Peminat-peminat siri filem James Bond pastinya mempunyai watak Bond pilihan atau babak-babak filem siri ini yang sentiasa segar dalam ingatan para penonton. Sesetengah mungkin memilih babak menarik seperti adegan kereta Lotus dipandu keluar dari air oleh Bond versi mendiang Sir Roger Moore atau adegan kejar-mengejar atas glasier membabitkan Bond versi Pierce Brosnan dan Zhao (Rick Yune). Bagi saya, antara sebab saya meminati siri filem Bond ialah dua pelakon yang memegang peranan ikonik berkenaan, Sean Connery dan Danial Craig. Tetapi tidak ramai tahu Connery sebenarnya pernah membikin skrip untuk menyaingi filem The Spy Who Loved Me bertajuk Warhead.

Selain Connery, dua lagi penulis skrip yang terlibat dengan projek Warhead ialah penulis Kevin McClory dan penulis novel Len Deighton. Tetapi kisah ini sebenarnya sudah bermula sejak pertemuan pertama McClory dengan penulis Bond, Sir Ian Fleming. Kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan dengan Bond itu sendiri. Kedua-duanya pernah berkhidmat dengan tentera di mana Fleming merupakan bekas pegawai perisik tentera laut sementara McClory pula pernah berkhidmat bersama British Merchant Navy. Dan seperti Bond juga, beliau seorang kaki perempuan berbangsa Irish dan pernah bertunang dengan pelakon legenda, Elizabeth Taylor.

Selain dikenali sebagai penulis, McClory juga turut mempunyai pengalaman sebagai pengarah dan penerbit melalui filem The Boy and The Bridge. Merasakan pengalamannya dalam filem berkenaan sudah mencukupi untuknya menggarap filem Bond, ini mendorong beliau bertanya kepada Fleming untuk diberi peluang mengarah siri pertama filem berkenaan. Bagi Fleming sendiri, beliau merasakan McClory amat layak untuk menduduki kerusi pengarahan filem berkenaan. Rancangan McClory ialah mengadaptasi novel Bond dan menambah elemen cerita baru dengan bantuan seorang lagi penulis, Jack Whittingham. Skrip-skrip yang dirancang mereka ini ialah permulaan kepada plot filem Thunderball yang kita kenali hari ini.

Sesetengah draf skrip berkenaan ada yang memuaskan dan ada juga yang tidak kena. Contohnya, satu draf skrip menunjukkan Bond menyamar sebagai penyanyi kabaret selepas menerima tunjuk ajar Sir Laurence Olivier dan Noel Coward. Tetapi plot yang kita kenali hari ini memperkenalkan kita kepada sebuah organisasi pengganas bernama SPECTRE. Salah seorang ketua organisasi berkenaan bernama Largo mahu mencuri dua peluru berpandu nuklear Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetapi Bond dapat menjejaknya hingga ke Bahamas dan berjaya menghalangnya. Bagi Fleming, premis cerita sudah menyakinkan tetapi langsung tidak berkenan dengan tajuk pilihan McClory, Longitude 78 West. Sebaliknya, beliau menggantikan nama itu dengan nama yang dianggap provokatif tetapi ringkas iaitu Thunderball.

Pada awalnya, wujud perkhabaran filem ini akan dibikin dengan menampilkan sentuhan Sir Alfred Hitchcock dengan Richard Burton mengisi peranan sebagai Bond. Tetapi malang bagi McClory, Fleming sudah mula ragu-ragu dengan keupayaannya membikin filem perisikan dengan peruntukan belanjawan besar. Skrip hasil karya mereka bertiga itu diadaptasi dalam novel Bond, Thunderball. Tetapi kesilapan Fleming ialah tidak meminta izin dua rakan kolaborasinya yang melakukan banyak usaha dalam skrip mereka itu. Ini mendorong McClory dan Whittingham menyaman Fleming di Mahkamah Tinggi London. Dan selepas beberapa perbicaraan, keputusan mahkamah memihak mereka dengan kredit Thunderball turut mengandungi nama McClory dan Whittingham. McClory turut diberi hak filem dan televisyen membabitkan cerita Thunderball.

Selepas McClory gagal dalam usahanya mengadaptasi kisah Bond, usaha itu digerakkan pula oleh Albert R. Broccoli dan Harry Saltzman menerusi syarikat produksi mereka, Eon yang menampilkan Connery sebagai Bond pertama. Ini yang membawa siri filem pertama, Dr No sebelum disusuli dengan filem From Russia With Love dan Goldfinger. Kedua-dua penerbit berkenaan mahukan Thunderball sebagai filem Bond seterusnya lalu membuat perjanjian dengan McClory. Menerusi perjanjian itu, beliau akan mendapat penghargaan sebagai penerbit dan diberi hak untuk membikin semula Thunderball sepuluh tahun selepas itu. Perjanjian itu diharap dapat menamatkan terus minat orang awam atau lebih spesifik, McClory sebelum dekad berkenaan berakhir.

Malangnya, selepas ia ditayangkan pada tahun 1965, Thunderball mendapat sambutan hangat penonton dan ini merupakan satu berita baik kepada McClory. Pada tahun 1975, beliau mengumumkan akan membikin semula filem Thunderball tanpa penyertaan Broccoli dan Saltzman. Dan untuk mengejek Eon, McClory turut mengumumkan tajuk filem berkenaan iaitu James Bond of the Secret Service. Jika itu saja tidak buatkan orang Eon naik darah, beliau turut menarik beberapa individu yang ada kaitan dengan Saltzman atau filem Bond itu sendiri. Deighton direkrut sebagai penulis skrip di mana tiga novelnya diadaptasi oleh Saltzman ke layar perak iaitu The Ipcress File, Funeral in Berlin dan Billion Dollar Brain. Sementara Connery pula direkrut hanya kerana namanya saja menurut Robert Sellers. Sellers yang juga penulis buku The Battle for Bond mendedahkan motif sebenar McClory ialah mahukan nama Connery dikaitkan dengan projek Bondnya dengan apa cara sekalipun.

Tidak diketahui berapa sumbangan Connery kepada skrip berkenaan tetapi ini sudah mencukupi untuk Paramount menyokong filem berkenaan yang diberi tajuk Warhead. Walaupun ia masih mengikut plot sama seperti Thunderball, ada sesetengah elemen sudah masuk ke dunia parodi gaya Austin Powers. Antara contoh dalam draf skrip Warhead yang menjadikan ia berbeza dengan Thunderball:

  1. Nama gadis Bond bernama Justine Lovesit.
  2. Adegan tidak masuk akal membabitkan Bond mengadakan hubungan kelamin dengan ejen SPECTRE yang menyamar, Fatima Blush dengan rakan subahatnya bersembunyi di bawah katil. Selepas itu, dua lelaki menceroboh apartmen Belgravia yang didiami Bond menyebabkan beliau terpaksa mempertahankan diri. Selepas diperiksa, dua lelaki berkenaan sebenarnya ejen Perkhidmatan Risikan Rahsia (SIS/MI6) yang dihantar untuk melindunginya daripada cubaan bunuh Blush.
  3. Bond terpaksa bergelut dengan jerung-jerung mekanikal dalam saluran longkang New York sebelum meluncur udara ke kepala Statue of Liberty dan bertarung dengan ejen-ejen SPECTRE.

Tetapi ada satu perkara yang merungsingkan McClory ialah skrip Warhead dilihat hampir sama dengan skrip filem The Spy Who Loved Me terbitan Eon. The Spy Who Loved Me yang menampilkan Moore menampilkan pangkalan bawah air musuh yang dihadapi Bond hampir sama dengan gambaran yang dalam skrip Warhead. Bukan itu saja, adegan Bond melarikan diri dengan pod kecemasan mewah turut muncul dalam skrip Warhead. Persamaan sebegini membuatkan ramai tertanya-tanya apakah persamaan ini hanya satu kebetulan atau memang disengajakan?

Untuk filem The Spy Who Loved Me, produksi pada mulanya mahu menggunakan SPECTRE dan ketua organisasi berkenaan, Ernst Stavro Blofeld. Tetapi McClory berjaya mendapat perintah injunksi melarang penggunaan dua elemen itu kerana ia sebahagian daripada hak milik cerita Thunderballnya. Untuk mengelak lebih banyak masalah, penulis skrip Christopher Wood diarah menggantikan elemen Blofeld dan SPECTRE dan menggantikannya dengan watak lain. Atas sebab inilah, watak Blofeld digantikan oleh Karl Stromberg sebagai musuh utama Bond dalam filem berkenaan.

Tetapi bagi McClory, reaksi terhadap persamaan plotnya dengan The Spy Who Loved Me lebih radikal. Kedua-dua pihak saling mengenakan perintah injunksi di mana kedua-duanya berhujah berlakunya perlanggaran hak cipta. Tidak mahu terperangkap dengan satu lagi kes mahkamah yang panjang, Paramount dan Connery memutuskan untuk mengundur diri dan Warhead hanya sekadar satu lagi idea di atas kertas. Tetapi itu tidak bermakna McClory menyerah kalah begitu saja. Pada tahun 1983, beliau akhirnya berjaya menerbitkan satu lagi versi Thunderball yang bertajuk Never Say Never Again yang menampilkan Connery sebagai Bond. Walaupun mendapat pujian ramai semasa ditayangkan dan berjaya mendapat kutipan pecah panggung, ia masih lagi mendapat reaksi bercampur-campur di mana ada sesetengah berpandangan ianya tidak menampilkan sepenuhnya elemen Bond seperti dalam filem Eon.

McClory tidak pernah melupakan impiannya untuk menerbitkan satu lagi adaptasi Thunderball dan ini diteruskan melalui perancangan sekuel Never Say Never Again, S.P.E.C.T.R.E tetapi ia tidak pernah diterjemahkan dalam bentuk filem. Pada tahun 1989, skrip Warhead diubah semula dan diberi tajuk baru Atomic Warfare dengan Brosnan seharusnya menggalas watak Bond tetapi itu juga tidak menjadi kenyataan. Begitu juga pada tahun 1990-an apabila McClory cuba mengadaptasi Thunderball untuk filem baru bertajuk Warhead 2000 AD tetapi itu juga dibatalkan.

Walaupun meneruskan perang mahkamah dengan syarikat yang menerbitkan Bond iaitu Metro Goldwyn Mayer (MGM) dan Danjaq selepas berang tidak dapat membikin satu lagi filem Bond, keputusan mahkamah tidak memihak McClory. Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 2006, hak berkenaan semua berkaitan Thunderball termasuk SPECTRE dan Blofeld diraih oleh MGM selepas berunding dengan estet McClory dan Danjaq pada tahun 2013.

Dan ini membuka peluang untuk Blofeld dan organisasinya muncul secara rasmi dalam siri filem Bond selepas tidak dinyatakan secara terbuka dalam kebanyakan filem sebelumnya. Untuk filem Spectre (2015), peranan Blofeld digalas oleh pelakon legenda Austria, Christoph Waltz. Bagi menampilkan ia secara semulajadi dalam semua semua filem Bond era Craig, penulis-penulis skrip Spectre menjadikan SPECTRE sebagai organisasi yang membiayai aktiviti keganasan dan jenayah dalam semua filem berkenaan seperti pelaburan wang haram menerusi Le Chiffre (Mads Mikkelsen), rampasan kuasa digerakkan oleh Dominic Greene (Mathieu Amalric) dan penggodaman MI6 oleh Raoul Silva (Javier Bardem).

Siapa sangka selepas berpuluh tahun terperangkap dalam pertarungan mahkamah, SPECTRE dan Blofeld merupakan legasi McClory yang terbaik untuk siri filem James Bond. Tetapi untuk adaptasi atau pembikinan semula filem Thunderball seterusnya? Biarlah ia sekadar coretan di atas kertas kerana percayalah, ia masih takkan dapat atasi Thunderball yang dianggap klasik oleh peminat siri filem Bond.

SUMBER

Barber, Nicholas. (2018). BBC. Sean Connery co-wrote a Bond film that never made. http://www.bbc.com/culture/story/20180703-sean-connery-co-wrote-a-bond-film-that-was-never-made


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.