Webtoon: Kebangkitan Komik Digital Korea Selatan

958

https://bit.ky/kombowww

Ia dikatakan telah memberi saingan sengit serta mencabar industri manga dan anime di Jepun. Medium digital ini secara perlahan-lahan telah mengambil alih kedudukan manga dan menjadi tumpuan utama bagi golongan muda yang lebih menggemari format digital untuk membaca komik pilihan mereka.

Ini adalah kisah mengenai webtoon, versi digital bagi komik yang berasal dari Korea Selatan. Webtoon kini telah menjadi sebahagian daripada gelombang Hallyu terbaharu daripada Korea Selatan dan mula digilai oleh masyarakat daripada seluruh dunia. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai sejarah webtoon serta kedudukannya sebagai satu bentuk budaya baharu Korea Selatan yang mewakili golongan belia mereka.

Apa itu webtoon?

Webtoon adalah sejenis komik digital yang turut dikenali sebagai webcomics (komik web). Korea Selatan sebenarnya bukanlah satu-satunya negara yang menghasilkan komik web ini, namun ia adalah negara pertama yang mencipta format manhwa (komik bercetak Korea, iaitu seperti manga) dalam bentuk baharu dengan memasukkan ciri-ciri utama teknologi digital dalam penghasilannya.

Secara asasnya, Korea sebenarnya telah membawa manhwa mereka ke dalam dunia digital melalui penghasilan webtoon. Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan kecanggihan teknologi dan kepantasan internetnya, Korea telah menggunakan sepenuhnya kelebihan yang mereka miliki untuk mencipta industri webtoon, sekaligus memberi saingan hebat kepada industri manga daripada Jepun.

Webtoon ini telah dianggap sebagai suatu kebangkitan baharu bagi gelombang Hallyu selepas Korea memperkenalkan K-pop dan K-drama kepada seluruh dunia. Apa yang menariknya, webtoon juga mempunyai ciri yang sama seperti K-pop dan K-drama, iaitu satu formula imbangan (hibrid) antara faktor global bersama ciri-ciri tempatan budaya Korea. Ini sekaligus telah menaikkan populariti webtoon sebagai pilihan dalam pembacaan komik secara digital.

Sejarah webtoon

Perkataan webtoon ini sebenarnya berasal daripada dua perkataan iaitu ‘web’ dan ‘cartoon’ yang membawa maksud kartun dalam web. Webtoon juga dikenali sebagai mobile cartoon, digital comics, web manhwa dan keitai manga (dalam bahasa Jepun.

Webtoon ini mempunyai sejarah yang pendek dalam penghasilannya, iaitu pada permulaan abad ke-21 (sekitar tahun 2000), apabila beberapa orang pelukis komik amatur yang berbakat mula menerbitkan hasil karya mereka secara digital melalui laman sesawang peribadi masing-masing. Ketika itu, teknologi internet semakin berkembang dan ia memberi akses yang lebih kepada para pelukis amatur ini untuk merealisasikan penerbitan karya secara digital.

Pada sekitar tahun 2003, portal sesawang terkenal Korea, iaitu Daum telah mencipta satu perkhidmatan webtoon yang dikenali sebagai Daum Webtoon. Langkah oleh Daum ini kemudiannya telah diikuti oleh Naver setahun kemudian melalui Naver Webtoon yang dihasilkan pada tahun 2004. Kedua-dua perkhidmatan portal sesawang ini telah menayangkan webtoon secara percuma.

Pada awal tahun 2010, perkhidmatan seperti TappyToon dan SpotToon telah mula menterjemahkan webtoon ini ke dalam Bahasa Inggeris, dan sebahagian daripada penerbit Korea sendiri, seperti Lezhin dan Toomics telah mula menterjemahkan sendiri karya webtoon mereka. Perkembangan webtoon ini semakin memuncak, yang mana sehingga bulan Julai 2014, Naver telah menerbitkan 520 buah siri webtoon manakala Daum pula telah menerbitkan sebanyak 434 buah siri webtoon.

Pada sekitar Julai 2014, Naver webtoon ini telah mengubah jenamanya menjadi LINE webtoon untuk memasuki pasaran global kerana akses Naver hanya terhad kepada pasaran dalam Korea sahaja. Malahan, sebahagian daripada perkhidmatan LINE ini juga tidak boleh diakses di Korea. Pada tahun 2016, perkhidmatan Naver webtoon ini memasuki pasaran Jepun sebagai XOY dan pasaran China sebagai Dongman Manhua.

Pada Disember 2018, Naver telah menutup perkhidmatan XOY mereka di Jepun dan memindahkan kesemua siri asli webtoon yang diterjemahkan kepada LINE Manga, iaitu sebuah perkhidmatan manga yang menawarkan manga yang berlesen. Sehinggalah tahun 2019, LINE Webtoon ini akhirnya diubah kepada WEBTOON yang menawarkan perkhidmatan webtoon dalam Bahasa Inggeris sahaja dan telah dibawa masuk ke Sepanyol dan Perancis untuk versi kedua-dua negara tersebut.

Bermula tahun 2014, kebanyakan webtoon yang diterjemahkan ke Bahasa Inggeris hanya boleh didapati menerusi penterjemahan tidak rasmi oleh pihak peminat. Apabila LINE Webtoon mengubah platformnya menjadi WEBTOON, proses penterjemahan webtoon popular ke Bahasa Inggeris mula dipergiatkan dan telah mendapat perhatian peminat di seluruh dunia.

Pada tahun 2020, WEBTOON ini telah dipindahkan dan menjadi perkhidmatan di bawah Naver Webtoon Corporation. Sehingga kini, terdapat banyak platform dan portal di Korea yang menerbitkan webtoon secara aktif seperti Daum, Naver (WEBTOON), Tapastic, Lezhin, Mr Blue dan Toomics.

Evolusi dan ciri-ciri webtoon

Selama lebih kurang 20 tahun bertapak dalam industri komik digital, webtoon ini telah mengalami beberapa perubahan yang ketara dalam penghasilannya. Pada awal kemunculannya, webtoon telah dibahagikan kepada dua peringkat (rating) utama iaitu All untuk webtoon yang sesuai bagi semua peringkat umur dan 18 untuk webtoon bagi mereka berumur 18 tahun ke atas.

Bermula Mei 2019, sistem rating webtoon yang baru telah dilaksanakan. Sebanyak 10 platform utama webtoon, termasuklah Daum dan Naver (WEBTOON) telah menyertai sistem rating yang baru ini. Sistem rating yang dicadangkan ini adalah merangkumi beberapa kategori, iaitu All (untuk semua peringkat umur), 12 tahun ke atas, 15 tahun ke atas dan 19 atau 18 tahun ke atas. Melalui pengkelasan baru ini, maka setiap golongan umur boleh memilih jenis webtoon yang bersesuaian dengan mereka, termasuklah golongan kanak-kanak.

Webtoon sendiri telah berevolusi seiring dengan perubahan teknologi. Dalam generasi awal penghasilan webtoon, ia merupakan komik bercetak atau dilukis manual, diimbas (scan) dan dimuatnaik ke internet. Pada awalnya, ia adalah dalam format satu mukasurat sahaja.

Dengan perkembangan teknologi, para pengkarya komik mula mengaplikasikan kemudahan flash animation effects. Dalam fasa generasi kedua penghasilan webtoon, proses enhanced preloading telah membolehkan para pelukis webtoon untuk menggunakan susun atur secara menegak dengan hanya menatal (scrolling). Berbanding dengan komik biasa yang mempunyai komposisi panel yang padat, proses penatalan ini memberi peluang untuk panel baru ditunjukkan. Dengan cara ini, ia membolehkan pergerakan komik menjadi lancar dan webtoon boleh dibaca secara berterusan.

Dengan kepesatan penggunaan telefon pintar dan tablet, pembacaan webtoon ini mula berubah ke platform yang baru menggunakan sistem aplikasi. Bunyi juga telah diperkenalkan ke dalam webtoon generasi baharu ini bersama dengan ton suara serta ekspresi wajah setiap wataknya. Pergerakan interaktif ini telah memberi keterujaan buat para penggemar webtoon.

Terdapat beberapa ciri unik pada webtoon yang membezakannya daripada manhwa (komik bercetak) yang biasa. Berikut disenaraikan ciri-ciri utama pada webtoon:

  • Format

Webtoon adalah komik dalam web, ia bukanlah seperti komik bercetak biasa dan bukan juga animasi atau kartun seperti yang ditayangkan di televisyen. Berbanding komik bercetak biasa yang dibaca dari kiri ke kanan (manga dibaca dari kanan ke kiri), webtoon ini dibaca dari atas ke bawah melalui penatalan.

Format pembacaan dari atas ke bawah ini telah memberi peluang kepada penulis konten untuk mempersembahkan webtoon dalam bentuk imej lebih besar pada skrin, sekaligus membuang trend lama pada komik biasa.

  • Percuma

Kebanyakan daripada siri webtoon yang diterbitkan boleh didapati secara percuma daripada platform yang disediakan seperti WEBTOON dan Daum Webtoon. Malah, aplikasi WEBTOON daripada LINE Naver juga percuma untuk dimuat turun dengan pelbagai siri yang boleh ditonton melaluinya. Ini menjadikannya mudah untuk diakses walau di mana jua pada bila-bila masa.

  • Penghasilan secara digital

Webtoon dilukis secara digital, dan ia sekaligus mengurangkan keperluan terhadap alatan lukisan manual.

  • Komen daripada pembaca

Apa yang menarik pada webtoon adalah setiap pembaca boleh memberikan komen pada setiap episod yang mereka tonton melalui aplikasi berkenaan. Komen-komen pembaca ini sebenarnya turut mempengaruhi jalan cerita bagi sesebuah siri webtoon dan ia diambil kira untuk menaikkan lagi populariti sesebuah siri.

  • Pelbagai genre

Salah satu ciri penting pada webtoon adalah genrenya yang luas. Kekuatannya adalah ia tidak terhad kepada satu atau dua genre sahaja. Genre utama yang digunakan dalam penghasilan webtoon adalah drama, fantasi, komedi, aksi, romantik, kisah kehidupan, thriller, sukan, penyiasatan jenayah, sains fiksyen dan banyak lagi.

Webtoon sebagai gelombang Hallyu

Jika dilihat dari segi sejarah, webtoon ini telah bermula hampir 20 tahun yang lalu. Namun, dalam lima tahun kebelakangan ini, ia mula menjadi gelombang budaya terbaharu dari Korea. Seperti mana K-drama dan K-pop yang terlebih dahulu menjadi kegilaan seluruh dunia, webtoon kini perlahan-lahan mengorak langkah menjadi kuasa lunak (soft power) baharu dalam menawan masyarakat antarabangsa.

Salah satu faktor utamanya adalah keghairahan para penulis konten Korea yang mula mengadaptasi webtoon ini untuk divisualkan ke dalam drama dan filem. Terdapat banyak drama serta filem Korea yang diterbitkan kini merupakan adaptasi daripada webtoon popular mereka. Contoh paling dekat adalah Itaewon Class serta filem Along With the Gods.

Apabila drama adaptasi webtoon ini dihasilkan, ia secara tidak langsung telah mempopularkan versi asal webtoon tersebut. Kebanyakan daripada konten webtoon ini biasanya akan diubah untuk disesuaikan dengan format drama atau filem, dan ia kadangkala menimbulkan sedikit tanda tanya dalam kalangan penonton berkaitan dengan jalan cerita asalnya. Keadaan ini akan mendorong para penonton ini untuk membaca kembali versi asal webtoon dan sekaligus menaikkan popularitinya.

Peningkatan penggunaan kandungan digital di Korea memberi impak besar dalam penghasilan webtoon. Apabila populariti webtoon meningkat, artis komik profesional turut bergabung dan menyumbang kepada kepelbagaian genre webtoon. Pada awal pengeluaran webtoon, isi utama webtoon adalah masalah sosial dalam kehidupan seharian, seperti kemiskinan, buli siber, bunuh diri, pengangguran remaja, dan keganasan rumah tangga.

Artis amatur telah menghasilkan episod yang terdapat dalam kehidupan seharian dan berjaya menarik simpati daripada penonton. Karya-karya ini telah menjadi genre baru dikenali sebagai il-sang-toon yang bermaksud ‘webtoon yang berurusan dengan kisah kehidupan seharian’. Penyebaran webtoon ini sekaligus telah menyumbang untuk mengubah prasangka negatif terhadap manhwa dalam bentuk cetak dan untuk meningkatkan industri komik Korea.

RUJUKAN:

Jang, W., & Song, J. E. (2017). Webtoon as a new Korean wave in the process of glocalization. Kritika Kultura, 2017(29), 168–187.

Jin, D. Y. (2015). Digital convergence of Korea’s webtoons: transmedia storytelling. Communication Research and Practice, 1(3), 193–209.

Kim, J. H., & Yu, J. (2019). Platformizing Webtoons: The Impact on Creative and Digital Labor in South Korea. Social Media and Society, 5(4).

Lee, J. Y., Park, J. H., & Jun, J. W. (2019). Brand webtoon as sustainable advertising in Korean consumers: A focus on hierarchical relationships. Sustainability (Switzerland), 11(5), 1–10.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.