XPDC – Band Yang Paling Tak Dihargai

15,766

XPDC satu band yang kau tak akan dapat cari ganti, satu band muzik yang diaras tersendiri. Metal adalah sound asas XPDC, buat lah lagu apa pun sound riff Metal tetap wujud dalam lagu XPDC. Pernah digelar sebagai Metallica Malaysia kerana orang dengar riff gitar mereka secara kasar kedengaran sama macam Metallica.

Tapi bagi aku XPDC pegang satu cabang Metal iaitu Metal Rakyat. Lama sebelum Loque atau Monoloque berpegang dengan sound Nusantara dan Rakyat, XPDC telah meneroka Metal dengan roh Rakyat. Kau pergilah dengar dan baca lirik lagu mereka, sumpah lagu-lagu mereka sebenarnya berjiwa marhaen.

Meninggalkan jauh band-band rock dengan formula rock kapak yang komersil seperti Mega, Bloodshed, CRK dan lain-lain. XPDC dengan sound Metal, lirik yang tak leweh dan lagu yang bukan jenis merayu-rayu kepada kekasih hati. XPDC pun main lagu jiwang dan cinta, tapi lagu mereka lebih kepada luahan seorang lelaki terhadap kekecewaan, bukannya lagu pujuk rayu kepada seorang perempuan.

Itu beza XPDC dengan band yang ada masa tu. Lagu Nafisa misalnya, juga menceritakan pasal kenangan seorang lelaki terhadap kekasih hati, tapi dengan jiwa yang rebellious. Luahan perasaan yang berprinsip dengan sound Metal yang senang ditelinga lokal.

Arwah JS Kevin terutamanya, dengan penggunaan kata yang agak moden tapi masih lagi puitis. Lagu Hijau Bumi Tuhan contohnya, satu lagu yang tak ada perkataan yang berunsur sastera.

Salam diberi insan di bumi,
Itu nikmat hari-hari ini,
Tegur dan sapa senyum ketawa,
Itu tanda kita riang-riang,
Abadikan keindahan ini,

Apa yang istimewa dengan lagu-lagu ciptaan JS Kevin ini ialah, dia pandai menyesuaikan perkataan dengan sound. Pemilihan perkataan JS Kevin ini dinamakan sebagai “Rima” dalam bahasa arab, iaitu satu jenis seni penyampaian syair atau lagu. Dia tahu memilih satu-satu perkataan itu untuk sesuai dengan bunyi gitar dan akhirnya vokal Mael kedengaran seperti sebahagian dari sound, walaupun suara Mael bukanlah padu sangat.

Hijau Bumi Tuhan adalah satu contoh seni “Rima” yang kau boleh dengar dan hayati salah satu cabang seni. Album Kita Peng-Yu dan album Brutal adalah karya yang kau boleh teroka dan faham apa itu XPDC dan kenapa muzik mereka mendapat tempat dihati remaja masa itu.

XPDC, walaupun punya pengaruh dikalangan anak muda, dengan jualan album yang ratus ribu salinan, pada aku masih lagi satu band yang tak dihargai industri. Kau tengok sajalah, mana anugerah meraka menang dalam Anugerah Industri Muzik ke Juara Lagu ke. Paling kuat mereka tercalon sebagai top 5. Album Brutal terjual 500 ribu copy, 4 kali anugerah platinum, Hujan Masdo boleh buat?

Kau tengok lagi kalau dekat anugerah mana-mana orang nak buat persembahan selingan atau tribute, mereka cuma ada dua je dalam kepala otak Rock Kapak atau Pop Yeh Yeh. Susahlah mereka nak buat satu persembahan tribute untuk XPDC walau hanya satu lagu, paling tidak pun budak-budak realiti TV bawa lagu XPDC masa pertandingan, tak ada. Sebab apa, sebab XPDC ini dilihat dari penampilan dan gaya hidup Mael dan Izo yang tak berapa cantik. Menilai satu band muzik dengan cara hidup mereka bukan dengan buah tangan mereka.

Sudah menjadi kebiasaan orang industri cuma mahu lihat benda cantik luaran, jadi peminat muzik mainstream cuma tahu sebut Wings dan Search. Hanya yang betul-betul tahu pasal muzik yang mengunci XPDC dalam kamus muzik mereka. XPDC ini salah satu contoh mangsa kepada diskriminasi industri.

Lagu sedap, ada sound tersendiri yang orang lain tak boleh tiru, lirik bagus, sepatutnya XPDC ini menjadi contoh kepada band-band post rock kapak meneliti bunyi dan lirik mereka. Ia juga harus menjadi satu benchmark kepada industri atau scene rock.

Mana lagi kau nak cari satu band yang konsisten dengan sound Metal berjiwa rakyat dan bahasa Marhaen, benda ini cuma ada dalam XPDC, JS Kevin dan Loloq. XPDC band paling tak dihargai industri, tapi sayangi peminat muzik.

Artikel tulisan Niv AR untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.