Wujudnya Batuan Sungai Yang Tersusun Sendiri

530

https://bit.ky/kombowww

Di air terjun Sungai Balung atau Sungai Giram, berdekatan perkampungan Balung Cocos yang terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Tawau, Sabah, terdapat batu-batuan yang berbentuk poligon menegak.

Batu itu seolah-olah bersusun, di mana batu setebal 20 hingga 30 centimeter yang mempunyai permukaan rata bertindih antara satu sama lain membentuk batuan menegak. Permukaan batuan tersebut juga pelbagai, dari bersegi empat hingga bersegi enam. Kerana keadaan batuan aneh itu, para penduduk kampung memanggilnya ‘Batu Bersusun’.

Dengan keanehan batu-batuan menegak itu pasti kita fikirkan bahawa ini pasti kerja manusia dari tamadun purba yang membina batu-batuan tersebut, kemudian menyusun di tepi air terjun untuk kegunaan mereka.

Namun benarkah pernyataan ini?

Fenomena unik batu-batuan air terjun ini menarik perhatian seorang pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan & Inovasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Felix Tongkul. Beliau mempunyai hujah tersendiri bagaimana batu bersusun itu wujud. Batu-batuan bersusun itu sebenarnya bukan buatan manusia.

Ia sebenarnya terbentuk semula jadi di mana ia membentuk sejak berpuluh ribuan tahun dulu. Pada 27,000 tahun dulu, Gunung Maria iaitu antara gunung tertinggi di Taman Bukit Tawau pada masa itu sangat aktif.

Taburan gunung dan batuan volkano (hitam) di Tawau-Semporna.

Semasa letusan gunung itu berlaku, berlaku penyejukan aliran lava yang teramat cepat sehingga membentuk batuan basalt yang menegak. Kemudian, retakan berlaku sehingga permukaan batu meretak menjadi pelbagai bentuk bersegi.

Tambahan Profesor Dr. Felix lagi, tenggara Sabah pada jutaan tahun dulu berlakunya pergerakan plat. Kesan dari pergerakan plat itu berlaku aktiviti volkano yang rancak sehingga terbentuknya batu-batuan volkanik, antaranya adalah batu andesit, dasit, dan basalt.
Maka, batu bersusun di air terjun Sungai Balung Cocos itu adalah bukti penyejukan cepat aliran lava dari letusan Gunung Maria. Sekarang, Gunung Maria jadi ‘gunung mati’, tidak lagi menghasilkan letusan gunung berapi. Air terjun Sungai Balung Cocos juga menjadi tapak tumpuan para penyelidik yang mengkaji peryejukan batu volkanik dan proses pembentukan sungai.

Telah ramai pelancong tempatan dan luar negara pergi melawat dan berekreasi di air terjun tersebut. Buat masa ini, air terjun itu tengah diusahakan bagi menjadi kawasan ekopelancongan. Cuma pergi ke perkampungan Balung Cocos dan masuk ke pedalaman sikit, kita akan temui air terjun dengan batu bersusun itu.

Fenomena batu bersusun ini juga wujud di Ireland, Eropah. Terdapat 40,000 buah batuan basalt menegak saling bersambung dan berdiri di sepanjang persisiran pantai timur laut Ireland Utara. Nama batuan tersebut adalah ‘Giant Causeway’ dan ia terbentuk akibat aktiviti volkano padajutaan tahun. Kini, barisan batuan basalt itu menjadi warisan UNESCO sejak tahun 1986.

Batuan tersusun yang terdapat di Ireland Utara

RUJUKAN:

Rosminah, H.B. (2010). Batu Bersusun Sendiri. Majalah Infiniti Bil 15. pp. 20-23.
Geology of Taman Bukit Tawau, Semporna Peninsula, Sabah. Pdf: https://gsmpubl.files.wordpress.com/2014/09/bgsm1992008.pdf
Comments

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.