Yahudi Vs Zionis

0
3942
views

Setiap kali timbul isu Israel dan Palestin, mesti anda akan nampak kumpulan pakcik-pakcik Yahudi berjanggut bertocang seperti ini membuat protes terhadap kekejaman Israel malah kewujudan Israel itu sendiri.

Yahudi ini adalah Yahudi Ortodoks yang terdiri daripada kumpulan Haredim dan Hasidim. Mereka adalah Yahudi yang konservatif dan kadang-kadang digelar sebagai Yahudi ortodoks ultra (“Ultra-Orthodox Jews”) untuk membezakan mereka daripada penganut ortodoks moden (“Modern Orthodox Judaism”) yang merupakan agama rasmi Israel.

Mengapa mereka membantah kewujudan Israel sekiranya kewujudan Israel dikatakan mempunyai asas dalam agama Yahudi (Judaism)?

Ini kerana Zionisme (ideologi yang mengatakan orang Yahudi perlu kembali ke Palestin dan mendirikan negara) adalah lebih kepada sebuah gerakan nasionalis sekular (“secular nationalism”) yang mempunyai asal usul dalam “Haskalah” atau “Jewish Enlightenment” yang dipelopori oleh Yahudi Ashkenazi di Jerman pada abad ke-19.

Sebelum wujudnya negara Israel, Yahudi yang bertebaran di Eropah dan Asia Barat terbahagi kepada kumpulan “Ashkenazim” (menetap di Eropah Timur termasuk Jerman, Rusia, Poland), “Sephardim” (menetap di Sepanyol dan kawasan Mediterranean) dan “Mizrahim” (menetap di kalangan orang Arab, perkataan “Mizrah” berasal daripada perkataan “Mashriq”).

Ashkenazim terkesan dengan gerakan “Enlightenment” di Eropah yang melahirkan pemikiran sekularisme dan rasionalisme, maka mereka pun melancarkan Enlightenment tersendiri yang bernama Haskalah. Antara idea progresif yang lahir daripada Haskalah ialah “Proto-Zionism” iaitu untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Yahudi demi membebaskan kaum Yahudi daripada diskriminasi dan penindasan. Mereka berpendapat bahawa nasib kaum Yahudi boleh diubah tanpa menunggu kedatangan al-Masih (“Messiah”) yang dijanjikan dalam Torah/Old Testament/Taurat.

Proto-Zionism ini dipelopori oleh rabbi modenis yang berfikiran progresif seperti Yehuda Alkalai (1798-1878) dan Zvi Hirsch Kalischer (1795-1874), dan juga pemikir humanis sekular seperti Moses Hess (1812-1875), Peretz Smolenskin (1842-1885) dan Ahad Ha-Am (1856-1927). Namun idea mereka disanggah oleh rabbi yang lebih konservatif daripada kalangan Haredim dan Hasidim.

Mereka melihat Zionisme sebagai sesat kerana menurut tafsiran mereka, Yahudi hanya boleh kembali ke tanah Israel (“Eretz Israel”) dan “Zion” (tempat suci di Jerusalem) dengan kehendak Tuhan. Percubaan untuk mempercepatkan proses tersebut umpama melawan takdir. Dan mereka juga berpendapat Yahudi wajib mentaati penguasa duniawi dan tidak patut berhijrah.

Waqaf Saham

Pengasas World Zionist Organization, Theodor Herzl (1860-1904) adalah seorang sekular. Pendukung awal Zionisme seperti Albert Einstein juga seorang sekular ateis. Walaupun mereka sekular, mereka sehaluan dengan rabbi modenis dalam isu mengubah nasib Yahudi melalui projek nasionalisme. Kerana mereka sekular maka mereka tak perlu peduli hukum-hakam ortodoks.

Mula-mula mereka terima cadangan British untuk bernegara di Afrika Timur sekitar Uganda, namun mereka berjaya memujuk British untuk membenarkan mereka berhijrah ke Palestin di bawah penjagaan British dari tahun 1922-1948 melalui Deklarasi Balfour 1917 (tapi sebenarnya Zionis pun kena game dengan British, itu cerita lain kali).

Zionis bertambah “sesat” dengan kemunculan ideologi “Revisionist Zionism” atau “Neo-Zionism” yang dipelopori Vladimir Jabotinsky (1880-1940), pejuang Zionis bersifat militan. Anak muridnya Menachem Begin mengasaskan parti Likud yang menamatkan dominasi Parti Buruh (Labour) dalam politik Israel pada tahun 1977. Sementara Labour lebih toleran dan terbuka kepada “Two-State Solution”, Likud lebih jumud dan menolak hak kewujudan Palestin. Netanyahu adalah pemimpin Likud. Now you understand why.

Untuk melawan Labour yang sekular, Likud menggunakan retorik dan simbol agama. Likud berjaya meraih undi daripada golongan Mizrahim yang lebih kuat beragama berbanding Ashkenazim dan lebih memusuhi Arab dan Muslim berbanding Sephardim. Ashkenazim memandang rendah kepada Mizrahim dan memanggil mereka sebagai pencium “mezuzah”, iaitu sejenis azimat yang digunakan oleh Yahudi semasa beribadah.

Sepertimana ISIS/Daesh menyalahguna Islam dengan “cherrypicking” ayat-ayat Qur’an dan hadis serta simbol-simbol akhir zaman seperti panji hitam dan Dabiq, begitu juga Likud menunggang Judaism dengan mengaitkan perjuangan mereka dengan pembinaan “Third Temple” dan sebagainya. Walaupun menurut pandangan Haredim dan Hasidim, Third Temple tidak boleh dibina menerusi tangan manusia.

Haredim dan Hasidim membantah dasar Zionis kerana mereka melihat Zionisme telah memburukkan nama Yahudi dan membuat Yahudi semakin dibenci. Yang lebih parah, puak Likud dan Neo-Zionis menukar Zionisme daripada “secular nationalism” kepada “religious nationalism”. Namun Neo-Zionism berjaya menarik simpati golongan Kristian fundamentalis di US (fenomena yang dikenali sebagai “Christian Zionism”), dan ia menyumbang kepada dasar US mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Jadi munculnya fenomena yang menarik di mana ada orang bukan Yahudi menyokong Zionisme dan ada orang Yahudi ortodoks dan sekular yang membantah Zionisme.

Jadi, tak perlu pening kepala fikir perlu atau tidak untuk memboikot Facebook dan Starbucks. Sekiranya tiada bukti menunjukkan pemilik perniagaan-perniagaan tersebut terlibat dalam gerakan Zionisme, maka tak perlu boikot hanya kerana mereka itu Yahudi. Bukan semua Yahudi itu Zionis, dan bukan semua Zionis itu Yahudi.

(untuk memahami istilah-istilah “Israelites”, “Jews” dan “Judaism”, sila rujuk tulisan saya yang lepas di https://www.thepatriots.asia/israelites-jews-judaism/)

Bacaan Lanjut:
(1) Julius Schoeps, (2013). Pioneers of Zionism: Hess, Pinsker, Rülf: Messianism, Settlement Policy, and the Israeli-Palestinian Conflict.
(2) Alain Dieckhoff. (2003). The Invention of a Nation: Zionist Thought and the Making of Modern Israel.
(3) Shmuel Almog et al. Eds. (1998). Zionism and Religion.
(4) Colin Shindler. (1995). The Land Beyond Promise: Israel, Likud, and the Zionist Dream.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.