Bagi peminat filem Titanic (1997) arahan sutradara terkenal, James Cameron, pasti ramai mengenali watak Jack Dawson (Leonardo DiCaprio) dan Rose DeWitt Bukater (Kate Winslet). Walaupun ramai mengharapkan kedua-duanya merupakan watak sebenar yang terlibat tragedi tenggelamnya Titanic, hakikatnya mereka hanyalah watak fiksyen yang ditambah dalam filem yang berdasarkan kisah benar ini. Bagaimanapun, itu tidak menghalang mereka bertemu dan berkomunikasi dengan beberapa watak sebenar tragedi tersebut, ada di antaranya mempunyai cerita yang lebih menarik berbanding apa yang dipaparkan di layar perak.

Keputusan yang dibuat Cameron bertujuan untuk menambah unsur realisme terutama membabitkan adegan di dek kelas pertama. Don Lynch, sejarawan bagi Persatuan Sejarah Titanic merangkap penasihat sejarah filem tersebut memberitahu sesetengah watak ini sudah dipilih semasa proses penulisan skrip. Dan semasa sesi penggambaran, Lynch akan memberi nasihat kepada pelakon-pelakon yang diberi amanah memegang peranan watak sebenar dengan menerangkan loghat, tingkah laku dan personaliti mereka.

Salah satu watak sebenar yang muncul dalam filem Titanic (1997) ialah Margaret Brown yang dilakonkan oleh pemenang Anugerah Oscar dan Golden Globe, Kathy Bates. Brown dikenali sebagai Molly Brown yang tidak boleh ditenggelamkan (The Unsinkable Molly Brown) kerana peranannya semasa dan selepas tragedi tenggelamnya Titanic pada April 1912. Selepas kapal SS Carpathia menyelamatkan penumpang dan krew Titanic yang terselamat, Brown bersama penumpang kelas pertama lain menyelaras bantuan kepada penumpang-penumpang kelas bawahan. Dan dalam salah satu adegan paling diingati dalam filem tersebut, Brown cuba memujuk pendayung bot yang dinaiki untuk berpatah balik dan menyelamatkan lebih ramai orang kerana bot yang dinaiki masih kosong tetapi gagal.

Figure 1: Margaret Brown

Selepas insiden tersebut, Brown bertanggungjawab menubuhkan jawatankuasa mangsa Titanic yang terselamat dan menjadi pengerusi jawatankuasa tersebut. Menerusi jawatankuasa ini, mereka mengatur pengebumian bagi mangsa terbunuh yang berjaya dikesan pasukan penyelamat dan mengurniakan pingat kepada kapten Carpathia kerana menyelamatkan mereka. Malah semasa sesi inkuiri yang dijalankan di Amerika Syarikat dan Britain menurut Lynch, Brown cuba memberi keterangan tetapi dihalang atas alasan beliau seorang wanita. Beliau menggunakan statusnya sebagai antara mangsa Titanic yang terselamat dengan memperjuangkan hak wanita dan pekerja, hak pendidikan dan celik huruf kanak-kanak, pemeliharaan sejarah dan penghargaan kepada semua yang berani semasa tragedi Titanic berlaku.

Satu lagi tokoh bersejarah penting dalam filem ini ialah pemain biola Wallace Hartley yang dilakonkan oleh Jonathan Evans-Jones. Hartley dianggap salah satu hero Titanic kerana seperti yang dipaparkan dalam filem, beliau dan kumpulan pemuziknya terus bermain muzik tatkala kapal hampir karam dengan tujuan menenangkan krew dan penumpang yang ketakutan. Antara lagu yang paling diingati ialah lagu ‘Nearer, My God to Thee’. Lynch berkata, “Tiada usaha untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka tahu kapal itu akan karam dan mereka perlu menenangkan orang ramai, jadi mereka terus bermain. Kita tahu lagu ‘Nearer, My God to Thee’ dimainkan kerana ramai penumpang dan krew yang terselamat mendakwa mendengarnya.” Bagaimanapun, kumpulan pemuzik Hartley memainkan versi British mengikut peristiwa sebenar sementara versi filem Cameron pula menampilkan versi Amerika Syarikat untuk filem Titanic.

Figure 2: Biola yang dimainkan Hartley semasa tragedi Titanic dilelong dengan harga 1.7 juta paun sterling. Kredit: https://edition.cnn.com/2013/10/19/world/europe/titanic-violin-auction/index.html

Kapten Edward Smith yang dilakonkan oleh pelakon veteran, Bernard Hill turut mati tenggelam bersama kapal mengikut versi filem dan peristiwa sebenar. Tetapi sejarawan Tim Maltin berpandangan apa yang digambarkan dalam filem bukanlah kisah sebenar. Mengikut keterangan beberapa saksi, semasa rumah kemudi Titanic tenggelam, Smith berenang dan membantu penumpang dan krew naik ke atas bot penyelamat. Walaupun ditawarkan tempat kosong dalam bot, beliau enggan naik dan terus membantu mana-mana penumpang yang memerlukan bantuan. Dan keputusan pantas Smith menutup pintu kedap air seperti yang dipaparkan dalam filem membantu menyelamatkan lebih ramai orang dalam tragedi tersebut. Sekiranya pintu tersebut tidak ditutup, kapal pasti akan tenggelam pada bahagian yang melanggar aisberg dan akan menjadi terbalik. Dan itu juga boleh menyebabkan Titanic karam dengan kadar yang lebih pantas.

Selain Brown, Hartley dan Smith, ada juga watak-watak bersejarah yang hanya muncul sebentar dalam filem ini tetapi mempunyai kisah menarik. Masih ingatkah anda pada satu babak di mana Jack dan Rose memanjat bahagian buritan semasa Titanic tenggelam? Ketika itu berlaku, pasangan tersebut berpegang pada selusur kapal sementara ramai mati akibat terjatuh dan seorang lelaki teragak-agak minum botol yang dipegangnya. Lelaki tersebut sebenarnya ketua pembuat roti Titanic, Charles Joughin dan semasa kapal tersebut karam, dia berpegang kepada selusur kapal seperti yang dilakukan Jack dan Rose. Sebelum kapal karam, dia sempat berpatah balik ke biliknya untuk minum. Tidak seperti Jack, Joughin terselamat dan merupakan antara beberapa orang yang masuk dalam air dan berjaya memanjat masuk dalam bot penyelamat B. Bot tersebut jatuh tanpa ada sesiapapun di dalamnya.

Kolonel Archibald Gracie IV merupakan satu watak dalam filem Titanic (1997) yang mewujudkan unsur kelucuan dengan dialog seperti, “Back to our brandy, eh?” Menurut Lynch, Gracie diheret masuk ke dalam air bersama kapal ketika bahagian pertama kapal berpecah dan sempat berenang ke bot penyelamat B. Walaupun beliau terselamat, Gracie mengalami masalah hipotermia dan meninggal dunia lewat tahun yang sama. Beliau sempat menyelesaikan penulisan bukunya, The Truth About the Titanic yang menceritakan secara terperinci apa yang berlaku pada dirinya pada malam Titanic tenggelam.

Figure 3: Kolonel Archibald Gracie IV

Akhir sekali, siapa tidak boleh melupakan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Benjamin Guggenheim. Dalam filem Titanic (1997), apabila ditawarkan jaket keselamatan, Guggenheim menolak tawaran tersebut. Alasannya, beliau dan valetnya memakai pakaian terbaik dan bersedia untuk mati di atas kapal seperti seorang budiman. Dan beliau turut menambah, “Tapi kami mahukan segelas brandi.” Menurut Lynch, kisah tersebut mempunyai unsur kebenaran, “Pembantunya mendakwa Guggenheim memakaikan pakaian panas pada dirinya sebelum naik ke dek bersama pemandunya. Kedua-duanya memakai sut tuksedo dan beliau berkata, “Kita memakai pakaian terbaik dan bersedia untuk mati seperti seorang budiman.” Bagaimanapun, dialog meminta brandi itu sebenarnya tambahan dari Cameron sendiri. Untuk rekod, tiada sebarang rekod yang menunjukkan Guggenheim meminta segelas brandi sebelum mati. Itu yang membuatkan Lynch berpandangan, “Filem Jim (Cameron) amat realistik pada sesetengah aspek, ramai yang percaya apa yang berlaku dalam filem itu sebenarnya fakta.”

Figure 4: Benjamin Guggenheim

SUMBER

Little, Becky. (2017) History.com. The True Stories That Inspired ‘Titanic’ Movie Characters. https://www.history.com/news/the-true-stories-that-inspired-titanic-movie-characters

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.