https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Yang Joon-Il – Pelopor Gelombang K-Pop

2,021

Bagi generasi hari ini, mungkin ramai mengenali artis-artis K-Pop popular seperti BTS, 2PM, Big Bang dan EXO. Yalah, kumpulan ini menjadi pujaan ramai dan menjadi sebahagian daripada gelombang Hallyu di serata dunia. Tetapi sebelum mereka, ada satu artis Korea yang bertanggungjawab menyediakan batu asas kepada gelombang ini iaitu Yang Joon-il.

Yang Joon-il?! Bagi peminat generasi baru terutama di Malaysia, namanya kurang asing. Tetapi bagi peminat-peminat K-Pop di Korea, beliau dianggap pencetus gelombang muzik Hallyu. Namun pada tahun 90-an, ramai yang menolaknya kerana penampilannya yang mencolok mata termasuk gaya rambut dan pakaian yang melampau di mata masyarakat Korea ketika itu.

Cakaplah apa bentuk layanan yang pernah diterima Joon-il, beliau pernah mengalaminya. Dalam sesetengah persembahan, ada penonton yang tidak suka persembahannya membaling batu terhadapnya. Dan ada juga yang mengugut sekiranya Soon-il tetap meneruskan persembahan, maka mereka bersedia memukulnya beramai-ramai.

Mungkin hari ini, masyarakat Korea lebih terbuka dengan gaya dan persembahan yang dibawanya. Tetapi pada tahun 90-an, masyarakat Korea Selatan ketika itu baru saja keluar daripada cengkaman tirani junta t3ntera yang membelenggu negara itu hampir 50 tahun. Dan apa saja perubahan budaya yang berlaku ketika itu dilihat tidak mengikut norma masyarakat.

Perlu diingat, sentimen masyarakat Korea terhadap orang lain termasuk yang berdarah campuran atau lahir di luar negara amat keras dan ia masih dikesan sehingga ke hari ini berdasarkan satu artikel penulis terdahulu. Boleh rujuk artikel tersebut di sini:

Xenofobia dan Rasism – Penyakit Korea Selatan: https://www.thepatriots.asia/xenofobia-dan-rasism-penyakit-korea-selatan/

Dalam kes Joon-il, beliau dilahirkan oleh ibu bapanya yang berdarah Korea di Vietnam sebelum kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat. Bagi orang sebegini, masyarakat melihat mereka sebagai orang asing dan tiada minat menerima mereka walaupun ada yang mempunyai latar belakang yang baik.

Layanan buruk akibat aspek ini dilihat dengan jelas apabila Joon-il menghadiri satu temubual di sebuah stesen radio. Apabila beliau memberi jawapan bukan dalam Bahasa Korea tapi dalam Bahasa Inggeris, ia mengundang reaksi keras pendengar. Akibatnya, Joon-il bukan saja digam oleh pihak berkuasa kerajaan malah dianggap perampas peluang orang lain oleh sesetengah individu yang berpandangan sempit.

Sebelum itu, Joon-il berpeluang menonjolkan bakatnya dalam beberapa persembahan secara langsung dalam rancangan-rancangan hiburan utama Korea Selatan. Bagi yang menonton persembahannya, mungkin ramai menganggap ia taklah berbeza berbanding persembahan artis-artis K-Pop lain seperti 2PM, Super Junior dan AOA. Tetapi pada ketika itu, ia dikecam ramai kerana bersifat asing.

Contoh persembahan Joon-il pada tahun 1991:

Semasa ditemubual akhbar South China Morning Post, Joon-il berkata, “Saya merasakan diri saya dan Korea tidak serasi langsung. Penonton merasa terlalu jauh dengan saya. Jadi semasa membuat persembahan, saya memilih untuk tidak melihat mereka.” Beliau turut menceritakan bagaimana seorang penonton berpura-pura bersalaman dengannya sebelum cuba menariknya ke bawah dan berkata, “Anda patut dipukul.”

Bagi yang meminati lagunya ketika itu, ramai mempersoal citarasa mereka. Selain mempersoalkan penampilannya yang melampau (penolakan yang bersifat munasabah), ada pula yang menyifatkannya sebagai orang asing yang tiada jati diri Korea hanya kerana Joon-il memilih bercakap dalam Bahasa Inggeris. Bagi para peminatnya, ia sesuatu yang sukar diterima melihat layanan buruk terhadap artis pujaan mereka itu.

Lama-kelamaan, namanya mula tenggelam dan dari situ, Joon-il bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris selama 14 tahun. Pada tahun 2015, beliau dan keluarganya berhijrah ke AS tetapi menyifatkan pengalaman berada di negara Uncle Sam itu sebagai menekan jiwa sehingga hampir-hampir mendorongnya membvnvh diri. Di sana, Joon-il pernah bekerja sebagai pelayan restoran, pekerja gudang dan pembersih pejabat.

Jika beliau merasakan impiannya bergelar artis K-Pop akan berkubur begitu saja, Joon-il tersilap. Beberapa tahun selepas itu, Two Yoo Project – Sugar Man terbitan JTBC menampilkan dua hos terkenal Korea Selatan iaitu Yoo Jae-suk (Running Man dan Infinite Challenge) dan You Hee-yeol (You Hee-yeol’s Sketchbook) sedang mencari artis-artis lama yang pernah popular seketika sebelum sepi tidak dikenali ramai.

Rajah 1: Two Yoo Project – Sugar Man menjadi pentas kemunculan semula Joon-il.

Salah seorang artis jemputan mereka ialah Joon-il dan beliau tidak menghampakan para penonton Two Yoo Project – Sugar Man. Dalam episod yang menampilkan beliau, Joon-il menyanyikan beberapa lagu seperti Rebecca, GaNaDaRaMaBaSa, Dance With Me Miss dan Fantasy. Bila ditanya apa perancangannya selepas ini, beliau hanya mahu menikmati setiap detik kehidupan dan menjadi suami dan bapa yang baik.

Boleh tonton persembahan kemunculan semulanya di sini:

Kebangkitan semula artis-artis lama seperti Joon-il, g.o.d dan Turbo sebenarnya ada kaitan dengan konflik antara generasi yang berlaku di Korea Selatan hari ini. Bagi warga Korea berumur 50-an dan 60-an yang bekerja semasa era kemakmuran ekonomi pantas (semasa era junta) lebih menghargai nilai keselesaan dan ketahanan.

Tetapi bagi generasi muda Korea terutama yang berumur 20-an dan 30-an, mereka merujuk diri mereka sebagai generasi Sampo. Jolokan ini diberi kerana mereka terpaksa mengorbankan hubungan kekeluargaan, perkahwinan dan peluang mendapatkan anak demi memastikan mereka masih boleh bekerja dan mendapat rumah yang baik walaupun harganya cekik darah.

Bagi generasi ini, mereka merasakan generasi lama sebagai dua kali lima sama saja dan tidak pernah mengetahui derita yang ditempuh mereka. Tetapi menerusi ikon seperti Joon-il, mereka merasakan ada orang yang boleh dikaitkan dengan isu-isu yang dihadapi mereka dan boleh menjadi contoh teladan menarik kepada generasi hari ini.

Bagi koresponden K-Pop untuk majalah Billboard, Tamar Herman, apa yang berlaku ini ialah peminat merasa bernostalgia dengan melihat masa silam. Tambahnya, dengan membawa artis seperti Joon-il ke hadapan, ia memberikan peluang kepada mereka mengubah masa silam pada masa di mana mengubah situasi hari ini dianggap menjerihkan.

Terima kasih kepada kemunculan semulanya itu, impian Joon-il sebagai artis K-Pop yang disematkan semasa berusia 20-an akhirnya menjadi kenyataan. Walaupun beliau kini berusia 50-an, baginya impiannya kini menjadi kenyataan dan merasa terharu dengan sokongan peminat terutama generasi baru peminat hari ini.

RUJUKAN:

AFP. (2020). Social media generation rediscovers 50-year-old K-pop idol once considered ‘too weird’ – now he plays to thousands of adoring fans. South China Morning Post. https://www.scmp.com/lifestyle/entertainment/article/3075927/social-media-generation-rediscovers-50-year-old-k-pop-idol

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.