Moving Forward As One

Wanita Paling Tua Berusia 116 Tahun Di Amerika Ni Ada 125 Cicit! Apa Rahsianya?

822

Hester Ford tiada kena mengena dengan Gerald Ford atau Henry Ford. Beliau merupakan seorang rakyat marhaen yang namanya terpahat dalam muka buku sejarah. Kerana beliau dikurniakan usia yang sangat panjang.

Semasa beliau dilahirkan, Theodore Roosevelt baru saja menewaskan Alton B. Parker. Jerman pula masih mempunyai sebuah empayar.

British masih menguasai dunia dengan jaringan imperialisme. Selama 115 tahun Ford bernafas, menghirup udara segar meskipun ada zaman tersangat gelap: dua pan.demik, dua per.ang dunia, macam-macam kejadian…

Beliau membesar di Lancaster County dalam negeri South Carolina, Amerika Syarikat.

Hester Ford semasa muda.

Meskipun kecil, kota ini (dinamakan sempena sebuah keluarga diraja British) mempunyai sumbangan yang besar. Presiden Andrew Jackson dipercayai membesar di kota ini.

Malah Charles Duke yang mendarat di Bulan juga dilahirkan di Lancaster. Cuma tidak pasti jika Hester pernah berjumpa Charles.

Perjalanan Hester ke alam dewasa bermula ketika beliau masih muda iaitu 14 tahun. Beliau dijodohkan dengan John Ford dan setahun kemudian melahirkan anak sulung. John bekerja di sebuah kilang besi, sementara Hester menjadi suri rumah yang bekerja dalam sebuah ladang.

Gambar contoh sebuah lading di Lancaster.

Inilah gaya kehidupan sebuah keluarga marhaen di South Carolina. John mampu menyara keluarganya dengan gaji pekerja kilang. Dan Hester pula melahirkan 12 orang anak, sebelum mereka berpindah ke North Carolina pada tahun 1953.

Rahsia Hidup Seorang Warga Platinum

Keluarga Ford betul-betul meninggalkan Lancaster. Ladang perusahaan Hester selama ini dijual, dan mereka membeli sebuah rumah di antara Interstate 77 dan Interstate 85 di bandar Charlotte (Janes, 2021).

Tetapi John Ford meninggal dunia pada tahun 1963, dan Hester tidak berkahwin lain sampai sudah.

Hester menetap di rumah yang sama tanpa menghiraukan luahan hati kaum keluarganya. Ramai (terutamanya anak Hester) sebenarnya risau. Mana tidaknya, seorang warga emas yang selalu duduk seorang.

Tetapi percaya atau tidak, Hester tidak pernah jatuh sa.kit sampai perlu digegaskan ke hospital. Mungkin itulah rezeki paling besar anak-anaknya, kerana tidak perlu tengok ibunda mereka dalam wad.

Usia Hester yang panjang menarik perhatian saintis. Melalui kajian terperinci, saintis memperolehi teori menarik. Kerana Hester dipercayai mempunyai sel imun yang lebih tinggi daripada orang lain.

Sel ini bernama CD4 CTL, katanya sangat membantu dalam melindungi Hester daripada sebarang peny.akit (Hashimoto, et al., 2019). Kajian lain pula mengenal pasti faktor genetik di sebalik usia panjang (Rettner, 2015).

Namun seperti yang boleh dibayangkan sendiri, genetik dan imuniti sahaja tidak cukup untuk menjaminkan usia panjang.

Faktor psikologi dan gaya hidup turut memainkan peranan. Sesetengah kajian mengenal pasti kebahagiaan jiwa sebagai salah satu keperluan untuk hidup lama.

Sesiapa yang optimis dalam hidup secara statistik hidup lebih lama berbanding golongan kerap berprasangka buruk. Kerana pemikiran optimis menjauhi diri daripada penya.kit. Makanan turut menjadi penentu.

Dan seorang cucu berkongsi bahawa Hester selalu bersarapan dengan lempeng atau oat, sebelum menjamah sosej atau bacon dengan sebiji telur dan sepot.ong pisang (Lanese, 2021).

Keluarga Ford Yang Bahagia

Pemergian John Ford pada tahun 1963 tidak mengubahkan apa-apa. Hester ketika itu masih “separuh usia”, masih sedia untuk bergagah dalam hidup ini. Beliau dikurniakan 12 orang anak, yang turut beranak-pinak.

Pada kemuncak hidupnya, Hester mempunyai sebuah keluarga besar: 12 anak, 68 cucu, 125 cicit dan sekurang-kurangnya 120 piut, cukup untuk membuat kampung sendiri jika semua masih hidup.

Menurut seorang cicit bernama Tanisha Patterson-Powe, jiwa Hester penuh dengan kasih sayang.

Hester sentiasa menjadi tiang utama yang mencurahkan restu dan sokongan pada kaum keluarganya. Walau bagaimanapun, otak Hester sudah menunjukkan simton nyanyuk semasa beliau berumur 113 tahun.

Keadaan ini tidak menjadi penghalang untuknya – kerana Hester masih mampu membaca kitab Bibel dengan lancar.

Hester meninggal dunia pada tahun 20 April 2021. Pada penghujung usianya, ada dua perkara sahaja yang amat dititik beratkan: agama dan keluarga.

RUJUKAN:

Hashimoto, K., et al. (2019). Single-cell transcriptomics reveals expansion of cytotoxic CD4 T cells in supercentenarians. PNAS. 116 (48): 24242-24251.

Janes, T. (2021, April 18). Charlotte woman, who was oldest living American and had 125 great-grandchildren, has (ditapiskan). Charlotte Observer.

Lanese, N. (2021, April 22). Oldest American, Hester Ford, (ditapiskan), leaving 120 great-great-grandchildren. Live Science.

Rettner, R. (2015, Disember 18). Living to 100: New Genes for Longevity Found. Live Science.

Ruangan komen telah ditutup.