Tidak banyak sejarah yang memiliki daya tarikan yang jauh lebih menarik berbanding sejarah Cina. Sejarahnya penuh dengan ciri budaya yang unik, mitologi yang berwarna-warni lagi misteri, dan antara ciri yang paling menarik, pergelutan kuasa yang tidak henti. Kisah yang akan kita sentuh pada hari ini adalah salah satu kisah yang paling menarik dalam sejarah Cina, melibatkan Wu Zetan – maharaja wanita pertama dan terakhir yang menduduki takhta Cina. Satu-satunya maharani yang berkuasa.

Dengan memiliki biografi yang diperkirakan antara yang paling sukar dan kejam, Wu Zetian terus menggamit perhatian sejarahwan sehingga ke hari ini. Tidak berputus asa pada halangan semacam apapun semata-mata mahu mencapai matlamat dan memenuhi impiannya, wanita ini memenuhkan hayatnya dengan satu perkara utama – rasa dahaga yang tidak lekang untuk meraih kuasa dan pengaruh di istana Cina. Hayat dan pemerintahannya ditakdirkan untuk membentuk semula sejarah Cina dan mencipta semula piawai kemasyarakatan mereka. Impiannya ini adalah ciri penting yang menjadikan kisah hidupnya begitu unik.

Maharani Cina Wu Zetian

BUKAN HANYA SEORANG GUNDIK – KEHIDUPAN AWAL WU ZETIAN

Pada 17 Februari 624, Wu Zao dilahirkan sama ada di Lizhou atau Wnshui, Cina – sebagai puteri bagi sebuah keluarga bangsawan lagi kaya. Bapanya, Wu Shiyue memperoleh kekayaannya menerusi perniagaan kayu balak. Kekayaannya terus bertambah, namun prestijnya tidak pernah mencapai pengaruh yang cukup besar. Ibunya juga merupakan anggota keluarga yang agak berkuasa pada masa itu, iaitu keluarga Yang.

Pada usia kanak-kanaknya, dengan pengaruh yang dimiliki oleh kedua orang tuanya, Wu Zhao sebagaimana beliau dikenali pada waktu itu, dilorongkan ke sebuah takdir yang besar. Hubungan ibu bapanya yang baik dengan Li Yuan, seorang gabenor dan bakal canselor agung, seterusnya Maharaja Dinasti Tang melicinkan lagi perjalanan takdir tersebut.

Li Yuan melanjutkan episod hidupnya dengan menggulingkan maharaja yang berkuasa pada waktu itu dan menaikkan seorang pemerintah boneka. Secara bertahap tetapi pasti, beliau turut menghapuskan kuasa maharaja itu juga. Sepanjang tempoh tersebut, beliau kekal menjalinkan hubungan yang mesra dengan keluarga Wu Zhao.

Semenjak kanak-kanak, Wu Zhao sangat pandai membaca dan menerima pendidikan yang agak baik, sesuai dengan statusnya sebagai seorang puteri bagi sebuah keluarga yang kaya. Beliau terbukti sebagai seorang gadis yang cerdik, mahir dalam seni dan sastera, dan meraih sokongan yang meluas daripada rakan-rakan seusianya.

Wu Zetian sebagai seorang gadis

Pada usia 14 tahun, Wu Zhao dihantar ke istana diraja di mana beliau berkhidmat sebagai gundik diraja bagi Maharaja Taizong. Menjadi seorang gundik membawa maksud menjadi ‘isteri rendahan’ maharaja. Justeru, Wu menikm4ti banyak kelebihan dan beliau mengambil peluang untuk melanjutkan pendidikan dengan lebih tinggi dan meningkatkan kedudukannya sebagai cairen, iaitu tingkat kelima dari keseluruhan sembilan tingkat di dalam strata sosial istana diraja Cina.

WU ZETIAN MEMANJAT TANGGA KUASA

Maharaja Taizong memiliki 14 orang anak dan Wu Zetian menjalinkan hubungan dengan putera kesembilannya, Li Zhi yang secara kebetulan menjadi maharaja yang seterusnya, iaitu Maharaja Gaozong. Semasa pemerintahannya, Wu menjadi seorang Zhaoyi, iaitu gundik berkedudukan tertinggi bagi tingkat jiupin, tingkat kedua dalam strata sosial istana yang kadangkala turut disebut sebagai ‘Sembilan Gundik’.

 

Maharaja Gaozong – semasa pemerintahannya, Wu Zetian menjadi gundik berkedudukan tertinggi

Tingkat yang dikecapinya ini menjadi tiket untuk meraih kedudukan yang lebih berpengaruh, dan beliau semakin meluaskan pengaruhnya di dalam istana Maharaja Taizong yang pada akhirnya beliau secara efektif berupaya memberikan keputusan dalam hal-hal penting. Beliau juga tidak henti-henti dari cuba meraih kuasa dan pengaruh yang lebih tinggi.

Beliau kemudiannya menjadi gundik kesayangan maharaja dan pada tahun 652M, beliau melahirkan putera pertamanya, diikuti oleh putera kedua pada tahun selanjutnya. Pada tahun 654M, beliau melahirkan seorang puteri yang beliau sendiri membvnuhnya dengan mencekiknya sehingga m4ti. Hal ini dilakukan demi memerangkap seterunya – Permaisuri Wang. Tindakannya itu mengisyaratkan betapa mendalamnya impian yang beliau miliki. Namun, sama ada peristiwa tersebut benar-benar berlaku ataupun tidak masih lagi menjadi bahan perdebatan dalam kalangan sejarahwan.

Dalam kecamuk pergelutan kuasa itu, Wu berupaya memainkan peranan di dalam melucutkan kedudukan Permaisuri Wang dan beliau sendiri kemudiannya dilantik menjadi permaisuri baru (huanghou) bagi Maharaja Gaozong. Setelah itu, beliau memerintahkan agar Permaisuri Wang dibvnuh, sekaligus secara muktamad menghapuskan salah seorang seteru terkuatnya. Hal ini, dan banyak lagi episod pembvnuhan yang menimpa orang-orang yang menentangnya, meraihkan beliau reputasi yang digeruni secara meluas terutama di zaman pemerintahannya kelak.

Ketika maharaja mangkat pada tahun 683M, Wu ditabalkan sebagai huangtaihou atau maharani balu dan pemangku kepada maharaja baru, iaitu puteranya Li Zhe yang menggunakan gelaran Maharaja Zhongzhong. Namun, Maharaja Zhongzhong masih belum berada sepenuhnya di bawah pengaruh Wu ketika itu lantaran baginda melantik isterinya sendiri sebagai permaisuri dan mengusulkan perintah untuk melantik bapa permaisuri (mertuanya) sebagai pegawai tinggi. Rancangan ini sampai ke pengetahuan Wu Zetian menerusi rangkaian polis, pemaklum dan perisik rahsianya. Beliau kemudiannya mengeluarkan perintah agar maharaja diturunkan dan merendahkan kedudukannya menjadi putera buangan.

IMPIAN SEORANG WANITA BESI

Pegawai-pegawai lain yang setia kepada maharaja juga turut dibuang, atau bahkan dihukum bvnuh. Wu Zetian kemudiannya menaikkan putera bongsunya, Li Dan sebagai Maharaja Ruizong. Namun, Li Dan hanya menyandang gelaran semata-mata memandangkan ibundanya menguasai segala aspek pemerintahan. Lantaran itu, berkemungkinan besar di bawah desakan ibundanya, Maharaja Ruizong menyerahkan takhta kepada Wu Zetian pada tahun 690M, menamakannya sebagai huangdi – pemerintah atau maharani sebenar yang tempoh pemerintahannya dikenali sebagai Wu-Zhou.

Wu Zetian menaikkan putera bongsunya, Li Dan sebagai Maharaja Ruizong

Keadaan ini dianggap sebagai kemuncak bagi episod pergelutan politik yang dihadapi oleh Wu Zetian selama bertahun-tahun. Seorang wanita berkuasa sebagai maharani adalah suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Cina.

Bagi kebanyakan pihak, keadaan ini melanggar hokum manusia dan tuhan. Lantaran itu, Wu Zetian menghadapi tentangan secara bertubi-tubi, yang kesemuanya itu beliau depani dengan tegas dan sama sekali tidak berganjak daripada impiannya. Kebanyakan penentangan tersebut beliau hadapi dengan meletakkan orang-orang kepercayaannya yang berkemahiran menduduki jawatan-jawatan pentin dalam kerajaan sekaligus mengukuhkan lagi pemerintahannya. Langkah ini dipuji secara meluas pada kurun-kurun mendatang.

Salah sebuah pembangunan penting yang dilakukannya sebagai seorang maharani adalah pembangunan yang berkait dengan agama negara. Beliau menjadikan Buddhisme sebagai agama rasmi, menaikkan statusnya jauh melebihi Taoisme. Beliau turut mengarahkan pembinaan sejumlah besar kuil. Dalam tempoh dua tahun pemerintahannya, beliau mengarahkan pelancaran serangan ke atas Empayar Tibet dan pasukan tenteranya itu berjaya menakluk semula empat buah kubu penting di wilayah barat empayarnya. Kejayaan ini dianggap suatu pencapaian penting Wu Zetian.

Wu Zetian menaikkan putera bongsunya, Li Dan sebagai Maharaja Ruizong

Kemenangan ini kemudiannya dibayangi oleh sejumlah kekalahan yang dialami oleh pasukan tenteranya. Kekalahan pertama dialami pada musim bunga tahun 696M, apabila dua orang panglimanya ditewaskan oleh pasukan tentera Tibet. Pada musim panas tahun sama, beliau terpaksa menghadapi pemberontakan kaum nomad Khitan di Wilayah Ying.

Pemberontakan ini berkembang menjadi suatu permasalahan serius dan berpanjangan selama bertahun-tahun. Pada tempoh awal pemberontakan ini, pasukan tentera diraja mengalami kekalahan demi kekalahan di samping mereka terus menerima serangan daripada kaum Khitan. Permasalahan ini akhirnya terhenti berikutan tumbangnya pasukan tentera Khitan dan kem4tian ketua mereka.

Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan Wu Zetian, Empayar Cina mengalami perluasan kuasa yang cukup besar sehingga ke Asia Tengah dan semenanjung Korea. Pemerintahannya tidak sekadar tertumpu pada elemen kegerunan rakyat – beliau juga bertanggungjawab dalam mewujudkan peperiksaan khidmat sivil dan menjadikannya sebagai suatu perkara penting dalam perlantikan pegawai kerajaan.

Hal ini dapat membantu dalam memastikan hanya individu berbakat dan berkemahiran tinggi sahaja menjawat kedudukan penting. Keadaan ini serba sedikit meraihkan Wu Zetian sokongan daripada rakyat awam – memandangkan kewujudan sistem peperiksaan tersebut membolehkan mereka yang datang daripada hampir setiap kasta untuk meminta jawatan dalam kerajaan.

Wu Zetian juga memainkan peranan penting dalam mereka-semula beberapa aspek tertentu dalam hal kemasyarakatan (sosiologi) Cina – beliau mengubah hubungan antara negara dan Taosime, Buddhisme, sastera dan pendidikan. Beliau turut mengarang sejumlah puisi dan mendanai kerja-kerja seni seperti penghasilan patung-patung di Gua-Gua Longmen yang dianggap sebagai salah satu contoh seni Cina-Buddhist yang paling mengagumkan di samping Stele Tanpa Kata di Permakaman Qianling.

AKHIR PEMERINTAHAN DAN KEMANGKATAN WU ZETIAN

Dalam tempoh pertengahan pemerintahannya, Wu Zetian menjalinkan hubungan yang sangat rapat dengan dua orang pegawai pentingnya – iaitu Zhang Yizhi dan saudaranya, Zhang Changzong. Mereka berdua menjadi kekasih maharani dan dalam tempoh tersebut, meraih banyak kemuliaan termasuklah gelaran pangeran. Dua orang bersaudara ini kemudiannya memainkan peranan signifikan dalam peringkat terkahir kehidupan dan pemerintahan Wu Zetian.

Pada suatu tempoh masa antara 700M dan tahun-tahun seterusnya, ketika Wu Zetian berusia 75 tahun, dua orang bersaudara itu menguruskan banyak hal-ehwal penting empayar sehingga perkara tersebut mengundang kemarahan ramai pegawai utama istana.

 

Wu Zetian menjadikan Buddhisme sebagai agama rasmi

Pada tahun 705M, maharani Wu Zetian yang telah pun lanjut usianya jatuh gering dan menitahkan agar tiada siapa dibenarkan memasuki kediamannya kecuali dua orang bersaudara itu. Hal ini menjadi faktor utama yang mendorong para pegawai lain mengesyaki bahawa dua orang bersaudara itu berkomplot mahu merampas takhta demi kepentingan peribadi.

Lantaran itu, semasa maharani meraih semula kesihatannya, berlaku pemberontakan pada bulan Februari tahun 705M. Zhang Yizhi dan Zhang Changzong ditangkap lalu dipancung. Kepala mereka berdua digantung di jambatan dan kediaman Wu Zetian pula dikepung.

Maharani secara rasmi dipaksa menyerahkan takhta kepada puteranya, Li Xian yang mengambil semula gelarannya sebagai Maharaja Zhongzhong. Walaupun kedudukannya sudah diturunkan, Wu Zetian tetap dihorm4ti. Beliau mengekalkan gelaran Maharani Balu Zetian Dasheng.

Namun, gelaran ini disandangnya untuk tempoh masa yang singkat kerana menjelang kehadiran musim salji, Wu Zetian mangkat sekaligus menamatkan era pemerintahannya yang dipenuhi dengan cita-citanya untuk menduduki puncak hierarki. Walaupun zaman pemerintahannya kurang digemari oleh para pemerintah sezamannya, dan kenaikan takhta serta tempoh kekuasaannya melibatkan sejumlah tindakan kontroversi, beliau masih lagi dihorm4ti secara berterusan.

Pada tahun sesudah kemangkatannya, putera beliau yang kini berperanan sebagai seorang maharaja, menyemadikan jasad ibundanya itu bersama ayahandanya merangkap suami Wu Zetian – Maharaja Gaozong di Permakaman Qianling yang terletak di puncak Gunung Liang. Beliau juga dikurniakan sejumlah gelaran mulia seperti Tianhou Shengdi dan Zetian Shunshenghuanghou.


Permakaman Qianling – dibina untuk menyemadikan jasad Maharaja Gaozong, Maharani Wu Zetian dan ramai lagi kerabat diraja Dinasti Tang

TANGGAPAN TERHADAP WU ZETIAN

Dalam sejarah Cina yang penuh berwarna-warni, zaman pemerintahan Wu Zetian memiliki ciri-ciri yang tersendiri, membuatkannya agak menonjol. Sebagai satu-satunya maharani dalam sejarah Cina yang panjang, beliau mendefinisikan semula sejumlah aspek dalam sosiologi Cina. Walaupun dibenci oleh sebilangan pihak dan dipuji pula oleh sebilangan yang lain, Wu Zetian tidak dinafikan telah meninggalkan legasi yang cukup membanggakan.

Zaman pemerintahannya dipenuhi dengan muslihat jahat yang mencetuskan minda dan pergelutan kuasa yang dahsyat. Dalam sebuah era di mana kebiasaannya kaum wanita hanya menjadi gundik dan dayang, beliau tampil ke hadapan – memasang impian yang tiada batasan. Beliau bangkit di dalam istana dan menubuhkan rangkaian perisik, kekasih dan polis sulit. Beliau tidak hanya melangkaui dan mengalahkan musuhnya, beliau bahkan menamatkan riwayat mereka. Pemerintahannya bersandarkan pada kegerunan dan ketakutan untuk menjamin kepatuhan rakyat – suatu bentuk kepatuhan yang beliau gunakan untuk melangsungkan empayar agung Cina.

Riwayat hidupnya sama sekali bukan riwayat hidup tentang seorang pemerintah biasa. Tidak. Riwayatnya menceritakan tentang salah seorang pemerintah wanita paling ulung di dunia. Wanita yang bermula hanya sebagai seorang gundik lalu menjadi maharani yang memegang kuasa mutlak. Wu Zetian adalah bukti bahawa seseorang itu berupaya untuk memerintah seluruh empayar jika memiliki tekad dan keupayaan dalam menghadapi situasi satu lawan seribu.

Pemerintahannya yang bersifat kuku besi mungkin merupakan salah satu contoh yang paling unik dalam memahami bagaimana seseorang itu memanjat tangga kuasa dan menewaskan seteru-seteru politiknya. Riwayat hidup Wu Zetian umpama ‘Game of Thrones’ sebenar yang berlatarbelakangkan empayar Cina!

TERJEMAHAN:

Aleksa Vuckovic. (17 Ogos 2019). The Reign of Wu Zetian: From Concubine to Empress to… Emperor! Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/wu-zetian-0012453


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.