Dalam setiap negara, masalah jenayah tidak pernah terhenti menjadikan pening kepala pihak berkuasa termasuk sindiket jenayah terancang. Sindiket ini bukan sahaja berupaya mengumpul kekayaan dan membina empayar mereka dan dalam sesetengah kes, berupaya mempengaruhi perjalanan politik sesebuah negara bagi memastikan kepentingan mereka terpelihara. Jika Mexico dihantui dengan kartel-kartel dadah seperti Sinaloa dan Juarez, Jepun pula dihantui sindiket jenayah terancang yang kita kenali sebagai yakuza.

Sejarah yakuza

Yakuza ialah terma yang menyelubungi semua sindiket jenayah terancang di Jepun. Mereka hampir sama dengan kumpulan mafia yang menjadi mimpi ngeri pihak berkuasa di Eropah dan Amerika Syarikat. Secara tradisionalnya, kumpulan yakuza terdiri daripada persekutuan kaki judi dan peniaga jalanan. Walaupun wujud dakwaan kewujudan mereka sudah berlaku sejak ribuan tahun lepas, kajian penulis Kazuhiko Murakami mendedahkan kumpulan yakuza terawal dibentuk pada tahun 1870-an yang dikenali sebagai Aizukotetsu-kai di Kyoto.

Pada awalnya, kumpulan-kumpulan tersebut hanya beroperasi sebagai persatuan-persatuan yang mengendalikan perjudian. Namun semua itu berubah selepas Perang Dunia Kedua (WWII) yang menjadikan mereka pemain utama dalam pasaran gelap.

Perkara yang perlu diingat dengan situasi Jepun yang baru untuk bangkit daripada kemusnahan WWII, mereka bukan sahaja menawarkan perjudian tetapi juga hiburan sebagai pelepas daripada kesengsaraan hidup. Mereka juga bertanggungjawab menguruskan sebahagian daripada bintang dan penyanyi utama Jepun pasca-WWII sebelum menceburkan diri dalam bidang pembinaan, hartanah dan elemen jenayah lain seperti peras ugut dan penipuan.

Yakuza dan politik

Mereka juga tidak segan silu memasuki dunia politik dengan memberikan dana kepada mana-mana calon yang mereka suka. Berhati-hatilah kepada mana-mana pemimpin politik yang ada kaitan dengan mereka. Silap hari bulan, anda juga malu. Tidak percaya? Tanyalah bekas Menteri Keadilan Jepun, Keishu Tanaka yang terpaksa meletak jawatan tiga minggu selepas dibawa masuk oleh Perdana Menteri Parti Demokrat Jepun (DPJ) ketika itu, Yoshihiko Noda pada Oktober 2012.

Alasan peletakan jawatan Tanaka sudah tentu masalah kesihatan berikutan beliau menghadapi masalah jantung. Namun, itu tidak menghalang pendedahan media berkenaan peranannya sebagai pencari jodoh dalam sebuah majlis perkahwinan yakuza dan menghadiri parti yang dianjurkan mereka. Walaupun beliau tidak tahu-menahu pembabitan yakuza dalam dua majlis berkenaan, itu sudah cukup bagi khalayak memaksanya berundur.

Namun jika Parti Liberal Demokratik (LDP) merasakan diri mereka suci, fikir semula. Tiada siapa tahu pembabitan seorang anggota yakuza yang memainkan peranan penting semasa menubuhkan parti berkenaan. Orang yang dimaksudkan oleh Robert Whiting dalam bukunya Tokyo Underworld berkenaan babak awal LDP ialah Yoshio Kodama.

Pada tahun 1994, Menteri Pengangkutan LDP ketika itu Shizuka Kamei menghela nafas lega kerana dapat mengekalkan jawatannya selepas mengaku menerima wang daripada para pengundinya yang hilang duit pelaburan selepas melabur dengan sebuah agensi hartanah (topeng kepada operasi sah yakuza). Untuk mengelak dipaksa meletak jawatan, beliau memulangkan semula wang tersebut. Dengan kesilapan ini, sudah pasti Kamei tidak akan berpeluang menyertai arena politik. Namun selepas berjaya membentuk kerajaan pada tahun 2009, beliau dipanggil semula menyertai Kabinet DPJ dan dilantik sebagai Menteri Perkhidmatan Kewangan Jepun.

Berdasarkan statistik Agensi Polis Kebangsaan (APK), terdapat 21 kumpulan utama yakuza dengan keanggotaan melebihi 53,000 orang. Tiga kumpulan utama ialah Yamaguchi-gumi (23,400 orang), Inagawa-kai (6,600 orang) dan Sumiyoshi-kai (8,500 orang). Walaupun mereka tidak diharamkan sehingga ke tahap seperti kumpulan pengganas atau kartel, mereka dipantau rapi oleh pihak polis.

Kekuatan kewangan mereka sangat membimbangkan sehinggakan dalam laporan kertas putih APK pada tahun 2007, mereka menganggap penyusupan yakuza dalam kebanyakan sektor ekonomi boleh menjejaskan kekuatan ekonomi Jepun. Sementara Profesor Jeff Kingston dari Universiti Temple pula menyamakan mereka dengan gergasi pembuat kereta Toyota sekiranya mereka dimasukkan dalam bursa saham Tokyo. Maka, tidak hairanlah mengapa semasa pentadbiran Presiden Barack Obama, yakuza disenaraikan sebagai ancaman kepada Amerika Syarikat dan Yamaguchi-gumi dikenakan sekatan kewangan pada tahun 2011.

Walaupun kebanyakan aktiviti kewangan mereka datang daripada sumber haram, mereka tetap mengendalikan aktiviti perniagaan yang sah. Malah, mereka juga cuba menonjolkan diri sebagai organisasi kemanusiaan yang memelihara keamanan di Jepun. Maka tidak hairanlah, yakuza mempunyai bangunan-bangunan pejabat, kad perniagaan, majalah dan komik yang memperlihatkan aktiviti mereka di “barisan” itu. Namun, ia tidak menjadikan mereka kebal daripada sebarang tindakan perundangan.

Penolakan orang ramai

Sejak permulaan abad ke-21, mentaliti masyarakat Jepun terhadap yakuza sudah berubah kerana mana-mana figura awam yang ada kaitan dengan organisasi jenayah berkenaan seharusnya meletak jawatan atau dikenakan tindakan. Buktinya pada tahun 2012, 47 wilayah Jepun memperkenalkan undang-undang melarang firma-firma perniagaan daripada terlibat dengan aktiviti yakuza.

Jika mereka didapati berbuat demikian, nama mereka akan disenaraikan kerana disyaki membantu organisasi berkenaan. Jika mengulangi kesalahan sama, mereka akan dikenakan denda 500,000 yen (RM18,500) dan penjara sehingga setahun. Selain itu, pihak berkuasa turut mengenakan tekanan dengan menyerang sumber kewangan tradisional mereka seperti ceti haram, perjudian dan pelacuran bagi menambah tekanan kewangan sedia ada.

Di sebalik taktik ini, ia langsung tidak mematahkan operasi yakuza. Malah, mereka juga semakin kreatif beroperasi terutama dalam soal kewangan. Untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka mula melibatkan diri dalam urusan jual beli saham melalui syarikat palsu yang mempunyai reputasi baik di pasaran.

Mereka turut mengeluarkan manual panduan kepada ahli-ahli bagaimana mengatasi sekatan undang-undang yang dikenakan pihak berkuasa daripada larangan tempahan dengan syarikat katering luar hinggalah mengadakan upacara pengebumian di premis yang dikawal mereka sendiri. Kaedah radikal tersebut memberikan kesan kepada yakuza tetapi pada masa sama turut memberikan kesan kepada orang awam lebih-lebih lagi sekiranya mereka secara tidak sedar menjalinkan hubungan dengan yakuza.

“Keinginan untuk berubah…”

Namun secara perlahan-lahan ia turut mendorong ahli-ahli yakuza memikirkan pilihan mereka dan meninggalkan organisasi tersebut selama-lamanya. Salah seorang ahli yang berbuat demikian ialah Takashi Nakamato, 52 tahun yang kini bergelar pemilik sebuah restoran di Kyutakyushu, Kyushu. Ketika mudanya, beliau pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan Kudo-kai, kumpulan yang bertanggungjawab melakukan pelbagai jenayah ganas yang bertentangan dengan salah satu kod yakuza; jangan ganggu orang awam.

Buktinya, kumpulan tersebut bertanggungjawab menyerang pengerusi sebuah koperasi nelayan dan membaling bom ke konsulat jeneral China. Malah pada tahun 2000, Kudo-kai juga bertanggungjawab membaling bom api ke rumah-rumah pengundi wakil Diet merangkap bakal Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. Sejak itu, polis mengisytiharkan mereka sebagai ancaman keselamatan pada tahun 2010 dan penduduk mengadakan protes aman yang inginkan mereka keluar dari kawasan kejiranan mereka.

Semasa mengimbas penyertaannya dalam Kudo-kai, Nakamoto menyertai mereka bukan kerana duit atau pengaruh tetapi melihatnya sebagai gaya hidup yang menonjolkan kejantanan lelaki Jepun. Selain itu di bawah yakuza, dia merasakan dirinya dihargai dan ada sokongan sosial dalam menghadapi kehidupan.

Dia pernah melakukan banyak pekerjaan untuk Kudo-kai bermula daripada kerja-kerja pejabat hinggalah memasak untuk bos atau oyabun lamanya, Hideo Mizoshita. Selepas ditahan dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa pada tahun 2008, Nakamoto mendapat tahu bos lamanya telah meninggal dunia. Kematian bosnya ditambah dengan kesedaran yang terhasil selepas melihat kekejaman kumpulannya terhadap orang awam mendorongnya untuk berhenti sebagai ahli yakuza.

Bagi ahli yakuza yang dibebaskan, mereka perlu menjalani tempoh pemerhatian selama lima tahun, tidak dibenarkan menyewa rumah atau membuka akaun bank. Memang merenyahkan tetapi bagi Nakamoto, ia turut membuka peluang kepada karier jangka panjangnya sebagai pemilik restoran. Namun bagi bekas ahli yakuza yang lain, ia bukan sesuatu yang mudah untuk masyarakat menerima mereka semula.

Satu kaji selidik membabitkan majikan dijalankan pada tahun 2016 berkenaan bekas ahli yakuza dan hasilnya mendapati 80% responden enggan mengambil bekas ahli yakuza bekerja. Jika mereka dapat bekerja sekalipun, mereka akan dipulaukan rakan-rakan sekerja dan berhadapan diskriminasi di tempat kerja. Situasi tersebut didedahkan oleh pakar sosiologi jenayah, Noboru Hirosue dari Universiti Kurume.

Situasi tersebut nyata tidak membantu pihak berkuasa yang cuba mengurangkan bilangan ahli yakuza terutama di Kyutakyushu. Bagi Masataka Yabu yang mengetuai divisyen antijenayah terancang dan kempen menamatkan kekejaman yakuza, mereka perlu memberikan sebab yang kukuh kepada ahli-ahli kumpulan untuk menarik diri dan membina kehidupan baharu demi keluarga tercinta. Yabu berkata, “Mereka fikir mereka tidak rugi apa-apa tetapi apabila kita ingatkan perkara buruk yang mereka pernah lakukan, mereka mula berfikir semula. Kebanyakan mereka mahu berhenti demi isteri dan anak-anak.”

Atas sebab itulah, pelbagai inisiatif ditawarkan termasuk wang sewaan bagi bekas ahli yang baharu keluar dan tambang perjalanan untuk membantu mereka mencari kerja. Inisiatif wilayah itu menyaksikan bilangan ahli Kudo-kai dan empat lagi organisasi yakuza di wilayah tersebut turun daripada 3,720 kepada 2,000 orang sepanjang sedekad lepas. Selain inisiatif kerajaan tempatan, sokongan penduduk juga berhasil memastikan bekas-bekas ahli terus kembali ke pangkal jalan dan hal ini diakui sendiri Nakamoto lebih-lebih lagi apabila dia hampir-hampir berputus asa.

Ada pula yang memilih membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan menjadi orang yang tidak disangka-sangka; pelakon. Menurut So Kuramoto, pengasas agensi lakonan Takakura-kumi, mereka membantu membuang imej ganas bekas ahli yakuza dan mempromosikan idea peluang kedua. Bagi sesetengah daripada mereka, walaupun ditawarkan watak-watak bersifat antagonis, pengalaman daripada dunia lama mereka digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkan lagi watak mereka.

Semasa penggambaran filem Crazy Fighter yang diarahkan oleh pengarah Shuuya Yoshimoto, salah seorang pelakon menghentikan adegan seketika untuk memberitahu pengarah bagaimana kumpulan yakuza bereaksi atau berdiri dalam bilik mengikut pangkat atau kedudukan sosial mereka. Maklumat tersebut membolehkan adegan yang dibawa mereka tampak semula jadi dan hidup.

Ada juga yang memilih agama sebagai peluang untuk menebus diri dan berbakti kepada masyarakat. Salah seorang daripada mereka ialah seorang bekas pelukis tatu yakuza yang kini bergelar figura dihormati umat Islam di Jepun, iaitu Sheikh Abdullah Taki Takazawa. Sebelum memeluk Islam pada tahun 2006, beliau mengkaji banyak agama dunia sebelum akhirnya memilih mengucapkan dua kalimah syahadah.

Pada tahun 2008, Sheikh Abdullah diberikan peluang menunaikan haji di Baitullah sebagai tetamu kerajaan Arab Saudi dan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran Islam di situ. Selepas pulang ke tanah air, beliau dilantik sebagai imam di sebuah masjid di Kabukicho, Tokyo.

Namun menurut Jake Adelstein, seorang wartawan yang banyak menulis pelbagai artikel tentang yakuza, beliau merasakan kemerosotan pengaruh yakuza boleh mengakibatkan jenayah jalanan semakin bertambah dan hal ini berpotensi menjejaskan reputasi Jepun yang sememangnya dikenali dengan kadar jenayah yang rendah.

Menurut beliau, bekas-bekas ahli ini mempunyai tiga pilihan sama ada melakukan jenayah kecil-kecilan, dipenjarakan atau membunuh diri. Perkara yang perlu diingat, masyarakat Jepun masih mempunyai konotasi negatif terhadap bekas ahli yakuza dan hal ini sudah pasti menyukarkan mereka kembali ke jalan yang benar.

Maka di sinilah, peranan individu seperti Nakamoto dan Sheikh Abdullah untuk membimbing bekas-bekas ahli ini daripada terjebak dengan kancah jenayah dan menyedarkan mereka bahawa masih banyak peluang yang baik menanti di luar sana. Sokongan pihak berkuasa juga dianggap penting bagi memastikan mereka benar-benar serik dengan yakuza. Namun perkara yang paling penting ialah sokongan masyarakat.

Tanpa sokongan masyarakat, agak sukar bagi bekas-bekas ahli ini untuk terus kekal pada jalan yang benar. Selagi mana masyarakat Jepun terus memandang serong golongan ini, maka agak sukar bagi pihak berkuasa bukan sahaja untuk menamatkan ancaman yakuza tetapi menghilangkan sebarang unsur motivasi yang mendorong ahli-ahli yakuza untuk keluar terus daripada dunia gelap mereka.

Anda sedang membaca salah satu daripada bab dalam buku terbaru kami, DASAR PANDANG KE JEPUN. Hari ini merupakan hari terakhir untuk pra-tempah buku ini. Cepat, dapatkan di www.wasap.my/60195812791 sebelum terlambat.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.