Yakuza Dan Dunia Sukan

213

Pertembungan antara kumpulan sivik yang anti-yakuza dan kumpulan Yakuza tidak pernah berkesudahan. Begitu juga, antara pihak autoriti dan kumpulan Yakuza yang seakan-akan seperti bermain tarik tali. Sekalipun, pihak kerajaan telah lama memperkenalkan Undang-undang Anti-Boryokudan yang menghalang keterlibatan operasi Yakuza dalam segenap sektor.

Segala usaha ini nampaknya tidaklah berjaya  menggugat operasi Yakuza moden secara total. Salah satu yang berjaya diterobos adalah dunia sukan demi keuntungan operasi Yakuza.

Yakuza main peranan dalam Olimpik 2020

Pada bulan Disember 2017, pihak jawatankuasa penganjur menganggarkan bahawa kos menjadi tuan rumah adalah berjumlah 1.35 trillion yen. Namun, Board of Audit menganggarkan ia mencapai 3 trillion yen (26.5 USD). Di sini berlaku sesuatu yang agak luar biasa. Seolah-olah ada pengaliran duit yang bocor.

Sewaktu Tokyo diumumkan sebagai tuan rumah sukan berprestij ini, penulis bernama Yoshinari Ichinomiya sudah melancarkan buku bertajuk ‘2020 Black Money and the Tokyo Olympics’. Ini petanda jelas berlakunya projek berkait kumpulan ‘underworld’ terutamanya dalam sektor pembinaan.

Ditambah pula dengan kejadian 3 tahun tahun lepas, apabila Hidetoshi Tanaka, Naib Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Jepun ada bergambar sedang minum-minum dengan Shinobi Tsukasa, ketua kumpulan yakuza, Yamaguchi Gumi. Akhirnya, beliau meletakkan jawatannya.

Segala desas desus dan khabar angin bahawa Olimpik Tokyo mempunyai hubungan dengan operasi kumpulan ‘underworld’ terjawab apabila enam ahli kumpulan Yakuza ditahan. Keenam-enam ini ditahan atas kesalahan menjadi broker pengambilan pekerja pembinaan secara tak sah.

Pekerja yang diambil pula adalah dalam kalangan orang gelandangan di sekitar Tokyo. Oleh kerana gelandangan ini memerlukan wang, maka mereka menjadi sasaran mudah oleh broker Yakuza. Geng broker Yakuza ini tadi didakwa dibayar oleh syarikat pembinaan dengan jumlah tertentu dengan balasan mereka membekalkan sejumlah pekerja buruh setiap hari. Geng broker Yakuza ini juga telah mengambil beberapa peratus dari gaji pekerja yang mereka bawa. Gaji setiap pekerja biasanya 10 ribu yen (90 USD) sehari.

Yakuza dihalang dalam dunia sukan

Dalam beberapa kajian, ada menunjukkan pandangan umum terhadap Yakuza pernah mencecah tahap sebagai ‘kumpulan patriotik’. Ini kerana nilai dan budaya yang berakar umbi dari unsur sebenar Jepun. Di dalam dunia sukan, Yakuza nampaknya telah mengambil peluang ini untuk menerobos masuk sukan Sumo.

Ini terbukti apabila ada kejadian di mana pimpinan kumpulan-kumpulan Yakuza diberi tempat duduk hadapan dalam suatu perlawanan Sumo, didakwa sebagai balasan kerana hutang judi antara pihak tertentu dengan mereka.

Imej sukan Sumo juga semakin gelap untuk beberapa ketika apabila beberapa atlet Sumo terkait dengan mengatur perlawanan melibatkan ahli kumpulan Yakuza. Sebagai timbal balik, atlet itu akan diberikan dadah dan wanita oleh Yakuza.

Namun, pada tahun 2010 Pengerusi Persatuan Sumo Jepun, Hanerogama bertegas untuk memutuskan segala hubungan Yakuza dengan Sumo. Maka tersepitlah operasi Yakuza dalam sukan Sumo ini.

Mesej anti yakuza dalam acara sukan

Kerisauan rakyat jelata terhadap penglibatan Yakuza dalam pelbagai sektor sememangnya mendapat perhatian semua. Kempen anti-Yakuza sentiasa bergema dalam pelbagai cara. Ada yang berbentuk provokasi dan ada yang nampak lembut. Di bawah ini beberapa kejadian yang pernah berlaku:

1) Pada tahun 2009, sekumpulan orang yang membuat protes di Tokyo berjaya menghalang percubaan kumpulan Yakuza, Inagawa-kai untuk memindahkan ibu pejabat mereka dari Roppongi ke Akasaka.

2) Pada Februari 2010, sekumpulan penduduk di Wakayama mendirikan sebuah pusat anti-yakuza di pejabat bekas milik ahli kumpulan Yakuza di sana.

3) Manakala dalam dunia sukan juga ia tidak terlepas apabila sepanduk yang menyampaikan mesej anti-yakuza dipamerkan pada perlawanan pembukaan baseball.

Persoalannya, apakah pertembungan kuasa sivil dan kumpulan Yakuza ini akan menumpaskan operasi Yakuza pada masa akan datang?

SUMBER:

1) Andrew Rankin, ‘Recent Trends in Organized Crime in Japan: Yakuza vs the Police, & Foreign Crime Gangs’ Part 2,’ The Asia-Pacific Journal Vol 10, Issue 7, No 1, February 20, 2012.

2) Japanese yakuza are recruiting homeless people to build infrastructure ahead of 2020 Tokyo Olympics. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/2168090/japanese-yakuza-are-recruiting-homeless-people-build-facilities

3) Top sumo wrestler fired over illegal gambling. https://www.bbc.com/news/10503509

4) Sumo boss vows ends to Yakuza Ties. https://www.japantimes.co.jp/news/2010/08/14/national/sumo-boss-vows-end-to-yakuza-ties/#.XKBH0x4RWDY

5) Thrown open: the dark side of sumo wrestling. https://www.independent.co.uk/news/world/asia/thrown-open-the-dark-side-of-sumo-wrestling-2202618.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.