Washoku, ditulis melalui tulisan kanji sebagai 和食,yang mana perkataan pertama, iaitu ‘wa’ adalah istilah lama yang membawa maksud Jepun atau masyarakat Jepun, manakala ‘shoku’ pula bererti makanan atau makan. Secara keseluruhannya, washoku ini adalah corak pemakanan tradisional Jepun atau makanan tradisional Jepun yang telah menjadi salah satu cabang penting yang membentuk kebudayaan Jepun.

Seperti nama yang diberi, washoku ini menggabungkan pelbagai rasa tradisi melaluinya, yang digambarkan sebagai ringkas, tetapi rumit, dan kelihatan biasa namun mempunyai sentuhan elegan. Jadi, apakah ciri atau kriteria yang membentuk washoku ini? Dan, bagaimana pula trend pengambilan washoku ini di negara Jepun? Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai apa yang harus kita ketahui mengenai washoku dan kaitannya dengan kebudayaan Jepun.

Ciri-ciri washoku

Perkara asas yang harus kita ketahui mengenai washoku ini ialah ia bukanlah nama sejenis makanan Jepun, tetapi sebenarnya merujuk kepada suatu gaya atau corak pemakanan tradisional Jepun. Tiada definisi standard yang boleh diberikan untuk washoku, namun istilah washoku ini telah digunakan secara meluas bagi membezakannya dengan istilah makanan Barat (western foods) atau makanan Cina (Chinese foods).

Salah satu ciri utama bagi washoku ini adalah gaya ichiju-sansai, yang menjadi asas untuk pembentukan washoku. Berdasarkan gaya ichiju-sansai ini, washoku terbentuk melalui empat elemen penting, iaitu nasi sebagai makanan ruji bagi masyarakat Jepun, sup, aneka lauk-pauk menjadikan hidangan lebih menyelerakan serta tsukemono iaitu jeruk Jepun. Keempat-empat elemen inilah yang membawa kepada maksud gaya ichiju-sansai iaitu ‘satu mangkuk sup dan tiga mangkuk lauk’, yang mana ia merangkumi:

  • Satu mangkuk nasi kosong
  • Satu piring kecil konomono iaitu sayuran bermusim yang dijeruk
  • Satu mangkuk ju (sup) yang mengandungi sayur-sayuran atau tauhu dan menggunakan asas sup kombu kelp atau dried bonito, miso serta garam untuk memperasakan sup
  • Tiga sai (lauk-pauk), yang terdiri daripada ikan, tauhu, sayur-sayuran dan lain-lain lagi

Oleh kerana nasi dan jeruk merupakan asas kepada hidangan tradisional Jepun, maka hanya satu mangkuk sup serta tiga jenis lauk tersebut sahaja yang mewakili gaya ichiju-sansai ini. Daripada tiga lauk berkenaan, satu lauk merupakan lauk utama, manakala dua lagi lauk adalah tambahan dalam hidangan ini. Para ahli gastronomi juga berpendapat bahawa masyarakat Jepun cenderung untuk memilih pelbagai jenis makanan dalam hidangan mereka, yang mana turut membentuk ciri bagi washoku ini.

Perbezaan washoku dengan hidangan tradisional lain

Washoku ini juga dikenali sebagai nihonshoku, dan ia adalah berbeza dengan nihon ryōri yang secara literalnya bermaksud cara masakan Jepun. Nihon ryōri ini kebiasaannya merujuk kepada masakan khusus Jepun, contohnya seperti hidangan Kyoto dan kaiseki, iaitu hidangan haute Jepun. Matsumoto, seorang penulis Jepun mengenai hidangan Jepun, sering menggunakan istilah nihon ryōri ini bagi menunjukkan hidangan yang berkaitan dengan keluarga diraja.

Ini adalah kerana nihon ryōri ini merupakan antara hidangan yang mempunyai sentuhan budaya yang tinggi dan sering dihidangkan di restoran-restoran tradisional. Manakala, bagi washoku atau nihonshoku pula, ia merupakan sajian asas tradisional Jepun yang menjadi hidangan di rumah-rumah masyarakat Jepun yang biasa.

Hidangan washoku ini juga adalah berbeza dengan sajian asas tradisional Korea, meskipun secara dasarnya, kedua-duanya kelihatan sama. Hidangan asas tradisi Korea juga mempunyai nasi (bap) dan sup (kuk) sebagai asasnya, kimchi, namul (hidangan sayur), dua jenis lauk (banchan) serta jang (kicap sebagai perasa). Manakala, bagi washoku, asasnya ialah tiga jenis lauk-pauk bersama dengan sup, serta nasi dan jeruk. Ini bermakna asas bagi washoku mempunyai bilangan lauk pauk yang lebih banyak serta pelbagai berbanding dengan hidangan tradisi Korea. Malah, susun atur hidangan tradisi Korea juga adalah berbeza dengan washoku, di mana bagi Korea, kedudukan chopstick dan sudunya adalah pada bahagian tepi, iaitu pada bahagian atas kedudukan mangkuk sup pada sebelah kanan individu. Sementara bagi washoku, hanya chopstick yang digunakan, dan ia harus diletakkan pada bahagian paling hampir dengan individu, iaitu di bahagian bawah mangkuk nasi dan sup.

Kaitan washoku dengan kebudayaan Jepun

Pada dasarnya, mengikut definisi yang diberikan oleh UNESCO, washoku ini adalah suatu amalan atau kebiasaan sosial berasaskan kepada kemahiran, pengetahuan dan tradisi yang berkaitan dengan penghasilan, pemprosesan, penyediaan dan pengambilan makanan. Ia adalah berkait rapat dengan semangat dan rasa hormat terhadap alam semula jadi yang mana ia mempraktikkan penggunaan sumber asli yang semula jadi dalam penghasilannya. Maksud washoku ini adalah meluas, di mana ia bukan sahaja meliputi makanan, malah ia turut merangkumi segala aspek budaya dalam penyediaan makanan tersebut, seperti proses penyediaan, perkakasan yang digunakan, susun atur meja serta amalan di meja makan.

Pada tahun 2013, washoku telah diletakkan sebagai salah satu khazanah di dalam senarai Intangible Cultural Heritage oleh pihak UNESCO. Ini sedikit sebanyak telah menaikkan kembali populariti washoku dalam kalangan masyarakat Jepun dan menjadikannya lebih signifikan terutamanya bagi golongan muda di Jepun. Penyenaraian washoku ini adalah seiiring dengan tujuan utama Jepun bagi menjadikan washoku sebagai salah satu cabang budaya yang menunjukkan identiti Jepun kepada masyarakat dunia yang lain. Ini adalah kerana proses penyediaan washoku ini sebenarnya turut memberi keutamaan kepada empat musim utama di Jepun. Sebagai contoh, gubahan bunga ikebana serta skrol yang digantung yang termasuk dalam salah satu proses penyediaan washoku adalah menunjukkan musim tertentu di Jepun.

Berdasarkan pandangan yang diberi oleh pakar kulinari Jepun, iaitu Naoyuki Yanagihara, beliau menyatakan bahawa terdapat empat ciri utama yang menjadikan washoku ini tersenarai di dalam Intangible Cultural Heritage oleh UNESCO, iaitu:

  • Kepelbagaian dalam kandungan bahan yang digunakan dalam penyediaan washoku
  • Ciri makanan sihat melalui washoku
  • Menunjukkan empat musim yang terdapat di Jepun
  • Kebudayaan Jepun

Berdasarkan ciri-ciri inilah, maka washoku dianggap sebagai salah satu khazanah yang harus dipelihara oleh masyarakat Jepun dan dikenali oleh masyarakat luar yang lain. Malah, hasil daripada usaha yang dilakukan oleh pakar kulinari dan chef Jepun juga berjaya mengubah persepsi masyarakat asing terhadap washoku dan mereka menerimanya sebagai satu asas hidangan yang semulajadi dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Kesimpulan

Washoku sebagai suatu corak budaya dalam makanan tradisional Jepun telah berjaya membuka minda masyarakat dunia untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Meskipun populariti washoku adalah kurang memberangsangkan dalam kalangan golongan muda, namun, hasil usaha yang dilakukan oleh para chef serta pakar kulinari Jepun dalam memperkenalkannya kembali telah mengubah trend pengambilan washoku ini. Secara kesimpulannya, Jepun telah berjaya menjadikan washoku sebagai salah satu elemen dalam menonjolkan kuasa lunaknya (soft power) untuk menarik perhatian masyarakat dunia.

Rujukan

Farina, F. (2018). Japan’s gastrodiplomacy as softpower: global washoku and national food security Felice Farina. Journal of Contemporary Eastern Asia, 17(1), 131–146.

Gabriel, A. S., Ninomiya, K., & Uneyama, H. (2018). The Role of the Japanese Traditional Diet in Healthy and Sustainable Dietary Patterns around the World. Nutrients, 10(173), 1–15.

Ishige, N. (2011). The History and Culture of Japanese Food. New York, USA: Routledge Taylor & Francis Group.

Kohsaka, R. (2017). The myth of washoku : a twisted discourse on the “uniqueness” of national food heritages. Journal of Ethnic Foods, 4(2), 66–71.

Takahashi, T., Nakahigashi, H., Takahashi, Y., Yanagihara, N., & Kakizawa, H. (2014). Charms of Washoku, Traditional Japanese Cuisine. Tokyo, Japan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.