Yakuza Membina Jaringan Dengan Peminat Melalui Majalah

46

“Mata pena lebih tajam daripada senjata”. Ini adalah kata-kata biasa yang kita dengar untuk menunjukkan bahawa penulisan itu sangat berpengaruh dan memberi kesan kepada seseorang. Perkara ini terbukti dengan wujudnya penulisan-penulisan yang masih lagi dimanfaatkan sehingga sekarang. Malah, diperbincangkan walaupun ia telah lama ditulis.

Kumpulan Yakuza juga tidak terlepas dalam melakukan perkara ini. Sektor percetakan dan penulisan telah dimanfaatkan mengikut kapasitinya yang tersendiri. Semestinya, ramai yang tidak mengetahui perkara ini.

Yakuza dalam dunia percetakan

Nama Yakuza di mata rakyat Jepun tidaklah dipandang mulia. Ia semakin hari semakin kotor. Ini juga telah menjatuhkan motivasi ahli-ahli Yakuza yang sedia ada. Demi memberi semangat kepada para ahlinya, salah satu usaha yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan ini adalah melalui bahagian penerbitan dan tulisan.

Sebagai contoh, pada tahun 2013, kumpulan Yakuza paling besar di Jepun, Yamaguchi Gumi telah mengeluarkan majalah berita rasmi mereka yakni Yamaguchi Gumi Shinpo. Ia tidak boleh didapati secara umum. Namun mereka tahu bahawa isi majalah itu akan bocor juga kepada orang awam. Justin McCurry, penulis The Guardian menerangkan isi majalah itu sebagai begini,

“Helaian muka suratnya diisi dengan puisi-puisi haiku, artikel-artikel mengenai usaha-usaha orang tak bersalah dan menarik pembaca untuk melakukan kerja-kerja yang baik. Bunyinya seperti makalah dakyah dari gereja.”

Majalah Yakuza yang dijual secara umum

Sedar atau tidak, majalah yang dikeluarkan oleh Yakuza sendiri telah masuk lama di kedai-kedai buku. Malah, ia sudah diterbitkan sejak 3 dekad yang lalu. Majalah itu diberi nama Gekkan Jitsuwa Document. Majalah bulanan ini meliputi berita mengenai ahli kumpulan jenayah Jepun.

Sejak dilancarkan pada tahun 1984, Jitsuwa Document telah menjadi satu jurnal yang menceritakan mengenai berita-berita terkini dan industri kumpulan jenayah yang membuat perjanjian dengan gangster. Ini termasuklah video lucah dan seks komersial. Disebabkan pembacanya adalah dalam kalangan ahli kumpulan gengster, majalah itu juga mempunyai ruang iklan untuk alat permainan seks, perkhidmatan seks, pelukis tatu iezumi, filem-filem lucah, komik manga lucah, laporan mengenai jenayah orang luar dan gambar-gambar yang menunjukkan aktiviti kumpulan bersayap kanan (right wing group).

Laku tak laku majalah ini terbukti apabila ia pernah dijual sebanyak 70 000 cetakan sebulan selepas peristiwa perpecahan kumpulan Yakuza terbesar, Yamaguchi Gumi dengan musuhnya Kobe Yamaguchi Gumi.

Seperti yang kita tahu, pengenalan undang-undang anti-kumpulan gengster oleh Jepun pada tahun 2011 telah banyak memberi kesan kepada setiap operasi kumpulan Yakuza. Ini termasuklah dunia percetakan mereka. Pada Mei 2017, Gekkan Jitsuwa Document menemui jalan akhirnya untuk dijual. Syarikat penerbitan, Myway Publication sendiri telah menyekat penerbitan majalan ini.

Tindakan ini bukanlah kerana mereka tiada duit, tapi lebih kepada isi majalah itu sendiri. Ia juga berkait rapat dengan tekanan disekeliling untuk menendang keluar kumpulan Yakuza dalam pelbagai operasi. Syarikat penerbitan juga akan mempunyai masalah untuk membuat pinjaman jika terus menerbitkan majalah Yakuza.

Majalah yakuza buka ruang dengan peminat

Selain dari Jitsuwa Document yang dinyatakan di atas tadi, terdapat beberapa majalah utama Yakuza seperti Jitsuwa Jidai, Jitsuwa Jiho dan Asahi Geino. Beberapa majalah-majalah lain pula hanya spesifik untuk suatu kumpulan tertentu. Untuk majalah Knuckles, ia tidak secara terus mengenai Yakuza. Namun, terdapat beberapa ruang artikel yang memuatkan sesi temu ramah dengan kumpulan Yakuza.

Pekara ini turut dilakukan oleh majalah-majalah kumpulan Yakuza lain dengan memasukkan ruang artikel sesi interviu dengan ketua-ketua mereka. Interviu ini sering menyentuh mengenai aktiviti jenayah, tapi lebih kepada sejarah kegemilangan lampau, peperangan antara kumpulan dan perbincangan mengenai nilai tradisional Jepun. Terdapat juga artikel temu ramah dengan pelacur seks ternama yang membincangkan mengenai cara-cara terbaik melakukan seks.

Hubungan majalah Yakuza dengan pembaca juga nampaknya erat. Ia boleh dilihat pada majalah milik Yamaguchi Gumi yang mempunyai ruang “Tattoo Corner” yang mempamerkan gambar lelaki dan wanita bertatu yang dihantar oleh pembaca.

Selain majalah, jenis percetakan lain dimanfaatkan

Menurut Jack Adelstein, seorang penulis terkenal mengenai Yakuza menyatakan bahawa majalah Yakuza telah berevolusi dari majalah tradisional kepada majalah yang mempunyai unsur-unsur manga. Ia mengandungi tulisan serta lukisan komik untuk menarik minat pembaca.

Apabila bercakap mengenai komik, beberapa siri novel komik manga ada diterbitkan. Sehingga sekarang, sudah ada lebih 100 novel berkaitan Yakuza yang telah diterbitkan. Kebanyakan novel ini meceritakan jatuh bangun ahli Yakuza terkenal pada masa lampau dan kini.

Begitulah.

Sekalipun, ada majalah Yakuza yang disekat dan dihalang. Namun, ia tetap diterbitkan dengan kapasitinya sendiri. Dalam keadaan dunia percetakaan yang semakin mencabar era moden ini, mungkin suatu hari nanti kita boleh melihat bukan sahaja majalah Yakuza yang hilang, ia lebih kepada semua majalah.

RUJUKAN:

1) Yakuza magazine – for the well-read gangster. https://www.theguardian.com/world/2013/jul/11/yakuza-magazine-yamaguchi-gumi-shinpo

2) Japan’s yakuza aren’t disappearing. They’re getting smarter. https://www.washingtonpost.com/news/global-opinions/wp/2017/04/08/japans-yakuza-arent-disappearing-theyre-getting-smarter/?utm_term=.509b1240346e

3)Japan’s biggest yakuza publishes magazine for gangsters.https://www.scmp.com/news/asia/article/1279567/japans-biggest-yakuza-publishes-magazine-gangsters

4) Tokyo publisher drops yakuza magazine after 3 decades. https://www.tokyoreporter.com/crime/yakuza/tokyo-publisher-drops-yakuza-magazine-after-3-decades/amp/

5)The Strange World of Yakuza Fan Magazines.https://publishingperspectives.com/2009/10/the-strange-world-of-yakuza-fan-magazines

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.