasa di Jepun. Setelah pulang ke Korea pada Disember 1882, Yu Kil Chun telah dilantik sebagai pegawai di Jabatan Menteri Asing.

Pada Julai 1883, beliau telah dipilih dalam misi pertama Korea ke Amerika Syarikat. Setelah menyelesaikan pengajiannya di universiti berkenaan, pada usia 28 tahun, Yu Kil Chun telah merantau ke Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada delegasi pertama Korea bagi meninjau  dan melihat sendiri industri serta corak pentadbiran di negara tersebut. Di Amerika Syarikat, beliau telah menuntut di Governor Dummer Academy.

Penglibatan dalam reformasi bahasa

Penglibatan pertama Yu Kil Chun dalam bidang bahasa adalah pada tahun 1883 apabila Kim Ok Hyun, seorang reformis telah memintanya untuk pulang ke Korea bagi membantu urusan penerbitan akhbar Korea yang pertama, iaitu Hansong Sinbo. Walaupun akhbar ini tidak berjaya diterbitkan, namun Yu Kil Chun telah memberikan sumbangannya dalam menyusun edisi pertama akhbar (Sinmun Cha’anggansa) ini melalui gaya kukhanmun iaitu penulisan secara Sino-Korea yang menggabungkan tulisan asli Korea dan hanja.

Susunan edisi akhbar ini dikatakan merupakan penggunaan rasmi yang pertama bagi gaya kukhanmun. Walaupun edisi pertama akhbar ini tidak berjaya diterbitkan, akhbar-akhbar lain selepas itu, iaitu Hansong Chubo serta Nanjong Ch’waryo yang telah diterbitkan pada tahun 1886 telah menggunakan gaya kukhanmun ini dalam penulisan mereka setelah melihat usaha Yu Kil Chun dalam usaha penerbitan Hansong Sinbo.

Usaha dan tindakan pertama pihak kerajaan dalam aktiviti reformasi bahasa ini telah dilihat dalam pembentukan titah perintah diraja susulan daripada kebangkitan dalam Reformasi Kabo 1894. Pada 2 November 1894, titah perintah mengenai penulisan awam ini yang dikeluarkan antara lainnya menyatakan:

“Kesemua undang-undang serta titah perintah harus menggunakan gaya tulisan kungmun sebagai asasnya, dan boleh meletakkan terjemahan dalam hanmun atau menggabungkan kungmun dan hanmun bersama-sama”.

Walau bagaimanapun, tiada pihak yang mengambil perhatian terhadap penggunaan kungmun (skrip nasional, atau tulisan asli Korea, nama lain sebelum Hangeul) seperti dalam titah perintah ini dan gaya kukhanmun tetap diteruskan dalam penulisan. Yu Kil Chun sendiri terus menggunakan gaya penulisan Sino-Korean ini selepas Reformasi Kabo 1894.

Sumbangan penting Yu Kil Chun dalam bidang bahasa ini mula terserlah apabila beliau menjadi penulis kepada buku tatabahasa pertama Korea, iaitu sebuah karya yang diusahakannya pada tahun 1895.

Selama beberapa tahun, karya ini melalui banyak draf dan versi sebelum akhirnya diterbitkan pada tahun 1909, dan dikenali sebagai Taehan Munjon. Yu Kil Chun juga aktif dalam hal pendidikan yang mana pada tahun 1908, beliau telah menerbitkan sebuah esei atau rencana bertajuk ‘Pendapat Terhadap Pendidikan Sekolah Rendah’. Dalam esei ini beliau mempertikaikan penggunaan tulisan gaya kungmun dalam buku teks sekolah rendah, yang mana beliau menyatakan:

“Sebab untuk kita menggunakan bahasa kebangsaan adalah, selain daripada memudahkan latihan kanak-kanak, ia juga memupuk semangat kebangsaan dalam diri mereka.”

Buku tatabahasa pertama karya Yu Kil Chun iaitu Taehan Munjon yang diterbitkan pada tahun 1909 memuatkan beberapa teguran beliau yang menunjukkan falsafahnya dalam bidang bahasa serta pendapatnya berkaitan hubungan antara bahasa dan bangsa. Pada ruang ‘Pendahuluan’ buku berkenaan beliau menyatakan:

“Baca! Bacalah buku Taehan Munjonku ini! Wahai bangsaku! Sebagai pewaris kepada Tangun, kita rakyat Korea mempunyai bahasa serta tulisan asli kita yang tersendiri. Ini membolehkan kita menyebut dan memaknai apa yang disebut dan menunjukkannya melalui penulisan; semangat ‘Kesatuan dalam Ucapan dan Penulisan’ (onmun ilch’i) yang telah dicapai lebih daripada empat ribu tahun..”

Idea tentang pemodenan dan hak rakyat

Sewaktu berada di Jepun, Yu Kil Chun sedar bahawa apa yang menggerakkan pemodenan yang pantas di Jepun adalah hasil daripada apa yang diikuti daripada peradaban Barat, dan beliau juga belajar bahawa sesuatu peradaban itu berkembang daripada persaingan. Berdasarkan pngetahuan dan maklumat yang diperolehnya sewaktu di Jepun, beliau telah menulis dua esei, iaitu Segye Taeseron dan Kyŏngjaengron yang menyatakan pandangan realistiknya dalam peradaban dunia.

Yu Kil Chun sebenarnya mula memahami dan menyokong idea pemodenan apabila beliau memilih untuk berpegang kepada Shilhak berbanding Confucianism yang tradisional. Shilhak adalah pegangan yang lahir hasil daripada gerakan reformasi sosial Confucianism pada akhir abad ke-19 di Korea.

Malah selepas menjadi pengikut kepada Shilhak, beliau pernah dua kali memberi cadangan kepada Raja Gojong (tahun 1877 dan 1883) agar peperiksaan awam negara dihapuskan dan para intelektual dipilih melalui pendidikan yang lebih praktikal.

Beliau banyak membaca karya-karya daripada sarjana Shilhak seperti Yu Hyŏng-won, Chŏng Yag-yong, dan Ch’oe Sŏng-hwan. Yu Kil Chun telah lulus dalam peperiksaan awam negara pada tahun 1892 walaupun masih meneruskan pembelajarannya dalam fahaman Shilhak.

Usahanya untuk kebangkitan dan kesedaran bangsa ini mula berkembang melalui Revolusi Gapo pada tahun 1894, yang mana dalam revolusi ini, pemerintah Korea memulakan usaha pemodenan dalam setiap peringkat masyarakat. Usaha ini termasuklah menghapuskan sistem kelas sosial, menggantikan kalendar lunar dengan kalendar Gregorian, memodenkan sistem ketenteraan, dan memperkasakan sistem imunisasi.

Tuduhan menyokong Gaehwadang

Pembelajaran Yu Kil Chun di Amerika Syarika tidak dapat bertahan lama akibat daripada keadaan politik di Korea. Kudeta Gapsin telah membawa kepada penahanan sahabat reformis beliau dan pihak kerajaan terpaksa berhenti daripada memberikan beliau bantuan kewangan untuk belajar. Beliau pulang ke Korea melalui laluan Eropah dan melawati beberapa buah negara lain sebelum tiba di Korea.

Apabila Yu Kil Chun tiba di Hanseong (nama lama bagi Seoul), beliau telah dituduh menjadi penyokong bagi Gaehwadang, iaitu sebuah parti kebangkitan yang membawa kepada Kudeta Gapsin dan telah dikenakan tahanan dalam rumah antara tahun 1885 hingga 1894. Sewaktu dalam tahanan inilah, Yu Kil Chun telah menulis sebuah buku bertajuk Seoyu Gyeonmun (Observation on Travels in the West), yang mana buku ini telah ditulis menggunakan campuran tulisan asli Korea serta Hanja.

Sebagai salah seorang daripada rakyat Korea pertama yang telah melakukan perjalanan ke luar negara pada abad ke-19, buku ini merupakan salah satu karya pertama di Korea yang menggambarkan Eropah dan Amerika Syarikat.

Terdiri daripada 20 jilid dalam 556 halaman, buku ini memperkenalkan secara umum dunia global, maklumat geografi mengenai negara-negara Barat, ciri-ciri bandar-bandar besar, termasuk sistem kewangan dan pendidikan setiap bandar yang dilawati.

Di samping itu, buku ini turut memperkenalkan perspektif Amerika dan Eropah mengenai konsep kedaulatan, kemerdekaan, dan persamaan. Buku ini adalah pencetus kepada ideanya untuk pemodenan dan kebangkitan Korea.

Kesimpulan

Yu Kil-chun adalah intelektual perintis dan antara yang pertama dalam kalangan intelektual Korea yang melihat secara langsung serta merasai peradaban Barat. Dia pertama kali mengenali kekuatan tamadun Barat melalui Shilhak.

Selain itu, beliau juga melakukan banyak reformasi dalam bahasa dan tulisan Korea melalui buku-buku serta esei yang dihasilkannya. Melalui reformasi ini, beliau menekankan kepentingan bahasa dalam membentuk bangsa serta memodenkan sesebuah negara.

RUJUKAN:

Choi, Y. (2014). Yu Kil-Chun’s moral idea of civilization and project to make all people gentlemen. Asian Philosophy, 24(2), 103–120.

Kim, G. C. (1914). Yu Kil – Chun ( 1856 – 1914 ): A Bridge – Person of Korea to the West and the First Korean Student in the United States. Retrieved January 31, 2021, from http://sites.bu.edu/koreandiaspora/individual s/boston-in-the-1880s/yu-kil-chun-1856-1914- a-bridge-person-of-korea-to-the-west-and- the-first-korean-student-in-the-united-states/

King, R. (1998). Nationalism and the Construction of Korean Identity. Korea Research Monograph, 33.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.