Sesetengah spesies perlu melakukannya secara berpasangan. Ada pula yang mampu melakukannya tanpa mengetahui pembabitan pihak lain yang terlibat. Dan ada yang boleh melakukannya sendiri. Yang pasti, keupayaan hidupan mikro menghasilkan pereplikaan yang bersifat pelbagai merupakan satu lagi tanda kebesaran Allah s.w.t.

Dan komuniti saintifik percaya keupayaan ini berjaya ditiru pada robot bernyawa atau xenobot. Xenobot ialah hidupan sintetik yang diambil daripada beberapa ribu sel embrio katak sebelum disusun membentuk kluster yang bersaiz 1 mm. Ia tidak mempunyai sistem penghadaman atau sistem saraf dan mu.sn.ah selepas tempoh dua minggu.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, xenobot telah menunjukkan hasil yang mengejutkan. Pertama, ia masih mengekalkan bentuk yang diarahkan dalam eksperimen. Kedua, ia tidak mempunyai rupa atau tingkah laku sama seperti katak biasa. Salah satu aspek yang dikatakan berbeza ialah aspek pembiakan.

Menurut salah seorang penulis kajian, Profesor Josh Bongard dari Universiti Vermont, mana-mana hidupan yang menghasilkan salinan dirinya boleh melakukan proses pereplikaan. Cuma dalam konteks tumbuhan dan haiwan, proses ini hanya boleh dibuat menerusi pembiakan – mekanisme yang terdiri daripada penunasan hinggalah bertelur dan melahirkan anak. Tetapi untuk xenobot, ia menggunakan proses pereplikaan kinematik – proses yang selalunya dilakukan oleh molekul dan bukan organisma.

Advertisements

Perkara ini disedari oleh para saintis dengan memerhatikan tindak-tanduk xenobot dalam piring-piring petri yang mengandungi air kolam dan sel bebas daripada embrio katak. Mereka perasan xenobot bergerak mengikut corak skru gabus dan melanggar sel-sel bebas lain di mana ia ditolak untuk membentuk himpunan sel.

Apabila sel-sel ini saling melekat, mereka boleh mereplikakan diri mereka dalam bentuk kluster baru dan bergerak untuk tempoh lima hari. Tetapi ia hanya boleh direalisasikan sekiranya saiz kluster xenobot itu besar. Selain itu, xenobot hanya boleh membuat proses pereplikaan sekali saja. Ini kerana generasi kedua xenobot terlalu lemah untuk menghasilkan generasi seterusnya.

Tetapi isu ini boleh diatasi dengan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan. Xenobot boleh diarah mengikut bentuk tertentu di mana ia membantu melancarkan proses pereplikaan xenobot.

Terdapat banyak aplikasi yang boleh digunakan untuk xenobot. Salah satu aplikasi yang dilihat pasukan kajian ini ialah membaiki litar-litar elektrik. Xenobot juga boleh diaplikasikan sebagai pengutip plastik mikro dalam air. Tetapi Bongard percaya untuk jangka masa panjang, ia boleh digunakan sebagai asas biobot untuk mengubati penyakit atau merawat organ-organ badan.

RUJUKAN

Davis, N. (2021, 29 November). ‘Amazing science’: researchers find xenobots can give rise to offspring. The Guardian.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.