Wawancara Bloomberg yang menceritakan mengenai prestasi pasaran saham Malaysia jadi tular. Apa sebenarnya yang terjadi pada ekonomi berdasarkan pendapat pakar kewangan dan ekonomi daripada Bloomberg? Ikuti kupasan kami.

Pasaran Bursa Saham Malaysia mencatatkan kemerosotan berbanding dengan pasaran-pasaran saham yang ada di dunia. Bursa Malaysia mencatatkan prestasi paling teruk setakat ini. Dalam wawancara tersebut, Kelvin Tay daripada UBS Global Wealth Management Regional CIO menekankan 2 punca dalam Belanjawan 2019 yang memberi kesan kepada kemerosotan pasaran saham Malaysia.

1. Jangkaan purata harga minyak mentah pada 72 USD setong
2. Pemansuhan GST, kadar sifar GST dan kembali kepada sistem percukaian SST

Punca pertama yang ditekankan adalah jangkaan purata harga minyak mentah pada 72 USD setong merupakan satu kesalahan. Perlu diketahui bahawa, harga komoditi minyak mentah Brent tidak mencapai harga purata 72 USD setong dan hasil Kerajaan Persekutuan daripada hasil petroleum akan berkurang. Terdapat 3 komponen hasil Kerajaan Persekutuan berkenaan petroleum iaitu:

1. Petroleum Income Tax Act (PITA)
2. Royalti minyak 
3. Dividen Petronas

Untuk Belanjawan 2019, Kerajaan Persekutuan menganggarkan pendapatan daripada PITA sebanyak RM 18.04 billion. Royalti minyak pula sebanyak RM 5.6 billion. Terakhir sekali dividen PETRONAS sebanyak RM 54 billion dengan RM 30 billion daripadanya adalah dividen khas yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan daripada syarikat tersebut (Ministy of Finance Malaysia, 2018)

Pemberian dividen khas oleh PETRONAS kepada Kerajaan Persekutuan telah menjejaskan kedudukan syarikat tersebut apabila Moody’s menurunkan penarafan daripada stabil ke negative (Moody’s, 8 November 2018). Tujuan dividen PETRONAS adalah untuk menampung pemulangan cukai GST kepada peniaga sebelum cukai SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018.

Tindakan kerajaan menggunakan dividen PETRONAS telah memberikan persepsi yang tidak baik kerana kerajaan bergantung kepada pendapatan berkaitan petroleum yang harganya tidak menentu. Untuk rekod selepas peralihan kuasa, harga minyak Brent pernah mencatatkan harga terendah iaitu 50.47 USD setong. Manakala, paling tinggi adalah 86.29 USD setong. Tetapi, purata harga minyak Brent mencatatkan harga kurang daripada 70 USD setong.

Pada mulanya, kerajaan mengekalkan harga minyak RON 95 pada harga RM 2.20 setiap liter. Namun, Kerajaan terpaksa mengunakan semula kaedah penilaian harga minyak iaitu Automatic Pricing Mechanism (APM) pada 5 Januari 2019 (The Star, 4 January 2019). Kerajaan meletakan nilai ambang RON 95 pada RM 2.20 seliter. Sekiranya, harga minyak mentah naik melebihi RM 2.20 seliter. Kerajaan akan menanggung lebihan harga minyak tersebut dengan memberikan subsidi. Selepas itu, kerajaan menyemak semula harga ambang RON 95 pada harga RM 2.08 seliter (The Star, 27 February 2019).

Secara keseluruhannya, kerajaan telah kembali bergantung pada hasil petroleum apabila PETRONAS diminta untuk memberikan dividen sebanyak RM 54 billion kepada Kerajaan Persekutuan. Jangkaan sebanyak 30.9% hasil Kerajaan Persekutuan adalah daripada Petroleum. Tindakan ini adalah punca pertama yang ditekankan dalam wawancara Bloomberg mengenai pretasi pasaran saham Malaysia yang merupakan terburuk di dunia.

Punca kedua yang ditekankan dalam wawancara Bloomberg tersebut adalah pemansuhan sistem cukai GST. Kadar sifat GST selama 3 bulan dan kembali semula kepada sistem cukai SST. Mengikut perbandingan, Kerajaan mendapat hasil yang lebih daripada sistem cukai GST berbanding SST. Walaupun kadar cukai GST adalah 6% berbanding dengan cukai SST iaitu sebanyak 10% untuk cukai jualan dan 6% untuk cukai perkhidmatan.

Selain daripada memperoleh pendapatan yang lebih dalam sistem cukai GST. Kerajaan juga dapat menyelesaikan masalah ‘transfer pricing’ yang dilakukan oleh peniaga-peniaga yang lari daripada dikenakan cukai SST. Cukai GST bukan sahaja membantu kerajaan dalam mendapatkan hasil yang lebih. Akan tetapi, ketelusan dalam membayar cukai dilakukan kepada peniaga-peniaga yang lari daripada cukai SST.

Tujuan GST diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 April 2015 adalah untuk mengurangkan kebergantungan kerajaan daripada hasil Petroleum. Pada tahun 2015, harga minyak mentah telah merosot secara mendadak dan memaksa kerajaan untuk memperkenalkan sistem cukai GST. Kerana, hasil pendapatan kerajaan melalui petroleum akan berkurang sekiranya harga minyak mentah dunia merudum.

Untuk rekod, GST telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM 44 billion pada tahun 2017. Seterusnya, mengurangkan kebergantungan pada hasil petroleum sebanyak 15.7% pada tahun tersebut. Namun, apabila kerajaan memperkenalkan cukai SST semula, kerajaan juga telah kembali bergantung pada hasil minyak dengan jangkaan 30.9% daripada hasil Kerajaan Persekutuan adalah daripada petroleum pada tahun 2019 (Ministry of Finance, 2018)

Selain itu, kerajaan mensifarkan kadar GST selama 3 bulan dari 1 Jun 2018 hingga 1 September 2018 (Berita Harian, 28 Mei 2018). Anggaran kehilangan hasil daripada kadar sifat GST adalah sebanyak RM 11 billion. Tindakan kerajaan ini mendapat kritikan daripada pihak pembangkang kerana hasil kerajaan melalui cukai GST telah hilang kerana tidak dikutip oleh pihak kastam.

Setelah itu, kerajaan memperkenalkan semula cukai SST dengan kadar 10% untuk cukai jualan dan 6% untuk cukai perkhidmatan. Kerajaan bukan sahaja memperolehi hasil yang kurang daripada cukai ini. Tetapi juga, ketelusan peniaga-peniaga dalam membayar cukai telah diabaikan. Sistem cukai ini memudahkan peniaga-peniaga untuk melakukan ‘transfer pricing’ dan mengelak daripada membayar cukai. Anggaran kutipan SST untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM 22 billion iaitu separuh daripada kutipan GST sebanyak RM 44 billion pada tahun 2017 (Ministry of Finance, 2018).

Dalam wawancara Bloomberg tersebut, jangkaan defisit kerajaan sebanyak 3.4% untuk Belanjawan 2019 akan bertambah sekiranya harga minyak mentah tidak mencapai harga purata yang diletakkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia iaitu sebanyak 72 USD setong. Sekiranya perkara itu berlaku, kerajaan terpaksa mengecilkan perbelanjaan dan akhirnya menguncupkan keupayaan ekonomi Malaysia.

Justeru, dua punca ini telah ditekankan dalam wawancara Bloomberg sebagai faktor kepada kemerosotan pasaran saham Malaysia dan yang terburuk di dunia. Pelabur luar menjarakkan diri daripada melabur dalam pasaran saham Malaysia kerana perubahan polisi ekonomi yang tidak menentu.

RUJUKAN
1. Ministry of Finance. (2018). Fiscal Outlook and Federal Government Revenue Estimates 2019. Section 2: Federal Government Revenue 
2. Moody’s. (8 November 2018). Moody’s Affirms PETRONAS A1 Rating Changes Outlook to Negative.
3. The Star. (4 January 2019). Prices of RON 95, RON 97 down by 27 sen from Jan 5-11
4. The Star. (27 February 2019). Finance Ministry: Govt to Cap Price of RON95 at RM 2.08 per litre.
5. Berita Harian. (28 Mei 2018). Patuhi GST Pada Kadar Sifar – KPDNKK


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang yang berlatarbelakangkan kejuruteraan awam. Cenderung kepada bidang ekonomi politik, kewangan, sains dan teknologi. 'Metallica or Megadeth, Megadeth is better'

Comments are closed.