Filem World War Z (2013) adalah sebuah filem yang mengisahkan wabak penyakit disebabkan oleh sejenis virus yang merebak dalam kalangan manusia di seluruh dunia. Manusia yang dijangkiti virus ini akan bertindak sangat agresif dan gila dalam erti kata lain mereka akan bertukar menjadi ‘zombie’. Terma zombie kini sudah rasmi diguna pakai sebagai satu istilah yang sah dan mempunyai makna di dalam kamus. Dibintangi oleh pelakon Hollywood terkenal Brad Pitt, diarahkan oleh Simon Crane dan diterbitkan oleh Paramount Pictures Corporation, ianya berbeza dengan filem-filem zombie yang lain. World War Z berjaya mengetepikan klise filem zombie  dengan mengetengahkan jalan cerita yang memberi impak berbeza dan permulaan filem yang gempak. Namun yang mahu difokuskan adalah bukan filem itu sendiri.

Dalam filem ini terdapat satu babak dimana Gerry Lane(Brad Pitt) pergi ke Jerusalem untuk mencari jawapan dan penyelesaian bagi krisis wabak tersebut. Jerusalem adalah satu-satunya kawasan yang masih belum dijangkiti wabak tersebut disebabkan Jerusalem dikelilingi oleh tembok besar yang dinamai Jerusalem Salvation Gates. Namun, hakikatnya kita semua pun tahu bahawa tembok yang dimaksudkan adalah The Apartheid Wall yang dibina oleh regim zionis Israel untuk memisahkan antara Palestin dan Israel. Ironinya dalam filem, tembok ini memisahkan manusia yang masih belum dijangkit dengan ribuan zombie yang bertebaran di luar tembok.

The Tenth Man Principle

Di Jerusalem, Gerry Lane telah bertemu dengan bekas agen Mossad, Jurgen Warmbrunn yang dilakonkan oleh Ludi Boeken. Jurgen memberitahu Gerry bahawa Israel telah lama menjangkakan serangan zombie tersebut apabila mendapat memo daripada India bahawa ada seorang pesakit telah bertukar menjadi gila lalu mereka membina sebuah tembok besar mengelilingi Jerusalem.

Mengikut asas logika, adalah tidak masuk akal bahawa memo picisan tersebut diintrepretasikan sebagai satu ancaman yang sangat besar. Seorang pesakit bertukar gila dianggap mampu mencetuskan dan merebakkan wabak virus yang berbahaya hingga ke serata dunia. Ini overthinking tahap dewa! Namun apabila ditanya, Jurgen memberitahu Gerry bahawa inilah peranan The Tenth Man. Jadi siapakah The Tenth Man? Apakah peranannya?

The Tenth Man Principle adalah satu cara yang diimplimentasikan oleh Israel susulan peristiwa jatuhnya kembali kawasan Sinai kepada Mesir dalam perang Arab-Israel 6 Oktober 1973.

Dalam Filem World War Z, Jurgen memberitahu Gerry ;

“In the month before October 1973, we saw Arab troop movements, and we unanimously agreed they didn’t pose a threat. Well, a month later the Arab attack almost drove us into the sea.”

Peristiwa ini dikenali sebagai Sittah Oktober dalam kalangan orang arab Mesir dan Yom Kippur War dalam kalangan yahudi Israel. Uniknya, peperangan ini berlaku pada bulan Ramadhan yang mana tarikh tersebut juga adalah hari perayaan sin atonement day bagi yahudi, Yom Kippur.

Kejayaan ketenteraan Mesir yang berjaya memperdaya pihak Israel apabila membuat serangan mengejut pada pagi 6 Oktober ke atas tentera Israel membuatkan pihak Israel kucar kacir dan hasilnya Sinai jatuh ke tangan Mesir kembali. Mesir mengisytiharkan cuti umum pada 6 Oktober setiap tahun bagi mengenang peristiwa ini. Dan susulan itu Perdana Menteri Israel Golda Meir meletakkan jawatan pada 10 April 1974 atas pelbagai desakan kerana dituduh  ‘cuai’.

Selepas peristiwa ini, Israel menubuhkan satu unit yang dipanggil Devil’s Advocate Office. Unit ini memperkenalkan The Tenth Man Principle. The Tenth Man Principle adalah suatu peranan yang diberikan kepada seseorang individu. Tugasnya adalah dalam setiap keputusan yang dibuat secara bersama, The Tenth Man perlu bersifat menentang, tidak setuju dan was-was mengenai keputusan yang dicapai bersama. The Tenth Man perlu memikirkan segala risiko yang bakal berlaku walaupun ianya tidak logik dan masuk akal dan membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Sebagai contoh di dalam perbincangan 10 orang, satu keputusan telah dibuat secara bersama dan dipersetujui oleh 9 orang untuk menyeberangi jambatan. Tetapi ianya merupakan tugas orang kesepuluh untuk tidak setuju dan memikirkan risiko-risiko yang ada mengenai keputusan itu dan membuat persiapan untuk menghadapi risiko tersebut. Melalui cara ini, sebuah keputusan yang dibuat akan disertai langkah berjaga-jaga daripada berada dalam keadaan terlalu yakin dan terlalu selesa dengan keputusan yang dibuat. Malah mereka juga akan bersiap sedia jika berlaku sebarang kemungkinan di luar jangkaan.

Jika dalam satu kumpulan kesemua ahli kumpulan telah menaiki kereta api, adalah peranan The Tenth Man untuk tidak menaikinya. Kerana dengan tidak menaikinya dia boleh melihat apa yang bakal berlaku pada laluan kereta api tersebut berbanding mereka yang menaikinya dan The Tenth Man boleh bertindak untuk mengelak sebarang kemalangan. Dalam erti kata lain The Tenth Man bertindak secara kontra dengan keputusan bersama untuk mengesan perangkap musuh.

Maka, daripada peranan The Tenth Man ini kita dapat fahami bahawa Israel amat berjaga-jaga dalam sebarang keputusan yang dibuat dan kaedah ini masih diguna pakai oleh Israel Military Intelligence sebagai langkah countering the inner circle to detect any probability outer circle.

Individu yang memegang peranan The Tenth Man ini perlu bersifat kontradik, seorang penganalisis, kreatif, mempunyai fikiran di luar kotak, berpengalaman dan bijak mengatur strategi.

Berbalik kepada filem World War Z, Jurgen Warmbrunn yang dilakonkan oleh Ludi Boeken adalah The Tenth Man dalam menghadapi ancaman zombie. Ketika semua orang menganggap memo ‘rakshasha‘ (yang apabila diterjemahkan membawa perkataan zombie atau undead) daripada India berkenaan seorang pesakit yang bertindak agresif dan gila ini mampu dikawal, Jurgen telah membina tembok disekeliling Jerusalem untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Walaupun kesemua fakta yang diceritakan oleh Jurgen di dalam filem ini mengenai perang 1973 dan peranan The Tenth Man adalah benar belaka dalam dunia realiti, namun hakikatnya The Jerusalem Salvation Gate adalah tetap tembok The Apartheid Wall yang memisahkan Palestin dan Israel. Cuma ianya diolah untuk menstruktur satu jalan cerita yang berkonsep rekayasa secara total dalam filem ini.

Ironinya, pelakon Ludi Boeken yang memainkan watak Jurgen Warmbrunn pernah bekerja sebagai war correspondent iaitu wartawan perang di bawah BBC yang membuat liputan di Asia Timur dan beberapa Negara lain di Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Afrika. Beliau merupakan bekas pelajar Tel Aviv University, Israel pada 1973 tahun di mana berlakunya perang Arab Israel.

The Tenth Man Principle adalah merupakan satu daripada falsafah pemikiran yang ada. Disebabkan otak manusia senang dipengaruh dan cenderung untuk mengikut keputusan satu hala tanpa mencuba untuk membelok ditambah dengan sifat semula jadi manusia yang suka berasa selesa dengan keputusan bersama menyebabkan beberapa para falsafah pemikiran berpendapat bahawa minda manusia perlu dicabar dalam pelbagai cabang dalam membuat keputusan.

Sama juga konsep yang diketengahkan oleh Edward De Bono seorang ahli psikologi Malta yang menulis buku The Six Thinking Hats. Konsep The Six Thinking Hats menggunakan 6 individu yang diwakili oleh topi berwarna putih, biru, hitam, merah, kuning dan hijau untuk memainkan peranan yang berbeza berdasarkan warna topi. Persamaan Six Thinking Hats dan The Tenth Man adalah pada tugas individu yang memegang peranan topi hitam. Individu yang memegang topi hitam perlu memberi alasan-alasan dan hujah-hujah untuk tidak menyokong sesuatu keputusan yang telah dibuat.

Artikel sumbangan Yusri Zulkefli untuk The Patriots.

RUJUKAN

  1. Edgar O’Ballance. No Victor, No Vanquished: The Yom Kippur War (1979) 28-370
  2. David Rodman . The Israel Journal of Foreign Affair Vol. 6 No. 1 (January 2012)
  3. William B. Quandt (2005). Peace Process: American Diplomacy and the Arab–Israeli Conflict Since 1967. 114. University of California Press. p
  4. Johnson, Zach (October 10, 2011). “SWAT Team Raids Brad Pitt’s World War Z Set“. US Weekly. Retrieved 12 December, 2018.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.