Yeop Mahidin: Singa Melayu di Zaman Darurat 1948

955
views

Berikutan daripada penolakan Perlembagaan Rakyat dan All Malayan Hartal (1947) yang dianjurkan oleh Gabungan PUTERA-AMCJA, Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan pemberontakan bersenjata kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (dipendekkan kepada Malaya) yang tetap ditubuhkan oleh Pihak British, Majlis Raja-raja Melayu dan UMNO. Peperangan merupakan jalan terakhir PKM untuk memerdekakan Tanah Melayu selari dengan negara-negara komunis yang lain. Hasrat untuk menubuhkan Negara Republik Rakyat Malaya sangat menebal dalam jiwa Chin Peng, ketua PKM.

Rajah 1: Kolonel Dato Yeop Mahidin bin Mohamed Shariff

Negeri Pahang adalah negeri yang paling luas, hutannya sangat tebal dan populasi kaum melayunya yang paling ramai berbanding negeri lain telah menyebabkan fahaman komunis perlu disebarkan oleh orang-orang melayu. Walaupun penduduknya ketika itu hanya seramai 278,000 sahaja. Chin Peng mengimpikan untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai Kawasan yang pertama merdeka daripada cengkaman British. Abdullah CD dan Osman Cina diberikan tanggungjawab untuk menyebarkan fahaman komunis di Pahang. Abdullah CD yang berpengalaman direkrut oleh British Force 136 bersama-sama dengan pengganas komunis yang lain semasa perang Jepun merupakan seorang pejuang yang sangat hebat, tangkas dan tuntas. Pengalaman dan keperkasaan Abdullah CD menggentarkan ramai orang melayu di Pahang ketika itu dan mengukuhkan kedudukannya di sana.

Abdullah CD menubuhkan Rejimen ke-10 Askar Komunis yang disertai oleh orang melayu di Pahang. Dengan 300 orang pengganas komunis, Abdullah CD menyerang Bandar Kuala Krau dan membakar stesen keretapi di situ. Dia juga bertindak membunuh seorang inspektor dan jurutera keretapi. Seterusnya, mereka menyerang dan meletupkan balai polis Kuala Krau, membunuh 4 orang polis dan dua wanita. Tenteranya juga menggelincirkan keretapi berperisai dari landasan yang membekalkan kelengkapan kepada askar British. Beberapa hari kemudian, Abdullah CD menyerang Estet Kemayan, membakar Banglo Pengurus Ladang British, asrama pekerja, rumah asap dan beberapa bangunan lain. Abdullah CD juga bertindak menyerang penduduk-penduduk kampung yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka.

Dengan serangan demi serangan Rejimen ke-10 tersebut, ketumbukan tentera British yang dinamakan The Troops of Devonshires telah dihantar terus ke Temerloh untuk menentang pengganas komunis tersebut. Wakil-wakil orang kampung juga mengadap Sultan Pahang untuk menganugerahkan seorang pembesar melayu untuk mengetuai barisan penentang komunis. Sultan Pahang dengan sukacitanya menganugerahkan mereka setiausahanya, Yeop Mahidin, seorang lelaki luar biasa yang bukan sahaja mahir dalam pentadbiran, malahan seorang pahlawan terbilang dalam peperangan. Semasa Perang dengan Jepun, dia telah direkrut oleh Force 136 dan menubuhkan Askar Wataniah di Pahang dalam menghadapi serangan Jepun.

Yeop Mahidin dan Abdullah CD adalah rakan karib sejak kecil, mereka bersama-sama bersekolah di Sekolah Inggeris Anderson dan mereka berdua adalah sepupu. Abdullah pernah mengutuskan surat kepada Yeop Mahidin untuk memilih pihaknya, pihak yang sedang menang. Yeop juga membalas surat dengan memakukannya di pokok getah memujuk Abdullah CD meletakkan senjata, namun Abdullah membalas dengan surat beserta sebutir peluru kaliber .45. Dalam surat tersebut, Abdullah CD memutuskan hubungan saudara dengan Yeop Mahidin.

Rajah 2: Askar Wataniah yang ditubuhkan di Pahang

Yeop seterusnya menubuhkan pasukan ‘bodyguard’ yang disertai oleh 12 orang rakan sekampungnya yang dipanggil “The Vagabonds” atau Petualang yang kekal Bersama dengannya selama 11 tahun. Bermulalah kelahiran Pejuang Lagenda Pengawal Kampong Pahang. Sehingga 1960-an, Yeop Mahidin mengetuai Kampong Guards seramai 26,000 orang. Sebagai penganut agama islam yang warak, Yeop percaya setiap penjahat pasti ada sisi baik dalam dirinya. Dia berazam untuk menukarkan orang jahat menjadi orang baik tanpa perlui membunuhnya. Yeop Mahidin juga percaya kebanyakan komunis di Hutan Pahang bukanlah komunis yang sebenar-benarnya berjuang atas perjuangan komunis. Malahan, masih ramai yang berjuanga atas semangat kebangsaan di bawah pimpinan Mat Kilau dan Tok Gajah, tidak lama sebelumnya. Di samping itu, ramai orang-orang Pahang percaya, perjuangan komunis hanyalah pertukaran dari satu penjajah kepada penjajahan yang baharu.

Yeop Mahidin adalah pemidato yang hebat. Beliau mengadakan rapat umum dari kampung ke kampung memaklumkan bahawa British hampir memberikan kemerdekaan kepada mereka seperti di India dan Burma. Penduduk kampung juga percaya dengan kempennya menentang komunis sebab Yeop menawarkan terma yang saksama terhadap pejuang komunis di dalam hutan, yang mana kebanyakannya merupakan ahli keluarga orang-orang kampung juga. Yeop juga sangat bijak dalam perisikan, dengan memerangkap perisik-perisik yang menjadi talibarut komunis di kampung. Namun, Yeop tidak terus menangkap orang-orang tersebut, malahan beliau menerima banyak informasi yang berkaitan dengan komunis, sehingga tertewasnya ketumbukan tentera rejimen ke-10 askar komunis.

Yeop tidak mengalah. Beliau berkawal selama 10 hari dan 10 malam di hutan Temerloh berdasarkan informasi yang diterimanya dan beliau berjaya memberkas seorang wanita berusia 20-an dengan informasi yang penting. Wanita itu dibawa pulang ke kediamannya dan disoalsiasat untuk mendapatkan maklumat berharga berkenaan dengan Abdullah CD. Sepupunya itu masih berleluasa di Pahang. Dengan kebijaksanaan diplomasi, Yeop Mahidin dapat informasi yang sangat berguna untuk memberkas Abdullah CD. Wanita itu memberitahu bahawa Abdullah CD akan berada di Songsang, sebuah tempat di Temerloh dalam masa 24 jam. Dengan hanya tidur selama 4 jam sahaja, Yeop Mahidin dan Vagabonds bertolak ke Songsang, meninggalkan wanita tadi di bawah jagaan isterinya. Yeop mahir denga selok belok jalan-jalan kampung di Temerloh. Dengan keadaan hujan dan banjir, Yeop sangat pasti Abdullah CD akan mengambil satu jalan sahaja. Beliau membahagikan Vagabond kepada tiga pasukan untuk membuat serangan memgejut kepada ketumbukan tentera Abdullah CD. Namun begitu, Abdullah CD tahu akan operasinya itu dan Yeop menerima satu lagi surat berisi sebutir peluru daripada Abdullah CD., bertulis,”kami tahu siapa pengkhianat dalam kalangan kami.”

Perang Yeop. Inilah yang dilaung-laungkan oleh orang-orang melayu di Pahang. Dalam keadaan darurat dan serangan bertali arus komunis dan perisikannya yang dipanggil Min Yuen, British terpaksa menyerahkan Pahang kepada Yeop Mahidin dan Vagabonds semata-mata tanpa bantuan tambahan. Yeop tidak berputus asa setelah berbulan-bulan bermain sorok-sorok dengan Abdullah CD. Beliau menggunakan khidmat penjejak Dayak dari Sarawak bernama Sardin untuk menjejaki Abdullah CD di dalam hutan orang asli yang tebal di Utara Jerantut. Selepas tiga minggu di hutan, Sardin berjaya menjejaki jejak-jejak komunis di perkampungan orang asli, sebuah rumah Panjang yang boleh menampung 50 orang. The Vagabonds berjaya mendapatkan informasi daripada orang-orang asli di sana. Abdullah CD berada dalam rumah seorang batin orang asli di perkampungan yang sangat terpencil, Abdullah CD menjadikan Tok Batin tersebut sebagai tebusan.

Rumah Tok Batin tersebut terletak di pinggir sungai yang mengalir deras, dengan tangganya mencecah aliran air sungai. Yeop Mahidin tidak terus menyerbu rumah tersebut kerana bimbang Abdullah CD akan menghabiskan riwayat Tok Batin tersebut jika mereka menherang secara membuat-tuli. Kehadiran mereka turut tidak disedari oleh Abdullah CD.

Selepas beberapa hari, Yeop dan Sardin mendapati terdapat penempatan lama orang asli yang dihuni oleh pengganas komunis. Sardin menembak komunis yang sedang berkawal dengan panah beracunnya dan membuang mayat komunis tersebut ke dalam hutan. Sardin berjaya menyelinap ke dalam kampung untuk mencari maklumat. Yeop pula kembali ke perkhemahan Vagabonds untuk mendapatkan bantuan. Selepas beberapa jam, Sardin kembali dengan informasi berkenaan dengan Rumah Kongsi yang diduduki oleh Abdullah CD. Abdullah CD memilih rumah terakhir yang berhampiran dengan tangga, manakala tok batin dan keluarganya di rumah yang hujung sekali rumah kongsi tersebut dengan dikawal oleh pengganas komunis. Yeop terus merancang untuk mengadakan serangan palsu di hutan.

Pada jam 11 malam, Vagabond melepaskan tembakan Sten Gun, Mesin senapang British ke udara dan suasana menjadi gamat. Seterusnya, Yeop Mahidin dibawa oleh Sardin menyelinap ke kampung tersebut sehingga menghampiri ke kaki tangga yang cecah ke air sungai. Yeop memasukkan peluru kiriman Abdullah CD ke dalam pistolnya, Dengan bunyi mesin gun yang memekakkan suasana malam, situasi panik berlaku di perkampungan itu. Komunis-komunis di rumah kongsi tersebut juga bergegas turun dari rumah kongsi tersebut. Dalam pada itu, susuk Abdullah CD kelihatan menuruni tangga rumah kongsi itu dengan tergesa-gesa sehingga songkoknya jatuh di kaki Yeop, yang berada berhampiran dengannya.

Abdullah CD yang terkejut dengan kehadiran Yeop Mahidin terus berputar dan melompat dari ke atas Yeop, menyebabkan kedua-duanya bertumbukan dan berpusing-pusing ke dalam sungai. Abdullah bangkit dahulu dan melompat ke dalam sampan. Yeop mengacukan pistolnya dan memetic picu, tetapi tiada ledakan peluru yang keluar. Peluru yang diberikan oleh Abdullah CD merupakan peluru yang rosak. Yeop mengacukan kembali pistolnya, namun arus sungai yang deras menghanyutkan Abdullah CD dengan cepatnya lalu hilang dalam kepekatan malam. Peristiwa serangan mengejut itu juga menyebabkan ramai komunis dalam hutan Pahang menyerah diri dan Abdullah CD terus hilang dari perjuangan komunis. Kebijaksanaan dan keperwiraan Yeop Mahidin telah menewaskan pengaruh komunis di Pahang, tanpa bantuan British mahupun tentera komanwel atau Anzac, seperti di tempat lain. Seharusnya, perjuangannya disanjung tinggi dalam menafikan penguasaan Komunis di Pahang.

Rujukan: