Moving Forward As One

Yasuke – Pembohongan Sejarah Dan Naratif Palsu Samurai Berkulit Hitam

1,331

PayLater by Grab

Beberapa hari yang lalu, siri animasi yang bertajuk Yasuke telah diterbitkan oleh rangkaian penstriman Netflix. Ingatkan bolehlah dijadikan bahan kajian yang akademik, namun malang seribu kali malang kerana animasi Yasuke ini ialah animasi bertemakan fantasi dengan sentuhan kuasa sakti dan mecha. Animasi keluaran MAPPA ini nampaknya menjadi bualan hangat bagi peminat sejarah Jepun dan penggemar tradisi kepahlawanan samurai lagi-lagi dengan munculnya dokumentari Age of Samurai: Battle of Japan yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Walaupun dokumentari itu diberikan pujian oleh rata-rata penonton yang terdiri daripada masyarakat awam, namun pengkritik sejarah mempunyai pandangan yang bercampur baur dalam menilai ketepatan dokumentari tersebut yang dilihat terperangkap dalam penyorotan bias terhadap watak Oda Nobunaga khususnya yang digambarkan sebagai seburuk-buruk dan sekejam-kejam manusia. Hakikatnya, penyorotan penuh bias ini telah ditangkis cermat oleh kajian kontemporari yang lebih adil dan menyeluruh.

Dalam konteks Yasuke, masalah mula timbul apabila dongengan dicampur-adukkan dengan fakta sejarah. Kononnya samurai Afrika yang disorokkan sejarahnya. Dongengan ini banyak berasal dari buku Yasuke oleh Thomas Lockley dan Geofrrey Girard. Ironinya, bidang utama Lockley ialah bahasa dan Girard pula ialah penulis “speculative fiction” seperti yang diakui sendiri dalam blog peribadinya.

Sungguh buku Yasuke ini penuh dengan andaian daripada penulis-penulisnya. Persis khayalan Wakanda. Dan dongengan serta andaian ini seolah-olah telah sebati sehinggakan diterima bulat-bulat oleh khalayak ramai tanpa tapisan dan penelitian yang wajar. Artikel yang ditulis ini, bolehlah dikira sebagai artikel balas terhadap artikel-artikel mengenai Yasuke yang boleh kita jumpa secara atas talian serta dua artikel yang pernah disiarkan di sini.

https://www.thepatriots.asia/yusuke-samurai-afrika-yang-dilupakan-dunia/

https://www.thepatriots.asia/yasuke-pahlawan-samurai-berketurunan-afrika/

Persoalannya sekarang ialah: Adakah Yasuke seorang Samurai?

Jawapannya, TIDAK.

Betul, Yasuke memang wujud. Yang ini tidak pula kita nafikan. Yasuke dikatakan dibawa ke Jepun oleh Paderi Jesuit bernama Alessandro Valignano, berperanan sebagai pengawal keselamatan. Ini berlaku dalam zaman Sengoku yang ruang lingkupnya bermula tahun 1467 dan berakhir pada 1615. Yasuke berkulit gelap kehitam-hitaman, berketurunan Afrika dan akhirnya berkhidmat untuk Oda Nobunaga. Dengan tubuhnya yang besar, kehadirannya ke Kyoto menyebabkan ramai yang berpusu-pusu mahu melihatnya.

Perkara ini dirakam oleh Luis Frois dalam suratnya kepada Lourenco Mexia Santos. Selanjutnya boleh dijumpai dalam Annual Report of the Jesuit Mission in Japan (1582). Nobunaga sendiri contohnya, memandang Yasuke seperti suatu mahkluk eksotik. Kulitnya yang hitam itu terutamanya menimbulkan kehairanan luar biasa. Ini merupakan fakta, tidak dipertikaikan dan tidak pula perlu dipertikaikan.

Apa yang dipertikaikan di sini ialah tokok tambah golongan acah “woke” ke atas fakta-fakta yang sebenar. Cubaan pihak tertentu untuk meromantiskan kewujudan Yasuke atas kepentingan peribadi dengan memasukkan naratif songsang dan spekulasi janggal. Cubaan-cubaan ini terlalu zahir dan terang benderang sehingga menyakitkan mata sampai tahap kita tidak lagi boleh membiarkan mereka terus menerus melacurkan sejarah Jepun demi apa jua agenda yang bersarang dalam kepala mereka itu.

Dakwaan kononnya Yasuke merupakan seorang Samurai. Tidak terhenti di situ, dikatakan juga seolah-olah Yasuke ini pahlawan hebat, pernah bertempur dalam pelbagai pertempuran, berlawan dengan ninja pun pernah, figura yang dihormati ramai Daimyo (pentadbir dan penguasa wilayah) yang lain. Ini karut. Kesilapan ramai daripada kita adalah menggunakan perspektif moden untuk mengkaji sejarah Jepun feudal.

Antara video-video mengelirukan yang dengan sebegitu mudahnya mengurniakan status Samurai kepada Yasuke

Untuk menjadi seorang Samurai, seseorang (yang berketurunan Jepun) itu hendaklah lahir dalam keluarga Bushi iaitu keluarga yang tergolong dalam golongan pahlawan dan terbitnya dari jurai pahlawan. Sejak bila pula Yasuke berketurunan Jepun dan lahir dalam mana-mana keluarga atau puak pahlawan Jepun?

Merujuk kepada hierarki masyarakat feudal Jepun dan bagaimana ianya berfungsi, status Bushi itu diperturunkan (hereditary) kepada anak lelaki sesuatu puak samurai itu. Samurai juga ada nama keluarga (family name/surname). Nama keluarga bagi Oda Nobunaga ialah Oda, Takeda bagi Shingen dan Date bagi Masamune. Sekadar memberikan sedikit contoh. Yasuke pula jelas tidak ada nama keluarga.

Kalaupun tidak lahir dalam keluarga Bushi, seseorang itu hendaklah membuktikan keupayaan diri atas dasar meritokrasi di medan pertempuran sebagai seorang ashigaru (tentera pejalan kaki) misalnya. Ashigaru ini selalunya rakyat kebiasaan, petani contohnya yang dikerah ataupun memang secara sukarelanya, turut serta dalam sesuatu peperangan itu.

Toyotomi Hideyoshi merupakan contoh yang sempurna, namun terpencil. Sangat rare. Contoh bagaimana seorang petani hampir menjadi Shogun ataupun Ketua Panglima segala samurai. Hideyoshi ini satu-satunya contoh yang boleh kita petik kerana tiada contoh lain yang sezaman dalam skala yang sama.

Berbalik kepada rekod tentang Yasuke, perkara ini ditulis oleh Ota Gyuichi (1527 – 1614), samurai puak Oda yang menulis riwayat paling lengkap buat masa ini, mengenai Oda Nobunaga, sang penguasa agung pada zaman itu. Riwayat itu dinamakan Shinchō kōki dan sangat tinggi nilainya di mata para pengkaji sejarah kerana statusnya sebagai sumber primer yang boleh dipercayai.

Dalam Shinchō kōki, The Chronicle of Lord Nobunaga versi terjemahan Elisonas dan Lamers, perihal Yasuke mula-mula sekali ditulis seperti yang berikut, “He appeared to be twenty-six or twenty-seven years old. Black over his whole body, just like an ox, this man looked robust and had a good demeanor. What is more, his formidable strength surpassed that of ten men. The Bateren brought him along by way of paying his respects to Nobunaga.” Mungkin 26 atau 27 tahun, Yasuke disamakan dengan kerbau berkekuatan lebih sepuluh orang. Dirinya kelihatan gagah dan tingkahlakunya baik.

Memang Yasuke dikatakan berkhidmat untuk Nobunaga, diberikan kediaman, hadiah berupa duit dan sebilah katana pendek yang sarungnya bercorak atau berhias. Namun, menurut Ota Gyuichi juga, “he is sometimes seen in the role of weapon bearer”. Daripada ini, kita dapat lihat bahawa Yasuke cumalah seorang “weapon bearer”, bentara senjata. Itupun kadang-kadang.

Bentara di sini merujuk kepada attendant ataupun pembantu sahaja. Bukan samurai, jauh sekali. Seorang tukang masak juga boleh dikatakan “berkhidmat” untuk Nobunaga. Tapi tukang masak itu bukanlah samurai. Berkhidmat tak semestinya mesti samurai. Lagipun, bentara senjata itu tugasnya bukan untuk bertempur dan bergocoh, tetapi untuk membawa senjata. Tiba bila diseru, hadir bila diminta dan sentiasa berdekatan. Katana yang diterima Yasuke juga nampaknya bersifat ceremonial, hadiah semata-mata.

Langsung tidak logik sebenarnya untuk seorang pengawal keselamatan berketurunan asing diberikan status sebagai seorang samurai, suatu pengiktirafan dan penghormatan yang amat besar. Kedudukan yang berprestij seperti ini, tidak mudah diberikan kepada sesiapapun. Kalau bukan sebab keturunan, amat jarang sekali seseorang itu dijadikan samurai. Itulah mengapa, hanya 5% (atau ada pandangan lain yang menyatakan 10%) daripada kesuluruhan penduduk Jepun ketika zaman itu yang merupakan samurai. Sangat kecil jumlahnya.

Yasuke bukan ashigaru, bukan keturunan mana-mana puak samurai, dan hanya diberikan katana pendek sebagai hadiah. Pemberian katana pendek berhias ini bukan suatu keistimewaan pun kerana dalam Shinchō kōki, Oda Nobunaga selalu memberikan katana yang sarungnya berlapiskan emas kepada pemenang-pemenang acara Sumo. Jadi pemberian katana tersebut kepada Yasuke bukanlah sesuatu yang terlalu hebat dan luar biasa, sehingga perlu disensasikan.

Contoh Daisho zaman Edo yang dipertontonkan di Muzium Seni Fuji Tokyo

Setakat ini, tiada rekod yang menyatakan Yasuke merupakan seorang samurai. Satu lagi kebiasaan pada zaman Sengoku ini ialah, samurai akan pakai sekurang-kurangnya dua pedang. Kombinasi berkembar yang dipanggil Dai-Sho/Daisho (merujuk kepada panjang-pendek yakni Katana-Wakizashi). Tiada rekod yang menyatakan Yasuke ada dua pedang. Merujuk kepada Harris dalam Cutting Edge: Japanese Swords in the British Museum, pada tahun 1629 ada satu perintah yang mewajibkan samurai untuk memakai Daisho.

Selain daripada Daisho, samurai juga kebiasaannya ada baju perisai atau O-Yoroi dan helmet iaitu Kabuto. Tiada rekod yang menunjukkan Yasuke ada sebarang baju perisai. Kalau betul Yasuke ini seorang samurai, sekurang-kurangnya perlu ada catatan yang menggambarkan bahawa Yasuke ini dilatih dalam seni tempur gaya pahlawan samurai. Namun, tiada sebarang catatan seperti itu.

Yasuke didakwa berada di Honnō-ji ketika insiden pembelotan oleh Akechi Mitsuhide ke atas Nobunaga. Ini tidak menghairankan kerana Yasuke merupakan bentara senjata. Dia akan berada dekat dengan Nobunaga, tuannya itu dalam apa jua keadaan. Tetapi sama ada dia berjuang bersama-sama Nobunaga, itu soal yang lain. Apa yang pasti, tiada rekod yang menggambarkan Yasuke bertempur dalam mana-mana pertempuran. Tiada langsung. Maka eloklah kita fikirkan balik, kalau betul samurai, “samurai” baka apa yang tak berlawan langsung? Mengalah sebelum berjuang. Bukan samurailah jawabnya.

Apa yang berlaku ini sebenarnya adalah apa yang penulis sifatkan sebagai pembangsatan sejarah. Agenda klaim mengklaim tanpa asas sejarah. Perangai tidak bertanggungjawab sesetengah pihak berkepentingan yang sengaja mengada-adakan sesuatu benda yang tiada. Mewujudkan perkara yang tidak wujud. Kalau kita benar-benar nak tahu samurai berketurunan asing yang betul-betul diiktiraf sebagai samurai, malah diberikan nama baru, orang itu ialah William Adams ataupun Miura Anjin. Inspirasi kepada permainan Nioh. Itu betul samurai.

RUJUKAN

Harris, V. (2005). Cutting Edge: Japanese Swords in the British Museum, p.26

Ota, G., Elisonas, J. S., & Lamers, J. P. (2011). The Chronicle of Lord Nobunaga. Leiden, The Netherlands: Brill. doi: https://doi.org/10.1163/ej.9789004201620.i-510.2

Russell, J., G. (2007). Excluded Presence: Shoguns, Minstrels, Bodyguards, and Japan’s Encounters with the Black Other.

Samurai History & Culture, Samurai Pub. (2021). The Bogus Story of Yasuke & “wokeness” revisionist history.

Ruangan komen telah ditutup.