Wanita Korea Selatan Takut Untuk Mengandung

5,196

Pra-tempah hanya di Shopee

Jika ditanya mana-mana warga Korea Selatan apa ancaman yang perlu ditangani kerajaan, sudah pasti ramai memilih kerenah negara jiran mereka, Korea Utara. Tetapi ada satu perkara yang diibaratkan diimbau berbunyi, dilihat bersua[1]: kadar kelahiran bayi yang rendah. Dan ini membawa kepada satu realiti pahit yang sedang dialami Jepun iaitu populasinya Korea Selatan semakin mengecil dengan bilangan warga emasnya semakin bertambah.

Berdasarkan angka bancian terkini yang dikeluarkan pada awal Januari lepas, bilangan populasi terkini negara itu ialah 51,829,023 orang. Nampak ramai tetapi ia sebenarnya mencatat penurunan sebanyak 20,838 orang pada tahun lepas. Mengikut laporan agensi berita Yonhap, kadar kelahiran bayi mencatatkan penurunan daripada 1.49% (2010) kepada 0.05% pada 2019.

Bancian ini turut mendedahkan kadar kematian Korea Selatan mengatasi kadar kelahiran baru iaitu 307,764 kematian berbanding 275,815 kelahiran. Bilangan warga emas juga dijangka bertambah dengan bancian terkini menunjukkan peratusan warganya yang berusia 60 tahun ke atas ialah 24%.

Pengurangan populasi bukan sekadar berlaku di luar bandar membabitkan golongan warga emas malah di bandar-bandar besar. Ibu negara Korea Selatan, Seoul mencatat pengurangan warganya sebanyak 60,000 orang pada 2020. Situasi ini merunsingkan ramai pihak terutama kerajaan kerana ia masih belum menemui titik noktah di sebalik pelbagai insentif yang dilancarkan.

Bagi menangani masalah ini, kerajaan pimpinan Presiden Moon Jae-in mula melaksanakan insentif dan polisi tambahan kepada rakyat. Bermula tahun 2022, ibu mengandung akan mendapat insentif tunai berjumlah ₩1 juta (RM3662.49) dan ₩2 juta (RM7324.98) untuk setiap kelahiran. Bagi ibu bapa yang mahu mendapatkan cuti penjagaan anak untuk tahun pertama kelahiran, mereka akan mendapat ₩3 juta (RM10987.46) selama tiga bulan. Lebih banyak manfaat diraih keluarga yang mempunyai anak ramai termasuk subsidi untuk pendidikan kolej.

Bagaimanapun, semua ini tidak dapat menyelesaikan kebuntuan yang dihadapi warga Korea yang ingin berkahwin dan memiliki anak. Harga rumah masih lagi mahal di sebalik pelbagai inisiatif untuk menurunkannya. Pengangguran semakin meningkat berikutan situasi pertumbuhan ekonomi semakin perlahan dan pandemik Covid-19. Dan paling penting, budaya kerja dan tradisi yang masih statik dan tidak mengikut perubahan zaman.

Di Malaysia, prospek mengandung dan kelahiran bayi dianggap satu kurniaan Tuhan kepada pasangan suami isteri. Tetapi di Korea Selatan, kurniaan Tuhan itu dianggap satu sumpahan terutama kepada wanita yang bekerja. Walaupun wujud undang-undang diskriminasi yang melarang diskriminasi terhadap wanita termasuk wanita mengandung, ia dipandang sepi oleh syarikat-syarikat termasuk chaebol.

Dan ia dibuktikan menerusi kisah seorang wanita bernama Choi Moon-jeong. Pada satu ketika, dia mengambil keputusan memberitahu ketuanya bahawa dia mengandung. Tetapi apabila Moon-jeong memberitahu berita gembira tersebut, inilah yang terkeluar dari mulut bosnya: selepas mendapat anak, apakah anak atau syarikat akan didahulukan? Sesiapa saja yang mendengar soalan ini sudah pasti akan naik angin[2] bukan kepalang.

Dan soalan itu membuka kepada lebih banyak masalah untuk Moon-jeong semasa mengandungkan bayinya itu. Tugasnya sebagai akauntan cukai memaksanya berada lama di pejabat lebih-lebih lagi selepas bosnya menimbunkan lebih banyak kerja kepadanya. Bila perkara itu cuba dibangkitkan, ketuanya menganggap Moon-jeong tidak komited kepada syarikat.

Akhirnya, tekanan sebegini mengakibatkan dia merasa kurang sihat dan terpaksa dibawa perkhidmatan kecemasan ke hospital. Hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati Moon-jeong mengalami tekanan yang teruk dan ia hampir-hampir mengakibatkan keguguran. Seminggu selepas peristiwa itu, Moon-jeong kembali bekerja di syarikat tetapi masih merasakan bosnya mahu memaksanya berhenti kerja.

Perkara yang dialami wanita itu bukan sesuatu yang asing bagi wanita Korea Selatan. Ini diakui sendiri oleh Moon-jeong di mana wujud kes wanita-wanita mengandung yang berfikir panjang sebelum mengumumkan berita tersebut kepada majikan mereka. Malah, dia tidak terkejut ada yang memilih untuk tidak mempunyai anak disebabkan diskriminasi melampau sesetengah majikan terhadap wanita Korea Selatan.

Budaya kerja keras, waktu kerja lama dan dedikasi dilihat menjadi tulang belakang kejayaan ekonomi Korea Selatan dalam tempoh 50 tahun sehingga menjadi sebuah negara maju. Bagaimanapun, menurut ilustrator komik dalam talian Jang Yun-hwa, ramai memandang sepi sumbangan kaum wanita terhadap transformasi ekonomi negara itu. Tidak ramai tahu, kebanyakan wanita bekerja di sektor perkilangan walaupun gaji yang ditawarkan rendah. Yun-hwa turut merujuk pengorbanan golongan ibu menjaga keluarga bagi memastikan suami dapat bekerja dengan aman.

Bersesuaian dengan perubahan semasa, wanita juga kini menjadi sebahagian daripada golongan profesional dan mengisi jawatan di pelbagai peringkat pengurusan dan pentadbiran. Tetapi sikap masyarakat terhadap wanita masih tidak berubah termasuk menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab menjaga anak dan warga emas kepada wanita.

Ini bukan mitos tetapi dibuktikan menerusi data yang dikeluarkan OECD[3]. Berdasarkan laporan OECD pada 2018, lelaki Korea Selatan menghabiskan masa selama 45 minit untuk kerja tidak berbayar seperti penjagaan anak-anak. Sementara wanita pula menghabiskan masa lima kali ganda untuk kerja sama.

Bagi Profesor Emeritus Kim Seung-kon dari Universiti Kebangsaan Seoul, amat sukar bagi wanita mengandung mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan keinginan bergelar ibu. Selain berdepan diskriminasi di tempat kerja, wanita Korea Selatan perlu mencari pusat jagaan kanak-kanak yang boleh dipercayai. Malangnya, amat sukar mencari pusat penjagaan yang boleh dipercayai berikutan wujud kes salah laku terutama penderaan terhadap kanak-kanak.

Situasi sebegini amat menakutkan wanita Korea Selatan terutama yang merancang untuk berkahwin dan memiliki anak. Bagi Choi Mi-yeon, 32, dia terpaksa memikirkan semula rancangannya membina keluarga dengan kariernya selepas menghadiri beberapa temuduga kerja. Dalam kebanyakan temuduga yang dihadirinya, panel temuduga bertanya kepadanya sama ada Mi-yeon mempunyai rancangan untuk berkahwin atau tidak. Dan dalam satu temuduga yang lain, seorang panel mengakui sekiranya dia mengandung, syarikat perlu membayar cuti bersalin bergaji kepadanya.

Diskriminasi, persepsi jantina dan tradisi budaya yang statik mengakibatkan kewujudan sebuah generasi yang dipanggil Generasi Sampo. Sampo dalam Bahasa Korea bermaksud melepaskan tiga perkara iaitu hubungan, perkahwinan dan anak-anak. Mungkin bagi kita, cadangan sebegini amat radikal tetapi bagi mereka, ia merupakan satu kemewahan yang tidak dapat dicapai lagi-lagi bila berdepan isu perumahan mahal dan pengangguran yang semakin bertambah.

Yoo Nara, 37, mengakui prospek membina rumahtangga dan mempunyai anak-anak merupakan satu prospek yang indah. Tetapi selagi dua isu ini tidak diselesaikan dan memaksa dirinya berkorban termasuk melepaskan kerjayanya, maka ia dianggap satu kemewahan yang takkan mampu dicapai. Nara juga mengakui tidak mahu mengalami nasib sama seperti ibunya yang dipaksa menguruskan semua hal rumahtangga tanpa dibantu oleh bapanya semasa dia masih kecil.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi Korea Selatan akan terus meningkat sehingga 2024 sebelum mencatat penurunan. Dan mereka menjangkakan menjelang tahun 2100, bilangan populasi mereka ketika itu ialah 29 juta orang. Ironinya, itulah angka populasi Korea Selatan semasa ditadbir Park Chung-hee pada tahun 1966. Dan penulis tidak terkejut, Generasi Sampo akan menjadi penentu sama ada kemerosotan ini dapat diatasi atau berterusan hingga mencecah angka yang dinyatakan pada 2100.

NOTA KAKI:

[1] Peribahasa yang bermaksud kebenaran yang tidak boleh dinafikan.

[2] Simpulan bahasa yang bermaksud marah.

[3] Akronim untuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

RUJUKAN:

Joo-hee, C. (2021). South Korea sees more dea-ths than births for 1st time. ABC News.

McCurry, J. (2021). South Korea’s population falls for first time in its history. The Guardian.

McCurry, J dan Kim, N. (2021). ‘Luxuries I can’t afford’: why fewer women in South Korea are having children. The Guardian.

Quick, M. (2019). South Korea’s population paradox. BBC Worklife.

Maybin, S. (2018). ‘Why I never want babies’. BBC News.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.