Semasa melarikan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terbunuh seorang lelaki daripada bangsa Qibti (Koptik), Musa yang ketika itu masih belum mendapat wahyu sebagai seorang Nabi telah melarikan diri hingga sampai ke Negeri Madyan, di tempat orang ramai biasa menimba air dan di situ kelihatan ramai manusia sedang mengambil air untuk memberi minum kepada haiwan ternakan masing-masing.

Musa ketika itu melihat ada dua orang gadis sedang menahan haiwan ternakan mereka daripada mendekati telaga kerana di sana terdapat ramai lelaki. Baginda pun mendekati mereka dan bertanya tentang keadaan mereka berdua. Kedua-dua gadis ini menjawab bahawa kami tidak memberi minum kambing-kambing kami sehingga mereka pergi dan membawa pulang haiwan-haiwan ternakan mereka. Tetapi jawapan mereka berdua tidak terhenti hanya di situ sebaliknya mereka menyambung, “Dan bapa kami adalah seorang yang amat tua.”

Jawapan yang diberikan mereka berdua sebenarnya tidak ditanya pun oleh Nabi Musa. Tetapi situasi demikian menunjukkan bahawa perbuatan wanita untuk melakukan kerja berat umpama menternak haiwan adalah jarang dan pelik. Kebiasaannya kerja-kerja sebegini hanya dilakukan oleh golongan lelaki. Jadi untuk mengelakkan persoalan tambahan daripada Musa, kedua-dua wanita ini terus menyatakan punca utama mengapa mereka berada di situ.

Di sini kita dapat lihat bagaimana kehidupan sosial masyarakat zaman ketika itu di mana yang melakukan pekerjaan berat adalah pihak lelaki manakala pihak perempuan kebiasaannya melaksanakan kerja-kerja di rumah umpama memasak dan bercucuk tanam. Situasi sebegini mungkin masih mampu kita fahami kerana tidak terlalu berbeza dengan masyarakat kita. Tetapi bagi masyarakat di negara maju, hal ini boleh terlihat umpama sebuah penindasan di mana wanita tidak diberi hak yang sama dalam pekerjaan.

Di sini juga kita lihat ada dua kemungkinan yang berlaku. Pertama, wanita ketika itu ditindas oleh kaum lelaki. Buktinya adalah di sana lelaki bebas berkerumun mengambil air, tetapi wanita pula terpaksa menanti bahkan terpaksa menahan haiwan ternakan mereka daripada terlepas kerana haiwan-haiwan itu amat dahaga dan ingin segera minum daripada telaga itu.

Atau situasi kedua, kemungkinan kedua-dua gadis itu bukanlah ditindas sebaliknya mereka malu. Malu jika dikerumuni lelaki sedangkan ketika itu mereka cuma berdua dan tidak manis andainya mereka tanpa segan-silu terus menuju ke hadapan dan akhirnya berada di tengah-tengah kelompok lelaki.

Tetapi walau mana satu situasi pun yang lebih tepat, kedatangan Musa ketika itu menunjukkan bahawa masih ada lelaki yang berhati budiman. Nabi Musa tidak bertanya banyak apabila gadis itu menyatakan bahawa ayah mereka tua kerana baginda faham situasi mereka.

Seterusnya, apa pula yang dilakukan oleh baginda? Ya, baginda terus saja menolong mereka.

Dalam al-Quran, Allah menyebut kalimah فسقى yang membawa makna Nabi Musa terus sahaja membantu dengan mengambil air daripada telaga tersebut lalu baginda membantu kedua-dua gadis ini memberi minum kepada haiwan ternakan mereka.

Selesai saja Nabi Musa membantu mereka, Allah menyatakan ثم تولى yang bermakna, setelah proses yang panjang, barulah Nabi Musa berjalan ke arah sebatang pohon untuk berteduh. Di sini menunjukkan Nabi Musa membantu mereka dengan bersungguh-sungguh dan hal ini terbukti kerana ia memakan masa yang lama dan bukannya tolong sekadar tolong sahaja.

Di bawah teduhan itu Musa berdoa, “Wahai Tuhan, sesungguhnya kepada pemberian yang Engkau turunkan kepadaku itu, aku amat fakir.” Indah bukan doa yang diungkapkan oleh baginda? Baginda mengatakan aku amat fakir yang bermakna aku amat mengharapkannya dan tiada pengharapan lain selain kepada-Mu, Ya Allah.

Tak lama kemudian, sewaktu Nabi Musa masih berehat di bawah teduhan pokok itu, salah seorang gadis tadi datang kepada Nabi musa dalam keadaan malu-malu. Allah menyebut تمشي على استحياء yang boleh memberi dua makna. Pertama, dia berjalan dalam keadaan tersipu-sipu kerana amat malu. Atau kedua, dia tetap berjalan menuju Nabi Musa walaupun hakikatnya dia amat malu.

Kemudian gadis itu mengatakan kepada Musa bahawa ayahnya menjemput baginda untuk datang ke rumah mereka bagi memberi upah kerana tadi baginda telah menolong mereka berdua. Di sini kita lihat bagaimana sikap para gadis yang sepatutnya dipraktikkan oleh gadis pada hari ini kerana kisah-kisah yang diceritakan di dalam al-Quran itu pasti mengandungi pengajaran dan sentiasa relevan buat setiap zaman.

Gadis itu walaupun amat malu, dan pastinya jantung berdebar-debar bahkan mungkin pipinya menjadi merah apabila berjalan menuju Nabi Musa. Perlu kita tahu bahawa Nabi Musa adalah seorang yang amat gagah dan sasa, jadi mestilah gadis tadi berasa malu apabila perlu berhadapan dengannya.

Apabila berbicara dengan Musa sebagai seorang lelaki, gadis itu berbicara dengan bahasa yang mudah difahami dan ‘straight to the point’, tidak berbasa-basi dan tidak pula mengeraskan suara. Sebahagian daripada kita menyangka bahawa perempuan tidak boleh berbicara dengan lelaki, atau kalau nak berbual pun perlu di balik tirai atau perlu mengeraskan suara. Sedangkan gadis ini yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran tidaklah begitu.

Apabila membaca ayat ini, saya kagum bagaimana Allah boleh menyebut hatta cara gadis ini berjalan di dalam al-Quran. Iaitu cara berjalan dengan tersipu-sipu malu. Malah ketika membaca ayat ini juga, saya terbayang bagaimana perwatakan gadis ini sama seperti yang digambarkan terhadap gadis-gadis Melayu kita yang perasaan malunya tinggi dan tidak mudah untuk menghilangkan rasa malu itu apabila terpaksa berhadapan dengan lelaki.

Dipendekkan cerita, Nabi Musa pun bertemu dengan ayah gadis itu di rumah mereka lalu baginda menceritakan seluruh kisah hidupnya kepada lelaki tua itu dan akhirnya Musa berkahwin dengan salah seorang gadis tadi. Musa tidak menerima wahyu sehinggalah beberapa tahun kemudian setelah selesai berkhidmat kepada bapa gadis tersebut, lalu ketika baginda bersama isterinya keluar daripada rumah, baginda melihat api di atas bukit dan di situlah baginda menerima wahyu lalu diangkat sebagai Nabi dan Rasul.

RUJUKAN:

Ismail Ibnu Kathir (2013), Kisah Para Nabi, Klang Books Centre: Selangor

Dr. Afif Abdul Fattah Thobbaroh (2005), Kisah Nabi-Nabi dalam al-Quran, Victorie Agency: Kuala Lumpur


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nama: Nik Yazid Aiman bin Nik Ibrahim Umur: 22 Tahun Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam Dengan Kepujian (al-Quran dan al-Sunnah) di UKM. email: nikyazidaiman008@gmail.com No. Tel: 0133724417

Comments are closed.