Yahudi. Perang Dunia Pertama. Teori Konspirasi.

0
1041
views

Secara umumnya, dunia fizik terbahagi kepada dua. Pertama adalah ‘experimental physics’ yang berpaksikan hasil kerja daripada Copernicus, Kepler, dan Newton. Cabang kedua merupakan ‘therotical physics’ yang berfokus terhadap teori yang tidak diuji secara eksperimen dan data.

Phillip Lenard (1862-1947) merupakan seorang ‘experimental physicist’ yang terkenal dengan kajian ke atas tiub X-ray, Kesan Fotoelektrik, dan Teori Atomik. Beliau menerima Hadiah Nobel pada tahun 1905 hasil daripada kajiannya ke atas Sinar Katod.

Albert Einstein (1879-1955) pula adalah seorang ‘theoretical physicist’ yang mengembangkan Teori Relativiti Istimewa, Teori Relativiti Umum, dan persamaan yang paling terkenal dalam dunia fizik – E=mc^2.

Pada zaman itu, di negara Jerman, hierarki seorang ‘experimental physicist’ adalah lebih tinggi atau ‘superior’ berbanding seorang ‘theoretical physicist’. Ibarat profesor dengan pembantu makmal.

Lenard, seorang Jerman tulen mula terpengaruh dengan gelombang nasionalisme Jerman yang muncul ketika era Perang Dunia Pertama.

Entah bagaimana beliau merasakan kewujudan satu ilmu fizik khas untuk bangsa Jerman yang perlu dilindungi daripada diplagiat, dicuri, atau digunakan bangsa asing.

Waqaf Saham

Lenard menjadi semakin anti-Semitik dalam penulisan dan ucapan beliau hingga menuduh akhbar Yahudi sengaja mempromosi hasil kerja Einstein. Beliau menganggap hasil kerja Einstein mengenai Relativiti adalah bahaya, menyimpang, dan tidak berlandaskan Sains. Amat tidak logik sekali bagi Lenard apabila Einstein menyebut:

“Lima minit di Bumi adalah tidak sama dengan lima minit di Bulan.”

Pada 1920, setahun sebelum Einstein menerima Hadiah Nobel, ‘perang mulut’ antara dua jaguh fizik ini meletus di Persidangan Penyelidikan Jerman. Lenard berhujah pendekatan ‘hyper-theoretical’ dan ‘hyper-mathematical’ Einstein adalah tidak berasas dan akan memberi kesan buruk dalam bidang fizik. Bagi beliau data dan keputusan eksperimen adalah segalanya untuk menerangkan sesuatu fenomena.

Akhirnya Lenard seakan-akan mewujudkan satu Teori Konspirasi dimana ‘Orang atau Semangat Yahudi’ telah cuba untuk mengawal ilmu fizik dan mempengaruhi bangsa lain. Menurut beliau, Einstein mendapat ilham Teori Relativiti daripada Kitab Taurat atau mungkin sekali bisikan syaitan.

Usaha Lenard dan gerakan anti-Semitik telah berjaya mengusir bukan sahaja Einstein, malah hampir kesemua Saintis Yahudi dari Jerman. Einstein berhijrah ke Amerika dan menetap di Princeton.

Pada musim panas 1939, Einstein telah dipujuk oleh rakannya untuk menyokong dan membentangkan potensi ‘uncontrolled fission chain reaction’ dalam bidang ketenteraan. Sokongan Einstein amat penting untuk dibawa kepada Presiden Franklin D. Roosevelt.

Disamping itu, seorang pegawai tentera Amerika turut berjaya mempengaruhi Einstein bahawa Nazi sangat hampir dalam penciptaan bom atom. Akhirnya Projek Manhattan dimulakan dan kemudian gugurlah 2 bom atom di Jepun.