Yang Jingyu – Berpantang Mundur Sebelum Ajal!

0
423
views

Perang China-Jepun merupakan babak pertempuran paling panjang dalam Perang Dunia Kedua di Teater Pasifik. Ini kerana perang tersebut sudah berlaku beberapa lama sebelum Adolf Hitler melancarkan kempen di Poland dan Perancis serta Britain mengisytiharkan perang terhadap rejim Nazi Jerman. Dan walaupun diperangi habis-habisan oleh pihak Jepun, pihak China enggan mengaku kalah dan terus melawan sehinggalah tamat perang pada tahun 1945. Ini disebabkan oleh individu seperti Yang Jingyu.

Anak jati Queshan, Chihli (Henan moden) ini dilahirkan pada 13 Februari 1905 dan sudah mendapat pendidikan klasik dan moden semasa kecil. Pada masa ini juga, Jingyu terpengaruh dengan idea Pergerakan Budaya Baru selepas kecewa dengan gerakan panglima perang yang muncul pasca-revolusi. Selepas menamatkan pendidikan menengah di Queshan, beliau menyambung pengajian di sebuah kolej di Kaifeng. Pada tahun 1925, Jingyu menyertai Liga Pemuda Komunis China pada masa sama beliau menyambung pengajian sebelum menjadi ahli penuh Parti Komunis China (CCP). Selepas berlakunya Pemberontakan Penuaian Musim Luruh, beliau membentuk pasukan tentera revolusi terdiri daripada golongan petani. Selepas itu, Jingyu melakukan pelbagai aktiviti bawah tanah di beberapa bandar di China.

Empat tahun selepas bergelar ahli CCP, beliau diberi kepercayaan sebagai setiausaha parti cawangan Fushun. Namun, Jingyu tidak bernasib baik kerana semasa berada di utara China, beliau dipenjarakan oleh pihak Jepun dan rejim Zhang Xueliang. Beliau hanya dibebaskan selepas kekecohan yang tercetus gara-gara insiden Mukden yang berlaku di Manchuria. Selepas dibebaskan dari penjara, Jingyu memegang pelbagai jawatan di peringkat parti. Beliau juga dipertanggungjawabkan membentuk pasukan gerila dengan Panshi, Wilayah Jilin sebagai markas utama gerakan gerila itu.

Pada September 1933, CCP melantiknya sebagai komisar politik dan panglima Divisyen Askar Bebas, Tentera Revolusi Rakyat Timur Laut (TRRTL). Setahun selepas itu, pasukan tersebut dirombak dan dijadikan sebagai Askar Pertama TRRTL dengan Jingyu dilantik sebagai panglima dan pemimpin Markas Tentera Barisan Bersatu Anti-Jepun. Pada tahun 1936, beliau dilantik sebagai Komander Pasukan Tentera Bersatu Anti-Jepun (PTBAJ) Bahagian Timur Laut sebelum dilantik sebagai komander pasukan laluan pertama pada Jun 1936. Selain Jingyu, Zhou Baozhong dan Li Zhaolin diberi kepercayaan mengetuai pasukan laluan kedua dan ketiga PTBAJ. PTBAJ membuka keahliannya seluas-luasnya kepada sesiapa saja yang mahu menentang Jepun sama ada mereka ahli CCP, orang biasa atau sebaliknya. Polisi ini mendapat sokongan ramai dan bilangan anggota PTBAJ semakin bertambah terutama selepas insiden Jambatan Marco Polo.

PTBAJ mula melancarkan kempen memerangi operasi Jepun yang dilihat mengancam kedudukan rejim boneka Manchuria diketuai Maharaja Pu Yi dan penjajahan Jepun di utara China. Pada awal tahun 1937, PTBAJ terdiri daripada tiga pasukan kor dengan kekuatan tentera seramai 20,000 orang. Walaupun bilangan mereka tidaklah mencukupi untuk melancarkan kempen perang konvensional, mereka sentiasa mengganggu pihak Jepun dengan melancarkan pelbagai serangan hendap yang bertujuan memaksa Jepun mengalihkan sumber perang dan menjejaskan fungsi pentadbiran awam yang cuba digerakkan negara Matahari Terbit itu. Ini sekaligus memberi tekanan kepada Jepun kerana mereka juga turut terlibat dengan beberapa siri pertempuran dengan Kesatuan Soviet di sempadan Chengkufeng (1938) dan Pertempuran Khalkin Gol (1939).

Waqaf Saham

Jingyu sendiri mengetuai beberapa operasi yang menggugat talian komunikasi Jepun ke Tieling dan Fushun di Wilayah Liaoning. Ini memaksa pihak Jepun mengubah taktik dengan mensasarkan beliau dan sedia membayar 10,000 yuan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat yang membawa kepada penahanan atau pembunuhan pemimpin CCP utara China itu. Namun, kos peperangan tinggi bukan saja dialami Jepun tetapi juga oleh pihak PTBAJ. Ini kerana menerusi maklumat risikan yang diterima, kekuatan PTBAJ berkurangan sebanyak 50% dan hanya mempunyai kekuatan seramai 10,000 orang.

Pada tahun 1940, situasi perang PTBAJ-Jepun menemui jalan buntu dengan Jepun masih menguasai kawasan pesisir pantai dan kawasan yang ada akses laluan keretapi. Sementara PTBAJ pula masih bertempur habis-habisan di kawasan pergunungan dan hutan belantara. Melihat situasi yang tidak berubah, kepimpinan tentera Jepun melalui Kumpulan Tentera Kwantung menghantar bantuan ke wilayah timur laut dengan tujuan mengekalkan keamanan dan menghapuskan mana-mana elemen anti-Jepun. Walaupun akses bantuan dengan Barisan Bersatu dipotong pihak Jepun, itu masih belum mencukupi menghalang PTBAJ meneruskan tentangan mereka. Mereka mengharungi situasi getir itu dengan tabah dan semakin berani melancarkan serangan hendap yang memaksa Jepun mengalihkan pasukan mereka dari ekspedisi kejam ke atas tentera China.

Bagi Jingyu, beliau sudah terlibat dalam lebih 40 pertempuran di Wilayah Jilin walaupun berhadapan situasi kekurangan bekalan penting. Ini mendorong pihak Jepun melaksanakan dasar bumi hangus dengan membakar hasil tuaian tanaman, merampas makanan dari penduduk kampung dan mengasingkan penduduk ke petempatan yang ‘mematuhi undang-undang’. Dan bagi memberi isyarat jelas situasi sudah tidak menyebelahi mereka, Jepun turut menghantar pasukan peronda besar dianggotai rakyat China yang bersubahat dengan Jepun untuk memerangi mereka.

Pada pertengahan Februari 1940, Jingyu dan anak-anak buahnya dikepung 40,000 tentera Jepun. Dalam usahanya memecah kepungan, beliau memecahkan pasukannya kepada beberapa pasukan kecil. Bagaimanapun, satu detasmen yang terdiri daripada 60 orang tentera dikhianati oleh pegawai mereka sendiri. Selepas dua lagi anak buahnya mati dalam pertempuran, Jingyu bertempur secara berseorangan selama lima hari. Dalam tempoh itu, ramai tentera Jepun mati terbunuh kerana kelebihan menembaknya yang luar biasa sehingga menakutkan mereka. Ini mendorong pihak Jepun dan rakan subahat mereka menyerang Jingyu di sebuah hutan kecil di Mengjiang. Jingyu akhirnya terbunuh selepas beberapa kali ditembak oleh mesingan pihak musuh. Musuh yang terlalu takut dengan keupayaan beliau menembak mereka dengan tepat enggan mendekati mayatnya beberapa lama selepas kematiannya.

Bagi memahami sebab kesungguhan Jingyu memerangi mereka, kepimpinan tentera mengarahkan satu bedah siasat dilakukan ke atasnya. Bila koroner membelah perut beliau, mereka hanya menemui akar rumput, lapisan kapas dan kulit pokok. Tiada satu butir nasi ditemui dalam perut Jingyu. Komander tentera Jepun ketika itu, Ryuichiro Kishitani amat terkejut dengan pendedahan itu sehinggakan dia senyap dan nampak lebih berusia pada hari berikutnya. Sebagai mesej keras kepada semua tentera China yang masih berani melawan, kepalanya dipenggal dan dipisahkan dari badannya. Pada mulanya, kepala Jingyu ditanam secara semberono dalam hutan. Tetapi selepas pemerintah tentera Jeneral Shotoku Nozoe susah tidur malam kerana mengalami mimpi buruk, didakwa akibat gangguan hantunya. Kishitani yang panik mengarahkan orang-orangnya mengebumikan semula mayat Jingyu dengan sempurna mengikut tradisi tentera dan ritual pengebumian. Pada Kishitani, memang benar Jingyu seorang musuh tetapi beliau juga seorang pahlawan sebenar.

Kematian Jingyu nyata memberi kesan besar kepada saki-baki anggota PTBAJ tetapi kesedihan mereka bertukar menjadi marah. Namun, itu tidak menghalang pihak Jepun meningkatkan serangan dan ini memaksa mereka berundur ke pinggir Manchuria atau berlindung di wilayah Timur Jauh yang dikuasai Kesatuan Soviet. Selepas Jepun tewas dalam WWII, Kishitani membunuh diri dengan melakukan seppuku. Dalam wasiatnya, beliau menulis, “Tuanku (Maharaja Hirohito) mungkin salah melancarkan perang ini. China mempunyai tentera-tentera berhati waja seperti Yang Jingyu dan mereka tidak akan tumbang.” Selepas WWII, kepalanya disatukan semula dengan mayatnya dan dikebumikan semula mengikut tradisi tentera penuh oleh pihak komunis. Orang-orang yang disyaki mengkhianati Jingyu diburu dan dibunuh. Dan sebagai mengenang jasanya kepada China, Mengjiang dinamakan semula sebagai Jingyu sempena nama tokoh CCP utara China itu. Selepas penubuhan Republik Rakyat China, beliau diberi penghormatan pengebumian negara dan diangkat sebagai salah satu wira negara ulung China.

Previous articleStar Wars: Medan Perang Budaya Identiti Amerika
Next articleKonsep Olfactory Dining
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE