Wat Tilok Aram – Kuil Thailand Berusia 500 Tahun Yang Tenggelam Di Dasar Laut

5,077

Di dasar sebuah tasik buatan di wilayah utara Thailand terdapat sebuah kuil berusia 500 tahun yang dikenali sebagai Wat Tilok Aram. Sebuah prasasti mencatatkan bahawa Raja Tilokkarad memerintahkan Chao San Hua si pentadbir Muang Phayao agar mendirikan kuil tersebut pada 1476-1486 sebagai dedikasinya. Kuil ini berdiri megah selama hampir lima kurun, sebelum sebuah projek pembinaan yang dijalankan pada tahun 1939 mengakibatkan kuil ini tenggelam bersama 10 buah tapak purba lain.

TASIK BUATAN PHAYAO

Kuil Wat Tilok Aram tenggelam ke dasar Tasik Phayao (Kwan Phayao), sebuah tasik air segar yang terbentang seluas 1980 hektar dan dikelilingi oleh ladang sawah di sebelah barat dan selatannya. Tasik buatan ini dibina bagi mengairi kawasan pertanian di situ. Semenjak ia dibina, tasik tersebut menjadi habitat ikan air segar yang paling besar di wilayah utara Thailand. Tasik Phayao juga diperakui sebagai salah satu tanah lembap terbesar di negara berkenaan. Namun malangnya, tasik yang sama ini jugalah yang mengorbankan sejumlah tapak bersejarah penting, termasuk Wat Tilok Aram.

Tasik Phayao, Thailand

PEMERINTAHAN RAJA TILOKARAT

Kuil Wat Tilok Aram dipercayai dibina pada era pemerintahan Raja Tilokarat, iaitu raja ke-10 bagi Dinasti Mengrai yang memerintah kerajaan Lanna, sebuah kerajaan yang berpusat di bahagian utara Thailand moden dari kurun ke-13 hingga kurun ke-18 Masihi. Raja Tilokarat bertanggungjawab membawa kerajaannya meniti ‘zaman keemasan’ dan perluasan wilayah pada tahap kemuncak. Beliau juga melaksanakan sejumlah pembinaan kuil dan rumah suci berskala besar.

Salah satu kuil binaan Raja Tilokarat yang masih boleh dikunjungi pada hari ini ialah Wat Chet Yot, sebuah kuil Buddha yang terletak di Chiang Mai.

Kuil Wat Chet Yot, Chiang Mai, Thailand

WAT TILOK ARAM

Kuil Wat Tilok Aram merupakan satu sumbangan Raja Tilokarat. Ia dibina pada tahun 1476 hingga tahun 1488. Kuil ini dahulunya berdiri di tebing Sungai Ing, sebelum ia tenggelam akibat projek pembinaan tasik pada tahun 1939. Kuil ini dipercayai selebar 15 meter (49 kaki) dan 35 meter (115 kaki) panjang. Pun begitu, perincian tentang ciri binaan dan keadaannya di masa kini tidak diketahui.

Pada hari ini, terdapat sebuah platform terapung serta sebuah patung Buddha berdiri tepat di atas tapak Wat Tilok Aram. Pada setiap hari ke-3, ke-6 dan ke-8 bagi kalendar lunar, sebuah perarakan lilin akan dilangsungkan di Tasik Phayao menjelang waktu senja. Kebiasaannya, mereka akan membawa bunga-bungaan, setanggi dan lilin dalam upacara berkenaan.

Platform yang didirikan di atas tapak Wat Tilok Aram


BUDDHA DI ATAS TASIK

Terdapat sebuah legenda tempatan yang memerihalkan tentang asal-usul patung Buddha yang kini berdiri di atas platform terapung itu:

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

“Pada suatu masa dahulu, terdapat seseorang sedang menangkap ikan di tasik dan hujan lebat tiba-tiba sahaja mencurah. Lantaran takutkan hujan, maka dia pun mencari tempat berlindung di bawah sebatang pokok besar. Namun, tiupan angin terlampau kencang sehingga menumbangkan pokok tersebut. Dia sempat menyedari kelibat kepala patung Buddha (di atas permukaan tasik). Lalu, dia pun menceritakan perkara itu kepada penduduk kampung dan sebuah upacara menyeru Buddha lantas diadakan. Upacara tersebut berlanjutan selama 7 hari sebelum patung Buddha akhirnya dapat dikeluarkan dari tasik.”

Patung Buddha ini sudah pun berada di dasar tasik selama 300 tahun, namun bahagian wajahnya masih terpelihara dan tidak rosak. Pada suatu malam, seorang pegawai kerajaan bermimpi didatangi patung itu yang menyatakan hasrat mahu kembali ke tasik tempat ia berasal. Justeru, patung itu pun dibawa kembali ke tengah tasik.” (Yin Teing)

Patung Buddha di Tasik Phayao


USAHA MENAIKKAN WAT TILOK ARAM

Sepanjang lima tahun kebelakangan, perancangan demi perancangan diusulkan demi menaikkan semula kuil Wat Tilok Aram dari dasar tasik. Ada yang mengusulkan supaya dibina sebuah struktur bertembok di sekeliling kuil itu, lalu air tasik disusut supaya usaha pembaikpulihan dapat dilakukan. Dengan demikian, kuil tersebut dapat dijadikan sebagai tarikan pelancong di negara berkenaan.

Namun, usul ini menerima sejumlah bantahan. Pengarah-urusan Jabatan Seni Halus, Arak Singhitkul tidak bersetuju dengan usul tersebut. Menurutnya, tindakan menyusutkan air tasik akan mengakibatkan hakisan teruk pada batu-batu kuil sekaligus menambahkan lagi kerja-kerja pembaikpulihan yang perlu dilakukan.

Menteri Kebudayaan, Khunying-Khaisri Sriaroon juga tidak bersetuju dengan usulan tersebut. Katanya, menyusutkan Tasik Phayao akan memberi impak kepada masyarakat tempatan yang banyak bergantung harap pada sektor perikanan sebagai mata pencarian. Di samping itu, ia juga bakal mengancam ekosistem Tasik Phayao.

Jika kerja-kerja pembaikpulihan ini dapat dilakukan dalam keadaan yang tidak terlalu memberi impak kepada alam sekitar, maka hasrat untuk menaikkan semula Wat Tilok Aram dari dasar lain sentiasa dialu-alukan supaya kuil purba itu dapat kembali berdiri megah seperti dahulukala.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (7 Julai 2015). Wat Tilok Aram: The 500-Year-Old Underwater Temple of Thailand. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/wat-tilok-aram-500-year-old-underwater-temple-thailand-003377

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.