Yakuza Dalam Sepak Terajang Dunia Politik Jepun

73

Biar betul yakuza dan politik ada titik pertemuan? Ya, benar yakuza telah pun mengambil posisinya yang tersendiri dalam dunia politik negara matahari terbit itu. Bahkan, sebelum tertubuhnya yakuza, kumpulan zaman lampau yang memunculkan yakuza iaitu bakuto telah pun melibatkan diri dalam gerakan politik. Seperti artikel sebelum ini, bakuto adalah kumpulan sindiket perjudian yang paling berpengaruh di Jepun.

Sekitar tahun 1880, ahli kumpulan bakuto telah menjadi ahli dan juga kepimpinan dalam Gerakan Pembebasan dan Hak Rakyat. Itulah fasanya gerakan tersebut mencapai fasa keganasan. Pada tahun 1884, kumpulan askar dari kalangan orang miskin telah dibentuk. Ia akan menyerang sesiapa sahaja yang mereka rasakan bertanggungjawab terhadap kemiskinan yang wujud di Jepun.

Pengasas kumpulan ini sendiri adalah ahli kumpulan bakuto iaitu Tashiro Eisuke. Kejadian-kejadian di atas ini telah membuka pintu penyertaan kumpulan bakuto ke dalam dunia politik Jepun.

Yakuza dan sumbangan dana politik

Seorang menteri letak jawatan kerana hubungan dengan Yakuza. Sumber: The Daily Beast

Kebiasaannya, yakuza akan bekerja sebagai penguatkuasa bagi sesebuah parti politik. Kerjanya tak lain dan tak bukan ialah memaksa pengundi dan mendiamkan parti berhaluan kiri melalui gangguan dan serangan. Namun, paksaan secara fizikal ini tidak lagi relevan tahun demi tahun kerana pemberian wang adalah lebih berkesan.

Politik wang ini jugalah yang telah memerangkap yakuza apabila terdedahnya skandal melibat kumpulan mereka dan beberapa ahli parlimen sekitar tahun 1970. Semenjak itu, rakyat Jepun tidak akan bertolak ansur terhadap ahli parlimen yang mempunyai hubung kait dengan kumpulan yakuza.

Begitu sensitifnya hal ini di mata rakyat Jepun hingga menyebabkan perletakkan jawatan Perdana Menteri Jepun, Mori Yoshiro pada tahun 2002. Puncanya adalah kerana Mori Yoshiro menghadiri sebuah majlis perkahwinan yang turut dihadiri seorang ketua kumpulan yakuza. Sekalipun tiada unsur-unsur rasuah, namun, keberadaan Mori dalam majlis yang turut dihadiri orang besar yakuza adalah tidak molek.

Berada bersama pun sudah dianggap tidak molek, apatah lagi menerima dana dari yakuza. Dalam sejarah politik Jepun, telah dicatakan beberapa kes di mana parti-parti politik di menerima sumbangan dari sumber-sumber yang terkait dengan yakuza. Antaranya:

  1. Pemimpin Parti Baru Rakyat (Kokumin Shinto) iaitu Kamei Shizuka yang menerima 500,000 Yen dari syarikat peminjam wang terkait dengan yakuza bagi membantu kempen pilihan raya Kamei sendiri. Isu ini menjadi panas kerana Kamei Shizuka adalah bekas seorang polis.
  2. Pada tahun 2012, polis yang sedang menjalankan siasatan ke atas seorang ahli perniagaan yang terkait dengan yakuza mendapati, ahli perniagaan tadi pernah memberi sumbangan sejumlah 1.5 juta Yen kepada pejabat Perdana Menteri, Noda Yoshihiko. Pendedahan ini telah menyebabkan Noda Yoshihiko mengembalikan semula wang diterima ini atas alasan etika

Skandal politik ini juga bukanlah sekadar melibatkan wang sahaja. Ia juga melibatkan ahli politik bermandi darah kerana hubungan dengan yakuza.

Serangan ganas terhadap ahli politik masih berlaku

Saat-saat serangan yakuza terhadap ahli politik. Sumber: The Economist

Walaupun akta dan peraturan semakin ketat terhadap pergerakan ahli yakuza, namun, ada beberapa kes serangan yang berlaku ke atas ahli politik dilakukan ahli kumpulan yakuza. Pada tahun 2000, seorang ahli perniagaan telah mengupah beberapa orang gangster untuk mengebom rumah Perdana Menteri, Abe Shinzo.  Kejadian ini telah berlaku beberapa kali.

Terdapat beberapa serangan yang akhirnya membunuh ahli politik yang disasarkan. Contohnya, pada April 2007 apabila Datuk Bandar Nagasaki, Ito Iccho yang telah mati ditembak sekumpulan gangster. Pembunuhan ini dilaporkan kerana ketidakpuasan hati sebuah firma pembinaan yang tidak mendapat projek setelah memberi dana politik untuk kempen pilihan raya Ito Iccho.

Tidak lupa juga kejadian seorang gangster di Ibaraki yang memandu sebuah treler berpeti sejuk lalu merempuh pejabat perhimpunan pilihanraya tempatan yang meragut nyawa seorang ahlinya. Kejadian-kejadian ini sekaligus membuktikan bahawa laporan mengenai tiadanya pengaruh politik kumpulan yakuza seratus peratus pada abad ke-21 adalah tidak tepat sama sekali.

Walaupun, pengaruh yakuza dalam dunia politik lebih tertumpu kepada pelobi dan pemberi dana, masih ada adat tradisi yakuza yang diterima pakai dalam banyak parti politik dan struktur organisasi lain di Jepun.

Pengaruh tradisi yakuza dalam parti politik dan organisasi di Jepun

Sumber: Los Santos Roleplay

Dalam struktur organisasi yakuza, mereka mengamalkan konsep kesetiaan bagai seorang bapa dan anak kandungnya sendiri. Konsep ini dipanggil sebagai Oyabun dan Kobun. Di mana Oyabun membawa makna seorang ayah yang sentiasa memberi nasihat, perlindungan dan bantuan kepada anak-anak kecilnya. Sebagai timbal balas, anak-anak kecil ini tadi akan menumpahkan taat setia serta berkhidmat kepada ayahnya. Ini dipanggil sebabagi Kobun.

Oyabun sebagai ketua yakuza, manakala Kobun adalah ahli-ahli bawahannya. Kobun akan menempuhi cabaran yang panjang serta ekstrem untuk menunjukkan taat setianya sehingga ke tahap sanggup melakukan pembunuhan dan membunuh diri sendiri atas nama Oyabun.

Tidak syak lagi, sistem Oyabun dan Kobun boleh dilihat dalam parti-parti politik di Jepun. Sekali pun, dalam parti politik ia tidaklah tinggi kesetiaanya berbanding kumpulan yakuza, namun, mereka mengambil semangat konsep tradisi yakuza ini.

Sumber:

1) Andrew Rankin. (2012). 21st Century Yakuza: Recent Trends in Organized Crime in Japan-Part 1. The Asia-Pacific Journal.
2) Kristinn Árnason. (2014). History Of The Yakuza. Sigillum Universitatis Islandiae.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.